Rabu, 25 November 2009

selamat bercuti ?

asalammualaikum dan selamat sejahtera semua , apa khabar ?

menjelang berakhirnya bulan november ini kebanyakan daripada kita berpendapat bahawa guru berada dalam zon selesa kerana sekolah bercuti . memang benar sekolah sedang bercuti tetapi guru masih lagi dibekalkan dengan beberapa kerja rumah yang agak akademik . disamping menjadi pengawas peperiksaan spm dan stpm yang akan berakhir 16 disember ini kita juga terpaksa melakukan penulisan perancangan akademik bagi tahun 2010 dari segi perancangan strategik , penulisan plan taktikal dan pelan tindakan . semuanya perlu dilakukan sebelum hujung tahun bermula. bagi pihak pengurusan sekolah pula perbincangan mengenai mata pelajaran tahun hadapan akan dibuat sepanjang bulan disember kerana penetapan pihak kementerian bagi mata pelajaran spm tahun hadapan dihadkan pada 10 / 11 mata pelajaran sahaja.jadi timbul bermacam reaksi bagaimana nanti mata pelajaran elektif mana yang akan dibuang , bagaimana nasib guru tersebut dll . pemilihan guru yang akan mengajar mata pelajaran tertentu juga menimbulkan masalah kerana terdapatnya beberapa tenaga pengajar baru pada akhir tahun dan faktor perpindahan guru antara negeri yang berkuatkuasa pada bulan disember dan januari 2010 nanti.
senario ini akan sedikit berbeza daripada tahun hadapan apabila jumlah pelajar tingkatan satu akan memasuki alam persekolahan menengah mendaftar pada sekitar hujung disember ini. bilangan pelajar di dalam sesebuah kelas terpaksa dimaksimakan kerana mengikut tuntutan semasa. maka sudah dapat difikirkan pada tahun hadapan suasana penuh dalam kelas akan mengambil tempat.

inilah yang sedang berlaku ....... yang tidak diketahui oleh ramai orang disekeliling kita yang bukan bergelar guru.....
selamat bercuti ?

Selasa, 3 November 2009

esei : peranan penolong kanan dalam memajukan sekolah

Kepemimpinan Dan Ketrampilan
Penolong-Penolong Kanan
Dalam Mewujudkan
Pengurusan Sekolah Yang Berkesan

Pendahuluan
Penolong-penolong Kanan merupakan personel yang amat penting dalam menentukan segala matlamat dan objektif sekolah sebagai sebuah organisasi pendidikan yang cemerlang dari aspek budaya dan iklim sekolah berkesan lebih-lebih lagi dalam memenuhi cabaran millenium yang akan menjelang tiba.

Sebagai satu kumpulan personel yang penting di sekolah maka penolong-penolong kanan haruslah benar-benar memahami serta memiliki ciri-ciri kepemimpinan yang unggul di samping ketrampilan dalam bidang pengurusan yang bersepadu dan menyeluruh. Oleh itu setiap penolong kanan haruslah sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran-kemahiran yang berkaitan, dan paling penting sikap positif terhadap bidang tugas dan tanggungjawab selaras dengan jawatan yang disandang.

Definis Pengurusan dan Organisasi

Pengurusan ialah proses bekerja dengan dan melalui orang lain untuk mencapai objektif organisasi dalam alam keliling yang berubah-ubah. Tumpuan kepada proses ini ialah keberkesanan dan kecekapan (effectiveness and efficiency) terhadap pengurusan sumber-sumber yang terhad. Keberkesanan ialah pencapaian ke atas objektif yang telah dicatat/persetujui dengan melaksanakan dan berjaya menyiapkan tugas tersebut. Kecekapan pula ialah sumber-sumber yang dikehendaki atau yang diperlukan untuk mencapai objektif dan ditimbang dengan apa yang sebenarnya telah tercapai. Lagi tinggi ratio/kadar keuntungan dengan kos, bertambah tinggilah kecekapan.

Oleh itu pengurus mestilah mampu mengimbangkan antara keberkesanan dan kecekapan. Pengurus mesti berkesan di dalam melaksanakan dan menyiapkan kerja di samping pula cekap mengawal kos dan menjimatkan sumber-sumber yang terhad itu.

Apa Pengurus Buat?

Ada dua pendekatan bagi menjelaskannya.

a) Fungsi-fungsi Pengurusan: Tugas-tugas am pentadbiran yang dilakukan /dilaksanakan dalam semua organisasi. Antaranya:
• Perancangan
• Membuat keputusan
• Pengelolaan (Organizing)
• Staffing
• Komunikassi
• Motivating
• Memimpin (Leading)
• Pengawalan
b) Peranan Pengurus:
• Peranan Interpersonal: sebagai tonggak; pemimpin; dan perkembangan
• Peranan maklumat: sebagai pengawas; pengembang dan jurucakap
• Peranan membuat Keputusan: sebagai usahawan; pendamai; penguntuk sumber dan perunding.
Proses Organisasi

Setiap organisasi melaui proses berikut iaitu input - proses - output. Yang menjadi input adalah sumber bahan mentah, manusia, wang, mesin dasn teknik. Proses pula merangkumi tujuh perkara iaitu staffing, struktur, gaya pengurusan, strategi pelaksanaan dan kemahiran yang wujud dalam organisasi. Ini digembleng dengan erat/lemah oleh perkongsian nilai.

Ciri-ciri Pemimpin Yang Baik

Parkinson dan Rustomji (1986) dalam buku mereka "Understanding Management" menyenaraikan ciri-ciri berikut sebagai yang biasa terdapat serta menjadi amalan seseorang pemimpin yang baik;
• Eksekutif berkesan mengawal ketat masa mereka.
• Fokus kepada sumbangan "keluar". Mereka capai hasil bukan bekerja dalam suasana serba sukar, tetapi melalui satu arah yang baik lagi sesuai.
• Kekuatan diri sendiri, kekuatan rakan sejawat dan juga kekuatan pegawai atasan dan kakitangan bawahan. Mereka tidak berdukacita atau memaafkan kelemahan-kelemahan.
• Beri perhatian kepada beberapa aspek penting prestasi yang boleh keluarkan hasil cemerlang. Mereka melakuakan "First things first" dan tidak ada sama sekali 'second things first'.
• Mengetahui bahawa membuat banyak keputusan tergesa-gesa akan sebabkan keputusan-keputusan yang salah; apa yang perlu ialah keputusan yang sedikit tetapi amat fundamental.
• Mereka lakukan delegasi sebanyak mungkin supaya mereka bebas untuk berfikir rancangan masa depan organisasi mereka.
David McClelland berpendapat pemimipn yang baik ialah yang dapat keyakinan dan amanah yang wujud di kalangan pengikut-pengikut. Ciri-ciri pemimpin yang berkesan ialah:
1. Ia membuat orang lain merasa yakin dan kuat. Pekerja merasakan mereka cekap.
2.Ia menggunakan kewibawaan untuk membina amanah pekeraj-pekrja kepada dirinya. Ia tidak gunakan ancaman dan ketakutan sebagai alat.
3.Ia dapat membina perhubungan kerjasama dan saling mengerti di antara pekerja-pekerja supaya semua berusaha untuk tujuan yang lebih tinggi.
4.Ia menggunakan kuasanya untuk menggalakkan penyelesaian masalah secara berhadapan (confrontation).
5.Ia tidak akan mengatakan masalah yang ada itu tidak wujud atau pun menyimpannya di bawah permaidani.

Blake & Mouton melihat keberkesanan seseorang pemimpin melalui 'Grid Pengurusan' atau 'Gaya 9,9'.

1,1 : Tidak menitikberatkan pekerja dan pengeluaran, beri pengurus kerja yang senang, menjauhkannya daripada masalah.
Gaya 1,9 : Titikberatkan pekerja dan kurang kepada tuags, pengurus ini nilaikan persahabatn lebih tinggi daripada pengeluaran.
Gaya 9,1 : Titikberatkan pengleuaran, abaikan pekerja; tidak seimbang antara pekerja dan pengeluaran.
Gaya 5,5 : Jenis bertolak-ansur; tujuan seberapa banyak pengeluranayang boleh sambil tinggalkan pekerja bersukaria.
Gaya 9,9 : Dapatkan produktiviti yang tinggi melalui kesetiaan pekerja, menggunakan individu dan kumpulan untuk menjayakan pekerjaan. Gaya ini dianggap gaya yang paling baik.

Realiti dalam Organisasi

Walaupun semua mengakui bahawa semua sekolah menerima pakai peraturan dan undang-undang yang sama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri-Negeri, namun kebanyakan sekolah tidak serupa dalam melaksanakan peraturan, undang-undang dan kehendak-kehendak yang dihasratkan menerusi Pekeliling Ikhtisas misalnya yang dikeluarkan dari masa ke semasa.

Akibat dari keadaan ini maka wujudlah berbagai-bagai tingkah dan ragam yang dapat kita kenal pasti berlaku di sekolah-sekolah yang melambanakan budaya mediocrity dan sub-standard sama ada dari segi prestasi akademik, tahap pengurusan pejabat, pengurusan personel, disiplin, kebersihan dan keceriaan, penyelesaian masalah dan pengurusan konflik.

Kes 1. Seorang guru penolong menceritkan bahawa di sekolahnya disiplin guru dan iklim sekolah yang sangat tidak kondusif. Katanya, "Lebih 80% guru-guru datang lewat, Guru Besar pula datang pukul sepuluh. Ramai guru berborak di kantin sampai murid-murid jemput ke kelas. Mesyuarat guru pula sekali saja setahun kerana Guru Besar takut menghadapi guru-guru yang tidak puas hati dengan keadaan sekolah. Seorang GPK sering tidak hadir bertugas...kerja dia tidak buat, dan kokurikulum sampai sekarang belum berjalan."

Kes 2. Seorang guru penolong di sebuah sekolah berkata, "Saya tidak puas hati dengan cara GPK buat pencerapan pengajaran saya. Mana tidak, masuk kira-kira lima minit terus keluar kelas, dan top-top minta saya tandatangan borang pencerapan begitu sahaja. Perbincangan dua hala tentang pengajaran saya langsung tak ada. Mana jadi."

Kes 3. Seorang Ketua Panitia dan juga merupakan guru yang berpengalaman menyuarakan sikapnya di dalam mesyuarat guru apabila Guru Besar menyentuh prestasi penulisan Tahun Enam yang tidak memuaskan, dengan kata-kata, "Tuan Pengerusi, di sini kami tidak mementingkan pemeriksaan. Apa yang kami buat ialah membuat pemeriksaan secara rawak..."

Kes 4. Seorang GK1 mengadu kepada Guru Besar, "Cikgu, saya rasa tak puas hati tentang pembahagian waktu mengajar saya yang disusun oleh jawatankuasa jadual. Mereka ini tak patut buat saaya macam ini, sedangkan GPK-GPK yang lain kurang jumlah waktunya berbanding saya..."

Kes 5. Seorang GPK pernah berkata kepada salah seorang guru penolong yang menumpang keretanya, "Maaflah cikgu, tumpang kereta saya ni tak dapatlah nak cepat sebab saya datang awal pun tak guna kerana saya tak ada kerja nak buat..."

Kes 6. Seorang pesara guru mengadu katanya, "Tak patut betul tingkah-laku seorang guru di sekolah XYZ, adakah patut ada penjaga datang nak jumpa guru ini tapi dia tak berada dalam kelas. Rupanya balik ke rumah bertanak nasi...Saya pun hairan dengan Guru Besar dia."

Kes 7. Seorang guru penolong yang sangat berpengalaman tetapi sayang mengamalkan double standard terhadap layanan kepada murid-muridnya dengan cara mana-mana murid yang ibu bapanya orang-orang bernama, berpangkat, berkedudukan maka sempurnalah buku-buku latihan murid berkenaan diperiksanya lengkap dengan cop (bagi ibu bapa tanda tanga) pengesahan. Tapi sayang mana-mana murid yang ibu bapanya miskin, orang kampung atau golongan tidak berada, buku-buku murid-murid tersebut tidak diperiksa langsung!

Apakah maknanya semua 'kisah benar' di atas?

Tujuh kes yang diberikan di atas hanyalah secebis dari realiti apa yang berlaku sebenarnya terutama di dalam bilik-bilik darjah sekolah-sekolah kita. Mungkinkah hal-hal seumpama ini masih berlaku sampai sekarang? Hanya kitalah sebagai penjawat-penjawat awam yang diberi tugas dan tanggungjawab dan amanah mulia ini yang dapat memberikan jawapan kepada semua kebejatan profesionalisme ini.

Teori Hambatan

Woodcock dan Francis (1993) mengemukakan satu teori berhubung satu faktor yang menghalang potensi dan keluaran hasil daari satu "sistem" - umpamanya satu organisasi secara keseluruhan, satu pasukan kerja, atau pun individu.

Para pengurus mempunyai potensi untuk mengembangkan dan menyelaras kedayagunaan mereka, tetapi kerana banyak sebab, terdapat bidang-bidang yang kurang dikembangkan. Dan ini kita namakan sebagai "hambatan".

Teori ini menyatakan bahwa cara paling cepat untuk mencapai perkembangan diri (personal development) ialah dengan menyelidiki, memahami dan mengatasi hambatan yang menghalangi kejayaan seseorang dan pertumbuhan peribadi.

Kemampuan Pengurus yang Berkesan

Pengurusan yang berkesan menuntut ketrampilan dan kemampuan yang berikut;
• Kemampuan mengatur diri.
• Nilai-nilai peribadi yang sihat.
• Cita-cita peribadi yang jelas.
• Mengusahakan pertumbuhan peribadi terus-menerus.
• Ketrampilan menyelesaika masalah.
• Kemampuan unutk menjadi kreatif dan inovatif.
• Kemampuan yang tinggi untuk mempengaruhi orang lain.
• Pemahaman terhadap gaya pengurusan.
• Kemampuan menyelia.
• Kemampuan mendidik dan mengembangkan orang lain.
• Kemampuan membangun dan mengembangkan pasukan yang efektif.
Oleh itu seseorang yang ingin menjadi seorang pengurus yang berkesan haruslah mengenal pasti sebelas jenis hambatan yang menjejas keberkesanan dan ketrampilan diri, dan berusaha bagi mengatasinya secara penuh sedar-diri dan dengan will power yang tulen.

1. Ketidakmampuan Mengatur Diri
Pengurus yang tidak memanfaatkan waktu, tenaga, dan ketrampilan sebaik-baiknya, dan juga pengurus yang baik tidak mampu menghadapi tekanan, cabaran serta desakan tugas, tanggugjawab sebagai seorang pengurus (penolong kanan), dikatakan terhambat oleh ketidakmampuan mengatur diri sendiri.

2. Matlamat Peribadi yang Tidak jelas
Menentukan perjalanan hidup profesional dan peribadi dengan menilai keinginan dan pilihan ke atas semua kemungkinan, termasuk cita-cita (yang mustahil, atau tidak sesuai). Kerap kali kurang timbangkan alternatif, lalaikan pilihan penting sedangkan hal-hal kecil dan remeh menghabiskan waktu dan tenaga. Orang seperti ini sulit mencapai keberhasilan dan gagal memuji keberhasilan orang lain kerana terhambat oleh cita-cita peribadi yang tidak jelas.

3. Nilai-nilai Peribadi yang Tidak Jelas
Pengurus diharapkan mengambil keputusan berdasarkan nilai dan prinsip. Kalau nilai peribadinya tidak cukup jelas, tiada landasan yang kuat membuat penilaian, ia akan dipandang lemah. Nilai yang konsisten dengan konsep pengurusan kini menekankan pada dayakegunaan, menyedari potensi manusia dan dengan mengembangkan keterbukaan terhadap pembaharuan. Pengurus yang tidak jelas, tidak konsisten akan keyakinan dasar atau nilainya tidak sesuai lagi, terhambat oleh niali-nilai pribadi yang tidak jelas.

4. Perkembangan Peribadi yang Kerdil
Ramai pengurus mencapai perkembangan peribadi tapi ramai pula yang gagal bertindak mengatasi kelemahan mereka dan berusaha agar peribadinya berkembang. Cabaran selalu dihindari, kemampuan dibiarkan tidak berkembang, tiada lagi keghairahan yang wajar, dan kehidupan bekerja jadi hal rutin kerana risiko selalu dihindari dan lebih suka berasa aman, dan pengurus jenis ini terhambat oleh perkembangan peribadi yang kerdil

5. Kemampuan yang Tidak Memadai Untuk Menyelesaikan Masalah
Menyelesaikan persoalan (masalah) adalah sartu ketrampilan pengurusan yang utama. Banyak pengurus tidak dapat menyelasaikan pekerjaan secara berkaedah dan menjimatkan - sering menghadapi kesulitan memimpin mesyuarat, menentukan sasaran, menangani maklumat, merancang dan menilai. Oleh sebab permasalahan tidak diselesaikan dengan cepat dan tegas, permasalahan tersebut akan bertambah (semakin kusut) serta menganggu benak dan tindakan si pengurus, yang terhambat oleh kemampuan yang tidak memadai untuk menyelesaikan masalah.

6. Kreativiti Rendah
Pengurus yang rendah kreativitinya tentu akan lemah dalam memulakan gagasan, mengajak orang bekerja secara kreatif, serta melaksanakan pendekatan baru. Kreativiti tinggi menuntut kesediaan menghadapi kemunduran dan kegagalan secara konstruktif. Oleh itu pengurusan yang enggan melakukan percubaan, mengambil risiko, atau mengusahakan tindakan kreatif dalam menghadapi kegagalan terhambat oleh daya kreativiti yang rendah.

7. Wibawa Rendah
Pengurus harus selalu berwibawa terhadap orang lain yang tidak langsung bertanggungjawab padanya. Ramai pengurus tidak punya wibawa bagi meminta orang bersedia bekerjasama atau membantunya, dan kerana itu gagal menemukan sumber yang perlu untuk hasil yang baik. Pengurus yang tidak menunjukkan kemampuannya tidak akan melakukan hubungan dengan orang lain dan penampilan diri serta kemampuan mendengarnya lemah, pengurus ini terhambat sebab dia bersasa tidak disegani orang.

8. Tidak Memahami Pemahaman Pengurusan
Pengurus yang tidak fikir dan timbangkan akibat tindakan pengurusannya, tidak akan dapat hubungan yang bererti daripada orang lain. Pengurus yang tidak boleh meneliti pendekatan mereka, kemampuan untuk menjelaskan secara lioik pandangan pengurusannya rendah sekali. Ciri yang ditunjukkan ialah tidak banyak mencari maklumbalas, tidak mampu memberi dorongan kepada orang bawahan, untuk maju dalam kerja, dan sulit memberikan tugas. Pengurus yang tidak cukup memahami motivasi manusia dan gaya kepimimpinannya kuno, tidak sesuai, tidak manusiawi -- di terhambat oleh tidak adanya pemahaman pengurusan.

9. Kemampuan Penyeliaan yang Rendah
Pengurus berkesan menuntut banyak ketrampilan yang dapat digambarkan sebagai ketrampilan penyeliaan. Pembaziran waktu dan kaedah kerja yang tidak efektif membuat orang puas dan bekerja di bawah standard kualiti. Kecenderungan seperti ini ialah kerana tugas dan peranan tidak dirumuskan dengan baik, sistem kerja yang membazir, dan kelemahan hubungan. Seorang pengurus yang tidak memiliki ketrampilan praktis untuk mencapai hasil melalui usaha orang lain terhambat kerana ketrampilan penyeliaan yang rendah.

10.Kemampuan Melatih yang Rendah
Setiap pengurus juga berperanan sebagai jurulatih. Tanpa ketrampilan melatih, seorang pengurus tidak dapat mendorong orang lain mencapai standard yang dituntut dan tidak dapat membantu mereka mengembangkan diri. Pengurus yang tidak memiliki kemampuan membantu orang lain berkembang, terhambat oleh ketidakmampuan melatih.

11.Kurang Mampu Membina Pasukan
Untuk mencapai sasaran bersama, seorang pengurus harus berkejasama dengan orang lain. Kerana sikap stereotaip peranan pengurus, seseorang pengurus mungkin tidak berbuat apa pun untuk mendorong kelompok atau anggota kelompok untuk berkembang. Dan jika ia tidak mampu mengembangkan orang menjadi satu pasukan yang kuat - mesyuarat yang biasanya sulit, tidak berfaedah, tidak tercipta suasana positif atau prosedur kerja berkesan, - kerana pengurus tersebut terhambat oleh ketidakmampuan membina pasukan.

Perilaku dan Integriti Diri

Mailah kita renungkan keadaan perilaku profesional dan integriti diri kita masing-masing selaku penolong-penolong kanan ketika bertugas dan berinteraksi dengan rakan sejawat dan anak didik kita sehari-hari. Adakah ciri-ciri kepemimpinan dan ketrampilan diri cukup terbukti atau masih banyak yang perlu dipelajari dan dipertingkatkan?

Max De Pree menyatakan. "The first job of a leader is to define reality." Blaine Lee mengungkapkan integriti sebagai, "Integrity means we are commited to matching words, feelings, thoughts, and actions so that we live with congruence and without duplicity."

Amatlah pentingnya kita menyedari realiti dan perilaku kita dalam konteks penyempurnaan tugas dan haruslah berani mengakui sebarang kelemahan yang wujud di samping berusaha memperbaiki diri, dan antara beberapa soalan yang patut kita jawab;

1. Sudah cukup mampukah kita sebagai penolong-penolong kanan (pembantu pengurus kepada Guru Besar) berdasarkan aspek-aspek kemampuan sebagai pengurus yang berkesan di atas?
2. Jika belum, sedarkah kita aspek-aspek mana yang merupakan hambatan-hambatan kepada perkembangan diri untuk menjadi penolong-penolong kanan yang berkesan?
3. Adakah kita sudah cukup jelas dan benar-benar faham betapa besar dan beratnya memikul tugas dan tanggungjawab penolong-penolong kanan dari segi amanah, akauntabilti, ketekalan dan ketrampilan melaksanakan tugas-tugas kita sendiri (bukan serah pada orang lain) serta menunjukkan contoh teladan yang terbaik dan unggul bagi membantu dan mengembangkan potensi guru-guru di bawah kita?

Prinsip-prinsip Membina Ketrampilan Dan Kewibawaan

Sebenarnya tidak ada sesiapa pun yang terlewat untuk belajr, dan belajar, dan belajar, dan dengan kemajuan teknologi maklumat hari ini semua sumber pengetahuan berada di hujung jari sahaja. Cuma yang perlu ada ialah kesedaran diri (tak cukup ilmu), kehendak (desire), dan sikap "do it now."

1. DIRFT (Do It Right First Time)
2. Kaizen (Penambahbaikan berterusan)
3. Usaha Pencegahan (Prevention Is Better Than Cure)
4. Kepastian Kualiti (Tiada Istilah No.2)
5. Tanpa Cacat (Tak Main Barang Reject)
6. Total Involvement (Tak Ada Orang Yang Terkecuali)
7. Walk Your Talk (Cakap Serupa Bikin)
8. First Things First (Perkara Pertama Didahulukan)
9. Proaktif (Bukan Tunggu dan Lihat)
10.Fikir Menang/Menang (Abundance Mentality)
11.Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai.

Oleh itu marilah kita mengubah 'skrip hidup' kita kepada satu skrip yang baru, belajar meningkatkan kemahiran interpersonal kita, kemahiran komunikasi dan ketrampilan menyelesaikan masalah yang merupakan ciri-ciri dan kemahiran tinggi yang diperlukan bagi memperoleh integriti dan martabat diri peribadi dan organisasi yang kita dukungi.

Penutup

Hanya satu perlu kita ingat bahawa janganlah sikap menganggap diri sudah amat mengetahui segalanya maka kita 'terhambat' daripada belajar untuk pengembangan diri. Epictetus berkata, "It is impossible for anyone to begin to learn what he believes he already knows." Untuk itu kita perlu menilai semul perhatian dan sikap kita selama ini seperti kata Philip Cosby dalam bukunya Quality Without Tears; "Lack of attention must be corrected by the person himsef, through an acute reappraisal of his or her moral values. Lack of attention is an attitude problem. The person who commits himself or herself to each detail and carefully avoid error take the giant step toward setting a goal of Zero Defects in all things."

Sebagai kumpulan yang dijangkakan dapat memimpin, menunjuk arah dan menjadi teladan kepada semua warga sekolah, penolong-penolong kanan perlu sedar mereka harus sanggup dan dapat memahami cabaran-cabaran dunia pendidikan di abad ke-21 di mana perkembangan dan pembangunan diri insan anak didik kita bukan lagi kemahiran-kemahiran asas semat-mata, tetapi penguasaan pengetahuan, sikap dan kemahiran-kemahiran yang dapat membantu mereka bersaing dan berjaya melalui pengembangan dan pembangunan pelbagai kecerdasan (multiple intelligence).

Hanya dengan kesedaran diri yang tinggi sahaja kita bersama-sama mewujudkan sebuah sekolah yang berkesan melalui ketrampilan dan kepemimpinan kita dalam pengurusan yang berkualiti, mencapai objektif serta menunaikan mission statement kita, dan akhirnya merealisasikan visi (vision) yang kita kongsi bersama seperti kata Naisbitt, "Strategic plans are worthless unless there is first strategic vision." Dan nama kita akan terpahat sebagai seorang guru yang unggul dan berjasa, walaupun kita tidak diisytihar sebagai seorang 'Tokoh Guru'.ٱ


Rujukan

John Arul Philips Ph.D. (1997) Pelbagai Kecerdasan: Kewujudan Sistem Penaksiran yang Lebih Saksama dan Menyeluruh dalam Mengenal Pasti Kebolehan Intelek dan Potensi Pelajar Sekolah. Jurnal Suara Pendidik, Persatuan Pendidikan Malaysia Jilid 19 No.1 m.s. 55-65. ITM Shah Alam, Selangor D. E.

____________________ (1997) Kursus Induksi Umum Untuk Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Malaysia,. Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Kuala Lumpur.

Parkinson, C.Northcote & Rustomji, M.K. (1986). Understanding Management. Federal Publications, Kuala Lumpur.

Parkinson, C. Northcote & Rustomji, M.K. (1992). Kenyataan Dalam Pengurusan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Parkinson, C.Northcote & Rustomji, M.K. (1992). Pengurus yang Baik. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Woodcock, Mike & Francis, Dave (1993). Pengurus Tanpa Hambatan - Suatu Panduan Praktis Bagi Kemajuan Diri. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

esei : memperkasa guru 2

Memperkasa Guru Sebenar Guru
Dalam
Membangun Diri Menunaikan Amanah
Guru Mengajar Murid Belajar

Pendahuluan

"Profesionalisme" (bagi Eric Hoyle,1980) adalah sikap dan tindakan yang menyentuh
aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat
kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
Semuanya adalah hal-hal yang selalu dihubungkaitkan dengan perjuangan kesatuan
sekerja.

"Profesionaliti" pula ialah sikap dan tingkah-laku yang ditunjukkan oleh seseorang
terhadap "profesionnya" serta taraf pengetahuan dan ketrampilan dalam bidang
pekerjaan itu.


Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya
dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan
mempunyai "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu melihat perguruan
dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaaan" tetapi sebagai satu "profesion"
(Omar Hashim,1993).

Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid:

1. punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
3. kenal, hormati dan percayai murid-murid
4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
6. menggalakkan murid-muird bertanyakan soalan mengenai pelajaran
7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

Terhadap Mengajar:

1. melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
2. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
3. adil dalam menilai dan menggred
4. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
5. bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
6. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
7. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
8. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
9. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
10. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

Terhadap Disiplin:

1. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
2. seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
3. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
4. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
5. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
6. bina dan mengekalkan perhubungan profesional
7. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas

Secara Peribadinya:

1. tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi
2. berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.


Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"

Apa yang "unggul" itu?
Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek i) Diri Peribadi 2) Organisasi 3) Iklim dan
Budaya Kerja.
1. Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi); suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.
2. Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-massing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.
3. Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.

Tetapi "realitinya" bagaimana?

1. Aspek peribadi: bersikap yang tidak sesuai dan tidak cerminkan seorang (atau guru-
guru) yang sejati dengan tingkah-laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri dan
organisasi; datang lewat, lambat masuk kelas mengajar, atau kalau masuk tidak
mengajar, atau masuk sekejap kemudian tinggalkan murid buat kerja sendiri, suka
buang masa (berborak dan bersembang semasa bertugas), buat sibuk pada masa dia
tidak sibuk; semuanya ini jadi amalan dan tak rasa malu apatah lagi rasa berdosa.
Pengetahuan dan kemahiran yang tidak berkembang; walau dah lama menjadi guru
tetapi kerja masih comot, kabur, salah sana salah sini, tak faham format dan
kandungan, sangat lewat siapkan laporan data dan maklumat (termasuk analisis dan
diagnosis) dan masih tak pandai buat minit mesyuarat atau belum faham-faham bezakan
antara laporan dan minit; dokumen murid sering tidak kemaskini; buku-buku latihan
murid sangat lama tidak diperiksa; dan paling buruk sikap bodoh sombong, besar diri
dan sangka diri paling betul hingga kerja wajib sebagai seorang guru ditinggalkan dan
melebihkan kerja-kerja lain yang bukan wajib (direct selling dan seumpamanya);
bagaimana kita hendak jadi Guru Sebenar Guru?


2. Aspek Organisasi pula kenyataannya datangnya daripada sikap dan perlakuan para
ahlinya; sering wujud senario nafsu-nafsi (tidak landaskan prinsip dan peraturan)
akhirnya terbentuk organisasi yang kalut, caca-marba, ikut suka; hingga berlarutan
bertahun-tahun maka wujudlah beberapa status organisasi seperti: i) Organisasi
Bermasalah, ii) Organisasi Terbiar, iii) Organisasi Berpenyakit, iv) Organisasi
Bebas-Cukai dan v) Organisasi Mentaliti "Mengajar sebagai Kerja Bodoh."

3. Aspek Iklim dan Budaya Kerja: Relitinya iklim yang gambarkan "budaya organisasi" yang
sentiasa di bawah standard dan jangkaan semua pelanggan dalaman dan luaran atau
tidak memenuhi aspirasi masyarakat dan negara. Maka terdengarlah segala macam
rungutan, komen dan kritikan daripada rakyat jelata di desa sampailah kepada Perdana
Menteri yang memerintah negara; antarnya seperti "Kita tidak serius sebagai Guru Besar...";
"..sekolah kebangsaan tidak menarik dan kurang berdisiplin.'; "3M tidak berkesan di sekolah
kebangsaan berbanding SJK Cina."; "Sebanyak 1,919 buah sekolah dikenalpasti sebagai sekolah
prestasi rendah (SPR) kerana pencapaian bawah 30% kelulusan UPSR (1999)"; " Pelajar-
pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi...."; adalah fakta
dan faktor yang mesti kita terima dan akui bagi membanteras dan memperbaikinya
melalui ruang yang luas di mana kita bebas membuat pilihan...yakni pilihan perjuangan
menghapuskan kealpaan, kelederan, kelewatan, ketidakakuran, kelemahan dan
kehinaan akibat dari kebejatan profesioanlisme.

Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan

Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan
apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita
berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan
mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu
kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah
saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang
lain.

Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka
kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita
dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas
segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan
seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri.

Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba,
fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-
baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan
mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita. Pendeknya inilah yang
dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti
melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga
menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah
menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu

Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih;
buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita
sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri
profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang
profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita
menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa
dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.


Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"

Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar"
dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi
kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah
membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita
sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.

Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi
guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang
membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan
bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya
ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat
mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar
jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah
menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa
muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat
menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping
berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

Guru Sebenar Guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi
seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada
menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara'
atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri
'orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan
dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa
bertangguh.

Penutup

Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada
mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu
tadbir, pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai
'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita
dakwa bahawa kita tidak tahu mengenainya.

Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit
pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan
masa sebaik mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat
memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak
Kementerian Pendidikan jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu
dan layu?"ٱ



Rujukan

Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


William E. Schneider, Ph.D., (1998). Why Good Managements Ideas Fail
- Understanding Your Corporate Culture. Paradigm Shift International USA.


___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

esei : memperkasa guru 1

MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU

Pendahuluan
Mempersiapkan generasi pelajar hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara,.
Usaha terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan mulai tahun 2001 adalah manifestasi dan bukti kepada komitmen bagi menggerakkan semua pihak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan ilmu, sekali gus memartabatkan pendidikan yang bertaraf dunia.
Oleh kerana sifat sesuatu yang baru itu sering dipandang serong dan diragui, maka begitu juga persepsi sebahagian golongan pendidikan dan pentadbir pendidikan sehinggakan wujud semacam 'desakan' bagi mempermudahkan dan pengubahsuaian kepada instrumen Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini, adalah suatu sikap yang kurang wajar dalam konteks kita hendak memartabatkan pendidikan dan profesion keguruan.
Bagaimana Fenomena Pendidikan dan Pengurusan Sekolah masa kini?
Menurut Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Jemaah Nazir Sekolah (2001) menyebut bahawa; "Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewuibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan negara-bangsa dan global," (hlm.24).
Fenomena lain ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati kelesuan proses pendidikan ini ada kaitan secara sebab-akibat dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti pengendalian perjawatan, gaji dan bangunan.
Oleh itu kesempurnaan yang menonjol di sekolah bukan pada pelakuan manusianya tetapi pada hal-hal kebendaan, maka terhasillah keluaran sekolah yang berkembang di tahap persepsi atau tanggapan fenomena luaran sahaja sehingga kurang upaya menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional dan membangun.
Fenomena "Low Performing Schools"?
Salah satu kayu ukur bagi menentukan sesebuah sekolah itu baik, maju, meningkat dan membangun hingga ke tahap cemerlang (atau sebaliknya) adalah menerusi pencapaian peperiksaan. Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolh Rendah (UPSR) tahun 1999, sejumlah 1,919 buah sekolah rendah telah dikenalpasti sebagai "sekolah prestasi rendah" yakni sekolah-sekolah yang pencapaian peratus kelulusannya di bawah 30%
Dalam hubungan penarafan sekolah di bawah Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini pula pihak Jemaah Nazir Sekolah telah mendapati bahawa penilaian keseluruhan sekolah-sekolah setakat ini berada pada tahap tiga iaitu lemah dalam indeks komposit tahap sekolah dengan skor antara 30 hingga 49 peratus.
Kemudian kita didedahkan pula dengn dapatan hasil kajian sepasukan penyelidik Universiti Malaya terhadap "keberkesnan 3M" di antara sekolah-sekolah kebangsaan dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina khasnya, yang juga sekali lagi menampakkan "kelemahan dan ketidakberkesanan" yang ketara sekali berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan kita.
Lama sebelum ini pun YAB Perdana Menteri Dato' Seri Doktor Mahathir Mohamad pernah "menyelar" sikap "tidak serius" yang terdapat di kalangan segelintir Guru Besar di sekolah-sekolah kebangsaan dan senario negatif dan "kurang menarik" yang wujud dan berlaku di sekolah-sekolah ini. Apakah tidak ada kaitannya apabila kita memperkatakan prestasi dan kualiti pendidikan ini dengan masalah dan dilema yang dihadapi seperti isu-isu kegagalan memenuhi kuota 55% kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke IPTA kerana pencapaian yang rendah di dalam peperiksaan SPM dan STPM?
Rumusan kajian-kajian ini menyatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi. Untuk mengatasinya kita perlu berpatah balik jauh ke belakang. Usaha membentuk pelajar-pelajar Melayu yang berdaya saing perlu bermula di peringkat sekolah kebangsaan (Isahak Haron, 2001). Nah begitu lantang sekali seruan ini dan sudah sewajarnya disambut bukan sahaja dengan semangat ingin menebus maruah malah memartabatkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak Melayu. Maka inilah yang hendak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Ke Arah Pembaharuan Tema dan Sistem Pendidikan
Seperti yang diketahui abad ke-21 adalah era maklumat maka amatlah perlu kita dapat "melihat jauh ke depan" dalam konteks Wawasan 2020 dan perubahan-perubahan yang dibawa oleh era cyberspace, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab (Wan Liz Ozman Wan Omar, 2000).
Pembaharuan perlukan perubahan. Perubahan yang sangat utama dan penting ialah perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu berfungsi dan bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' perlu menjadi amal budaya setiap pelajar menguasai 'belajar cara belajar' (UNESCO, 1995) dari segi:
• Belajar untuk mengetahui (Learning to Know)
• Belajar untk membuat (Learning to Do)
• Belajar untuk menjadi insan sempurna (Learning to Be)
• Belajar untuk hidup bersama (Learning to Live Together)
Noor Azman Ibrahim (1998) menyenaraikan enam tema penting sistem pendidikan abad ke -21 dengan pembelajaran cara baru di mana pembelajaran tidak lagi merupakan satu proses yang dikendalikan oleh institusi pendidikan (Tapscott, 1996) Enam tema tersebut adalah:
• Tema 1 : Pekerjaan dan pembelajaran makin menjadi perkara yang sama.
• Tema 2 : Pembelajaran makin menjadi cabaran seumur hidup.
• Tema 3 : Pembelajaran beranjak dari sekolah dan universiti formal.
• Tema 4: Beberapa institusi pendidikan bekerja keras ke arah kesesuaian dengan
• perubahan.
• Tema 5 : Kesedaran organisasi diperlukan untuk mewujudkan organisasi pembelajaran (learning organization).
• Tema 6 : Media baru boleh mengubah pendidikan dengan mewujudkan infostruktur bekerja belajar.

Kewibawaan yang Dipersoalkan

Apakah ertinya apabila Tapscott (1996) menyatakan bahawa pembelajaran tidak lagi dikendalikan oleh institusi pendidikan awam (sahaja)? Di Amerika Syarikat murid-muird yang belajar di rumah (home schooling) semakin meningkat dari tahun ke tahun; merupakan fenomena baru sejak beberapa dekad lalu sebagai manifestasi kepada 'ketidakpercayaan' ibu bapa dan orang awam terhadap mutu dan prestasi pendidikan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam.

Patricia M. Lings (1999) melaporkan sesi persekolahan tahun 1990-1991 terdapat 250,000 hingga 350,000 orang; sesi tahun 1995-1996 pula seramai 700,000 hingga 750,0000 orang kanak-kanak yang mengikuti homeschooling ini, dan manakala bagi sesei 1997-1998 telah mencecah seramai 1,000,000 orang kanak-kanak menyertai kaedah dan pendekatan belajar di rumah ini.

Salah satu daripada rtiga sebab mengapa berkembangnya konsep belajar di rumah (homeschooling) ini menurut Erica Clery (1998), ialah wujudnya kebimbangan berlakunya 'kerosakan' mental, fizikal dan spiritual ke atas kanak-kanak yang belajar di sekolah-sekolah di bawah tadbiran dan seliaan kerajaan. Tidakkah 'bunga-bunga' kepada senario yang sama akan berlaku suatu hari nanti di negara kita sendiri, apatah lagi setelah mencapai status negara maju seperti yang diwawaskan? Tidakkah juga 'gejala-gejala kerosakan' ini sudah pun wujud dan berlaku dan saban tahun ianya semakin parah dan berdarah sehingga sistem pendidikan kita didakwa 'sudah ketinggalan zaman' oleh kesatuan perguruan kebangsaan Malaysia?

Dengan yang demikian kita selaku guru-guru perlulah menyedari, memahami, dan menghayati betapa konsep penambahbaikan yang berterusan itu perlu dilaksanakan tanpa garis penamat sebagaimana gagasan yang dibawa menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.

Memperkasa Diri

Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Maka itulah sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi latihan-latihan tertentu bagi memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan potensi dan bakatnya. Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program pembangunan profesional ini sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun pengalaman sebenar di tempat kerja sudah barang tentu membolehkan atau mengupayakan guru-guru bertindak atau berpelakuan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya.
Menjadi guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya. Oleh itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dasn mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan berkesan.
Eilane (2000) ytelah mengenalpasti beberapa ciri seseorang guru yang amat berkesan (highly effective) yang dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:
• Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan.
• Ciri mengajar yang memberikan hasil.
• Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan faham-kendiri.
1. Ciri Peribadi: seorang yang 'bermatlamat' (mission-driven) dan juga seorang yang 'asyik' dalam pekerjaannya. Kedua , ianya bersikap positif dan 'real' yakni yakin dalam apa pun yang dilakukan di samping sabar menerima 'kenyataan' biar pun pahit untuk ditelan. Ketiganya ia merupakan seorang 'guru-pemimpin'; di samping mengajar ia juga membimbing dan menunjuk ajar bukan sahaja anak didik malah rakan sejawat dan siapa sahaja.
2. Ciri Mengajar: seorang yang memiliki dan sentiasa menerapkan aspek 'dengannya' ("with-it-ness") dalam apa jua yang dibuat atau apa jua yang murid-muridnya mesti buat. Ia juga mempunyai stail yang tersendiri, sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya, peraturan dan undang-undang. Ianya juga memiliki kepakaran memotivasi serta kebekesanan dalam pengajaran dan pembelajaran.
3. Ciri Intelektual: seorang yang suka 'membaca buku', dan mempunyai 'mental life' yang segar, berkembang dan bersifat 'berpenyugnguhan kendiri' (self-actualization) dengan minda yang sihat dan terbuka, melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh (banyak) di samping melihat, menganalisis, mensintisis dan menilai satu di dalam yang banyak.
Memperkasa dengan Penilaian dan Berpusatkan Prinsip
Guru sering menilai anak didiknya tetapi pernahkah kita menilai diri sendiri? Sedarkah kita sebagai guru yang kerjanya 'mengajar sepanjang hayat' (sebelum bersara wajib) kita telah tidak cukup melakukan satu perkara sepenting ini? Kalau begitu bagaimana kita tahu dan boleh meningkatkan tahap profesionalisme kita?
L. Dee Fink (1999), dalam satu artikelnya "Evaluating Your Own Teaching" menyebut:
" Assuming that no one is perfect and therefore everyone has room for
improvement, evaluation is the means by which ewe try to identify which
aspects of our teaching are good and which need to be changed. The
question then arises as two who should take responsibility for doing this
evaluation. My believe is that evaluation is an inherent part of good teaching.
Therefore it is the teacher himself or herself who should take primary
responsibility for doing the evaluation."

"To improve is to change. And to be perfect is to change often", demikian ujar Winston Churchill. Jadi titik tolak bagi melakukan perubahan, dan kemudian mencapai kemahiran dan kesempurnaan memakan masa dan dayausaha. Bagi mencapai perubahan yang berjaya dan berkesan perlukan seseorang itu bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran baru malah sering pula memerlukan kita belajar semula sesuatu konsep, kaedah dan teknik yang mungkin kini sudah usang. Tidak ada orang yang tidak boleh melakukan aspek belajar semula ini kecuali seseorang itu sudah merasa dirinya sudah lengkap segala-galanya seperti kata Epictetus (55-135 M); "It is impossible for anyone to begin to learn what he believes he already knows." Pengalaman berserta beraneka kemahiran yang dititipkan oleh guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran umpamanya bermaksud melalukan perubahan sikap, seterusnya mengubah pemikiran dan paradigma sehingga terciptalah tangkah-laku yang dihasratkan itu tercapai. Menurut Dee Fink lagi penilaian bagi menghasilkan perubahan ke arah peningkatan profesionalisme individu seseorang guru itu amat besar faedahnya berdasarkan tiga sebab.
1. Pertama, tanpa mengambil kira bagaimana baik atau buruk kita sebagai guru-guru, kita semua mempunyai potensi, menjadi lebih baik lama-kelamaan. Sementara sebahagian guru-guru bertambah baik dan hampir menemui potensi mereka, sayang sebahagian yang lainnya mengalami peningkatan yang kecil sahaja sewaktu peringkat awal kerjaya dan kemudiannya seolah-olah 'mendatar' kualitinya malah kadang-kadang 'merosot'. Kenapa? Natijahnya terdapat perbezaan pokok di antara mereka yang berjaya dengan mereka yang gagal meningkat, adalah disebabkan golongan pertama itu mengumpul maklumat mengenai pengajaran mereka dan mengambil daya usaha bagi penambahbaikan sesetengah aspek daripadanya - setiap kali mereka mengajar.
2. Sebab kedua mengapa perlunya membuat penilaian adalah bagi mendokumentasikan kualiti seseorang bagi rujukan pihak lain, yang perlu mengetahui track record seseorang sepanjang kerjayanya. Satu cara sahaja guru-guru boleh membekalkan maklumat seumpama ini iaitu dengan cara mengumpulnya, dan inilah penilaian. Dengan kaedah ini juga dapat membantu seseorang guru itu memahami keberkesanan pengajarannya dengan lebih baik lagi.
3. Sebab ketiga pula merupakan satu keperluan yang bersifat peribadi dan keinginan manusia untuk menilai. Hal ini adalah bagi kepuasan mental dan psikologikal diri sendiri. Melakukan sesuatu kerja dengan baik adalah satu perkara; manakala satu perkara lagi dengan memiliki maklumat yang padu, kita tahu kita telah melakukan kerja dengan baik. Pengetahuan dan kepastian ini hanya mungkin jika kita membuat penilaian yang rapi dan telus.
Antara "Powerful" atau "Powerless"
Selepas kita melakukan penilaian baharulah kita tahu status atau kedudukan tahap dan taraf ketrampilan kita selaku guru yang bagaimana; cergas dan cerdas; pantas dan tangkas; cekal dan tabah; mengurus masa atau membuang masa? Kemudian baru kita boleh "memilih" ada untuk menjadi guru yang "powerful" atau "powerless". Tentulah bagi menjadi seorang guru yang perkasa kita mestilah seorang yang "powerful" bukan sebaliknya. Jadi pilihan di tangan kita.
Perasaan dan perlakuan "tidak berdaya" ("powerless") boleh berlaku daripada sekecil-kecil insiden atau peristiwa sehingga kepada masalah atau perkara yang besar. Jika kita gagal mengatsasi atau membiarkan keadaan "tidak berdaya" ini kita akan menjadi lebih tidak berdaya saing, lemah jiwa dan raga, lemah mental dan spiritual akhirnya kita melihat dunia dan kehidupan tidak memberi erti apa-apa, selanjutanya kita kecewa dan sengsara serta merintih nasib dan takdir. Apa yang kita buat apabila kita memilih menjadi seorang yang "powerless" ialah; tak kisah, tunggu, lengah atau lewatkan, tidak ambil tindakan atau "buat de' "sahaja, hampa, jadi tidak peduli, abaikan dan jadi seorang yang acuh tak acuh.
Kemudian apa pula yang kita dapat bila kita merasa "powerless"; status quo, hubungan yang Kalah/Menang (Lose/Win), tidak dijangka/hasil yang tidak diketahui, ketidakpastian, hasrat dan angan-angan (fantasi), dan merosot keupayaan seterusnya prestasi jadi rendah.
Jadilah Seorang Yang Powerful
Jelas menjadi seorang yang "powerless" tidak menjanjikan sebarang kebaikan dan faedah sama ada dari segi peribadi, kumpulan, kelompok atau pun organisasi dan kerjaya yang kita ceburi. Tentulah kita memilih untuk menjadi "powerful" dan berjaya dalam semua bidang dan aspek kehidupan berkeluarga, sosial dan kerjaya dan dapat menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara menerusi tugas mendidik yang kita hayati ini.
Dalam menajdi "powerful" kita perlu kenal tiga "kuasa" yang masing-masing ada baik dan buruknya iatu i) kuasa paksaan, ii) kuasa utiliti dan iii) kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered).
Fokus kita ialah kepada kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered power) bagi mencapai hasrat menjadi guru yang perkasa; guru sebenar guru -- ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu! Kuasa berpusatkan prinsip adaah berasaskan apa yang anda boleh buat dengan orang-orang lain. Kuasa berpusatkan prinsip juga ertinya berasaskan 'hormat': individu yang dihormati akan dipercayai, disegani dan menjadi inspirasi kepada orang-orang lain, dan oleh itu kepemimpinannya diterima sepenuh hati. Oleh itu guuu-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan menjurus kepada kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika dan kehidupan yang proaktif (Blaine Lee, 1997).
Salah satu prinsip penting dalam mengurus diri dan organisasi ialah prinsip samarata atau adil (kepada orang lain dan kepada diri). Oleh itu satu keperluan yang mesti ada ialah keberanian menghadapinya, serta kemampuan dan keupayaan membuat teguran dan ulasan bagi membetulkan mana-mana individu yang tersasar dari landasan dan terkeluar dari tujuan dan matlamat organisasi. Di sini prinsip 'Bukan Kepada Siapa Betul Tetapi Kepada Apa Yang Betul' hendaklah menjadi pegangan. Intipati kepada prinsip ini ialah apa yang betul atau apa yang tidak betul bukan berdasarkan seseorang itu ketua (boss) atau penngikut (subordinate), tetapi kepada apakah persoalannya, apakah kesan atau implikasinya, atau apakah tafsiran dari segi falsah, peraturan, dan objektivitinya, di mana matlamat akhirnya semua orang akan buat perkara yang betul dan tidak dipertikaikan lagi.
Kesan dan Hasil Kuasa Berpusatkan Prinsip
Guru-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan memberi pengaruh kepada berlakunya transformasi budaya belajar dan mengajar yang hebat. Transformasi ialah perubahan, yakni perubahan yang disebabkan wujudnya perhubungan di mana 'hormat' menjadi asasnya. Manusia tidak setia kepada logo -- mereka setia kepad orang lain (pemimpin berprinsip). Blaine Lee (1997) dalam bukunya The Power Principle: Influence With Honour menyenaraikan empat kesan yang terhasil daripada kuasa berpusatkan prinsip ini sebagaimana berikut:
1. Kuasa berkekalan : Apabila kesan dan pengaruh orang perkasa ini tetap bersama atau di alam diri walaupun orang itu sudah tiada di dunia ini. Ertinya pengaruh orang yang perkasa ini meninggalkan kesan yang bukan sedikit malah berterusan sehingga pengaruh ini di 'turunkan' pula keapada generasi seterusnya. Tidak seperti kesan daripada kuasa paksaan yang cuma berkesan selagi orang takut. Juga tidak seperti kesan kuasa utiliti, ia datang dan ia pergi dan sangat bersifat sementara. Tetapi kuasa berpusatkan prinsip mewujudkan perhubungan yang berkekalan -- ia tidak terhenti bila pengurusan baru mengambil alih, tidak juga menjadi ketinggalan zaman bila muncul sesuatu yang baru.
2. Tingkah-laku Proaktif : Kuasa berpusatkan prinsip menggalakkan tingkah-laku proaktif yang membina dan membawa perhubungan yang bukan bersifat situasional tetapi transformasional yang bererti kita membuat pilihan kepada mana yang lebih penting dan mana yang lebih bernilai dan berharga. Tingkah-laku proaktif melahirkan tingkah-laku yang dihormati: tak perlu penyeliaan, tak perlu mandur. Guru-guru yang bertingkah-laku proaktif dalam konteks ini sebenarnya memiliki standard dalaman yang lebih tiggi daripada apa yang diletakkan kepadanya. Ia tidak memikirkan untuk buat perkara lain, kerana bertentangan dengan jiwanya. Jika tingkah-lakunya merosot ke bawah paras yang ditentukan (standard), guru yang proaktif ini mampu 'membetulkan dirinya'. Falsafahnya "Saya boleh buat lebih baik. Saya boleh jadi lebih baik."
3. Kawalan-kendiri : Ini bukan lagi kuasa yang datang dari luar. Kuasa berpusatkan prinsip fokusnya ke dalam diri. Ianya bergantung kepada keupayaan dalaman masing-masing bagi lebih tabah, lebih giat, lebih bersungguh-sungguh bila mengesampingkan apa yang mereka mahu berbanding apa yang lebih besar dan mustahak. Ini akhirnya membuatkan seseorang itu sanggup berkorban; iaitu melupakan apa yang kita hendak sekarang kerana hendakkan perkara-perkara yang lebih mendesak.
4. Membina Kesaling-bergantungan : Dalam kehidupan manusia tidak boleh hidup dan bekerja seorang diri, tidak kira sekaya mana atau selemah atau semiskin mana sekalipun, apatah lagi di dalam organisasi dan institusi zaman sekarang. Menerusi kuasa paksaan kita memupuk dan menggalakkan pelbagai jenis kebergantungan, manakala dalam kuasa utiliti ianya memupuk dan menggalakkan kebebasan -- kebebasan untuk memilih seperti kita boleh memilih untuk bersatu atau kita memilih untuk berpisah. Oleh itu kesaling-bergantungan adalah kesan daripada kuasa berpusatkan prinsip: yang boleh menjawab soalan, "Apa yang boleh dan apa yang akan jadi bila kita bersatu?" Kesaling-bergantungan juga melahirkan sinergi daripada seluruh individu agar matlamat dan objektif institusi dan organisasi tercapai dengan cemerlang dan gemilang.

Aspek-aspek yang kita buat daripada budaya berpusatkan prinsip ini adalah: meyakinkan; jadi sabar; jadi penyantun; mengajar; menerima; baik hati; menyayangi; belajar; berdisiplin; jadi istiqamah dan hidup dengan keutuhan.

Ini pula kesan atau hasil yang kita dapat dengan budaya berpusatkan prinsip: rakan dan perkongsian, transformasi yang bertimbal balik, sinergi, risiko yang diambil kira, pertambahan keupayaan, kawalan dalaman yang positif, kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika, hubungan yang saling bergantung, proaktiviti, kepercayaan, penyelesaian secara Menang/Menang (Win/Win), persetujuan rakan-kongsi dn kepuasan mendalam hubungan jangka-panjang.

Siapa Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu?

Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru-guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka (Wan Liz Ozman, 2000). Jadi menyediakan diri menjadi guru yang perkasa perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang itu guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi Kualiti Pendidikan hari ini.]

Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya. Guru ynag perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya.

Prinsip utamanya seorang guru yang perkasa mesti faham bahwa tugas 'mengajar dan mendidik serta meneladan' adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad (menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan) dan kerja mengajar pula (tanpa sebarang muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:
• Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
• Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
• Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
• Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
• Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran
Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi.

Penutup

Tugas murni lagi mulia kita sebagai guru seharusnya jangan dicemari dengan gejala-gejala buruk yang merosakkan sehingga kelemahan, kemunduran dan kegagalan pendidikan yang kita pikul hari ini dari segi menyediakan pengalaman-pengalaman berguna bagi kegunaan masa hadapan anak-anak didik kita nanti, akan menyebabkan adanya individu yang ingin maju tetapi hanya berlegar sekitar mediocrity, dan tidak pun berupaya menggunakan peranan mereka untuk citarasanya apatah lagi memenuhi citarasa bangsa dan negaranya. Kegagalan ini juga nanti menghasilkan individu yang menjalankan sekerja separuh hati, atau sekadar makan gaji (Jemaah Nazir, 2000).
Oleh itu selaku guru-guru kita sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu juga amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak buat akan mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana guru yahg dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan segelintir murid yang lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru yang tidak lesu tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak membezakan murid atau kelas yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang cerdas.
Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap dan perbuatan kita, kita sangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah kita sahaja; malah kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu ammarah kita sehingga kita tidak mampu lagi mengenal atau membezakan mana kaca mana intan, mana emas sepuluh mana emas sepuh.
Kita harus berani dan secara gentleman mengakui bahawa apa jua kelemahan dan kebejatan profesionalisme yang wujud dan berlaku di sekolah kita masing-masing (apatah lagi jika kita peneraju atau primadonanya) sehingga senario dan fenomena yang terpancar di kava TV atau di dada-dada akhbar masalah-masalah sosial yan berkaitan dengan sistem pendidikan negara mendesak agar usaha pihak institusi pendidikan perlu diletakkan pada landasan yang lebih efisien lagi. Dan kita tidak mungkin menjadi efisien jika kita bukan seorang guru yang perkasa; jika kita seorang guru yang "powerless"; jika kita seorang guru yang tidak ada prinsip; jika kita seorang yang buta mata hati; jika kita seorang guru yang tahu tapi tidak mahu; atau jika kita seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya. Setiap dari kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang perkasa: ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu jika kita menghayati sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya;
"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam;
dia adalah orang yang beruntung.
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,
dia adalah orang yang rugi.
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T." ٱ


Rujukan

Lee, Blaine (1997). The Power Principle: Influence With Honor. Simon & Schuster, New York, USA.

Elaine, McEwan (1998-2001). Ten Traits of Highly Effective Teachers, McEwan-Adwin Groups. http://www.elainemcewan.com/ten_traits_teachers.htm 30.09.2001

Clery, E.(1998). Home Schooling : The Meaning That The Homeschooled Child Assigns to This Experience. Issues in Educational Research, 8(1), 1-13. http://cleomurdoch.edu.au/gen/iir/iier8/clery.html

Fink, L.Dee (1999). Evaluating Your Own Teaching. Terbit dalam Improving College Teaching oleh Peter Seldin (ed.). University of Oklahoma Instructional Development Program, July 20, 1999.

Leblanc, Richard (1998). Good Teaching: The To Ten Requirements. Terbit dalam The Teaching Professor.

Noor Azmi Ibrahim (1998). Kurikulum Abad Ke-21: Pengembangan dan Penekanan, Jurnal Kurikulum Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Kuala Lumpur.

M.Lings, Patricia (1999). Homeschoolers: Estimating Number and Growth. National Institute on Student Achievement, Curriculum, and Assessment, Office of Educational Research and Improvement, U.S. Department of Education. Web Edition, 1999. http://www.nfie.org/2000/htm

Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Mengurus
http://www.angelfire.com/journal2/fakir_zamani/ceramah8.htm

esei : pembangunan sekolah berkesan

Pembangunan Sekolah Berkesan
Dalam Konteks
Sekolah Berwatak
Konsep Dan Komitmen


Pendahuluan

Perubahan dan pembaharuan di dalam bidang pendidikan negara berlaku begitu pesat sejak beberapa dekad yang lalu telah memberikan dampak yang bukan sedikit terhadap keseluruhan perancangan, pembangunan, dan presatasi melibatkan semua peringkat dan tahap pendidikan sama ada pendidikan rendah, menengah atau pun pendidikan tinggi. Isu-isu pendidikan tidak jemu-jemu dan tidak putus-putus diperkatakan dan dibahaskan oleh semua lapisan masyarakat menggambarkan bahawa pendidikan adalah satu aspek yang amat penting dalam pembinaan satu negara-bangsa yang bersatu, bersetia, beretika dan beragama, berkeupayaan dan berketrampilan memainkan peranan aktif dan produktif dalam masyarakat antarabangsa.

Semuanya ini bermula dari satu 'tempat' yang dinamakan sekolah. Inilah tempatnya kalau kita mahu ianya diberi nama jolokan sebagai 'kilang mendidik dan membangun insan'. Sekolah tidak sahaja dijangkakan menghasilkan produk dalam bentuk insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran yang relevan dengan kehidupan dan zaman tetapi lebih dari itu adakah insan-insan ini benar-benar terdidik dalam erti kata menjadi insan yang berperikemanusiaan, berhati perut dan berperasaan, berbudi dan berakal, berani menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran, seorang yang soleh lagi muslih, dan tunduk dan patuh kepada khaliknya, Tuhan seru sekalian alam.

Masanya Akan Tiba...

Harapan dan jangkaan ibu bapa dan penjaga khasnya serta masyarakat amnya hari ini terhadap prestasi dan kecemerlangan sekolah tidak dapat dipandang remeh lagi. Setiap ibu bapa mengharapkan segala yang terbaik bagi pendidikan anak-anak mereka daripada pihak sekolah. Sekarang pun sudah berlaku terdapatnya ibu bapa yang terlalu memilih sekolah. Mengapa wujud kecenderungan ini? Sedarkah kita bahawa suatu masa nanti akan berlaku fenomena ada sekolah-sekolah dikategorikan sebagai sekolah 'laris', 'sederhana laris' atau 'sekolah tak laku'?

Di negara maju sendiri berlaku dan meningkatnya ketidakpuasan hati dengan keadaan sekolah-sekolah awam kini. Salah satu alternatif yang popular sekarang ialah apa yang dipanggil 'home schooling'. Di Saskatchewan, bilangan murid-muird yang mengikuti 'home schooling' telah meningkat sehingga 30% setiap tahun sejak 1993. The Saskatchewan Home-Based Educators menjangkakan bilangan murid-murid 'belajar di rumah' akan mencapai 3,000 orang menjelang alaf baru. Tidak mungkinkah senario seumpama ini akan wujud di negara kita satu masa nanti?

Rasa tidak puas hati dan rasa kecewa dengan sekolah-sekolah awam bukannya omong kosong. Masyarakat mengejar keputusan; mereka hendak melihat sekolah-sekolah yang baik dan berkesan. "In schools, treading water is no longer an option. School people must either propel themselves in some direction, be towed, or sink" (Barth, 1990). Dengan itu jelas sekali aliran sebegini membuktikan betapa mendesaknya sekolah-sekolah menilai dan mengambil langkah-langkah perlu dalam konteks menjadi sekolah-sekolah yang lebih dan betul-betul berkesan.

TINJAUAN KAJIAN

Kritikan terhadap persekolahan semakin ketara sekitar tahun 60-an, sikap masyarakat menjadi pesemistik kepada pemikiran yang mengatakan latar belakang dan pengaruh sosial menentukan pencapaian murid-murid lebih daripada pengajaran rasmi di sekolah (Madaus, Airasian & Kellaghan, 1980). Kemudian sekitar tahun-tahun 70-an dan 80-an daripada kajian-kajian oleh Edmonds (1979) dan Goodlad (1984) mendapati bahawa tanpa mengambil kira latar belakang murid sesetengah sekolah lebih 'berkesan' atau 'memuaskan' daripada yang lain. Di Britain, Rutter, Maughan, Mortimore dan Oustan (1979) telah mengenepikan mitos bahawa sekolah-sekolah mempunyai pengaruh terhad ke atas pembentukan diri insan (murid). Daripada kajian-kajian ini beberapa ciri sekolah berkesan telah dikenalpasti.

Semua ini berkait rapat dengan apa yang kita panggil 'profesionalisme'. Inilah aspek yang patut ditekan dan diutamakan dalam seluruh ruang dan masa setiap orang guru ketika bertugas di sekolah lebih-lebih lagi bagi Guru Besar sebagai pemimpin institusi.

Abdul Rahman Arshad (1989) mengatakan, "Kalau kita hendak menebus mutu pendidikan negara ini, yang paling penting bukan di sekolah menengah. Apa sebabnya?" Bagi beliau beberapa keadaan di sekolah-sekolah rendah memerlukan 'perubahan' dan 'pembangunan' yang amat mendesak jika 'keberkesanan' sekolah sekaligus mutu pendidikan dan pencapaian para pelajar hendak dipertingkatkan. Keadaan-keadaan yang beliau sebutkan ialah:

• suasana di sekolah rendah ini dari segi persekitarannya tidak begitu menggalakkan;
• oleh kerana tahap akademik juga rendah, maka profesionalismenya juga rendah;
• sekolah-sekolah itu kecil; oleh itu kaitan dan perhubungan dari segi membangunkan fikiran hampir tidak ada;
• terdapat guru-guru di sekolah rendah yang kurang mendapat latihan dalam perkhidmatan. Majlis Guru Besar hendak dibangunkan secaras lebih luas, jangan jadi satu badan yang "ceremony"; badan yang bertemu hanya untuk melantik jawatankuasa, tetapi majlis ini mempunyai orang yang perlu melihat dari segi kesesuaian buku teks, sistem mengajar, kaedah-kaedah yang digunakan, perbincangan mengenai pencapaian. Inilah keutamaan untuk meningkatkan profesionalisme.

KONSEP PEMBANGUNAN SEKOLAH BERKESAN

Istilah sekolah berkesan bukan baru bagi kita di Malaysia kerana telah sering diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin pendidikan kita sama ada di dalam persidangan, kolokium, seminar-seminar, taklimat-taklimat atau pun sesi dialog dan mesyuarat yang sering diadakan. Kajian-kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (Edmonds, 1979; Goodlad, 1984), Eropah (Creemers, 1992), Britain (Rutter, Maughan, Mortimore & Ouston, 1979; Mortimore, Sammons, Stoll, Lewis & Ecob, 1998) dan di Kanada (Renihan, Renihan & Waldron, 1986) telah mendapati bahawa sesebuah sekolah di mana seseorang murid itu belajar sebenarnya memberi kesan kepada pembentukan dan pencapaian (Rutter et.al.1979).

Sekolah tidak beroperasi dalam satu vakuum. Ianya merupakan komposit perhubungan pengajaran dan pembelajaran dan interaksi antara murid-murid, antara guru-guru dengan murid-murid, antara staf dan kakitangan lain, dan hubungan serta peranan aktif dan positif di pihak ibu bapa dan masyarakat setempat. Imej sebuah sekolah yang berkesan dipengaruhi oleh 'keberkesanan pengajaran dan pembelajran di dalam sekolah itu.'

Aspek atau ciri-ciri yang ditunjukkan dalam sekolah berkesan dan seterusnya pembangunan berterusan adalah:

• kepemimpinan pengajaran yang berkesan
• tujuan yang jelas
• iklim sekolah yang teratur, tertib dan selamat
• jangkaan penguasaan minima semua murid
• ujian digunakan bagi penilaian dan 'membetulkan arah' program
• matlamat akademik yang jelas
• penglibatan ibu bapa dan penjaga
• wujudnya kesejawatanan (collegiality)

Kini perhatian lebih tertumpu kepada budaya organisasi dan pembangunan keadaan-keadaan yang merangsang penciptaan budaya sekolah berkesan. Ini menjadi cabaran dan satu tanggungjawab ke atas bahu kepemimpinan sekolah yang sepatutnya boleh menjadi 'transformational school leaders' yang membangun dan memantapkan budaya kolaboratif, mengupayakan guru-guru menerusi perkongsian bijak dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara kolektif.

Sesungguhnya kepemimpinan adalah fungsi kunci di dalam keberkesanan sekolah, budaya dan imej sekolah. Fullan (1992) menyatakan bahawa peranan Guru Besar wajar dibentuk semula daripada 'jaga' kepada 'pemimpin pengajaran'. Ciri-ciri yang terdapat di kalangan pemimpin-pemimpin sekolah yang berkesan antaranya, pertama ada sikap berani menghadapi risiko, tidak berpuas hati dengan status quo, tidak pula dihalang oleh sekatan-sekatan organisasi. Selain itu pemimpin seperti ini menjadi teladan kepada guru-gurunya dan berpegang kepada keyakinan bahawa sekolah akan mencapai kejayaan. Dengan menggunakan pendekatan 'empowerment' yang betul dalam membuat keputusan, pemimpin begini berjaya mempengaruhi "the capacity to improve from within". Keduanya pemimpin berkesan mempunyai satu komitmen yang amat kuat kepada pengupayaan guru-guru melalui permuafakatan.

Sergiovanni (1992) menggariskan matlamat-matlamat seorang pemimpin transformasional di dalam satu budaya sekolah seperti berikut:

1. komitmen kepada nilai-nilai teras (core values) yang dipersetujui dan dilaksanakan oleh semua staf,
2. mengamalkan etika penyayang,
3. mewujudkan visi yang jelas dan hala tuju dengan staf,
4. menggalakkan lebih banyak membuat keputusan secara permuafakatan.

BUDAYA SEKOLAH BERKESAN

Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi sebagai "tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-for-granted' sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri". Manakala Holly dan Southworth (1989) mentakrifkan budaya sekolah sebagai "konteks dan setting sekolah, proses dalamannya dan makna di mana ahli-ahli organisasi menyatakan dunia pekerjaan mereka". Ringkasnya kedua-dua definisi menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada hal-hal kritikal...dan faktor-faktor peluang. peranan penting (antara peranan-peranan lain) pemimpin dalam membangun budaya yang wajib disedari ialah; pemimpinlah yang menggerak dan mengekalkan wawasan yang jelas, visi yang dikongsi dan dibangunkan bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah. Sekolah-sekolah yang menuntut 'mengongsi visi' digelar sebagai 'high consensus schools'.

Apakah ciri-ciri yang boleh kita lihat di sekolah ini?

• Menghargai permuafakatan: di mana semua guru mesti mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Dengan permuafakatan guru-guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu-membantu sesama staf.
• Dalam sekolah berkesan budaya berjalan lebih mirip kepada komuniti berbanding organisasi. Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah-laku menurut norma-norma dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti bertindak berdasarkan kepercayaan teras yang dipersetujui dan berdiri tegak di atas tapak yang satu. Keresahan dan ketidaktentuan tentang apa yang patut dibuat apa tidak patut dibuat, apa yang wajar atau apa pula yang tidak wajar, tidak wujud. Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak dijangka atau perkara-perkara bukan rutin, tidak juga mereka menyalahkan orang lain jauh sekali daripada memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah. Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereke junjung.
• Ciri ketiga budaya sekolah berkesan ialah keyakinan guru. Guru-gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam.Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.

MEMBANGUN SEKOLAH BERKESAN

Pembangunan tidak sahaja kepada sesuatu yang sudah runtuh dan musnah, pembangunan kepada situasi dan keadaan yang sedia adalah juga termasuk dalam pengertian pembangunan. Pembangunan perlukan perubahan pemikiran dan sikap, perubahan pendekatan dan strategi, perubahan alat dan instrumen serta perubahan nilai dan norma. Budaya sekolah harus boleh mengadaptasi 'permintaan' dan 'konflik'. Perubahan yang paling berkesan adalah perubahan dari dalam sekolah itu sendiri.

Peranan menangani perubahan bagi membangun budaya sekolah berkesan yang harus dimainkan oleh para pemimpin sekolah adalah seperti berikut:

• Pemimpin sekolah melakukan perubahan dengan melihat pengaruh-pengaruh luaran dan dalaman serta isu-isu berkaitan, dan dalam melaksanakannya bertindak secara responsif bukan bertindak secara menghalang.
• Pemimpin bertanyakan soalan-soalan bukan memberikan jawapan-jawapan.
• Pemimpin menggalakkan dan memudahkan perbincangan dan pertimbangan mendalam bagi menuju perubahan daripada sekadar merancang atau mengarahkannya sahaja.
• Kegagalan dan kesilapan dikongsi bersama. Memegang prinsip "The first rule of leadership, everything is my fault."
• Pemimpin mengekalkan berpegang kepada teras kepercayaan yang merupakan asas kepada kewujudan komuniti sesebuah sekolah.

Membangunkan suatu budaya sekoah yang sihat berkait rapat dengan amalan-amalan kepemimpinan yang berkesan di pihak Guru Besar. Budaya ialah nadi yang menggerak dan mengarahkan serta menggambarkan segala komitmen yang ditunjukkan oleh komuniti sesebuah sekolah itu. Di satu segi, sekolah akan mempersembahkan suatu imej yang menggambarkan budaya sekolah itu kepada seluruh warganya iaitu murid-murid, ibu bapa mereka dan masyarakat umum.

IMEJ SEKOLAH : SEKOLAH BERWATAK

Renihan dan Renihan (1998) mendefinisikan imej sekolah seabagai "keseluruhan pandangan-pandangan yang subjektif mengenai kualiti pembelajaran dan persekitaran sosial..'perasaan' kolektif yang terbina oleh masyarakat sebagai hasil daripada pemerhatian dan pengalaman terhadap sesebuah sekolah itu."

Membaiki dan membangunkan imej sekolah mesti ada keazaman yang kuat kepada keberkesanan imej yang sedia ada. Renihan dan Renihan membahagikan imej sekolah kepada lima jenis, masing-masing jenis itu pula diperjelaskan dengan dua dimensi yakni: cakna pastoral (memupuk perhubungan berkesana, hormat-menghormati, keterbukaan) dan cakna kosmetik (mempromosikan kejayaan sekolah dalam masyarakat, beri perhatian kepada penampilan). Jenis-jenis imej sekolah yang dimaksudkan itu seperti berikut:

1. sekolah synergistik - tinggi kedua-dua pastoral dan kosmetik
2. sekolah 'candy store' - tinggi penampilan, rendah perhubungan
3. sekolah 'disaffected' - rendah kedua-dua aspek pastoral dan aspek kosmetik
4. sekolah monastik - rendah penampilan, tinggi aspek perhubungan
5. sekolah 'survivor' - sederhana dalam kedua-dua dimensi.

Jadi tugas dan peranan Guru Besar ialah memantau dan membuat pengukuran secara berterusan terhadap imej sekolahnya, secara formal dan tidak formal, menerusi 'stakeholders'. Soalan-soalan yang harus dijawab seperti apa imej yang dikehendaki? Adakah unsur-unsur tertentu terdapat di sekolah? Bagaimanan unsur-unsur ini dapat bersepadu dengan visi dan kepercayaan sekolah? Patutkah dilakukan perubahan? Bagaimana perubahan hendak dipantau?

Dengan demikian seseorang Guru Besar sebagai pemimpin transformasional mestilah berkeupayaan dan mampu menangani perubahan, walaupun ianya tidak popular tetapi amat kritikal dan genting dalam konteks meningkatkan imej dan seterusnya 'keberkesanan sekolah' secara menyeluruh dalam semua aspek iklim dan budaya sekolah. Pemimpin sekolah mestilah mengenalpasti apakah 'penyakt-penyakit' yang sedang menular di kalangan staf atau kakitangan terutamanya yang perlu dibanteras dan diperbetulkan 'kiblat' dan 'arahnya' supaya semua orang tidak tersasar daripada tugas hakiki dan bagi mendapatkan sepenuh komitmen merealisasikan sekolah berwatak dan berkesan ini. Menangani perubahan dan mendapatkan komitmen padu seluruh ahli organisasi adalah salah satu cabaran besar yang perlu dihadapi dan di atasi jika kita mahu melihat kejayaan dan keberkesanan program pembangunan yang dilakukan. Segala-galanya hendaklah diurus dan ditangani dengan bijak dan penuh hikmah.

KOMITMEN

Kajian-kajian yang dijalankan mendapati secara konsisten telah membuktikan bahawa terdapatnya perkaitan yang amat rapat antara iklim sekolah yang positif dengan lain-lain ciri pengukuran terhadap kejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah itu seperti; pencapaian akademik, disiplin yang tinggi, produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan.

Eugene Howard (1987) menggariskan sebelas faktor (lapan ciri khusus dan tiga lagi ciri umum) yang menyumbang kepada pembangunan iklim sekolah yang positif.

Faktor khusus:

1. Pertumbuhan akademik dan sosial yang berterusan.
2. Hormat: murid dan staf punyai 'harga-diri' dan saling bertimbang rasa.
3. Kebolehpercayaan: rasa percaya yang tinggi kepada orang lain.
4. Morale yang tinggi: murid dan staf berasa selesa dan baik berada di situ.
5. Kejelekitan: adanya rasa kepunyaan dan kekitaan.
6. Peluang kepada input: mampu dan boleh menyumbang idea dan mengambil bahagian.
7. Pembaharuan: adanya keterbukaan kepada perubahan dan penambahbaikan.
8. Penyayang: murid dan staf merasakan orang lain mengambil berat tentang mereka.

Faktor umum:

1. Program-program kurikulum, aktiviti-aktiviti dan polisi-polisi.
2. Proses mengajar dan stail pembelajaran, penyelesaian masalah dan komunikasi.
3. Sumber-sumber bahan dan kemudahan-kemudahan di sekolah.

Apa pun faktor dan keadaan atau ciri-ciri yang telah kita kenal pasti, atau yang sedia kita ketahui dan alami sebelum ini tidak akan memberi apa-apa erti dan makna jika kita sebagai pemimpin di peringkat sekolah tidak berupaya memberikan komitmen yang bulat dan padu dalam membentuk, membangun dan seterusnya melahirkan sekolah berkesan apatah lagi sekolah berwatak yang dapat dikenali daripada sesuatau ciri atau aspek yang menonjol, tersendiri dan unik. Pemimpin transformasional yang berkesan mesti menyedari dan menghayati ungkapan watak General Hopper dalam filem animasi In A Bug's Life: " The first rule of leadership, everything is your fault." Dengan kata-kata lain kemunduran, kegagalan, ketidakberkesanan, kelewatan, kelederan dan ketidakcaknaan adalah salah diri kita, berpunca daripada diri kita selaku pemimpin yang tidak berkesan, pemimpin yang tidak berwawasan; ringkasnya peminpin yang lemah.

Pentingnya kepemimpinan yang berkesan tidak dapat dinafikan dalam mempengaruhi secara positif kepada kualiti imej sekolah secara keseluruhan, dan biasanya Guru Besarlah orangnya yang diletakkan segala harapan bagi menjadikan sesebuah sekolah itu maju, berjaya, meningkat dan cemerlang dari masa ke semasa. Omar Hashim (1993) dalam Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan menyebut; " Bahawa bagaimana guru besar, begitulah sekolahnya! Kenyataan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada kita betapa besarnya tanggungjawab seseorang guru besar dalam urusan untuk melahirkan "corak" sekolahnya itu, sama ada untuk kebaikan atau pun sebaliknya."

Di sekolah guru-guru bergantung kepada kepemimpinan seorang pemimpin dalam aspek berikut:

• Visi;
• Komitmen kepada nilai dan norma;
• Bersikap asertif, menghargai usaha guru-guru; dan
• Pemupukan unsur kesejawatanan yang berkesan.

1. VISI: Visi adalah 'gambaran mental' atau bersifat imaginatif di mana sseseorang pemimpin itu 'melihat ke depan' tentang rupa bentuk, iklim, budaya dan imej sekolahnya yang hendak dibentuk, dibangun dan dicapai menerusi pelan tindakan yang terancang, dan tersusun menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi yang rasional dan praktikal.
2. KOMITMEN kepada nilai dan norma; visi tanpa komitmen samalah dengan 'bermimpi di siang hari'. Komitmen adalah satu sikap diri yang ditunjukkan dalam segala tingkah-laku dan cara berfikir seseorang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Komitmen yang tinggi terhadap kelangsungan organisasi dan kebajikan murid umpamanya dapat dilihat daripada perilaku guru-gurunya yang datang awal, mengajar dengan semangat, tidak curi tulang, tumpuan kepada kerja dan mutu kerja, menepati masa dan paling utama meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi. Orang-orang yang berkomitmen yang tinggi juga sentiasa dapat mematuhi dan menepati norma-norma organisasi atau masyarakat sama ada norma-norma yang tersurat atau pun yang tersirat. Ringkasnya komitmen adlah manifestasi kepada 'second creation' di mana visi adalah 'first creation'nya.
3. BERSIKAP ASERTIF, menghargai usaha guru-guru; merupakan satu lagi aspek penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin transformasional, iaitu imbangan di antara ketegasan dan desakan. Seorang yang asertif bijak dalam 'mendesak dan menggesa' daripada orang-orang bawahnya supaya sesuatu perancangan dan tindakan dapat dipenuhi dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki. Oleh kerana 'pemimpin' tidak wujud tanpa 'pengikut', seorang pemimpin yang berkesan sentiasa menyedari bahawa kerjasama apatah lagi komitmen yang padu tidak mungkin diperolehi tanpa 'kesetiaan' dan 'kesediaan' pengikut-pengikut untuk bekerja bersama-samanya bagi mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan; maka pemimpin berkesan sentiasa menunjukkan penghargaan kepada sumbangan guru-gurunya dalam pelbagai bentuk dan cara.
4. PEMUPUKAN unsur kesejawatanan yang berkesan; di dalam sesebuah organisasi manusia tidak bekerja seorang diri, apa pun tugas dan peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain membantunya atau terlibat sama. Kesejawatanan atau "collegiality" bermaksud satu budaya kerja yang ada kaitannya dengan perpaduan, kerjasama, bantu-membantu, hormat-menghormati, nasihat-menasihati atau tegur-menegur di antara ahli-ahli kumpulan atas dasar profesionalisme. Jadi pemimpin yang berkesan mestilah berkeupayaan mewujudkan suasana kesejawatanan ini di kalanngan guru-gurunya, mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan sepanjang masa di samping mengelakkan dan mencegah unsur-unsur kronisme, nepotisme, favouritisme, rodongisme, pilih-kasih, berat sebelah, adu-domba, fitnah-memfitnah, hasad dengki, dan iri hati; di dalam interaksinya dengan staf dan kakitangan lain di sekolah.


KESIMPULAN

Menjadi seorang pemimpin di peringkat sekolah, sama ada sebagai Guru Besar, Penolong Kanan atau pun Guru Kanan Mata Pelajaran, tidak semudah yang disangka. Sifat-sifat terpuji diri peribadi berserta beberapa ciri kepemimpinan perlulah ada dan dikuasai pada tahap yang cemerlang dan tinggi supaya matlamat, misi dan visi sekolah, masyarakat dan negara dapat dicapai. Merealisasikan sebuah sekolah yang berkesan dan berwatak, dengan iklim yang positif dan budaya yang tersohor tidak mungkin dicapai dengan berangan-angan sahaja. Semua warga sekolah mestilah memahami konsep berhubung keberkesanan dan kecemerlangan in secara menyeluruh di samping menumpahkan segala komitmen dengan semangat kesejawatanan yang tinggi dalam menggarap dan mewujudkan sekolah berkesan dan berwatak.

Adalah menjadi tugas utama seorang pemimpin trasnformasional pendidikan berupaya dan berkebolehan menjadi role-model yang dapat memberi inspirasi dan motivasi kendiri kepada anak didik dan guru-gurunya di sekolah dan kepada ibu bapa dan penjaga murid-murid. Pemimpin berkesan mesti boleh menunjukkan 'keikhlasan' dalam melaksanakan tugas, di samping dapat mengenalpasti mana-mana guru yang bekerja dengan tidak ikhlas; yakni melakukan sesuatu dengan mengharapkan 'balasan' atau imbalan. Orang-orang hipokrit amat merbahaya kepada organisasi. Perbuatan tidak ikhlas ini akan mendatangkan bibit-bibit tidak puas hati, sakit hati dan iri hati di kalangan staf-staf yang lain pula. Bagaimana kesejawatanan dan keberkesanan sekolah hendak diwujudkan jika keadaan ini berlaku dan mencengkam hati dan perasaan mereke yang melihatnya sebagai satu 'ketidakadilan' di pihak kepemimpinan sekolah?

Pemimpin yang berkesan mestilah memiliki ciri-ciri akauntabiliti dan kredibiliti dalam semua tindak-tanduknya di sekolah. Edmund R. Murrow menyatakan: " To be persuasive, we must be believable; to be believable, we must be credible; to be credible, we must be truthful." Orang yang tidak berkata benar, tanda hatinya tidak ikhlas; juga tandanya seorang yang tidak dapat dipercayai dan tidak ada kredibiliti dan akuntabilti. Bagaimana jika orang macam ini jadi pemimpin organisasi?

Sebagai pemimpin transformasional pendidikan, kita sangat wajar mengenalpasti hati dan budi guru-guru kita dalam melaksanakan tugas mengajar dan mendidik, adakah guru-guru kita bekerja kerana 'takut' atau kerana 'cinta'? Orang yang bekerja kerana takut walau nampak taat dan rajin namun jauh di lubuk hatinya masih bersarang perassn ria' halus, dan akan melahirkan emosinya apabila tidak mendapat anugerah 'menegak' atau pun 'melintang'. Rabi'ah al-Adawiyah diriwayatkan menjawab pertanyaan Sufian al-Thauri apabila dipersoalkan hakikat iman, sebagai berkata; "Aku menyembah-Nya bukan takut kepada neraka-Nya dan bukan cintakan kepada syurga-Nya. Kalau itulah tujuannya samalah seperti buruh yang tidak baik, jika dia takut dia bekerja, bahkan aku menyembah-Nya kerana cinta dan rinduku kepada-Nya."

Hanya apabila 'cinta' kepada tugas dan cinta kepada organisasi di mana seseorang itu berkhidmat, tanpa berselindung dan berpura-pura, barulah wujud komitmen sejati yang akan melahirkan warga pendidik yang menepati ciri seorang yang soleh lagi muslih. Omar Hashim (1993) menyebut; "Kalaulah kita mahukan pendidikan kita pada hari ini berperanan serta bertujuan untuk mengangkat martabat kemanusiaan anak-anak kita masa depan supaya menjadi individu-individu yang soleh dan berbudi, maka kita sebagai pendidik "wajib" membentuk diri kita terlebih dahulu sebagai manusia yang soleh dan berbudi. Bagaimanakah kita hendak mendidik anak-anak kita supaya bermoral sedangkan kita sendiri tidak bermoral? Bagaimana kita hendak mendidik supaya anak-anak kita gemar membaca, sedangkan kita sendiri tidak mempunyai minat membaca? Bagaimana kita hendak mendidik anak-anak kita supaya berperikemanusiaan, sedangkan kita sendiri bersikap kasar dan tidak bertimbang rasa?"

Kerja memimpin dan membimbing adalah suatu kerja yang tidak ada penghujungnya perlu dijadikan keutamaan dalam senarai tugas kepemimpinan pendidikan di sekolah. Mengenali ciri dan memahami konsep serta mewujudkan komitmen dalam membangun diri (dan organisasi) agar dapat menjadi guru sebenar guru, ke sekolah tidak jemu, mengajar tidak lesu; patut menjadi agenda utama dalam merealisasikan sekolah berkesan dan sekolah berwatak.ٱ

Rujukan

Abu al-Wafa' al-Ghanimi al-Taftazani (Dr.) (1996). Perkembangan Tasawwuf Islam. Terjemahan Prof. Dr. Abdul Shukor Hj. Husin dan Dr. Mudasir Rosder. Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

Howard, Eugene (1987). The Importance of Positive School Climate, in Handbook for Conducting School Climate Improvement Projects. Phi Delta Kappa Educational Foundation, 1987.

Bolender, Mary (1997). A Study of The Evolving Image of A New School Within the Context of School Effectiveness. SSTA Research Centre.

Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ramaiah, AL. (Dr.) (1992). Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini. IBS Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

_____________________ Suara Pendidik Keluaran Khas 1988/1989; Sempena Ulang Tahun ke-20. Persatuan Pendidikan Malaysia, Institut Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

esei : TQM HEM

Pengurusan Berkualiti Menyeluruh
Hal Ehwal Murid
Di Peringkat Sekolah
Peranan Dan Ketrampilan Kerja


Pendahuluan

Apa pun nama atau label yang kita letakkan kepada sekolah-sekolah yang dikenalpasti sebagai sekolah-sekolah yang cemerlang seperti sekolah berkesan, sekolah bestari, sekolah berwatak, sekolah perdana atau sekolah harapan negara tidak akan wujud secara kebetulan atau secara bernasib baik sahaja atau diberi layanan istimewa daripada pihak-pihak tertentu tanpa wujudnya orang-orang yang bekerja keras meletakkan kepentingan organisasi dan misi ke satu tahap yang sukar ditandingi oleh sekolah-sekolah lain.
Siapakah yang memainkan peranan sehingga organisasi mencapai tahap yang gemilang dan cemerlang itu kalau bukan para pentadbir dan guru-gurunya? Organisasi yang tersohor tentulah dianggotai oleh orang-orang yang juga tersohor. Kejayaan orang-orang inilah yang membawa organisasi mereka mencapai matlamat dan objektif dengan berkesan. Kecemerlangan pengurusan sering diukur menerusi kecekapan dan keberkesanan para pengurusnya dalam mencapai objektif organisasinya.
Kecemerlangan pengurusan ini hendaklah dilihat sebagai kecemerlangan dan kejayaan semua ahli organisasi terutama di kalangan 'pengurusan' iaitu para penolong kanan terutamanya Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dalam konteks kertas ini. Sebagai 'ketua' di bidang hal ehwal murid ini bererti Penolong Kanan Hal Ehwal Murid juga adalah seorang 'pemimpin'. Antara ciri-ciri pemimpin yang berkesan adalah:
• Unit atau organisasinya berfungsi dengan lancar.
• Dapat jadikan orang-orang lain lakukan apa yang dikehendakinya.
• Dihormati dan dikagumi oleh orang-orang lain.
• Pihak lain sebulat suara menganggapnya seorang pemimpin yang berkesan.
Kepemimpinan yang berkesan ialah kebolehan mencapai sebahagian atau semua ciri di atas. Oleh itu setiap dari kita wajar mengetahui dan menghayati beberapa ciri dan aspek yang bersangkutan dalam membentuk dan mewujudkan pengurusan Hal Ehwal Murid yang 'tip-top' di sekolah masing-masing berdasarkan objektif-objektif kertas ini seperti berikut:
• Mengetahui, memahami "pengurusan" bidang tugas dengan lebih komprehensif.
• Meningkatkan kesedaran peranan yang dimainkan oleh GPK HEM.
• Mampu menterjemahkannya kepada 'kerja-buat' dan produktiviti berkualiti.
• Meningkatkan kewibawaan dan ketrampilna personel.
• Menggarap Kualiti Menyeluruh (TQM) dalam pengurusan amnya dan pengurusan Hal Ehwal Murid khasnya.
• Sedia menghadapi bidang tugas dan peranan yang lebih berat dalam hubungan prestasi dan kemajuan serta peningkatan kerjaya.
Untuk lebih menjamin kejayaan apa jua urusan yang kita hadapi dan tangani jangan lupa aspek SIKAP; yang menentukan kita sedia atau tidak untuk 'berubah'; sedia atau tidak untuk menukar strategi dan pendekatan; dan bersikap optimistik bahawa kita adalah seorang GPK HEM yang lebih berwibawa dan lebih berkesan.

1. Mengetahui, memahami 'pengurusan' bidang tugas dengan lebih komprehensif.
• Tahu dan faham semua Bidang Tugas , Senarai Tugas dan Pentadbiran seperti yang dikeluarkan oleh Bahagian Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) seperti yang disertakan.
• Kena faham betul-betul istilah "penolong kanan" yakni orang kanan, orang harapan Guru Besar, orang penting dalam heirarki organisasi sekolah dalam urusan hal ehwal murid.
• Ketahui apa yang dibuat itu tepat dan betul dari segi falsafah, konsep, prinsip dan prosedurnya serta memahami batas-batas dan implikasinya dari segi perundangan dan keharmonian organisasi dan masyarakat setempat.
• Memiliki salinan-sallinan pekeliling dan siaran-siaran berkaitan Hal Ehwal Murid terutamanya Pekeliling-Pekeliling Ikhtisas dengan lengkap dan kemaskini serta mudah diakses apabila diperlukan.
• Sentiasa tingkatkan pengetahuan dan kemahiran, perbaiki kelemahan dan jangan lupa selaku seorang pemimpin hal ehwal murid di sekolah kita tidak boleh menyalahkan guru-guru di bwah kita sebleum kita 'menyalahkan diri sendiri' terlebih dahulu.
2. Meningkatkan kesedaran peranan GPK HEM
• Sedar bahawa perkataan 'hal ehwal' itu sendiri menunjukkan segala-gala hal mengenai murid di sekolah; semua hal bersangkutan murid dengan agensi-agnsi luar sekolah...adalah 'kerja kita!'
• Aspek-aspek yang GPK HEM kena bertanggungjawab iaitu disiplin, kaunseling, kebajikan, keselamatan, motivasi, komunikasi dan sebagainya.
• Kena sedar betapa 'beratnya' peranan yang GPK HEM patut dan boleh mainkan. Seorang GPK HEM berperanan dalam situasi dan keadaan yang berbeza-beza, sebagai seorang; suri teladan, pemudahcara, penyelesai masalah, kaunselor, motivator, idola, jurulatih, instruktor, bahkan sebagai ibu, bapa, abang atau kakak kepada murid-muridnya.
3. Mampu menterjemahnya kepada 'kerja-buat' dan produktiviti berkualiti
• Apa yang diketahui, apa yang difahami tidak cukup dengan mengakuinya sahaja; ia mesti dibuktikan dengan 'kerja-buat' kita berdasarkan ciri-ciri;
1. sentiasa on-time
2. sentiasa berkualiti
3. menampakkan unsur imaginatif, kreatif dan inovatif.
• Kerja-buat yang dimaksudkan meliputi:
1. Pelaporan retan, data dan maklumat, banci, diagnosis dan anlisis
2. Pengelolaan program dan aktiviti berkaitan di sekolah
3. Penyeliaan, pemantauan serta semakan tindak ikut berhubung RMT/PSS,
SPBT, Buku Setok, Rekod dan Fail, Jadual Kedatangan, Buku Daftar Sekolah
dan Buku Resit Yuran Khas, Buku Rekod Kesihatan Murid (RKM1),
Hapuskira Perabot dan Buku Teks dan lain-lain yang seumpamanya.
4. Penglibatan Total dalam semua AJK peringkat sekolah, Pasukan Petugas,
Program Khas Untuk Guru atau Murid, Majlis dan Upacara, dan sebagai wakil
Guru Besar jika diarahkan.

4. Meningkatkan kewibawaan dan ketrampilan personel
• Personel yang berwibawa bercirikan:
i. ilmu pengetahuan & pengalaman
ii. kemahiran: mengurus dan teknik
iii. sikap positif: fikir positif dan buat positif
iv. komunikasi: interpersonal dan intrapersonal
• Ketrampilan adalah isu pokok berhubung dengan 'bakat' dan 'kebolehan' seseorang ketika menjalankan tugas. Bakat adalah potensi kebolehan, sementara kebolehan adalah pengetahuan dan kemahiran yang sedia dimiliki oleh seseorang.
• Ketrampilan juga bermakna 'sentiasa ke depan' dalam banyak aspek tidak hanya 'penonton' tetapi menjadi 'teraju utama' dalam menyempurnakan tugas dan tanggungjawab.
• Apabila kita sudah 'boleh' melaksanakan tugas dengan sempurna dan tepat, betul serta kemaskini dan menepati piawaian yang ditentukan barulah kita membuktikan kewibawaan kita dalam bidang di bawah tanggungjawab kita itu tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
5. Menggarap Kualiti Menyeluruh (TQM) dalam pengurusan amnya dan dalam pengurusan
Hal Ehwal Murid khasnya.
• Konsep kualiti secara keseluruhan yang dipamerkan dalam semua aspek di dalam organisasi di mana Hal Ehwal Murid adalah salah satu komponen yang amat penting.
• Menyeluruh bererti:
i. semuanya terlibat (sistem, personel, unit, prosedur)
ii. melibatkan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang
iii. tidak ada aspek, walau bagaimana kecil sekali pun dibiarkan tanpa ditangani
iv. diketahui dan difahami oleh seluruh warga organisasi.
• Tiga prinsip perlu dipatuhi bagi capai kualiti:
Prinsip 1 : Kualiti ialah sebarang produk atau servis yang memuaskan hati pelanggan.
Ia bukan soal lebih baik atau lebih mahal. Ia soal menepati kehendak
pengguna. Untuk capai kualiti semua pelanggan (luar dan dalam)
organisasi mestilah berpuas hati.

Prinsip 2: Standard kerja ialah 'defect free' (tiada kecacatan). Setakat hampir-
hampir belum cukup. Untuk capai kualiti setiap orang mesti ada sikap
'defect free' dalam apa sahaja yang dibuat.

Prinsip 3 : Kualiti diukur dengan 'price of non quality' (PONQ). PONQ ialah apa
yang jadi kos kepada organisasi dari segi masa, kewangan atau peluang
apabila perkara-perkara tidak dilakukan dengan cara yang paling baik.

• Tujuh ASAS KUALITI menyeluruh yang mesti dan perlu dilaksanakan bagi mencapai kualiti menyeluruh di sekolah adalah sebagaimana berikut:
Asas # 1 : Menepati Standard
Asas # 2 : Mengongsi Visi
Asas # 3 : Pencegahan
Asas # 4 : Buat Betul Kali Pertama (DIRFT)
Asas # 5 : Pengukuran
Asas # 6 : Penglibatan Total
Asas # 7 ; Penambahbaikan Berterusan (KAIZEN)
• Asas # 1 : Menepati Standard dimaksudkan sebagai mencapai standard yang telah ditetapkan serta mempunyai sistem yang dapat memenuhi keperluan klien (pelanggan) yang menjurus kepada; fokus kepada pelajar, boleh dicapai; komunikasi dan persetujuan bersama.
• Asas # 2 : Mengongsi Visi membawa maksud membina perkongsian padu dalam dan luar sekolah dan tumpuannya kepada keperluan-keperluan, dialog serta usaha-usaha menghapuskan halangan-halanan mencapai penambahbaikan dengan menghapuskan halangan, mengamalkan kesamarataan layanan dan tindakan di dalam dan diluar sistem sekolah bagi mewujudkan faedah bersama.
• Asas # 3 : Pencegahan membawa pengertian baru di mana perlunya ketrampilan 'mencegah masalah' bukan hanya 'menyelesaikan masalah' dengan jadikan proses-proseseyan boleh ramal, mulakan dengan perancangan, terapkan dan mantapkan bahawa pencegahan adalah sikap dan dengan menambah masa belajar.
• Asas # 4 : Buat Betul kali Pertama (DIRFT) jadikan ianya satu standard prestasi tunggal dalam semua kerja-buat sama ada kerjaya atau peribadi yang bermaksud tidak ada standard alternatif, buat betul dalam kekmampuan kini serta mengikat keberkesanan dan kecekapan.
• Asas # 5 : Pengukuran pula bererti dan meliputi mengenalpasti peluang-peluang, membantu tetapkan matlamat penambahbaikan, membantu menetapkan kemajuan, memfokus kepada usaha penambahbaikan sahaja dan mestilah digunakan dalam aspek operasi melibatkan kualiti program, kecekapanan sekolah, kemajuan projek dan budaya kualiti.
• Asas # 6 : Penglibatan hendaklah dimaksudkan sebagai satu situasi di mana semua orang dan semua tahap terlibat dalam proses menggarap kualiti menyeluruh ini berdasarkan pasukan kualiti dan penglibatan dicirikan dengan menggembleng sumber utama iaitu manusia, berkongsi dalam membuat keputusan, menghargai 'teamwork' dan akhirnya menimbulkan rasa kepunyaan (sense of ownership)
• Asas # 7 : Penambahbaikan Berterusan (KAIZEN) yang bererti usaha-usaha menggarap kualiti menyeluruh dilakukan tanpa henti dan tanpa penghujungnya. Oleh itu penambahbaikan berterusan mestilah menghapuskan rasa 'selesa', merupakan kunci dan juga menjadi satu tabiat kejayaan, dapat merangsang inovasi tanpa takut dan tidak kurang pentingnya terhapusnya budaya dan sindrom 'hangat-hangat tahi ayam.'
Indikator menunjukkan kualiti pengurusan wujud dan dihayati:

Aspek ADA;
• Ada perancangan program dan jadual aktiviti (seperti SKT) berdasarkan tahunan, bulanan, penggal dan mingguan atau harian.
• Ada instrumen pengesanan boleh merupakan senarai semak (tugas, petugas dan tarikh); pelaporan (perkembangan dan proses); rekod kerja (buku-log, senarai kehadiran, fail khas); penilaian (berkala, berterusan); dan tinddkan (baiki kelemahan dan tidak mengulanginya lagi).
• Ada Dokumentasi yang dijilid kemas sama ada dalam bentuk buku, risalah, hand-out, buletin, news-letter dan sebagainya. termasuk dalam dokumentasi ini juga gambar foto, flow chart, carta Gantt, carta organisasi dan tidak kurang pentingnya mestilah disokong oleh sistem fail yang kemaskini dan lengkap.
Aspek TIADA;
• Tiada surat ulangan, teguran atau peringatan yang diterima daripada JPNP, PPD, KWSP, Audit Sekolah dan seumpamanya.
• Tiada aduan, sungutan dan rungutan daripada pihak-pihak berkepentingan sampai melibatkan media massa.
• Tiada sebarang kelewatan dalam memberi respon sama ada ianya bersifat rutin atau berkala apatah lagi melibatkan klien terdekat kita iaitu murid dan penjaga mereka.
• Tiada berlakunya buat kerja dua kali yang melibatkan pembetulan dan menyebabkan pembaziran dari segi sumber, masa dan tenaga.
• Tiada wujudnya sindrom elak-mengelak dalam menerima tugas dan tanggungjawab atau melaksanakan sebarang tugas yang telah dipertanggungjawabkan.
• Tiada 'clique' di sekolah yang menularkan pengaruh-pengaruh negatif dan merosakkan organisasi, masing-masing dengan falsafah "aku-aku", "engkau-engkau" seperti kata perumpamaan Melayu "Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing".
6. Sedia Menghadapi Tugas Yang Lebih Berat
• Pengetahuan dan pengalaman kerja adalah prasyarat kepada peningkatan prestasi yang dijangkakan apabila seseorang itu memegang jawatan-jawatan naik pangkat dalam kerjanya. Pengetahuan dan pengalaman kerja yang dimaksudkan itu tidak akan diperolehi jika kita tidak didedah, dilatih dan dibimbing dalam kerja-kerja kita sewaktu kita masih di peringkat awal perkhidmatan kita.
• Mampu menjadi seorang 'ketua' yang bertanggungjawab malah berani menghadapi 'risiko' dalam segala keputusan dan tindakannya. Seorang ketua sejati tidak melepaskan segala-galanya kepada orang-orang bawahannya sahaja. Ingatlah "You can delegate authority, but not responsibility".
• Mampu berfikir secara rasional berdasarkan prinsip yang betul dalam mengambil sebarang tindakan, tidak terpinga-pinga atau tenggelam punca apabila berhadapan dengan kerenah staf dan anak buah.
• Mampu memimpin organisasi atau unitnya dengan berkesan dan cemerlang dan dengan semangat "kesejawatanan" yang tinggi akhirnya dapat melahirkan 'sekolah berwatak' yang ditunjukkan dalam semua aspek iklim sekolah yang unggul dan berkesan.
• Mampu menyumbang buah fikiran, tenaga dan kepakaran serta bakat istimewa yang dimiliki bagi membantu sekolah-sekolah atau rakan-rakan yang lain di peringkat kelompok atau pun daerah.
Iklim Sekolah

Selaku seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, kita merupakan orang penting (selepas Guru Besar) yang dijangkakan dapat membantu dan membimbing guru-guru dan murid-murid kita mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik melalui portfolio yang kita sandang. Di samping organisasi pengajaran yang merupakan 'teras' kepada matlamat dan objektif mengapa sesebuah sekolah tu diwujudkan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid perlu berfungsi membina dan memupuk iklim sekolah yang sihat, kondusif, ceria, bersih, cantik, kemas, seronok, selamat serta menjadi kebanggaan guru dan murid. Unsur-unsur tidak formal dan normatif di sekolah seperti disebutkan itu amat mempengaruhi malah menyokong pembelajaran serta pembentukan sikap diri insan yang amat tinggi nilainya. Sewajarnyalah kita membetulkan sikap dan tingkah-laku terutamanya dari segi penyempurnaan tugas-tugas seharian kita di sekolah.

Kepemimpinan yang paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan. Oleh itu sebelum memimpin orang lain, pimpinlah diri kita dahulu. Di sinilah sikap dan ketrampilan kita dalam memberi teladan kerja memainkan peranan penting dalam membentuk dan memupuk 'school-wide improvement' yang melibatkan semua orang dan berjalan secara berterusan.

Mencapai tahap pengurusan atau budaya kerja yang berkualiti tinggi memerlukan satu kekuatan jiwa dan mental bagi melakukan perubahan dan menangani kemelut dan konflik yang sama ada telah lama wujud atau yang baru 'diimport' yang terdapat di sekolah kita sekarang. Menangani perubahan tidak bermakna sekadar 'bertukar sekolah' tetapi kita masih tidak ' bertukar sikap, pemikiran dan amalan' kita selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Menangani perubahan memerlukan penglibatan semua orang di sekolah. Salah satu pengaruh menghalang pelaksanaan pembaharuan ini adalah pengaruh negatif kumpulan tidak formal (informal group) di kalangan guru-guru atau kakitangan bukan guru yang lain di sekolah.

Tidak sukar mencapai keberkesanan kerja-buat atau mempertingkatkan kefahaman dan amalan kita kepada 'kerja sebagai ibadah' atau 'amalan soleh' dalam hubungan tugas-tugas hakiki kita selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah jika kita membetulkan dan memperluas konsep 'ibadah' dan 'amal soleh' itu sendiri.

Prof. Hassan Langgulung (1991) menyebut; "Sebagai contoh apa yang dimaksudkan daripada ungkapan itu adalah pandangan yang menyeleweng tentang makna "soleh". Pengertian manusia soleh, sepeti yang kita fahami sekarang adalah orang yang tidak mencuri, tidak minum arak, tidak berzina dan lain-lain. Sekan-akan kita lupa sama sekali tentang apa dia akhlak yang luhur itu. Seakan-akan akhlak yang luhur dan mulia itu sekadar menjauhi perkara-perkara haram itu. Sedang akhlak luhur seperti kesungguhan, kesiapsiagaan, disiplin, tolong-menolong dan lain-lain tidak bermakna apa-apa. Kenapa?"

Majid Ersan Al-Kailani dalam bukunya Mendidik Peribadi Muslim (1997) mentakrifkan 'amalan soleh' sebagai:

"Amalan soleh bukan sahaja terbatas kepada berbuat kebajikan dan memberi manfaat; akan tetapi ia juga menolak hal yang buruk dan mengatasi bahaya. Amalan soleh, dengan demikin, terbahagi kepada dua, iaitu amalan dengan tujuan memberi manfaat kepada umat manusia dan di redhai Allah s.w.t., dan amalan dengan tujuan mengenepikan bahaya daripada umat manusia dan kemurkaan Allah s.w.t. Manusia yang melaksanakan dua bahagian amalan soleh ini disebut sebagai orang soleh dan muslih (baik sekaligus memperbaiki), manakala orang yang hanya mengerjakan bahagian pertama disebut sebagai orang soleh sahaja."
Cabaran kerja kini memerlukan setiap penjawat awam memperlengkapkan diri masing-masing bukan sahaja dalam aspek-aspek profesionalisme tetapi juga dalam aspek-aspek pengurusan yang bekesan, kemahiran interpersonal, pengurusan konflik dan 'stress' dalam kerjaya dan kehidupam sosial dan peribadi, yang boleh membantu kita selaku penolong kanan yang mempunyai ciri-ciri integriti, watak dan jatidiri yang dapat menjadi role-model dan sumber inspirasi kepada seluruh warga organisasi di mana kita bertugas.

Penutup
Begitu besar dan beratnya amanah dan tanggungjawab yang kita pikul selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah hendaklah benar-benar diinsafi. Saiz sekolah bukan jadi ukuran; tidak juga dijadikan alasan untuk tidak menyempurnakan amanah, tanggungjawab atau pun tugasan. Betapa kecil sekolah yang kita tadbirkan atau betapa sekali pun keadaan rupa fizikal sekolah kita, tidak patut sama sekali kita meremehkan bidang tugas dan tanggungjawab hakiki kita. Apa yang perlu kini ialah kita mengubah paradigma dan pemikiran, menambah ilmu pengetahuan dan paling penting mengamalkan apa yang kita sudah pelajari dan buktikannya melalui kerja-buat kita setiap waktu dan ketika.
Tak tahu dan tak pandai hendak melakukan sesuatu boleh dipelajari, tetapi jika sudah tahu dan sudah pandai tapi tak mahu buat kerja amatlah malang sekali. Ringkasnya sekadar tahun dan 'mengaku pandai' tidak ada gunanya; yang penting apa yang dibuat dan apa yang diurus, dan apa yang telah kita buktikan melalui kerja-kerja kita selama ini. Bruce Lee seorang aktor kung fu terkenal pernah disebut sebagai berkata: "Knowing is not enough, you must apply. Willing is not enough, you must do".
Buatlah refleksi diri masing-masing agar segala kelemahan dan ketidakketrampilan kita sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dapat diatasi dan perbaiki ke tahap yang paling tinggi. Sepatutnya tidak wujud lagi ulasan dan teguran daripada 'stakeholders' kita berhubung dengan pengurusan hal ehwal murid yang sering dilaporkan tidak cekap, tidak berkesan, lewat malah terus tidak diambil tindakan sewajarnya walaupun perkara-perkara tersebut berulang kali diutarakan di dalam setiap taklimat, bengkel atau mesyuarat yang dikelolakan sama ada oleh Jabatan Pendidikan Pahang atau pun Pejabat Pendidikan Daerah sendiri.ٱ


Rujukan

_____________ Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah Rendah (1991). Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.
Hassan Langgulung (1991) Falsafah Pendidikan Di Malaysia: Suatu Analisis Permulaan; dalam Reformasi Pendidikan Di Malaysia, Mohd Idris Jauzi (editor), Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.
Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.
Majid Ersan Al-Kailani (1997) Mendidik Peribadi Muslim. Berita Publishing Sd. Bhd., Kuala Lumpur.
Mohd. Kamal Hassan (1988) Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu. Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.
Ramaiah, AL. (1992) Kepimpinan Pendidikan: Cabaran Dan Masa Kini. IBS Buku Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (1994) Pentadbiran Pendidikan. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.