-->

Pengurusan kurikulum yang berkesan

Pengurusan kurikulum yang berkesan
Bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sekolah) - BAHAGIAN 3
ALIMUDDIN MD DOM
--------------------------------------------------------------------------------



DIYAKINI dengan melaksanakan perkara-perkara yang dinyatakan itu akan membolehkan pengurusan sekolah terlaksana dengan baik dan dapat pula meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Pemantauan

Pemantauan dari perspektif tradisional sering dikaitkan dengan tindakan pihak pengurusan melaksanakannya dalam bentuk mengarah, mengawal dan menghukum. Namun demikian, Sergiovanni dan Starratt (1983) yang melihat pemantauan dari sudut sumber manusia adalah bermaksud sebagai satu usaha atau tindakan bagi mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan keupayaan atau tindakan bagi mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan keupayaan dan daya usaha orang lain. Dalam konteks ini guru merupakan pemain utama yang akan melaksanakan aktiviti ke arah mencapai matlamat sekolah tersebut. Oleh itu, pendekatan pemantauan yang dimaksudkan ialah bertujuan menggunakan sebaik mungkin dan secara optimum keupayaan serta kebolehan yang sedia ada pada diri guru untuk melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran yang berkenaan.

Pada kebiasaannya, budaya sekolah yang menitikberatkan aspek kecemerlangan bidang akademik dan kokurikulum akan menjadikan proses pemantauan sebagai satu aspek penting di sekolah berkenaan. Pemantauan juga merupakan tanggungjawab pihak pengetua atau guru besar sepertimana yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1987, iaitu menjadikan pemantauan sebagai sebahagian tugas harian bagi memastikan pengajaran guru berada dalam keadaan yang baik dan mempunyai standard serta kualiti yang tinggi. Pemantauan seharusnya bukan dilakukan oleh pengetua atau guru besar atau guru-guru kanan sahaja malah boleh dilakukan juga oleh rkan sejawat.

Salah satu daripada kaedah pemantauan yang biasa dilakukan oleh pengetua dan guru besar terhadap guru ialah melalui pemantauan klinikal. Pemantauan klinikal ini dilaksanakan melalui empat peringkat iaitu:

1. Prapemantauan

Sebelum pemantauan dilakukan pengetua atau guru besar akan mengadakan perbincangan dengan guru untuk melihat aspek-aspek yang berkaitan iaitu dari segi objektif, tajuk, pendekatan pengajaran dan jangkaan outcome yang akan dicapai melalui pengajaran yang akan dilaksanakan. Di samping itu latar belakang tahap kebolehan pelajar juga turut dibincangkan supaya pemantauan mendapat gambaran awal.

2. Pemantauan

Proses pemantauan dilakukan di bilik darjah; pengetua kebiasaannya akan duduk di suatu sudut belakang bilik darjah. Kaedah, teknik dan cara pengajaran guru dan pembelajaran pelajar menjadi fokus utama pemantauan. Catatan akan dibuat semasa pemantauan iaitu menekankan dari segi kekuatan dan kelemahan guru. Pengetua dan guru besar hendaklah menurunkan keupayaan dan kebolehan diri mereka sesuai seperti seorang pelajar yang ada di bilik darjah berkenaan. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi isi pengajaran, ilmu yang disampaikan, kejelasan suara penggunaan alat bantu mengajar, kawalan bilik darjah, memahami apa yang disampaikan dan pelajar-pelajar mendapat pengetahuan serta kemahiran daripada pengajaran guru tersebut.

3. Analisis

Proses ini dilakukan oleh pengetua dan guru besar yang akan membuat refleksi dan merangka kesimpulan daripada proses pengajaran dan pembelajaran tersebut bersama guru. Catatkan segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri guru, teknik penyampaian, ilmu yang disampaikan, penerimaan pelajar dan jangkaan yang ingin dicapai. Penggunaan alat video dan perakam kadang-kadang boleh membantu dalam membuat sesuatu analisis.

4. Pascapemantauan

Pengetua dan guru bertemu bagi membincangkan analisis yang telah dibuat dan memberikan cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan. Pada peringkat ini, kekuatan yang ada pada diri guru juga perlu ditonjolkan. Di sinilah kekuatan dan kebolehan pengetua dan guru besar diperlukan bagi membimbing dan memandu anak buahnya. Guru-guru yang didapati mempunyai kelebihan dalam cara penyampaian dan pengajaran boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk menjadi contoh kepada guru lain terutama guru baru.

Pemantauan klinikal adalah suatu kaedah bagi membantu guru dalam meningkatkan kualiti dan prestasi pengajaran mereka. Sebagaimana yang dinyatakan tadi aktiviti pemantauan perlu dilaksanakan secara berterusan sepanjang masa oleh pengetua dan guru besar. Pemantauan juga boleh digalakkan kepada sesama guru bagi mendapatkan penanda arasan pengajaran yang baik yang boleh dicontohi di samping meningkatkan lagi tahap profesionalisme khususnya kepada guru-guru baru. Bagi sebilangan sekolah cemerlang yang pernah dilawati oleh Jemaah Nazir, mereka menjadikan aspek pemantauan ini sebagai suatu budaya atau kebiasaan di kalangan tenaga pengajar di sekolah berkenaan. Pengetua atau guru besar dan guru-guru kanan akan membuat pemantuan pada bila-bila masa sementara guru-guru pula bersedia untuk dipantau tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Penilaian

Penilaian pencapaian pelajar merupakan suatu kaedah untuk mengukurkeberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Penilaian boleh dilakukan dalam bentuk lisan dan tulisan sama ada semasa pengajaran sedang dijalankan atau diwaktu tertentu. Bagi sekolah berkesan, proses penilaian yang dibuat melalui ujian atau peperiksaan dilakukan secara sistematik sama ada berbentuk mingguan bulanan, penggal atau pada akhir tahun.

Dalam hal ini konsep penilaian perlu difahami oleh semua warga sekolah iaitu bertujuan untuk menilai dan mendapatkan maklumat tentang tahap keupayaan dan kefahaman pelajar terhadap pengajaran guru. Maklumat ini berguna kepada guru dan pihak sekolah untuk memperbaiki perancangan, program dan aktiviti yang dilaksanakan. Penilaian juga diperlukan bagi menyampaikan maklumat kepada ibu bapa untuk mengetahui peningkatan pencapaian akademik anak-anak mereka di sekolah. Di samping itu penilaian juga akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui tahap keupayaan dan kelemahan mereka dalam aspek yang dinilai. Ini penting untuk mereka membuat penambahbaikan terhadap pencapaian tersebut.

Kesimpulan

Pengurusan kurikulum hendaklah dijadikan oleh pengetua dan guru besar sebagai agenda utama dalam aktiviti hariannya di sekolah. Pengurusan kurikulum yang baik dan teratur akan dapat membantu guru-guru melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dengan lebih berkesan. Keperluan mendapatkan maklumat peningkatan pencapaian akademik pelajar dan aktiviti pemantauan kepada pengajaran guru perlu diberi keutamaan oleh pengetua dan guru besar dalam melaksanakan tugasan hariannya. Dengan adanya maklumat dan data yang lengkap akan memudahkan pengetua dan guru besar merancang, melaksana dan menilai program serta aktiviti yang dilakukan oleh guru dan pelajar. Ini akan membolehkan mereka menjadi pengurus kurikulum berkesan yang dikagumi oleh semua guru dan pelajar.

Sumber portal utusan

0 Response to "Pengurusan kurikulum yang berkesan"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel