-->

kepimpinan

PENGENALAN:

Kepimpinan telah diterima sebagai faktor utama yang membezakan antara organisasi yang berkesan dengan organisasi yang tidak berkesan. Kepimpinan guru besar adalah sangat penting dalam pengurusan sekolah.
Kepimpinan dapat diertikan dalam pelbagai maksud. Namun untuk menjadi pemimpin, mestilah ada pengikutnya. Dalam Islam semua manusia adalah pemimpin ( khalifah ) dan setidak-tidaknya sebagai pemimpin kepada diri sendiri.

Menurut Gordon;
Kepimpinan dapat dilihat sebagai proses interaksi di antara individu dengan kumpulan, atau secara khususnya di anatara individu dengan keseluruhan ahli-ahli yang menganggotai kumpulan.Setiap yang terlibat dalam proses interaksi ini boleh dianggap memegang watak-watak tertentu yang berbeza di antara satu dengan yang lain.Asas yang membezakan tadi ialah pengaruh, iaitu pemimpin mempengaruhi dan pengikut mematuhi atau akur.

Fulmer pula menyatakan;
Kepimpinan melibatkan kedua-dua keupayaan atau kekuatan untuk meyakinkan orang lain bagi bekerja keras ke arah sesuatu matlamat, dan kemahiran atau kebolehan untuk membantu mereka mencapainya.

James Gribben mendifinasikan kepimpinan sebagai;
Kepimpinan dapat dijelaskan sebagai satu proses mempengaruhi ke atas kumpulan dalam situasi dan masa yang khusus yang dapat merangsang mereka untuk berusaha secara rela hati bagi mencapai matlamat bersama.


KEPIMPINAN TRANSFORMASI

Perkataan ‘transform’ bermakna ‘mengubah sifat-sifat sesuatu’. Seorang pemimpin transformasi adalah seorang yang mampu mengubah sifat-sifat negatif subordinat yang dipimpinnya menjadi sifat-sifat yang positif. Falsafah di sebalik teori ini ialah dengan mengubah sifat dan cara berfikir individu yang dipimpin, akan menghasilkan perubahan kepada budaya organisasi yang dipimpin.

Konsep kepimpinan transformasi ini pada mulanya telah diperkenalkan oleh Burns ( 1978 ). Kemudian ianya diperhalusi oleh Bass ( 1985 ). Kepimpinan ini berkonsepkan kepada perubahan iaitu membuat sesuatu perubahan ke arah yang lebih baik dan positif.

Kepimpinan transformasi mengandungi sifat-sifat karismatik, keupayaan membangkitkan inspirasi, kebolehan merangsang intelektual dan bersifat bertimbang rasa secara individu.


1. Karismatik

Sifat karismatik merupakan salah satu sifat yang terpenting dalam kepimpinan transformasi.Menurut Bass dan Avolio ( 1997 ), karismatik adalah gabungan ciri-ciri unggul pemimpin dan tingkah laku unggul pemimpin. Sifat-sifat karismatik ini antaranya adalah sanggup berkorban demi organisasi, mempamerkan keyakinan dan kewibawaan, berpegang kuat kepada nilai-nilai organisasi dan menekankan kepada pentingnya mempunyai misi bersama.

Mereka sensitif kepada keperluan orang bawahan, menjelaskan arah masa depan organisasi yang hendak dicapai, berkongsi idea dengan subordinat, memberi inspirasi, sedia menanggung risiko, sentiasa mengorbankan kepentingan peribadi demi kepentingan organisasi dan sentiasa diamati sebagai pemimpin berinovasi.

2. Keupayaan Mencetus Inspirasi

Pemimpin transformasi akan mencetuskan ilham subordinat dengan memberi motivasi dan menjelaskan matlamat yang hendak dicapai dengan gaya yang meyakinkan. Ini akan menimbulkan rasa ingin berusaha dengan lebih gigih demi mencapai visi yang ditetapkan. Pemimpin ini juga suka menolong subordinat yang kesusahan. Ini akan menimbulkan rasa kagum dam menjadikan subordinat lebih bersemangat untuk bekerja. Beliau juga sering memupuk perasaan bangga dengan organisasi sendiri.

3. Merangsang Intelektual

Pemimpin transformasi akan menggunakan perbincangan dua hala bagi menjana minda subordinat bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Cara ini dipercayai memberi kesan yang besar dan boleh membangkitkan motivasi subordinat. Beliau juga akan menekankan tentang kepentingan kerja berpasukan bagi mencapai sesuatu matlamat.

4. Timbang Rasa Secara Individu
Apa yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin transformasi akan memberi perhatian secara individu dengan menekankan kepada punca keperluan dan memahami kebolehan subordinatnya bagi memberikan kepuasan kepada mereka. Beliau bertindak sebagai mentor dalam usaha membina keyakinan subordinatnya.

Selain empat sifat yang dinyatakan di atas, pemimpin transformasi juga dikatakan selalu berusaha bagi mengurangkan kekangan yang wujud dalam organisasinya. Beliau juga suka menurunkan kuasa kepada subordinat di samping mempertingkatkan keperluan serta kebolehan subordinatnya. Ini akan melahirkan subordinat yang lebih bertanggungjawab dan menghasilkan matlamat organisasi ke peringkat maksimum.


PENGAPLIKASIAN TEORI TRANSFORMASI DI SEKOLAH

Perubahan tidak seharusnya dibiar berlaku secara rambang. Ia harus dirancang supaya sumber-sumber yang terdapat di sesebuah sekolah dapat digembleng dengan sebaik mungkin dan objektif transformasi itu tercapai.

Mengikut Kurt Lewin, perubahan organisasi terancang melalui tiga fasa yang jelas dan berkait rapat. Perubahan ini melibatkan fasa kesedaran ( unfreezing ), perubahan ( changing ) dan pengukuhan ( refreezing ).

Bagi memberi gambaran yang jelas dengan situasi sebenar di sekolah, kami memilih transformasi dari segi “melaksanakan Program 3K di sekolah”.

Seseorang pemimpin transformasi akan menggubal visi yang tepat dan jelas serta mudah difahami oleh semua warga sekolah. Contohnya beliau memberitahu untuk melaksanakan Program 3K di sekolah dan berhasrat untuk memenangi pertandingan tersebut di peringkat negeri pada tahun hadapan. Apabila faham, barulah guru-guru dapat memikirkan sendiri peranan yang dapat mereka mainkan bagi mencapai visi tersebut. Apabila visi itu berjaya nanti, mereka akan berasa puas hati terhadap sumbangan masing-masing.

Selain daripada visi, pemimpin transformasi juga perlu menggubal srategi bagi mencapai visi yang telah dimaklumkan kepada guru-guru. Beliau hanya perlu memberitahu guru-guru jalan utamanya sahaja dan merangsang intelektual guru-guru bagi mencadangkan srategi yang boleh dilaksanakan. Dengan cara ini guru-guru berpeluang menyumbang idea masing-masing bagi menceriakan kawasan sekolah seperti mengadakan sudut-sudut tertentu, mural, taman dan sebagainya serta cara perlaksanaannya. Hasilnya, mereka berasa mempunyai tempat dalam hal-hal yang penting dan dipercayai untuk membuat sesuatu keputusan.

Manusia adalah insan yang lemah dan selalu terlupa. Oleh itu mereka sentiasa perlu diingatkan tentang misi dan visi yang dikongsi dan hendak dicapai bersama-sama. Pemimpin tranformasi akan sentiasa memberi motivasi kepada guru-guru dengan meniup semangat juang bagi merealisasikan visi dan misi tersebut.

Selain itu, pemimpin transformasi adalah seorang yang bertimbang rasa secara individu. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bukan semua guru di sesebuah sekolah mempunyai kemahiran yang tinggi dalam sesuatu bidang. Oleh itu, Guru Besar sebagai seorang pemimpin akan membimbing guru-guru yang bersemangat untuk mengadakan sesuatu bagi mencapai visi tetapi kurang tahu caranya. Contohnya bagaimana untuk mencari penaja bagi menjayakan salah satu aktiviti program 3K tadi.

Pemimpin transformasi juga adalah ‘role model’ kepada semua guru. Untuk itu beliau tidak hanya bercakap sahaja tetapi perlu menjadi teladan kepada guru-guru lain. Contohnya apabila menjalankan sesuatu aktiviti yang telah dirancang seperti gotong royong membersihkan kawasan sekolah, beliau juga perlu turun padang bersama-sama guru-guru yang lain. Apabila kita inginkan orang bawahan sanggup berkorban, kita juga perlu memulakan pengorbanan itu.

Selain itu, setiap kejayaan yang mengarah kepada pencapaian visi mestilah diraikan sama ada secara formal atau tidak formal. Ganjaran adalah salah satu faktor yang dapat mencipta hubungan positif antara Guru Besar dan guru-guru. Menurut Abraham Maslow, pakar psikologi terkenal, manusia mempunyai harga diri dan maruah yang mesti dimuliakan. Perbuatan meraikan kejayaan sangat berguna bagi memperteguhkan lagi keyakinan diri, azam, tekad dan komitmen guru-guru untuk terus bekerja kuat mencapai visi yang ditetapkan.


RUMUSAN

Seseorang pemimpin yang berkesan dalam konteks sekolah adalah seorang yang dapat memperoleh dan mengekalkan pencapaian pelajar. Ini bermakna bahawa pencapaian sesebuah sekolah mestilah memenuhi objektif ataupun ekspektasi stakeholders. Peranan guru besar adalah menyediakan asas yang kukuh dan persekitaran yang kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu guru besar harus bijak memilih stail kepimpinan mereka bagi membuat perubahan.

Menurut kajian Ishak ( 2001 ), kepimpinan transformasi dikatakan salah satu kepimpinan yang baik dan boleh mempengaruhi subordinat. Kepimpinan ini berusaha menjajarkan nilai dan norma organisasi, dan apabila perlu, menyedia dan melakukan perubahan dalaman dan luaran.

Secara umumnya, kepimpinan transformasi dianggap oleh subordinat sebagai pemimpin yang boleh memberi kepuasan kepada mereka. Ini menyebabkan organisasi atau sekolah menunjukkan prestasi yang tinggi. Selain itu, subordinat kepimpinan transformasi dapat melaksanakan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh kerana bangga terhadap pemimpin dan organisasi mereka.

Secara amnya kepimpinan transformasi merupakan seorang pemimpin yang mempunyai sifat-sifat dan tingkah laku unggul, berupaya membangkitkan inspirasi orang bawahan, berkebolehan merangsang intelektual subordinat dan mempunyai sifat-sifat bertimbang rasa. Pemimpin ini berupaya membangkit dan mengekalkan komitmen dan kepuasan subordinat.

Rujukan

Ainon Mohd. (2004). Bagaimana hendak Mendorong Semangat Kerja. Bentong.
PTS Publications And Distributors Sdn Bhd. Pp 206 – 210.

Ainon Mohd. (2005). Teori dan Teknik Kepimpinan. Panduan Dan Aplikasi di
tempat kerja. Bentong. PTS Publications And Distributors Sdn Bhd. Pp 65
- 74.

Razali Mat Zin. (1997). Kepimpinan Dalam Pengurusan. Kuala Lumpur. Utusan
Publications And Distributors Sdn Bhd.

Ishak Sin. (2003). Gaya Kepimpinan Transformasi dan Pengajaran: Gaya
manakah yang diperlukan Oleh Pengetua. Jurnal Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan. 02(13). IAB. Genting Highlands. Pp 01 – 11.

Azmi Zakaria (Disember 2004). Isu dan Trend Kepimpinan Pendidikan.
Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan. 14(02). IAB, Genting Highlands: Pp 40.

Abdul SukorAbdullah. (Jun 2004). Kepimpinan Unggul Tomggak Pengurusan
Pendidikan Cemerlang. Jurnal Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan 14(01). IAB, Genting Highlands : Pp 18 – 20

4 Responses to "kepimpinan"

  1. assalamualaikum...mohon kebenaran utk copy catatan ini...sgt berguna utk saya bagi menjawab soalan exm nnty...terima kasih

    BalasPadam
  2. salam..terima kasih...sgt berguna sbg rujukan membuat tugasan...mohon izin menyalin...

    BalasPadam
  3. salam.sy nk tya cikgu ada bhn kepimpinan unggul tak?sy nk buat tugasan..terima kasih :)

    BalasPadam
  4. MOHON KEBENARAN UNTUK COPY..TERIMA KASIH.

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel