-->

esei : peranan pengetua ke arah kecemerlangan sekolah

PERANAN PENGETUA DALAM KECEMERLANGAN SESEBUAH SEKOLAH
Standard Kopetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia telah menggariskan 9 peranan dan tanggungjawab memimpin sesebuah sekolah kepada pengetua untuk dilaksanakan bagi memacu kecemerlangan sekolah. Di samping itu, terdapat beberapa ciri kepimpinan yang memerlukan penghayatan oleh setiap pengetua dalam usaha untuk menggembleng setiap warga sekolah dan sumber yang ada untuk memacu mereka ke arah kecemerlangan sekolah. Melalui adunan peranan dan kepimpinan inilah pengetua dapat merealisasikan segala visi dan misi ke arah kecemerlangan dalam setiap bidang, di dalam persekitaran kerja yang harmoni, dan merangsang setiap warga meningkatkan kualiti dan kuantiti kerja dan hasil. Dalam penulisan ini, penulis membincangkan lima daripada 9 peranan dan tanggungjawab atau kemahiran yang harus dilaksanakan oleh pengetua untuk memastikan kecemerlangan sekolah. Melalui analisis secara kritikal dan analitikal, penulis berpendapat bahawa semua tugas dan pernanan tersebut haruslah dilaksanakan dengan serentak dan secara cemerlang oleh semua pengetua tidak kira di tahap mana sekali sekolah mereka kerana ia akan memberikan kesan yang hebat dalam kejayaan sesebuah sekolah. Penulis merumuskan perbincangan dengan menegaskan bahawa peranan pengetua amat penting dan menjadi penentu utama terhadap terhadap kecemerlangan sekolah. Beliau juga mengungkapkan bagaimana pengetua menggunakan kemahiran dan pengetahuan berkaitan dengan peranan dan kepimpinan ini untuk melaksanakan beberapa tindakan dalam mengubah persepsi dan pemikiran setiap warga sekolah ke arah kecemerlangan.
1.0 LATAR BELAKANG DAN PENGENALAN

Wawasan 2020 yang digariskan oleh Dr. Mahathir Mohamed pada 28 Febuari 1991 adalah berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju mengikut acuannya sendiri. Antara hasrat yang terkandung di dalamnya ialah, Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara yang masyarakatnya bersatu padu , mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berpegang teguh kepada nilai agama,moral, etika dan menikmati kehidupan yang demokratik, liberal dan bertolak ansur. Lanjutan itu, di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memperkenalkan MISI NASIONAL yang mengaitkan dengan Islam Hadhari yang menekankan penguasaan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi individu bagi menyediakan sumber tenaga manusia yang seimbang iaitu modal Insan. Misi Nasional ini memberikan penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan ‘minda kelas pertama’. Dasar 1 Malaysia hasil ilham Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak mengukuhkan lagi betapa perlunya keupayaan modal insan ini digembleng demi kecemerlangan negara.
Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia telah diberikan peranan yang utama untuk melahirkan tenaga kerja yang berkualiti yang berketerampilan, yang mampu menangani cabaran dan bersaing dalam era globalisasi pada masa kini dan pada masa akan datang. Melalui misi utama kementerian iaitu membentuk modal insan kelas pertama melalui pembangunan sistem pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia. Segala usaha ini sudah pastilah bermula di peringkat sekolah. Dalam hal ini sudah tentulah peranan pengetua yang akan menggerakkan segala tenaga setiap guru, staf, dalam mendidik anak-anak ini dengan menggunakan segala sumber, tenaga dan kepakaran yang ada.

1.2 PENDAHULUAN

Kementerian Pelajaran Malaysia melalui PIPP ( Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010) yang menggariskan 6 teras utama ke arah pencapaian pendidikan bertaraf dunia tersebut. Melaluinya diharapkan Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengorak langkah membuat anjakan paradigma kepada budaya berasaskan ilmu dan pemikiran di sekolah-sekolah. Sehubungan itu, sistem pendidikan diharapkan akan dapat mengeluarkan lepasan sekolah yang kreatif dan berdaya fikir, mampu menjana idea dan rekaan baru untuk membangunkan industri berasaskan produk serta perkhidmatan bernilai tambah.
Kejayaan hasrat yang digariskan di dalam PIPP ini adalah menjadi tanggungjawab setiap warga pendidik terutamanya yang berada di sekolah-sekolah. Para guru, kakitangan, murid-murid memikul tanggungjawab melaksanakan tugas masing-masing ke arah ini. Dalam hal ini, pengetua amat bertanggungjawab menggerakkan sekolah untuk mencapai hasrat yang dirancang. Cabaran terbesar pengetua di sekolah adalah untuk memastikan organisasi sekolah dapat berjalan dengan efisien, efektif dan cemerlang. Lanjutan daripada itu, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki (IAB), telah menggariskan 9 tugas dan peranan yang perlu dikuasai oleh setiap pengetua untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran menangani dunia pendidikan bagi melahirkan pendidikan berkualiti dan sekolah berkesan/ sekolah cemerlang (IAB, 2006). 9 Standard Kompetensi tersebut adalah:,Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi, Pengurusan Kurikulum, Pengurusan Ko-Kurikulum, Pengurusan Hal Ehwal Murid,Pengurusan Kewangan, Pengurusan Pentadbiran Pejabat, Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal, Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia dan Pengurusan Perhubungan Luar. Ternyata peri pentingnya kepimpinan pengetua dalam menjana kecemerlangan sesebuah sekolah. Pengetua sebagai peneraju utama sekolah menjadi penentu kepada kejayaan setiap perancangan dan menggerakkan setiap warga sekolah ke arah pencapaian visi yang seterusnya mewujudkan sebuah sekolah yang cemerlang.

2.0 DEFINISI KONSEP

Bagi membincangkan permasalahan yang dinyatakan, beberapa definisi dan konsep berkaitan perlulah diperjelaskan seperti berikut:

2.1 PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN.

Abas Awang dan Abdullah Ngah, (2007) mentakrifkan kepimpinan sebagai setiap tindakan yang menumpukan sumber-sumber ke arah matlamat yang benar-benar bermanfaat. Pemimpin pula adalah orang yang diamanahkan melaksanakan tugas kepimpinan di atas. Dalam konteks ini , penulis membincangkan 2 jenis kepimpinan sahaja.




2.1.1 Kepimpinan Instruksional
Sweeny (1982) , menyebutkan enam ciri kepimpinan pengetua / guru besar yang berkaitan dengan kepimpinan pengajaran di sekolah cemerlang; penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam pelajaran, menyusun dan menetapkan strategi pengajaran; menyediakan dan mengekalkan suasana kondusif di sekolah (iklim sekolah); kerap menilai pencapaian akademik pelajar; menyelaras program pengajaran; membantu dan memberi semangat kepada guru-guru. Menurut Hussien Mahmood( 1993), mengatakan bahawa kepimpinan pengetua/ guru besar bertanggungjawab mengadakan falsafah, matlamat dan objektif sekolah, membimbing para guru meningkatkan kecekapan mereka dalam pengajaran dan lain-lain bidang kurikulum. Pengetua juga melaksanakan program perkembangan staf, menyelaras aktiviti pendidikan serta lain-lain usaha. Jelaslah, kepimpinan pengetua dalam melaksanakan dan menumpukan seluruh tenaga dalam memastikan tugas hakiki dan utama dalam kecemerlangan kurikulum, amatlah penting.

2.1.2 Kepimpinan Tranformasional
Zaidatol Akmaliah (2003) mendefinasikan kepimpinan ini sebagai pemimpin yang mampu mempengaruhi perubahan besar dalam organisasi serta membentuk komitmen ahlinya untuk mencapai visi, misi, matlamat dan strategi organisasi. Beliau seterusnya melanjutkan bahawa pengetua bukan lagi diperlukan untuk mengawal organisasi tetapi berperanan memimpin staf untuk menyumbang di peringkat yang lebih tinggi. Hal ini disokong oleh Rahimah Ahmad (2002) yang menyarankan agar pengetua mengamalkan pengupayaan kepimpinan dalam kalangan guru-gurunya. Oleh itu, benarlah seperti apa yang dimaksudkan oleh Bass (1978) yang menyatakan bahawa kepimpinan transformasi ini merupakan ciri kepimpinan yang mengandungi sifat-sifat keupayaan membangkitkan inspirasi, kebolehan merangsang intelektual dan bersifat bertimbang rasa secara individu. Hal ini penting kerana pengetua pada hari ini bukan sahaja bertanggungjawab menjalankan tugas fungsionalnya sahaja malahan ia perlu menangani segala permasalahan yang berkaitan dengaan kepimpinannya di sekolah secara profesional (Hussien Ahmad, 2002).
Oleh itu, jelaslah bahawa pengetua sebagai pemimpin organisasi yang mengamalkan kepimpinan tranformasional perlulah mampu menjelaskan kepada staf bawahannya mengenai halatuju sekolah, berkongsi idea serta menerima pandangan orang bawahannya, mampu membawa perubahan dan inovasi, menunjukkan semangat dan inspirasi tinggi, sanggup berkorban demi kemajuan organaisasi dan perihatin terhadap keperluan orang bawahannya.

2.1.3 Rumusan
Ternyata untuk seorang pengetua berjaya berperanan dalam menjadikan sekolahnya sebagai sekolah yang cemerlang, kedua-dua jenis kepimpinan ini mestilah mampu di adun dengan seimbang. Menurut Md. Fiah (2005), ini penting bagi memastikan kecemerlangan sekolah dapat diraih, dikekal dan seterusnya dipertingkatkan. Oleh itu, sebagai seorang pengetua, saya haruslah bukan sahaja berusaha memastikan kejayaan cemerlang dalam pencapaian akademik, serta ko-kurikulumnya, malahan harus dapat diterima oleh semua staf dalam usaha memacu pentadbiran sekolah keseluruhannya ke arah kecemerlangan tanpa mengorbankan aspek penting pengurusan.
Hal ini selari dengan seruan agama Islam yang menyeru kita mencontohi kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w yang berjaya mendidik manusia dalam memastikan bukan hanya kita cemerlangan dalam hubungan dengan Allah, yang menjadi keutamaan, tetapi juga kita harus berjaya dalam menguruskan hubungan dang manusia dan alam demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w telah terbukti sebagai pemimpin terbaik yang diakui oleh dunia Islam dan Barat. Jika sifat kepimpinan begini dapat diterapkan di sekolah sudah pastilah setiap ahli dalam organisasi berkenaan bukan sahaja berjaya memacu kecemerlangan akademiknya, malahan akan teruja dan komited untuk memajukan sekolah sesuailah dengan hasrat Kementerian menjadikan ‘sekolahku rumahku’.

2.2 PERANAN PENGETUA

Dalam kajian mengenai kepimpinan (Stogdill, 1974, Edmond, 1979, Nor Azian, 1994), pengaruh kepimpinan adalah amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Pengaruh dan kecekapan pemimpin dapat membawa ke arah kecemerlangan sesebuah organisasi. Oleh itu, organisasi seperti sekolah, pengaruh kepimpinan dan kecekapan pengetua sekolah amat penting dalam menentukan kejayaan sekolah di bawah pimpinannya. Pengetua sekolah adalah merupakan kakitangan yang terpenting di peringkat sekolah kerana peranannya sebagai pemimpin, pentadbir dan pengurus sekolah.
Menurut Hussein (1993) berdasarkan kajian sekolah berkesan peranan pengetua sering dibicarakan sebagai faktor yang menyebabkan kejayaan sesebuah sekolah. Oleh itu, pengetua perlu memainkan peranannya dengan berkesan supaya sekolah akan terus cemerlang. Pengetua sekolah di Malaysia bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan sekolah termasuklah (Hussien, 1993, p 21): berusaha bagi mencapai dasar pendidikan di peringkat sekolah; mengurus dan mentadbir sekolah, kurikulum, kokurikulum, kebajikan pelajar, guru dan staf sokongan sekolah; menyediakan khidmat bantu yang secukupnya bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dan mewujudkan dan memajukan iklim dan budaya sekolah. Justeru, pengetua perlu berperanan memastikan segala tenaga dan usaha guru-guru digembleng dengan menggunakan sumber yang ada ke arah pencapaian program pendidikan yang berkesan.

2.3 SEKOLAH CEMERLANG

Peter Mortimore (1995), dalam Seminar Sekolah Berkesan di Malaysia menyatakan terdapat sebelas ciri utama iaitu, kepimpinan professional, perkongsian visi dan misi, persekitaran pembelajaran yang unggul, tumpuan kepada P & P, pengajaran berhala tuju jelas, harapan tinggi pelajar, pengukuhan yang positif, pemantauan, hak dan tanggungkjawab pelajar, permuafakaatan sekolah dan organisasi pembelajaran.
Hal ini dijelaskan lagi oleh Hussein Mahmood (1993) yang menyatakan, sekolah cemerlang bukanlah sekolah yang established atau sekolah primer tetapi sekolah yang dapat menghasilkan pencapaian akademik yang tinggi, kurang menghadapi masalah disiplin dan mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat dan guru-guru merasa puas hati bekerja. Abdul Shukor Abdullah (1991) pula melanjutkan dengan menyatakan bahawa sekolah cemerlang adalah sekolah yang mencapai tahap terbaik, bermutu dan terunggul dalam semua bidang berkaitan dengan akademik, sahsiah, pengurusan, perhubungan, infrastruktur dan kepemimpinan.
Secara keseluruhannya, sekolah cemerlang bermaksud sekolah yang dapat mencatat kejayaan yang menonjol dalam segenap bidang tanpa menafikan kejayaan dalam “nieche area” atau watak sesebuah sekolah. Namun hakikat yang kita perlu terima ialah sekolah-sekolah begini juga sebenarnya mempunyai pencapaian yang baik dalam banyak bidang lain. Ini kerana ia seringkali saling melengkapi seperti kejayaan akademik kerap kali juga ditunjangi oleh tahap disiplin dan sahsiah yang cemerlang.

3.0 PERANAN PENGETUA DALAM KECEMERLANGAN SEKOLAH

Peranan pengetua dalam menjamin kecemerlangan sesebuah sekolah, sebenarnya telah dititipkan oleh Kementerian melalui Standard Kompetensi Pengetuan Sekolah Malaysia yang menggariskan sembilan kemahiran yang menjadi ‘KPI’ kepada kejayaan seseorang pengetua mampu memimpin sekolah menjadi sekolah cemerlang. Walau bagaimana pun, bagi tujuan perbincangan ini, penulis akan hanya membincangkan lima peranan seperti berikut;

3.1 Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi
Kecemerlangan dalam pengurusan dan kepimpinan organisasi bermaksud kejayaan pengetua menggerakkan sumber bagi mencapai objektif organisasi dan membentuk halatuju organisasi, mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan membawa perubahan serta kualiti peribadi dan professional.
Pengetua haruslah mampu menterjemahkan dasar kerajaan, menerapkan pengurusan organisasi berkesan, menjana visi dan misi sekolah, menggunakan maklumat dan pendekatan terkini, memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat, melaksanakan perubahan dan menjalankan penilaian dan penambahbaikan.
Di sekolah, penulis seringkali menegaskan setiap staf untuk mengamalkan nilai-nilai murni di dalam perkhidmatan seperti berazam meningkatkan mutu perkhidmatan, bekerja dengan penuh tanggungjawab, berusaha mengikis sikap mementingkan diri, berkhidmat dengan penuh muhibbah dan kemesraan dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Penulis membawa pendekatan keislaman di dalam pentadbiran. Penulis seringkali mengingatkan semua warga sekolah agar melaksanakan tugas sebagai satu tanggungjawab dan ibadah serta amanah yang akan dituntut oleh Allah. Mereka juga diingatkan supaya bersyukur dengan nikmat yang diberi dan mestilah menunjukkan kesyukuran itu dengan bekerja bersungguh-sunguh, penuh ikhlas dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah. Mereka juga diingatkan akan tujuan kita bekerja adalah untuk mencari rezeki yang halal untuk kita berikan kepada anak isteri. Pentadbiran secara telus dan tegas sentiasa diterapkan di dalam pentadbiran sekolah. Guru-guru dan staf diberikan “empowerment” untuk melaksanakan tugas agar mereka berupaya membuat keputusan dan berani terutamanya di dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik dan ko-kurikulum serta sahsiah pelajar. Melalui dasar mesra dan terbuka, setiap orang digalakkan memberikan pandangan dan idea untuk memajukan sekolah.
Pada peringkat awalnya memang ada pihak-pihak yang berasa tidak selesa. Ada sebahagiannya sudah selesa dengan budaya ‘ikut saja arahan’ yang diamalkan sebelumnya. Mesyuarat hanyalah sekadar menerima arahan dan tiada ruang perbincangan. Penulis seringkali menasihatkan pentadbir–pentadbir lain di sekolah supaya mengamalkan dasar terbuka, mesra dan telus dalam bekerja. Kesannya ialah hubungan sesama guru semakin rapat dan setiap orang telah menunjukkan komitmen yang tinggi. Tidak berlaku lagi masalah ponteng kerja atau balik awal terutamanya di kalangan pekerja bawahan. Mereka juga sudah mematuhi waktu bekerja yang ditetapkan dan sentiasa berlumba-lumba untuk meningkatkan prestasi. Penulis tidak perlu lagi memberikan arahan yang yang banyak kerana semua telah faham akan tugas yang sepatutnya mereka laksanakan.

3.2 Kecemerlangan Kurikulum
Kecemerlangan kurikulum ini membawa maksud kepada peranan pengetua dalam menggerakkan segala sumber untuk menyokong perlaksanan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi memastikan kejayaan muridnya. Kesan kejayaan seringkali dikaitkan dengan peningkatan pencapaian di dalam peperiksaan awam dan juga kemampuan pelajar menguasai semua kemahiran yang sepatutnya dikuasai pelajar di dalam tempoh pembelajaran mereka.
Oleh yang demikian, peranan pengetua dalam menjadikan sekolahnya sebagai sekolah yang cemerlang hendaklah memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam bidang akademik, menyusun dan menetapkan strategi pengajaran, menyedia dan mengekalkan suasana kondusif di sekolah (iklim sekolah), kerap menilai pencapaian akademik pelajar, menyelaras program pengajaran; dan membantu dan memberi semangat kepada para guru. Sebagai contohnya di sekolah penulis menghadapi masalah berkaitan tahap keinginan belajar yang rendah di kalangan pelajar. Ramai pelajar yang kurang berminat untuk belajar dan tiada semangat berlumba-lumba untuk mengejar kejayaan. Akibatnya tahap pencapaian akademik berada pada tahap sederhana. Kejadian ponteng menjadi suatu yang lumrah sehingga kadangkala menjadikan sebahagian guru kecewa. Penulis telah mengemukakan suatu program iaitu, Program Menjana Kecemerlangan Akademik telah dilaksanakan untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam PMR dan SPM. Sasaran untuk mengatasi pencapaian tahun sebelumnya di sandarkan kepada beberapa kumpulan pelajar yang akan dipantau pencapaiannya oleh mentor yang terdiri daripada para guru. Mereka akan menyemak latihan pelajar kumpulan elit melalui program bekalan buku latihan pada setiap minggu. Setiap minggu pengetua bersama dengan guru-guru akan bersama-sama membaca yasin, bersolat hajat dan solat dhuha pada setiap pagi jumaat. Setiap kali itu juga penulis akan memberi motivasi mingguan untuk merangsang para pelajar supaya sentiasa berjuang untuk mencapai kecemerlangan. Untuk merangsang kecemerlangan pelajar ini, program “Skor A-Jasamu DiKenang” juga telah dilaksanakan. Melalui program ini, setiap pelajar yang mencapai gred A dalam setiap ujian bulanan dan mengekalkan pencapaian mereka dalam peperiksaan peretengahan tahun dan akhir tahun serta percubaan, akan diberikan ganjaran baucer bernilai RM5.00 dan RM10.00. Pelajar juga ditawarkan ganjaran RM15 bagi setiap A dalam PMR dan RM20.00 bagi setiap A dalam SPM. Ganjaran juga diberikan kepada setiap panitia yang pelajarnya berjaya memperolehi banyak A.
Hasilnya, para pelajar dan para guru telah berlumba-lumba untuk mencapai kecemerlangan. Pada peperiksaan akhir tahun 2008 sahaja seramai 200 orang pelajar berjaya mengekalkan pencapaian gred A . Berkat usaha para guru dan semua pelajar ini juga, pencapaian PMR dan SPM 2008, juga telah mencatat peningkatan pencapaian iaitu daripada GPS 3.38 kepada 3.19 (PMR) dan 6.68 kepada 6.54 (SPM). Melalui PMR juga, sebanyak 8 daripada 10 mata pelajaran telah mencatat peningkatan mendadak dan ada yang mencatat rekod terbaik selama 6 tahun kebelakang. Kesannya, pencapaian akademik telah meningkat pada setiap kali peperiksaan dilaksanakan. Penulis berpendapat, tindakan yang dirancang oleh penulis untuk meningkatkan pencapaian kurikulum di sekolah ini benar-benar telah berhasil sehingga menjadikan sekolah ini cemerlang.

3.3 Kecemerlangan Kokurikulum
Kecemerlangan ko-kurikulum adalah bermaksud, pengetua mampu meningkatkan penglibatan para pelajar di dalam setiap bidang ko-kurikulum di samping dapat mencipta kejayaan dalam permainan, kelab dan bidang beruniform yang disertai. Dari segi penglibatan, sasarannya adalah setiap pelajar terlibat di dalam setiap aktiviti ko-kurikulum di sekolah. Di samping itu, sekolah juga haruslah mampu membentuk watak sekolah melalui program ko-kurikulum ini. Bidang ko-kurikulum ini mempunyai peranan yang penting di dalam pembentuk modal insan yang berguna. Melaluinya pelajar didedahkan kepada kepimpinan, akhlak dan kepatuhan kepada disiplin, semangat kekitaan, kesediaan bertolak ansur dan saling tolong-menolong dan berdikari. Kecemerlangan insan yang dilahirkan melalui aktiviti ini, sudah pastilah akan melahirkan modal insan yang tahan menempuh cabaran dan seterusnya sihat mindanya.
Di sekolah penulis, sukan olahraga telah dipilih untuk menjadi watak bagi sekolah ini. Ketika penulis sampai di sekolah ini pada 2008 lalu, kemudahan dan pencapaian olahraga sekolah adalah sederhana. Terdapat banyak kekurangan kemudahan peralatan dan motivasi kepada para atlit. Ramai ibu bapa yang kurang menyokong penyertaan anak mereka dalam bidang ini kerana beranggapan anak mereka akan gagal di dalam peperiksaan dan tidak mempunyai masa depan di dalam olahraga. Bagi mengatasi masalah ini, penulis telah berbincang dengan jawatankuasa olahraga sekolah dan telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pencapaian. Penulis mengambil langkah untuk melengkapkan keperluan atlit seperti, pakaian, spike, memperbaiki padang dan membekalkan vitamin untuk meningkatkan kecergasan mereka. Untuk merangsang kecemerlangan mereka, satu skim yang dikenali sebagai “skim insentif olahraga ‘ telah dilancarkan. Melalui skim ini setiap pingat yang digondol akan ditawarkan hadiah baucer RM10, RM20 dan seterusnya mengikut pencapaian pada tahap tertinggi. Manakala setiap rekod yang dibuat, akan dibayar tunai RM20.00. Bagi menjaga kemajuan akademik, “skim insentif olahraga plus akademik’ telah dilancarkan. Melalui skim ini, atlit yang berjaya mencatat gred A dalam setiap ujian dan peperiksaan akan diberikan baucer bernilai RM5 dan RM10. Baucer ini boleh ditukarkan untuk menjelaskan yuran PIBG. Bagi menjamin masa depan mereka, juga telah membuat hubungan dengan Bahagian Pengambilan Angkatan Tentera Darat, TUDM dan Kementerian Kesiahatan, untuk menyerapkan atlit sekolah ini sebagai anggota mereka setelah tamat SPM.
Impaknya program dan aktiviti yang diaturkan, ialah penyertaan pelajar dalam olahraga semakin meningkat iaitu daripada 30 orang kepada 90 orang. Di dalam kejohanan olahraga Daerah Tampin 2009, atlit sekolah ini berjaya mengatasi pencapaian 2008 dengan 39 emas berbanding 27 emas. Di dalam Kejohanan Olahraga MSSNS 2009 pula atlit sekolah ini memberikan pingat emas sebanyak 14 daripada 24 pingat untuk Daerah Tampin. Seramai 11 atlit sekolah ini juga telah terpilih mewakili Negeri Sembilan ke MSSM, dan merupakan kumpulan atlit teramai. Ibu bapa kini sudah memberikan sokongan kuat kepada olehraga sekolah keraana tanggapan negatif, bahawa olahraga tidak mendatang faedah dan tidak menjamin masa depan mereka ternyata tidak benar malah mampu pula mengurangkan bebanan kewangan untuk menjelaskan yuran PIBG. Guru-guru juga semakin bersemangat kerana berpuashati dengan pencapaian dan komitmen pelajar. Ternyatalah tindakan penulis ini telah berjaya meningkatkan tahap pencapaian olahraga di sekolah ini ke tahap yang lebih baik.

3.4 Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Murid
Kecemerlangan pengurusan hal ehwal murid bermaksud pengetua berperanan memastikan pengurusan berasaskan prinsip dan peraturan, melaksanakan strategi peningkatan prestasi hal ehwal murid, aktiviti 3K, menangani konflik hubungan guru–murid, menangani masalah disiplin dan meningkatkan sahsiah murid. Para guru diminta untuk memastikan kebajikan pelajar di jaga, hak-hak setiap pelajar dipelihara dan sahsiah mereka dibangunkan untuk menjadi insan yang sempurna. Pengetua dan guru juga harus menjadi model serta ikutan pelajar dengan menunjukkan keperibadian yang mulia. Pelajar perlu didedahkan dengan akhlak mulia dan hidup berpandukan kepada agama. Konsep ‘Sekolahku Rumahku’ harus menjadi panduan guru-guru. Kasih sayang dan layanan sebagai anak yang memerlukan kasih sayang dan bimbingan harus sentiasa ada di jiwa setiap guru bagi menjamin keselesaan pelajar di sekolah. Pelajar yang dididik akhlak dengan akhlak mulia sudah pasti akan menjadi insan berguna di dalam masyarakat.
Di sekolah penulis, usaha pembentukan sahsiah pelajar ke arah sahsiah islam telah dilaksanakan melalui Program Jati diri Islam. Melalui program ini budaya islam diamalkan seperti memperdengarkan bacaan Al-Quran, zikir pada waktu rehat dan balik. Pelajar dan guru digalakkan bersolat jemaah pada waktu zohor sebelum balik. Pelajar juga dilatih untuk menjadi imam dan memberi tazkirah kepada pelajar-pelajar lain setiap kali selepas solat . Setiap pagi jumaat akan di adakan bacaan surah Yasin dan solat hajat serta solat dhuha di samping tazkirah oleh penulis sendiri.
Pada awalnya memang ada kebimbangan di kalangan guru takut pelajar akan menggunakan kesempatan untuk ponteng kelas, pura-pura solat kerana ramai yang tidak tahu solat dan membaca Al-Quran. Penulis meyakinkan guru-guru, bahawa kita perlu berusaha dan berdoa. Hidayah untuk berubah datangnya dari Allah dan pelajar harus diberikan peluang. Akhirnya, pandangan penulis dipersetujui oleh guru-guru dan mereka bekerjasama menggalakkan pelajar untuk mengikuti program ini. Kini, solat di surau diimamkan sendiri oleh pelajar dan mereka juga telah mampu memberi tazkirah sendiri. Kesannya amat mengkagumkan penulis sendiri. Pelajar kini telah menubuhkan sendiri Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR) dan menjalankan program seperti solat jemaah di setiap waktu (kecuali subuh) setiap hari dan melakukan qiammulail pada setiap hujung minggu dan solat hajat dan bacaan yasin pada setiap malam jumaat di surau. Pelajar juga telah mengadakan program konvoi ke masjid di sekitar Felda Jelai ini pada setiap 2 minggu sekali untuk bersolat maghrib, solat isyak, baca yasin dan solat hajat. Melalui program “Salam”, pelajar dan guru digalakkan bersalaman setiap kali bertemu di samping ucapan salam
Kesan yang dapat diperhatikan daripada perubahan ini ialah, masalah disiplin telah jauh berubah berbanding sebelumnya. Kini sudah ramai pelajar sudah pandai bersolat dengan sendiri dan suasana pembelajaran di dalam kelas juga sudah menjadi lebih baik. Pelajar telah mula fokus kepada pelajaran. Guru-guru juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk bersama-sama penulis dalam membentuk sahsiah pelajar ini. Guru–guru telah menyatakan kesudian untuk membantu mengajar pelajar mengaji atau bersolat. Hubungan antara guru dan pelajar juga sudah semakin akrab dan tiada lagi masalah pelajar biadap kepada guru. Penulis kerapkali menerangkan kepada guru-guru dan pelajar akan peri pentingnya disiplin di dalam mencapai kejayaan dalam setiap bidang. Guru-guru disedarkan akan tanggungjawab membentuk pelajar bukan hanya di bidang akademik, namun displin dan sahsiah juga menjadi tanggujawab semua. Saranan ini diterima baik oleh setiap guru tanpa halangan. Ibu bapa juga memberi sokongan dan berasa puas hati dengan perubahan kepada diri anak-anak mereka yang kini semakin menuju ke arah kebaikan.
3.5 Pengurusan Perhubungan Luar
Kecemerlangan dalam perhubungan luar bermaksud kemampuan pengetua menggunakan pengaruhnya menarik penyertaan agensi luar seperti PIBG, agensi luar, masyarakat untuk turut sama memberi sumbangan ke arah kecemerlangan sekolah. Ini kerana kejayaan sesebuah sekolah tidak akan menjadi kenyataan tanpa penyertaan komuniti. Tambahan lagi komuniti dan agensi luar ini mempunyai sumber dan kepakaran yang banyak yang boleh dimanfaatkan oleh sekolah.
Di sekolah penulis, penulis memperkenalkan dasar terbuka iaitu ‘memasyarakatkan sekolah dan menyekolahkan masyarakat’ . Dasar ini bermaksud memberikan ruang bagi masyarakat membantu sekolah dengan tujuan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai aktiviti dan tanggungjawab warga sekolah dalam mendidik anak-anak mereka. Ketika mula bertugas di sini, didapati banyak aktiviti dilakukan secara dalaman, kerana takut kurangnya sambutan masyarakat luar. Namun penulis sering menegaskan bahawa kecemerlangan sekolah adalah juga tanggungjawab masyarakat dan mereka harus berperanan membantu sekolah. Lanjutan itu, banyak program-program melibatkan agensi luar dan masyarakat telah diadakan. Program seperti Motivasi Telekom Malaysia, PTPL, Bengkel Kecemerlangan MARA, Universiti Terengganu Darul Iman, Karangkraf Malaysia, Ceramah Bersama NGO Aman Palestin, Program Jati Diri dan Kesedaran Sosial Berama Muslim Aid Asia, Yayasan Muslimin, RMC, Perimbu. Bersama komuniti setempat, penulis telah mengaktifkan PIBG dan Jawatankuasa Permuafakatan Sekolah dengan melibatkan semua pihak dan agensi setempat untuk membantu sekolah. Melalui program “Jom Konvoi Ke Masjid”, anjuran BADAR sekolah, kita telah bekerjasama dengan jawatankuasa masjid untuk memberi peluang pelajar sekolah ini menguruskan program di masjid termasuklah menyusun sejadah, azan, mengimamkan solat, mengetuai bacaan yasin, solat hajat dan mengemas masjid setelah selesai. Walaupun ada keraguan di kalangan guru pada awalnya kerana khuatir pelajar akan menimbulkan masalah terutama pada malam hari, penulis telah menyakinkan bahawa kita harus memberi peluang dan kepercayaan kepada pelajar dan membantu usaha murni mereka di samping berdoa semoga Allah memberi hidayah kepada mereka untuk berubah. Untuk mengubah masyarakat, kita haruslah mengubah anak didik kita yang akan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat apabila mereka berada di dalam masyarakat nanti. Akhirnya, pihak guru dan ibu bapa menyokong pandangan penulis.
Kesan perlaksanaan program ini telah mendapat sokoongan masyarakat dan mereka memuji usaha sekolah kerana telah berjaya membentuk senario baru di felda ini yang terkenal dengan kegiatan merempit. Akhlak pelajar juga telah terbentuk dan mereka mampu mengimarahkan surau pada setiap masa.


4.0 RUMUSAN
Kecemerlangan di dalam setiap aspek yang dibincangkan di atas walaupun nampak terpisah, hakikatnya adalah ia saling berkaitan. Kejayaan sesaorang pengetua untuk menjadikan sekolahnya sebagai sekolah cemerlang, bergantung kepada kejayaannya melaksanakan semua peranan tersebut dengan cemerlang. Oleh itu, berdasarkan prinsip sekolah cemerlang, kejayaan di dalam menghasilkan pelajar yang cemerlang di dalam akademiknya juga tidak dapat diterima , jika pelajar yang terhasil itu tidak sempurna akhlak dan keimanannya, tidak mampu menjadi modal insan sempurna untuk kecemerlangan negara seperti mana hasrat kementerian melalui falsafah pendidikan yang menyatakan pendidikan di Malaysia bertujuan melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual (JERI). Semua ini menuntut peranan pengetua sebagai pemimpin untuk mengembleng seluruh tenaga dengan sokongan semua pihak untuk mencapai hasrat di atas. Jika gagal, maka seluruh sekolah akan gagal, masyarakat dan negara akan kecewa dan hasrat Wawasan 2020 akan gagal.

5.0 PENUTUP
Akhirnya, segala hasrat negara untuk menjadi Negara maju tidak akan tercapai jika para pengetua yang diberikan tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat Negara gagal untuk melaksanakannya. Pengetua adalah nakhoda yang memandu bahtera ke destinasi yang dituju. Gagal nakhoda sudah pasti kapal tidak akan sampai ke destinasi dicita, malah lebih parah jika silap perhitungan akan karam di lautan dengan segala muatan dan penumpangnya. Kecemerlangan pengetua sebagai pemimpin amat dituntut agar boleh menjadi suri teladan sepertimana hadis Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud; “Siapa yang memberi contoh teladan, maka dia akan mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga ke hari kiamat.
RUJUKAN
Artikel

Shahil@Charii Bin Hj. Marzuki, Pembentukan Kerangka Teori Sekolah
Cemerlang,Universiti Malaya
Prof. Madya Dr. Azizi Hj. Yahaya,Hj. Mohammad Anuar Abd Rahman, Mohammad
Yusope Hassan, Gaya Pemudah Cara Di Sekolah: Sejauhmanakah Pengetua-pengetua Mengamalkannya, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Buku

Hussein Mahmood (1997) “ Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah’ Dewan Bahasa
Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

‘Standard Kompentasi Kepengetuaan Sekolah Malaysia’ (2006) Institut Aminuddin
Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia

Edmonds, R.R. (1997). Search for effective schools: The identification and analysis
of city schools that are instructionally effective for poor children. Boston, MA:
Harvard University Press

Edmonds, R. (1979a). Effective schools for the urban poor. Educational Leadership,
37(1), 15-27

Kertas Seminar

Mortimore, P. (1995). Key characteristics of effective schools. Institut Aminuddin
Baki, Genting Highlands.

4 Responses to "esei : peranan pengetua ke arah kecemerlangan sekolah"

  1. Tahniah cikgu, idea cikgu sedikit sebanyak membantu saya dalam kajian saya, terima kasih ;)

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah, Terima kasih cikgu atas info yang sangat menarik. Selamat Hari Guru.

    BalasPadam
  3. Tahniah cikgu, idea cikgu sangat menarik dan halalkan idea ini demi membangun modal insan dan pendidikan di negara ini.Semoga Allah membalas kebaikan cikgu.Selamat menjalani Ibadah puasa.

    BalasPadam
  4. tq.idea bernas..

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel