Jumaat, 22 Januari 2010

dasar pendidikan negara

Dasar Pendidikan Negara

Pengenalan
Dasar pendidikan negara sebelum merdeka mewujudkan 5 jenis sistem persekolahan yang terasing di antara satu sama lain, iaitu sekolah Inggeris, Melayu, Cina, India dan agama. Sejak tahun 1946, British sedar satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan harus diwujudkan bagi menyatukan masyarakat yang berbilang kaum. Kesedaran ini terbukti dalam Rancangan Cheessmen yang mencadangkan sekolah Inggeris sebagai asas penyatuan sistem persekolahan. Usaha-usaha telah dijalankan untuk menuju ke arah penyatuan sistem pendidikan. Selepas merdeka, usaha mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan diteruskan. Dasar pendidikan kini lebih bertujuan membentuk perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Satu dasar pendidikan yang lebih baik adalah penting bagi membentuk negara yang stabil, bersatu-padu dan progresif.

Penyata Barnes, 1950
Pada Ogos 1950, satu jawatankuasa yang diketuai oleh L.J. Barnes ditubuhkan bagi mengkaji masa depan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Setelah menjalankan kajian, satu penyata yang dikenali sebagai Penyata Barnes disediakan dan dikemukakan kepada Kerajaan British pada tahun 1951. Panyata ini mengandungi syor-syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini. Antara syor-syor ini ialah:
a. Sekolah vernakular digantikan dengan sekolah kebangsaan.
b. Sekolah kebangsaan dibuka kepada semua kaum dan diajar oleh guru dari pelbagai kaum dan keturunan.
c. Sekolah rendah – Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Sekolah menengah – Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar.
d. Semua murid diberi pelajaran percuma di sekolah rendah selama 6 tahun.
Penyata ini dibantah oleh kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu membantah kerana kedudukan Bahasa Melayu tidak diberi kedudukan yang wajar. Bagi Cina, sekolah kebangsaan dianggap seolah-olah mengancam kebudayaan dan Bahasa Cina yang mereka banggakan. Orang India menentang kerana permintaan mereka supaya kedudukan sekolah Tamil dikaji telah ditolak oleh kerajaan.

Laporan Fenn-Wu, 1951
Pada tahun 1951, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji kedudukan sekolah Cina. Jawatankuasa ini dketuai oleh Dr. W.P. Fenn dan Dr. Wu Teh-Yao. Tugas utama jawatankuasa Fenn-Wu ialah mengkaji kemungkinan menjadikan sekolah Cina yang menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai pengantar dan Bahasa Cina sebagai satu matapelajaran pilihan. Syor-syor yang dikemukakan ialah:
a. Sekolah Cina dikekalkan tetapi kurikulumnya berdasarkan latar belakang tempatan.
b. Sekolah Cina menyokong konsep penggunaan 3 bahasa sebagai bahasa pengantar supaya perpaduan di antara kaum tidak terjejas.
Laporan Fenn-Wu ditolak oleh UMNO kerana tidak menguntungkan orang Melayu.

Ordinan Pelajaran, 1952
Pada bulan September 1952, satu jawatankuasa Penasihat Pusat ditubuhkan bagi mengkaji Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu. Jawatankuasa ini mengesyorkan beberapa cadangan yang kemudian diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1952. Antara cadangannya ialah:
a. Penubuhan 2 jenis sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
b. Pelajaran selama 6 tahun dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah.
c. Sekolah kebangsaan yang dicadangkan oleh Barnes dilaksanakan.
d. Sekolah Cina dan Tamil tidak termasuk dalam konsep sistem sekolah kebangsaan.
Ordinan Pelajaran 1952 tidak dapat dilaksanakan kerana berlakunya Darurat.

Penyata Razak, 1956
Jawatankuasa Razak ditubuhkan pada 30 September 1955 untuk mengkaji Ordinan Pelajaran 1952. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Dato’ Abdul Razak bin Hussein. Hasil kajian jawatankuasa ini terkandung dalam Laporan Razak yang dikemukakan pada bulan April 1956. Berikut ialah kandungan Laporan Razak:
1. Sekolah rendah
a. Sekolah rendah dibahagikan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
b. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan matapelajaran wajib.
c. Murid keturunan Cina dan Tamil di sekolah aliran Inggeris diberi peluang mempelajari bahasa ibundanya jika ada 15 orang atau lebih murid ingin belajar.
d. Guru-guru mestilah mempunyai Sijil Sekolah Menengah Rendah dan mendapat latihan sepenuh masa setahun dan separuh masa 2 tahun.
2. Sekolah menengah
a. Sekolah menengah dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu sekolah menengah rendah (3 tahun), sekolah menengah atas (2 tahun) dan pra-U (2 tahun).
b. Satu jenis sekolah menengah sahaja yang Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai matapelajaran wajib.
c. Terbuka kepada semua kaum dan menggunakan sukatan yang sama.
d. Bagi memasuki sekolah menengah, mesti lulus peperiksaan memasuki sekolah menengah.
3. Sistem peperiksaan
a. Sekolah menengah rendah
Peperiksaan di peringkat Tingkatan 3 (peperiksaan bersama) dan mesti lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP/LCE) bagi memasuki sekolah menengah atas.
b. Sekolah menengah atas
Peperiksaan bersama di Tingkatan 5 untuk memperolehi Sijil Persekutuan Tanah Melayu yang sama taraf dengan Cambridge Overseas Certificate.
c. Pra-U
Peperiksaan di Pra-U tahun kedua untuk memperolehi Sijil Tinggi Pelajaran (STP/HSC) untuk memasuki universiti.
Laporan Razak telah diluluskan pada April 1957 dan dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak ditentang oleh orang Melayu kerana tiada ketegasan dalam pelaksanaan bahasa kebangsaan. Orang Cina menentang kerana sesetengah cadangan dikatakan mengabaikan pendidikan Bahasa Cina.

Laporan Rahman Talib, 1960
Pada tahun 1959, Jawatankuasa Penyemak Pelajaran ditubuhkan bagi mengkaji semula perlaksanaan Laporan Razak dan langkah-langkah bagi mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan. Jawatankuasa ini diketuai oleh Abdul Rahman bin Haji Talib. Beberapa syor telah dikemukakan:
1. Bahasa kebangsaan
a. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
b. Peperiksaan awam diadakan dalam Bahasa Melayu.
c. Semua calon mesti lulus Bahasa Melayu sebelum masuk ke sekolah menengah.
2. Kelas peralihan
Kelas peralihan diadakan bagi pelajar dari SRJK(C) dan SRJK(T) yang ingin bertukar ke sekolah menengah aliran Melayu atau Inggeris.
3. Kenaikan automatik
a. Kenaikan darjah secara automatik di semua sekolah rendah dan sekolah menengah bantuan kerajaan.
b. Peluang pendidikan selama 9 tahun disediakan secara automatik iaitu 6 tahun sekolah rendah dan 3 tahun sekolah menengah rendah.
c. Pelajaran percuma kepada semua sekolah rendah tanpa mengira bahasa pengantarnya.
4. Matapelajaran akhlak
a. Murid beragama Islam – Pendidikan Islam.
b. Murid bukan beragama Islam – Pendidikan Moral.

Akta Pelajaran, 1961
Syor-syor Laporan Rahman Talib akhirnya digubal menjadi Akta Pelajaran 1961. Melalui akta ini:
a. Semua sekolah menggunakan kurikulum yang sama tanpa mengira aliran sekolah.
b. Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dari sekolah rendah ke sekolah menengah sampai institusi pengajian tinggi.
c. Umur minimum meninggalkan sekolah – 15 tahun.

oleh SP Star


DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Pada tahun-tahun menuju ke arah kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin dan rakyat negara ini betapa penting diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah dan memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahirnya Dasar Pendidikan Kebangsaan, 1957. Dasar Pendidikan ini telah disemak semula pada tahun 1960 dan telah menghasilkan Laporan Rahman Talib yang telah memperkemaskan Ordinan Pendidikan 1957. Laporan Rahman Talib mengukuhkan lagi Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti yang termaktub di dalam Akta Pendidikan 1961.


Pada tahun 1974, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki perlaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan pada tahun 1979.


Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa pertimbangan kepada keperluan pembangunan, pembinaan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia kaum pendatang kepada negara asal mereka dan menekankan semangat pembangunan rakyat tempatan. Langkah-langkah telah diambil bagi menggubal sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat sendiri.


Objektif


Objektif dasar ini adalah dinyatakan di dalam pendahuluan Akta Pendidikan 1961, yang berbunyi :

“ Bahawa dasar pendidikan seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan
Pendidikan, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pelajaran yang
akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan
perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.”





Objektif ini dinyatakan secara am di dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menginterpretasi sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja bagi keperluan ekonomi. Objektif ini telah diperkhususkan lagi setelah Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Bidang tugas itu menunjukkan bahawa Dasar Pendidikan diharap dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara dalam jangka panjang dan pendek, melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.


Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan. Strategi pelaksanaan adalah seperti berikut :

1. Penggunaan satu kurikulum yang sama kandungannya untuk semua sekolah

2. Penggunaan satu bahasa pengantar yang sama iaitu Bahasa Malaysia di semua sekolah dan universiti

3. Penggunaan buku-buku teks yang sama berlatarkan negara

4. Memperluaskan pendidikan vokasional dan teknikal

5. Menggunakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah yang berdasarkan 3M (membaca, menulis, mengira)

6. Menggunakan pendidikan menengah mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)

7. Penggunaan satu peraturan jadual waktu yang sama untuk semua sekolah

8. Penggunaan satu sistem peperiksaan yang sama

9. Penggunaan sistem penggal persekolahan yang sama

10. Penggunaan sistem pentadbiran dan peraturan sekolah yang sama










Antara tujuan Dasar Pendidikan Kebangsaan :


1. Sistem pendidikan yang memenuhi keperluan, perkembangan dan pembangunan masyarakat dari segi sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan masyarakat negara ini

2. Membentuk pengajaran yang cekap dan berkesan

3. Membentuk sistem yang mendatangkan bebab kewangan kepada negara

4. Membentuk sistem pendidikan yang memenuhi keperluan ibubapa

5. Pembentukan undang-undang yang sentiasa dapat menjamin perkembangan dan peningkatan taraf sistem pendidikan dari masa ke semasa


Di samping strategi-strategi di atas, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkemaskan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di samping itu, beberapa bahagian dan Jawatankuasa telah ditubuhkan di Kementerian Pendidikan yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi mempastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini.


Pencapaian


Dalam menilai pencapaian semasa, 2 matlamat utama Dasar Pendidikan Kebangsaan yang perlu diberi perhatian ialah :

1. Samada pelaksanaan sistem pendidikan dan kurikulum yang ada dapat melahirkan keperluan tenaga rakyat yang diperlukan oleh negara

2. Samada sistem pendidikan di negara ini telah dapat melahirkan rakyat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih


Untuk mengetahui samada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat adalah rumit. Keperluan tenaga rakyat yang bergantung kepada perkembangan sosial negara memang sukar ditentukan. Ini disebabkan perkembangan ekonomi yang sangat dipengaruhi oleh iklim dan suasana ekonomi dunia yang sering berubah.


Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dapat merapatkan jurang pengenalan bidang pekerjaan mengikut kaum. Ia juga telah dapat mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan bilangan kaum Bumiputera yang berpendidikan.


Sungguhpun Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dapat meluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, namun demikian terdapat rungutan bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan telah melemahkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar di semua peringkat. Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini memandangkan penguasaan Bahasa Inggeris penting bagi pembelajaran dan pemindahan kemahiran daripada negara-negara maju, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan negara

11 ulasan:

  1. salam..baik..para pelajar mudah mendapatkan maklumat dengan mudah dan cepat..diharap dasar2 yang lain dapat di muat turun..
    salam...

    BalasPadam
  2. salam...terima kasih krn upload infrmasi ni...dpt memudahkan saya...sekali lg trimas...

    BalasPadam
  3. salam...TK banyak-banyak,hanya Allah SWT yang akan membalas segala kebaikan

    BalasPadam
  4. baik.. diharap saudara dapat memuatnaik banyak lagi info-info yang lain..

    BalasPadam
  5. boleh share soalan yg berkaitan nga dasar pendidikan negara kh?
    sy binggung sudah ne...

    BalasPadam
  6. assalamualaikum..mohon baca dan ambil input dr blog tuan boleh?? nak buat rujukan assignment

    BalasPadam
  7. Salam Tn. Harapkan ehsan Tn ukt beri kebenaran info tn sbg bahan rujukan essigment

    BalasPadam
  8. alhamdulillah, t.kasih kerana segala info memberi kemudahan kepada saya untuk menyiapkan tugasan.

    BalasPadam
  9. Assalamualaikum..cikgu,terima kasih byk2 di atas info dan juga perkongsian maklumat ini..sy mohon share dan ambil sdikit mklumat dr maklumat ini rujukan tgsan.hanya Allah sjlh yg dapt mmblas jasa baik cikgu,terima kasih.

    BalasPadam
  10. Mohon izin ciplak sikit2 utk assaiment

    BalasPadam
  11. Salam # Income RM900 sehari "REGISTER PERCUMA" tiada
    bayaran di kenakan (kalau anda rasa program ini satu penipuan,
    ia tidak merugikan anda kerana anda tidak pun mengeluarkan
    modal) tidak perlu cari orang dan tidak perlu jual barang. Anda
    hanya perlu ada FACEBOOK / WHATSAPP / WECHAT termasuk
    laman sosial yang lainya. Anda perlu open link di bawah ini dan
    register. Anda terus dapat USD 25 x 3.4 = RM 85.00. Selepas itu
    anda akan dapat link anda sendiri. Anda hanya copy ayat saya ini
    dan post di laman sosial anda. Setiap orang yang buka link anda,
    anda terus dapat USD 10 x 3.4 = RM 34.00. Sangat mudahkan ???
    Anda boleh pilih cara pembayaran samada duit $$$ anda
    dimasukkan ke akaun bank atau cek akan diposkan ke alamat
    rumah anda. Jangan tunggu lagi. " REGISTER PERCUMA " sila
    klik link di bawah ini dan isi maklumat anda. Belum cuba belum
    tau dan tidak salahkan kalau mencuba
    Sila la klik link ni
    http://EachInvitePay.com/?share=1188

    BalasPadam