-->

Menangani Pelajar Bermasalah

Menangani Pelajar Bermasalah - Pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan pasti akan terhalang akibat gangguan pelajar yang bermasalah. Kemungkinan bukan seorang atau dua pelajar yang menimbulkan kekecohan dalam bilik darjah.Seandainya hal ini terjadi, guru yang berpengalaman tentunya dapat menyelesaikan masalah dengan mudah.Bagaimana pula andai lebih daripada tiga orang pelajar atau sekumpulan pelajar daripada kelas yang sama, dengan kerenah masing-masing membuat kacau?

Bayangkan ada dua orang pelajar sedang bertengkar di tengah-tengah kelas kerana masalah sebatang pen. Pada masa yang sama, tiga orang pelajar sedang berdiri di belakang kelas. Dua daripadanya sedang berbual-bual tentang pengumuman yang ditampal di dinding kelas.Seorang lagi berada di pintu belakang, sedang bercakap dengan seorang rakannya di luar kelas. Empat orang pelajar pula sedang berkumpul di suatu sudut sebelah kanan kelas, berborak-borak dengan suara yang kuat seolah-olah sedang berada di kedai kopi.Dua orang pelajar lagi sedang berkejar-kejaran dalam kelas.Tiga orang pelajar pula ‘bersidai’ di kaki lima kelas.

Bayangkanlah suasana dalam bilik darjah pada ketika itu. Andaikan pula, itulah suasana yang dihadapi oleh seorang guru yang baru melangkah masuk ke kelas tersebut. Apakah agaknya yang akan guru itu lakukan? Bagaimanakah pula perasaan guru itu sekiranya kehadirannya tidak dipedulikan oleh pelajar-pelajar tersebut? Usahkan bangun untuk mengucapkan salam sejahtera kepada guru, mempedulikan gurupun tidak. Malah tetap meneruskan aktiviti masing-masing. Bagaimanakah seorang guru itu menangani situasi-situasi sebegini?

Situasi di atas bukan rekaan penulis. Itulah sebahagian daripada realiti kehidupan di sekolah. Biasanya berlaku di sekolah harian.Peralihan waktu mata pelajaran memberi ruang kepada pelajar-pelajar untuk bergerak bebas. Bagi kelas yang baik, pelajar-pelajarnya akan menelaah buku sementara menunggu guru datang. Namun bagi kelas yang mempunyai pelajar-pelajar yang lemah akademiknya, pasti masa seminit dua digunakan sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti-aktiviti masing-masing.

Sementara. guru-guru di sekolah berasrama penuh bertungkus- lumus mempelbagaikan corak pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam pelajaran dan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik mereka supaya mereka menjadi pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang, guru-guru di sekolah harian terutama yang bertanggung jawab terhadap pelajar-pelajar lemah atau galus pula bertungkus lumus mengawal disiplin pelajar dan cuba mempelbagaikan kaedah pengawalan disiplin., dengan harapan sekurang-kurangnya terdapat juga pelajar yang dapat menerima pelajaran dan ilmu pengetahuan yang dicurahkan oleh guru .

Bagi pelajar yang bermasalah pula, didikan rohani lebih penting.Perubahan tingkah laku daripada biadap kepada lebih bersopan, daripada malas kepada lebih rajin, daripada suka bermain-main kepada lebih serius adalah perlu diutamakan daripada peningkatan akademik. Lantaran, perubahan sikap akan pasti mempengaruhi perubahan dalam pembelajaran dan seterusnya dalam pencapaian pelajar dalam peperiksaan.

Menerusi tulisan ini, penulis ingin berkongsi pengalaman diri sendiri dan pengalaman rakan-rakan guru yang lain terutamanya guru-guru ‘veteran’ dengan semua guru yang cintakan profesionnya dan ingin menyumbangkan bakti buat anak bangsa. Harapan penulis juga agar guru-guru yang baru memasuki alam perguruan dapat menjadikan tulisan ini sebagai panduan dan bimbingan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, biarpun telah disaratkan dengan pelbagai kaedah dan method pengajaran sewaktu di pusat pengajian lagi. Semoga dengan niat yang ikhlas, para guru dapat menambah pengetahuan dan menjadikan tugas ‘mengajar’ itu lebih mudah dan lebih bermakna.. Tugas guru merupakan satu amanah yang berat untuk dipikul.Guru perlu melengkapkan diri dengan segala ilmu ‘mengajar’. Ilmu yang paling bermakna dan besar pengaruhnya ialah pengalaman. Pengalaman menjadikan seseorang guru itu lebih tabah , kuat dan lebih bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.

Berdasarkan pengalaman, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan oleh guru untuk menangani pelajar yang bermasalah.Namun perlu ditekankan di sini, kaedah-kaedah yang bakal diterangkan nanti tidak menjanjikan kejayaan 100%. Yang diberikan oleh penulis hanya sekadar panduan, berdasarkan pengalaman penulis dan rakan-rakan guru yang telah lama berkecimpung dalam arena perguruan.Kadang kala situasi yang kita hadapi adalah sama. Yang berbezanya ialah pelajar. Setiap pelajar merupakan individu yang unik dan berbeza. Guru perlu lebih kreatif dan menyesuaikan kaedah dengan situasi yang dihadapi.Guru juga perlu belajar daripada kesilapan. Kaedah ‘try dan error’ juga kadang kala akan membantu guru cuma resikonya tetap ada.

1) Bermula dengan niat.Langkah pertama bermula sebelum memasuki kelas lagi. Seseorang guru itu perlu memperbetulkan niatnya. Niat seorang guru ialah memberikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.Niat yang baik pula perlu disertai dengan doa.Bagi yang beragama Islam, berdoalah supaya Allah dapat mempermudahkan pekerjaan kita.

2) Kenali pelajar-pelajar kita. Setiap pelajar mempunyai karektor yang berbeza dan mempunyai latar belakang yang berbeza.Ada pelajar yang tidak boleh ditegur dengan nada kasar atau dimarahi dengan nada tinggi.Tidak seperti zaman dahulu. Memang ada waktunya ego guru tercabar dengan tingkah laku pelajar namun guru perlu bersabar. Memarahi pelajar dengan meninggi suara belum tentu dapat mengubah tingkah laku pelajar, malah mungkin mengakibatkan masalah menjadi lebih teruk. Mungkin hingga ke peringkat guru ditumbuk oleh pelajar yang agresif dan pantang dicabar. Atau mungkin akhirnya menyebabkan guru pula yang bertindak di luar tahap kesabaran .

Bukan bererti guru perlu takut kepada pelajar dan mengikut kehendak mereka.. Cuma yang perlu guru lakukan ialah mencari ‘soft spot’ dalam diri pelajar. Pelajar yang menimbulkan masalah di dalam kelas berkemungkinan merupakan pelajar yang mempunyai masalah keluarga atau masalah dalam mencari identiti sendiri serta terpengaruh dengan persekitaran dan gejal-gejala negatif . Oleh itu, kenali diri mereka dan dekati mereka mengikut kaedah yang paling sesuai.

Sebelum seseorang guru itu memasuki sesebuah kelas, guru itu seharusnya sudah tahu karektor pelajar-pelajarnya. Apapun keadaannya, sebelum memulakan pelajaran, guru perlu menghentikan segala bentuk aktiviti pelajar dan memastikan kehadiran guru disedari oleh pelajar. Pengajaran dan pembelajaran tidak boleh dimulakan selagi pelajar tidak bersedia untuk menerima pelajaran. Pada waktu ini, guru perlu berdiri di tengah-tengah kelas sebelah hadapan. Pandang setiap pelajar. Lazimnya, ada yang akan menyedari kehadiran guru dan memaklumkan kehadiran guru kepada rakan-rakan yang lain. Setelah semuanya berdiri dan bersedia, pandanglah ketua kelas. Ketua kelas menunggu isyarat daripada guru untuk mengetuai rakan-rakannya memberi salam kepada guru.

Namun sekiranya kehadiran guru tidak dipedulikan, guru perlu mencari kaedah lain dalam memastikan pelajar-pelajar sedar yang guru sudah bersedia untuk mengajar .Tidak salah seandainya guru yang memberi salam dahulu kepada pelajar-pelajar.Salam perlu diberi dengan suara yang lantang dan jelas.Pelajar-pelajar pasti dapat dikejutkan dan akan membalas salam guru. Bagi pelajar-pelajar yang masih meneruskan aktiviti-aktiviti mereka, sedarkan mereka dengan memanggil nama masing-masing. Selagi pelajar tersebut tidak berdiri tegak dan bersedia, jangan benarkan pelajar-pelajar lain duduk. Kalaupun mungkin tidak mahu peduli akan kehadiran guru dan tidak menghormati guru, pelajar-pelajar yang bermasalah ini pasti akan menghentikan aktiviti-aktiviti yang sedang mereka lakukan setelah didesak oleh rakan-rakan yang berdiri.

3) Sayangilah pelajar. Guru ialah ‘ibu bapa’ pelajar di sekolah. Guru perlu menyayangi pelajar-pelajarnya. Mereka ialah anak-anak didik yang perlu diberi perhatian dan diasuh dengan budi pekerti yang tinggi. Mereka lebih memerlukan kasih sayang bukan disogok oleh arahan demi arahan. .Jika mahu pelajar mempunyai akhlak yang baik, guru perlu menjadi ‘role model’ yang dapat diteladani oleh pelajar. Guru perlu bercakap dengan pelajar dengan nada yang lembut tetapi tegas . Cara ini lebih berkesan daripada bercakap dengan nada keras dan garang. Pelajar-pelajar sekarang tidak suka dikuasai.Mereka akan cepat melawan. Guru bukanlah ‘diktator’ tetapi merupakan fasilitator atau pembimbing pelajar.

Panggillah nama pelajar ketika bercakap dengannya. Pelajar lebih mudah memberi perhatian Sebaik-baiknya dengan panggilan nama penuh. Atau guru boleh memanggil pelajar dengan singkatan nama yang disukainya. Tanyalah pelajar tersebut. Namun sekiranya nama tersebut hanya nama gelaran dan yang direka oleh pelajar, lebih baik guru menggunakan nama penuhnya.Jangan mudah menurut kehendak pelajar semata-mata ingin membuatkan pelajar suka kepada kita. Pelajar tersebut mungkin cuba mempermain-mainkan guru.

4) Beri penjelasan kepada setiap teguran. Setiap kali menegur sikap negatif pelajar, seharusnya dia diberi penjelasan kenapa tingkah lakunya merupakan satu kesalahan. Nyatakan kesan yang akan dihadapi oleh dirinya sendiri dan kesan perlakuannya kepada orang lain. Jelaskan juga kenapa dia perlu memberi kerjasama kepada guru supaya tidak mengganggu kelas. Ada kemungkinan, pelajar yang bermasalah tidak ambil peduli kesan yang ditimbulkannya. Mungkin juga mereka memang berniat untuk menganggu kelas. Tujuannya lebih untuk berseronok dan mendapat perhatian daripada guru. Guru perlu tegas dalam hal ini. Tegur dengan baik dan pastikan pelajar yang bermasalah ini tahu bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian. Maklumkan kepada pelajar-pelajar bahawa guru mengambil berat terhadap mereka dan mahu mereka berkelakuan baik.

5) Hargailah pelajar. Setiap kali pelajar akur dengan arahan atau setiap kali pelajar menunjukkan perubahan walaupun sedikit, pujilah dia di hadapan kawan-kawannya. Tunjukkan kepada pelajar tersebut bahawa perubahannya itu menggembirakan semua orang. Pelajar perlu tahu bahawa dia membantu dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas lebih berkesan dan guru amat menghargai tindakan yang diambilnya.

Bagi pelajar yang tidak mengganggu kelas tetapi tidur dalam kelas dan malas hendak membuat latihan atau kerja yang dipinta oleh guru, dengan lembut tetapi tegas, pintalah supaya pelajar tersebut bangun. Beri peluang kepada pelajar supaya lebih cergas dengan mengizinkannya keluar dari kelas dan pergi ke tandas. Minta pelajar membasuh muka dan menghirup udara di luar kelas sebelum masuk ke kelas semula. Nyatakan juga bahawa guru mengharapkan pelajar dapat kembali ke dalam kelas dan mengikuti pelajaran.

Pelajar tersebut mungkin tidak mahu ke tandas. Jika demikian, jangan dipaksa. Sebaliknya pinta supaya pelajar tersebut berdiri dan mengemaskan pakaiannya atau setidak-tidaknya duduk tegak dan membuat kerja yang diberi. Mungkin pada peringkat awal, pelajar tersebut akan tidur semula apabila guru memberi perhatian kepada pelajar lain. Jangan berputus asa. Kembali semula kepadanya.Ulangi tindakan. Yang penting, pelajar akan sedar bahawa dia juga diberi perhatian.

Kemungkinan kaedah di atas membuahkan hasil amat bergantung kepada siapa pelajar kita, dan suasana yang kita hadapi .Masalah mungkin tidak dapat diselesaikan dalam sekelip mata, mungkin juga tidak dapat diselesaikan langsung oleh guru itu sendiri. Namun guru bukan sendirian. Perolehlah bantuan daripada rakan-rakan guru yang lain sekiranya melibatkan masalah yang besar. Jalan terakhir, serahkan tugas mendisplinkan pelajar kepada guru disiplin dan pentadbir sekolah. Namun , guru harus sedar tindakan tersebut ialah tindakan yang terakhir. Biasanya, pelajar yang dihantar kepada guru disiplin akan didenda dengan rotan. Jika pelajar tersebut sering dihantar ke pejabat untuk tindakan disiplin, pastinya sukar untuk membuatnya berubah kerana dia pasti sudah lali dengan hukuman rotan tersebut. Malah guru akan hilang kewibawaan dalam menangani masalah disiplin pelajar-pelajarnya ,apatah lagi sekiranya kesalahan pelajar adalah kecil. Guru harus terlebih dahulu cuba untuk menangani pelajar bermasalah dengan cara diplomasi. Guru tidak seharusnya berputus asa.

Gagal atau berhasilnya usaha guru merupakan perkara yang kedua. Yang utamanya ialah guru sudah berusaha. Tidak semua pelajar dapat ‘diselamatkan’. Tidak semua pelajar boleh dibentuk..Guru perlu sedar akan hakikat itu.Yang pentingnya, guru meminimumkan jumlah pelajar yang sedemikian Yang pentingnya ialah biarpun tidak cemerlang dalam pelajaran, tetapi biarlah pelajar-pelajar yang keluar daripada alam persekolahan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Kita ingin melahirkan generasi akan datang mengikut acuan kita sendiri. Biarpun mungkin bentuknya tidak cantik tetapi yang pentingnya rasa kuih yang dihasilkan adalah sedap. Mungkin pelajar yang bermasalah ini tidak dapat dibentuk menjadi doktor mahupun peguam ataupun apa-apa pekerjaan kolar putih, namun yang lebih penting ialah mereka dapat menjadi warganegara Malaysia yang dapat menyumbang kepada kemakmuran negara. Menjadi tukang sapu pun, tidak mengapa.Kalau tidak ada tukang sapu, siapa pula yang akan menjalankan kerja-kerja pembersihan? Namun, tukang sapu yang ingin kita hasilkan ialah tukang sapu yang rajin bekerja, yang mempunyai budi pekerti yang tinggi dan yang menghindarkan diri daripada perlakuan jenayah. Mereka ini pasti dapat memberi sumbangan dalam pembangunan negara.


Posted by cikgu aniza
Cikgu aniza_isu pendidikan. blogspot

6 Responses to "Menangani Pelajar Bermasalah"

  1. apa yang patut di buat oleh guru..pelajar yang bermasalah di bawa kepada guru disiplin...malah dibawa lagi ke pihak pejabat..namun pihak pejabat tidak mengambil tindakan apa apa terhadap pelajar malah mempersalahkan guru itu lagi..

    BalasPadam
  2. apa yang patut di buat oleh guru..pelajar yang bermasalah di bawa kepada guru disiplin...malah dibawa lagi ke pihak pejabat..namun pihak pejabat tidak mengambil tindakan apa apa terhadap pelajar malah mempersalahkan guru itu lagi..

    BalasPadam
  3. assalamualaikum cikgu..bolehkah cikgu membantu saya dalam masalah anak saya? PT3 tahun ni tp byk membuat masalah dgn kerap ponteng

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cari sebab knp dia suka ponteng... Jumpa guru subjek or guru kelas... Itu lg baik

      Padam
  4. Baru ni anak Saya diberi bekas yang diisi air kencing dan dikatakan air tebu.... murid tersebut menyuruh anak Saya minum air kencing tersebut.....Saya sgt sedih dengan tindakan pelajar tersebut.... APA tindakan sewajarnya diambil pada pelajar tersebut! Kerna pihak sekolah belum mengambil apa² tindakan lagi!

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel