Sabtu, 27 Februari 2010

ESEI GURU

KECEMERLANGAN SEBUAH SEKOLAH SANGAT BERGANTUNG
KEPADA PERANAN PENGETUA. SEJAUH MANAKAH ANDA SEBAGAI
PEMIMPIN DAPAT DIKAITKAN DENGAN PERANAN TERSEBUT.

Ringkasan Eksekutif


Standard Kopetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia telah menggariskan 9
peranan dan tanggungjawab memimpin sesebuah sekolah kepada pengetua untuk
dilaksanakan bagi memacu kecemerlangan sekolah. Di samping itu, terdapat
beberapa ciri kepimpinan yang memerlukan penghayatan oleh setiap pengetua
dalam usaha untuk menggembleng setiap warga sekolah dan sumber yang ada
untuk memacu mereka ke arah kecemerlangan sekolah. Melalui adunan peranan
dan kepimpinan inilah pengetua dapat merealisasikan segala visi dan misi ke arah
kecemerlangan dalam setiap bidang, di dalam persekitaran kerja yang harmoni, dan
merangsang setiap warga meningkatkan kualiti dan kuantiti kerja dan hasil. Dalam
penulisan ini, penulis membincangkan lima daripada 9 peranan dan tanggungjawab
atau kemahiran yang harus dilaksanakan oleh pengetua untuk memastikan
kecemerlangan sekolah. Melalui analisis secara kritikal dan analitikal, penulis
berpendapat bahawa semua tugas dan pernanan tersebut haruslah dilaksanakan
dengan serentak dan secara cemerlang oleh semua pengetua tidak kira di tahap
mana sekali sekolah mereka kerana ia akan memberikan kesan yang hebat dalam
kejayaan sesebuah sekolah. Penulis merumuskan perbincangan dengan
menegaskan bahawa peranan pengetua amat penting dan menjadi penentu utama
terhadap terhadap kecemerlangan sekolah. Beliau juga mengungkapkan bagaimana
pengetua menggunakan kemahiran dan pengetahuan berkaitan dengan peranan
dan kepimpinan ini untuk melaksanakan beberapa tindakan dalam mengubah
persepsi dan pemikiran setiap warga sekolah ke arah kecemerlangan.

1.0LATAR BELAKANG DAN PENGENALAN

Wawasan 2020 yang digariskan oleh Dr. Mahathir Mohamed pada 28 Febuari
1991 adalah berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju
mengikut acuannya sendiri. Antara hasrat yang terkandung di dalamnya ialah,
Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara yang masyarakatnya bersatu padu ,
mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berpegang teguh kepada nilai agama,moral,
etika dan menikmati kehidupan yang demokratik, liberal dan bertolak ansur. Lanjutan
itu, di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah
memperkenalkan MISI NASIONAL yang mengaitkan dengan Islam Hadhari yang
menekankan penguasaan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi individu
bagi menyediakan sumber tenaga manusia yang seimbang iaitu modal Insan. Misi
Nasional ini memberikan penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan
‘minda kelas pertama’. Dasar 1 Malaysia hasil ilham Perdana Menteri Dato Seri
Najib Tun Razak mengukuhkan lagi betapa perlunya keupayaan modal insan ini
digembleng demi kecemerlangan negara.
Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, Kementerian Pelajaran
Malaysia telah diberikan peranan yang utama untuk melahirkan tenaga kerja yang
berkualiti yang berketerampilan, yang mampu menangani cabaran dan bersaing
dalam era globalisasi pada masa kini dan pada masa akan datang. Melalui misi
utama kementerian iaitu membentuk modal insan kelas pertama melalui
pembangunan sistem pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia. Segala usaha ini
sudah pastilah bermula di peringkat sekolah. Dalam hal ini sudah tentulah peranan
pengetua yang akan menggerakkan segala tenaga setiap guru, staf, dalam mendidik
anak-anak ini dengan menggunakan segala sumber, tenaga dan kepakaran yang
ada.


1.2 PENDAHULUAN

Kementerian Pelajaran Malaysia melalui PIPP ( Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan 2006-2010) yang menggariskan 6 teras utama ke arah pencapaian
pendidikan bertaraf dunia tersebut. Melaluinya diharapkan Kementerian Pelajaran
Malaysia akan mengorak langkah membuat anjakan paradigma kepada budaya
berasaskan ilmu dan pemikiran di sekolah-sekolah. Sehubungan itu, sistem
pendidikan diharapkan akan dapat mengeluarkan lepasan sekolah yang kreatif dan
berdaya fikir, mampu menjana idea dan rekaan baru untuk membangunkan industri
berasaskan produk serta perkhidmatan bernilai tambah.

Kejayaan hasrat yang digariskan di dalam PIPP ini adalah menjadi
tanggungjawab setiap warga pendidik terutamanya yang berada di sekolah-sekolah.
Para guru, kakitangan, murid-murid memikul tanggungjawab melaksanakan tugas
masing-masing ke arah ini. Dalam hal ini, pengetua amat bertanggungjawab
menggerakkan sekolah untuk mencapai hasrat yang dirancang. Cabaran terbesar
pengetua di sekolah adalah untuk memastikan organisasi sekolah dapat berjalan
dengan efisien, efektif dan cemerlang. Lanjutan daripada itu, Kementerian Pelajaran
Malaysia dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki (IAB), telah menggariskan 9
tugas dan peranan yang perlu dikuasai oleh setiap pengetua untuk melengkapkan
diri dengan pengetahuan dan kemahiran menangani dunia pendidikan bagi
melahirkan pendidikan berkualiti dan sekolah berkesan/ sekolah cemerlang (IAB,
2006). 9 Standard Kompetensi tersebut adalah:,Pengurusan dan Kepimpinan
Organisasi, Pengurusan Kurikulum, Pengurusan Ko-Kurikulum, Pengurusan Hal
Ehwal Murid,Pengurusan Kewangan, Pengurusan Pentadbiran Pejabat, Pengurusan

Persekitaran dan Kemudahan Fizikal, Pengurusan dan Pembangunan Sumber
Manusia dan Pengurusan Perhubungan Luar. Ternyata peri pentingnya kepimpinan
pengetua dalam menjana kecemerlangan sesebuah sekolah. Pengetua sebagai
peneraju utama sekolah menjadi penentu kepada kejayaan setiap perancangan dan
menggerakkan setiap warga sekolah ke arah pencapaian visi yang seterusnya
mewujudkan sebuah sekolah yang cemerlang.

2.0 DEFINISI KONSEP
Bagi membincangkan permasalahan yang dinyatakan, beberapa definisi dan
konsep berkaitan perlulah diperjelaskan seperti berikut:

2.1 PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN.
Abas Awang dan Abdullah Ngah, (2007) mentakrifkan kepimpinan sebagai
setiap tindakan yang menumpukan sumber-sumber ke arah matlamat yang benarbenar
bermanfaat. Pemimpin pula adalah orang yang diamanahkan melaksanakan
tugas kepimpinan di atas. Dalam konteks ini , penulis membincangkan 2 jenis
kepimpinan sahaja.
2.1.1 Kepimpinan Instruksional

Sweeny (1982) , menyebutkan enam ciri kepimpinan pengetua / guru
besar yang berkaitan dengan kepimpinan pengajaran di sekolah cemerlang;
penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam pelajaran, menyusun dan
menetapkan strategi pengajaran; menyediakan dan mengekalkan suasana
kondusif di sekolah (iklim sekolah); kerap menilai pencapaian akademik
pelajar; menyelaras program pengajaran; membantu dan memberi semangat
kepada guru-guru. Menurut Hussien Mahmood( 1993), mengatakan bahawa
kepimpinan pengetua/ guru besar bertanggungjawab mengadakan falsafah,
matlamat dan objektif sekolah, membimbing para guru meningkatkan
kecekapan mereka dalam pengajaran dan lain-lain bidang kurikulum.
Pengetua juga melaksanakan program perkembangan staf, menyelaras
aktiviti pendidikan serta lain-lain usaha. Jelaslah, kepimpinan pengetua dalam
melaksanakan dan menumpukan seluruh tenaga dalam memastikan tugas
hakiki dan utama dalam kecemerlangan kurikulum, amatlah penting.

2.1.2 Kepimpinan Tranformasional

Zaidatol Akmaliah (2003) mendefinasikan kepimpinan ini sebagai
pemimpin yang mampu mempengaruhi perubahan besar dalam organisasi
serta membentuk komitmen ahlinya untuk mencapai visi, misi, matlamat dan
strategi organisasi. Beliau seterusnya melanjutkan bahawa pengetua bukan
lagi diperlukan untuk mengawal organisasi tetapi berperanan memimpin staf
untuk menyumbang di peringkat yang lebih tinggi. Hal ini disokong oleh
Rahimah Ahmad (2002) yang menyarankan agar pengetua mengamalkan
pengupayaan kepimpinan dalam kalangan guru-gurunya. Oleh itu, benarlah
seperti apa yang dimaksudkan oleh Bass (1978) yang menyatakan bahawa
kepimpinan transformasi ini merupakan ciri kepimpinan yang mengandungi
sifat-sifat keupayaan membangkitkan inspirasi, kebolehan merangsang
intelektual dan bersifat bertimbang rasa secara individu. Hal ini penting
kerana pengetua pada hari ini bukan sahaja bertanggungjawab menjalankan
tugas fungsionalnya sahaja malahan ia perlu menangani segala
permasalahan yang berkaitan dengaan kepimpinannya di sekolah secara
profesional (Hussien Ahmad, 2002).

Oleh itu, jelaslah bahawa pengetua sebagai pemimpin organisasi yang
mengamalkan kepimpinan tranformasional perlulah mampu menjelaskan
kepada staf bawahannya mengenai halatuju sekolah, berkongsi idea serta
menerima pandangan orang bawahannya, mampu membawa perubahan dan
inovasi, menunjukkan semangat dan inspirasi tinggi, sanggup berkorban demi
kemajuan organaisasi dan perihatin terhadap keperluan orang bawahannya.

2.1.3 Rumusan

Ternyata untuk seorang pengetua berjaya berperanan dalam
menjadikan sekolahnya sebagai sekolah yang cemerlang, kedua-dua jenis
kepimpinan ini mestilah mampu di adun dengan seimbang. Menurut Md. Fiah
(2005), ini penting bagi memastikan kecemerlangan sekolah dapat diraih,
dikekal dan seterusnya dipertingkatkan. Oleh itu, sebagai seorang pengetua,
saya haruslah bukan sahaja berusaha memastikan kejayaan cemerlang
dalam pencapaian akademik, serta ko-kurikulumnya, malahan harus dapat
diterima oleh semua staf dalam usaha memacu pentadbiran sekolah
keseluruhannya ke arah kecemerlangan tanpa mengorbankan aspek penting
pengurusan.

Hal ini selari dengan seruan agama Islam yang menyeru kita
mencontohi kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w yang berjaya mendidik
manusia dalam memastikan bukan hanya kita cemerlangan dalam hubungan
dengan Allah, yang menjadi keutamaan, tetapi juga kita harus berjaya dalam
menguruskan hubungan dang manusia dan alam demi kesejahteraan hidup di
dunia dan di akhirat. Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w telah terbukti
sebagai pemimpin terbaik yang diakui oleh dunia Islam dan Barat. Jika sifat
kepimpinan begini dapat diterapkan di sekolah sudah pastilah setiap ahli
dalam organisasi berkenaan bukan sahaja berjaya memacu kecemerlangan
akademiknya, malahan akan teruja dan komited untuk memajukan sekolah
sesuailah dengan hasrat Kementerian menjadikan ‘sekolahku rumahku’.

2.2 PERANAN PENGETUA

Dalam kajian mengenai kepimpinan (Stogdill, 1974, Edmond, 1979, Nor
Azian, 1994), pengaruh kepimpinan adalah amat penting dalam menentukan
kejayaan sesebuah organisasi. Pengaruh dan kecekapan pemimpin dapat
membawa ke arah kecemerlangan sesebuah organisasi. Oleh itu, organisasi seperti
sekolah, pengaruh kepimpinan dan kecekapan pengetua sekolah amat penting
dalam menentukan kejayaan sekolah di bawah pimpinannya. Pengetua sekolah
adalah merupakan kakitangan yang terpenting di peringkat sekolah kerana
peranannya sebagai pemimpin, pentadbir dan pengurus sekolah.

Menurut Hussein (1993) berdasarkan kajian sekolah berkesan peranan
pengetua sering dibicarakan sebagai faktor yang menyebabkan kejayaan sesebuah
sekolah. Oleh itu, pengetua perlu memainkan peranannya dengan berkesan supaya
sekolah akan terus cemerlang. Pengetua sekolah di Malaysia bertanggungjawab
dalam hal-hal yang berkaitan dengan sekolah termasuklah (Hussien, 1993, p 21):
berusaha bagi mencapai dasar pendidikan di peringkat sekolah; mengurus dan
mentadbir sekolah, kurikulum, kokurikulum, kebajikan pelajar, guru dan staf
sokongan sekolah; menyediakan khidmat bantu yang secukupnya bagi
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dan mewujudkan dan memajukan iklim
dan budaya sekolah. Justeru, pengetua perlu berperanan memastikan segala
tenaga dan usaha guru-guru digembleng dengan menggunakan sumber yang ada
ke arah pencapaian program pendidikan yang berkesan.

2.3 SEKOLAH CEMERLANG

Peter Mortimore (1995), dalam Seminar Sekolah Berkesan di Malaysia
menyatakan terdapat sebelas ciri utama iaitu, kepimpinan professional, perkongsian
visi dan misi, persekitaran pembelajaran yang unggul, tumpuan kepada P & P,
pengajaran berhala tuju jelas, harapan tinggi pelajar, pengukuhan yang positif,
pemantauan, hak dan tanggungkjawab pelajar, permuafakaatan sekolah dan
organisasi pembelajaran.

Hal ini dijelaskan lagi oleh Hussein Mahmood (1993) yang menyatakan,
sekolah cemerlang bukanlah sekolah yang established atau sekolah primer tetapi
sekolah yang dapat menghasilkan pencapaian akademik yang tinggi, kurang
menghadapi masalah disiplin dan mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat
dan guru-guru merasa puas hati bekerja. Abdul Shukor Abdullah (1991) pula
melanjutkan dengan menyatakan bahawa sekolah cemerlang adalah sekolah yang
mencapai tahap terbaik, bermutu dan terunggul dalam semua bidang berkaitan
dengan akademik, sahsiah, pengurusan, perhubungan, infrastruktur dan
kepemimpinan.

Secara keseluruhannya, sekolah cemerlang bermaksud sekolah yang dapat
mencatat kejayaan yang menonjol dalam segenap bidang tanpa menafikan kejayaan
dalam “nieche area” atau watak sesebuah sekolah. Namun hakikat yang kita perlu
terima ialah sekolah-sekolah begini juga sebenarnya mempunyai pencapaian yang
baik dalam banyak bidang lain. Ini kerana ia seringkali saling melengkapi seperti
kejayaan akademik kerap kali juga ditunjangi oleh tahap disiplin dan sahsiah yang
cemerlang.

3.0 PERANAN PENGETUA DALAM KECEMERLANGAN SEKOLAH

Peranan pengetua dalam menjamin kecemerlangan sesebuah sekolah,
sebenarnya telah dititipkan oleh Kementerian melalui Standard Kompetensi
Pengetuan Sekolah Malaysia yang menggariskan sembilan kemahiran yang menjadi
‘KPI’ kepada kejayaan seseorang pengetua mampu memimpin sekolah menjadi
sekolah cemerlang. Walau bagaimana pun, bagi tujuan perbincangan ini, penulis
akan hanya membincangkan lima peranan seperti berikut;

3.1 Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi
Kecemerlangan dalam pengurusan dan kepimpinan organisasi bermaksud
kejayaan pengetua menggerakkan sumber bagi mencapai objektif organisasi dan
membentuk halatuju organisasi, mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang
hayat dan membawa perubahan serta kualiti peribadi dan professional.

Pengetua haruslah mampu menterjemahkan dasar kerajaan, menerapkan
pengurusan organisasi berkesan, menjana visi dan misi sekolah, menggunakan
maklumat dan pendekatan terkini, memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat,
melaksanakan perubahan dan menjalankan penilaian dan penambahbaikan.
Di sekolah, penulis seringkali menegaskan setiap staf untuk mengamalkan
nilai-nilai murni di dalam perkhidmatan seperti berazam meningkatkan mutu
perkhidmatan, bekerja dengan penuh tanggungjawab, berusaha mengikis sikap
mementingkan diri, berkhidmat dengan penuh muhibbah dan kemesraan dan
berpegang teguh kepada ajaran agama. Penulis membawa pendekatan keislaman di
dalam pentadbiran. Penulis seringkali mengingatkan semua warga sekolah agar
melaksanakan tugas sebagai satu tanggungjawab dan ibadah serta amanah yang
akan dituntut oleh Allah. Mereka juga diingatkan supaya bersyukur dengan nikmat
yang diberi dan mestilah menunjukkan kesyukuran itu dengan bekerja bersungguhsunguh, penuh ikhlas dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah. Mereka juga diingatkan akan tujuan kita bekerja adalah untuk mencari rezeki yang halal untuk kita berikan kepada anak isteri. Pentadbiran secara telus dan tegas sentiasa diterapkan
di dalam pentadbiran sekolah. Guru-guru dan staf diberikan “empowerment” untuk
melaksanakan tugas agar mereka berupaya membuat keputusan dan berani
terutamanya di dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik dan ko-kurikulum
serta sahsiah pelajar. Melalui dasar mesra dan terbuka, setiap orang digalakkan
memberikan pandangan dan idea untuk memajukan sekolah.

Pada peringkat awalnya memang ada pihak-pihak yang berasa tidak selesa.
Ada sebahagiannya sudah selesa dengan budaya ‘ikut saja arahan’ yang diamalkan
sebelumnya. Mesyuarat hanyalah sekadar menerima arahan dan tiada ruang
perbincangan. Penulis seringkali menasihatkan pentadbir–pentadbir lain di sekolah
supaya mengamalkan dasar terbuka, mesra dan telus dalam bekerja. Kesannya
ialah hubungan sesama guru semakin rapat dan setiap orang telah menunjukkan
komitmen yang tinggi. Tidak berlaku lagi masalah ponteng kerja atau balik awal
terutamanya di kalangan pekerja bawahan. Mereka juga sudah mematuhi waktu
bekerja yang ditetapkan dan sentiasa berlumba-lumba untuk meningkatkan prestasi.
Penulis tidak perlu lagi memberikan arahan yang yang banyak kerana semua telah
faham akan tugas yang sepatutnya mereka laksanakan.

3.2 Kecemerlangan Kurikulum

Kecemerlangan kurikulum ini membawa maksud kepada peranan pengetua
dalam menggerakkan segala sumber untuk menyokong perlaksanan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan bagi memastikan kejayaan muridnya. Kesan kejayaan
seringkali dikaitkan dengan peningkatan pencapaian di dalam peperiksaan awam
dan juga kemampuan pelajar menguasai semua kemahiran yang sepatutnya
dikuasai pelajar di dalam tempoh pembelajaran mereka.
Oleh yang demikian, peranan pengetua dalam menjadikan sekolahnya
sebagai sekolah yang cemerlang hendaklah memberi penekanan terhadap
pencapaian pelajar dalam bidang akademik, menyusun dan menetapkan strategi
pengajaran, menyedia dan mengekalkan suasana kondusif di sekolah (iklim
sekolah), kerap menilai pencapaian akademik pelajar, menyelaras program
pengajaran; dan membantu dan memberi semangat kepada para guru. Sebagai
contohnya di sekolah penulis menghadapi masalah berkaitan tahap keinginan
belajar yang rendah di kalangan pelajar.

Ramai pelajar yang kurang berminat untuk belajar dan tiada semangat berlumba-lumba untuk mengejar kejayaan. Akibatnya tahap pencapaian akademik berada pada tahap sederhana. Kejadian ponteng menjadi suatu yang lumrah sehingga kadangkala menjadikan sebahagian guru kecewa. Penulis telah mengemukakan suatu program iaitu, Program Menjana Kecemerlangan Akademik telah dilaksanakan untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam PMR dan SPM. Sasaran untuk mengatasi pencapaian tahun sebelumnya di sandarkan kepada beberapa kumpulan pelajar yang akan dipantau pencapaiannya oleh mentor yang terdiri daripada para guru. Mereka akan
menyemak latihan pelajar kumpulan elit melalui program bekalan buku latihan pada
setiap minggu. Setiap minggu pengetua bersama dengan guru-guru akan bersamasama
membaca yasin, bersolat hajat dan solat dhuha pada setiap pagi jumaat.

Setiap kali itu juga penulis akan memberi motivasi mingguan untuk merangsang
para pelajar supaya sentiasa berjuang untuk mencapai kecemerlangan. Untuk
merangsang kecemerlangan pelajar ini, program “Skor A-Jasamu DiKenang” juga
telah dilaksanakan. Melalui program ini, setiap pelajar yang mencapai gred A dalam
setiap ujian bulanan dan mengekalkan pencapaian mereka dalam peperiksaan
peretengahan tahun dan akhir tahun serta percubaan, akan diberikan ganjaran
baucer bernilai RM5.00 dan RM10.00. Pelajar juga ditawarkan ganjaran RM15 bagi
setiap A dalam PMR dan RM20.00 bagi setiap A dalam SPM. Ganjaran juga
diberikan kepada setiap panitia yang pelajarnya berjaya memperolehi banyak A.
Hasilnya, para pelajar dan para guru telah berlumba-lumba untuk mencapai
kecemerlangan. Pada peperiksaan akhir tahun 2008 sahaja seramai 200 orang
pelajar berjaya mengekalkan pencapaian gred A . Berkat usaha para guru dan
semua pelajar ini juga, pencapaian PMR dan SPM 2008, juga telah mencatat
peningkatan pencapaian iaitu daripada GPS 3.38 kepada 3.19 (PMR) dan 6.68
kepada 6.54 (SPM). Melalui PMR juga, sebanyak 8 daripada 10 mata pelajaran telah
mencatat peningkatan mendadak dan ada yang mencatat rekod terbaik selama 6
tahun kebelakang. Kesannya, pencapaian akademik telah meningkat pada setiap
kali peperiksaan dilaksanakan. Penulis berpendapat, tindakan yang dirancang oleh
penulis untuk meningkatkan pencapaian kurikulum di sekolah ini benar-benar telah
berhasil sehingga menjadikan sekolah ini cemerlang.

3.3 Kecemerlangan Kokurikulum

Kecemerlangan ko-kurikulum adalah bermaksud, pengetua mampu
meningkatkan penglibatan para pelajar di dalam setiap bidang ko-kurikulum di
samping dapat mencipta kejayaan dalam permainan, kelab dan bidang beruniform
yang disertai. Dari segi penglibatan, sasarannya adalah setiap pelajar terlibat di
dalam setiap aktiviti ko-kurikulum di sekolah. Di samping itu, sekolah juga haruslah
mampu membentuk watak sekolah melalui program ko-kurikulum ini. Bidang kokurikulum ini mempunyai peranan yang penting di dalam pembentuk modal insan
yang berguna. Melaluinya pelajar didedahkan kepada kepimpinan, akhlak dan
kepatuhan kepada disiplin, semangat kekitaan, kesediaan bertolak ansur dan saling
tolong-menolong dan berdikari. Kecemerlangan insan yang dilahirkan melalui aktiviti
ini, sudah pastilah akan melahirkan modal insan yang tahan menempuh cabaran
dan seterusnya sihat mindanya.

Di sekolah penulis, sukan olahraga telah dipilih untuk menjadi watak bagi
sekolah ini. Ketika penulis sampai di sekolah ini pada 2008 lalu, kemudahan dan
pencapaian olahraga sekolah adalah sederhana. Terdapat banyak kekurangan
kemudahan peralatan dan motivasi kepada para atlit. Ramai ibu bapa yang kurang
menyokong penyertaan anak mereka dalam bidang ini kerana beranggapan anak
mereka akan gagal di dalam peperiksaan dan tidak mempunyai masa depan di
dalam olahraga. Bagi mengatasi masalah ini, penulis telah berbincang dengan
jawatankuasa olahraga sekolah dan telah mengambil beberapa langkah untuk
meningkatkan pencapaian. Penulis mengambil langkah untuk melengkapkan
keperluan atlit seperti, pakaian, spike, memperbaiki padang dan membekalkan
vitamin untuk meningkatkan kecergasan mereka. Untuk merangsang kecemerlangan
mereka, satu skim yang dikenali sebagai “skim insentif olahraga ‘ telah dilancarkan.
Melalui skim ini setiap pingat yang digondol akan ditawarkan hadiah baucer RM10,
RM20 dan seterusnya mengikut pencapaian pada tahap tertinggi. Manakala setiap
rekod yang dibuat, akan dibayar tunai RM20.00. Bagi menjaga kemajuan akademik,
“skim insentif olahraga plus akademik’ telah dilancarkan. Melalui skim ini, atlit yang
berjaya mencatat gred A dalam setiap ujian dan peperiksaan akan diberikan baucer
bernilai RM5 dan RM10. Baucer ini boleh ditukarkan untuk menjelaskan yuran PIBG.
Bagi menjamin masa depan mereka, juga telah membuat hubungan dengan
Bahagian Pengambilan Angkatan Tentera Darat, TUDM dan Kementerian
Kesiahatan, untuk menyerapkan atlit sekolah ini sebagai anggota mereka setelah
tamat SPM.
Impaknya program dan aktiviti yang diaturkan, ialah penyertaan pelajar dalam
olahraga semakin meningkat iaitu daripada 30 orang kepada 90 orang. Di dalam
kejohanan olahraga Daerah Tampin 2009, atlit sekolah ini berjaya mengatasi
pencapaian 2008 dengan 39 emas berbanding 27 emas. Di dalam Kejohanan
Olahraga MSSNS 2009 pula atlit sekolah ini memberikan pingat emas sebanyak 14
daripada 24 pingat untuk Daerah Tampin. Seramai 11 atlit sekolah ini juga telah
terpilih mewakili Negeri Sembilan ke MSSM, dan merupakan kumpulan atlit teramai.
Ibu bapa kini sudah memberikan sokongan kuat kepada olehraga sekolah keraana
tanggapan negatif, bahawa olahraga tidak mendatang faedah dan tidak menjamin
masa depan mereka ternyata tidak benar malah mampu pula mengurangkan
bebanan kewangan untuk menjelaskan yuran PIBG. Guru-guru juga semakin
bersemangat kerana berpuashati dengan pencapaian dan komitmen pelajar.
Ternyatalah tindakan penulis ini telah berjaya meningkatkan tahap pencapaian
olahraga di sekolah ini ke tahap yang lebih baik.

3.4 Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Murid

Kecemerlangan pengurusan hal ehwal murid bermaksud pengetua berperanan memastikan pengurusan berasaskan prinsip dan peraturan, melaksanakan strategi peningkatan prestasi hal ehwal murid, aktiviti 3K, menangani konflik hubungan guru–murid, menangani masalah disiplin dan meningkatkan sahsiah murid. Para guru diminta untuk memastikan kebajikan pelajar di jaga, hakhak setiap pelajar dipelihara dan sahsiah mereka dibangunkan untuk menjadi insane yang sempurna. Pengetua dan guru juga harus menjadi model serta ikutan pelajar dengan menunjukkan keperibadian yang mulia. Pelajar perlu didedahkan dengan akhlak mulia dan hidup berpandukan kepada agama. Konsep ‘Sekolahku Rumahku’ harus menjadi panduan guru-guru. Kasih sayang dan layanan sebagai anak yang memerlukan kasih sayang dan bimbingan harus sentiasa ada di jiwa setiap guru bagi menjamin keselesaan pelajar di sekolah. Pelajar yang dididik akhlak dengan akhlak mulia sudah pasti akan menjadi insan berguna di dalam masyarakat. Di sekolah penulis, usaha pembentukan sahsiah pelajar ke arah sahsiah
islam telah dilaksanakan melalui Program Jati diri Islam. Melalui program ini budaya
islam diamalkan seperti memperdengarkan bacaan Al-Quran, zikir pada waktu rehat
dan balik. Pelajar dan guru digalakkan bersolat jemaah pada waktu zohor sebelum
balik. Pelajar juga dilatih untuk menjadi imam dan memberi tazkirah kepada pelajarpelajar lain setiap kali selepas solat . Setiap pagi jumaat akan di adakan bacaan
surah Yasin dan solat hajat serta solat dhuha di samping tazkirah oleh penulis
sendiri.

Pada awalnya memang ada kebimbangan di kalangan guru takut pelajar akan
menggunakan kesempatan untuk ponteng kelas, pura-pura solat kerana ramai yang
tidak tahu solat dan membaca Al-Quran. Penulis meyakinkan guru-guru, bahawa kita
perlu berusaha dan berdoa. Hidayah untuk berubah datangnya dari Allah dan pelajar
harus diberikan peluang. Akhirnya, pandangan penulis dipersetujui oleh guru-guru
dan mereka bekerjasama menggalakkan pelajar untuk mengikuti program ini. Kini,
solat di surau diimamkan sendiri oleh pelajar dan mereka juga telah mampu
memberi tazkirah sendiri. Kesannya amat mengkagumkan penulis sendiri. Pelajar
kini telah menubuhkan sendiri Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR) dan
menjalankan program seperti solat jemaah di setiap waktu (kecuali subuh) setiap
hari dan melakukan qiammulail pada setiap hujung minggu dan solat hajat dan
bacaan yasin pada setiap malam jumaat di surau. Pelajar juga telah mengadakan
program konvoi ke masjid di sekitar Felda Jelai ini pada setiap 2 minggu sekali untuk
bersolat maghrib, solat isyak, baca yasin dan solat hajat. Melalui program “Salam”,
pelajar dan guru digalakkan bersalaman setiap kali bertemu di samping ucapan
salam

Kesan yang dapat diperhatikan daripada perubahan ini ialah, masalah disiplin
telah jauh berubah berbanding sebelumnya. Kini sudah ramai pelajar sudah pandai
bersolat dengan sendiri dan suasana pembelajaran di dalam kelas juga sudah
menjadi lebih baik. Pelajar telah mula fokus kepada pelajaran. Guru-guru juga telah
menunjukkan komitmen yang tinggi untuk bersama-sama penulis dalam membentuk
sahsiah pelajar ini. Guru–guru telah menyatakan kesudian untuk membantu
mengajar pelajar mengaji atau bersolat. Hubungan antara guru dan pelajar juga
sudah semakin akrab dan tiada lagi masalah pelajar biadap kepada guru. Penulis
kerapkali menerangkan kepada guru-guru dan pelajar akan peri pentingnya disiplin
di dalam mencapai kejayaan dalam setiap bidang. Guru-guru disedarkan akan
tanggungjawab membentuk pelajar bukan hanya di bidang akademik, namun displin
dan sahsiah juga menjadi tanggujawab semua. Saranan ini diterima baik oleh setiap
guru tanpa halangan. Ibu bapa juga memberi sokongan dan berasa puas hati
dengan perubahan kepada diri anak-anak mereka yang kini semakin menuju ke arah
kebaikan.

3.5 Pengurusan Perhubungan Luar

Kecemerlangan dalam perhubungan luar bermaksud kemampuan pengetua
menggunakan pengaruhnya menarik penyertaan agensi luar seperti PIBG, agensi
luar, masyarakat untuk turut sama memberi sumbangan ke arah kecemerlangan
sekolah. Ini kerana kejayaan sesebuah sekolah tidak akan menjadi kenyataan tanpa
penyertaan komuniti. Tambahan lagi komuniti dan agensi luar ini mempunyai sumber
dan kepakaran yang banyak yang boleh dimanfaatkan oleh sekolah.
Di sekolah penulis, penulis memperkenalkan dasar terbuka iaitu
‘memasyarakatkan sekolah dan menyekolahkan masyarakat’ . Dasar ini bermaksud
memberikan ruang bagi masyarakat membantu sekolah dengan tujuan untuk
memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai aktiviti dan tanggungjawab
warga sekolah dalam mendidik anak-anak mereka. Ketika mula bertugas di sini,
didapati banyak aktiviti dilakukan secara dalaman, kerana takut kurangnya
sambutan masyarakat luar. Namun penulis sering menegaskan bahawa
kecemerlangan sekolah adalah juga tanggungjawab masyarakat dan mereka harus
berperanan membantu sekolah. Lanjutan itu, banyak program-program melibatkan
agensi luar dan masyarakat telah diadakan. Program seperti Motivasi Telekom
Malaysia, PTPL, Bengkel Kecemerlangan MARA, Universiti Terengganu Darul Iman,
Karangkraf Malaysia, Ceramah Bersama NGO Aman Palestin, Program Jati Diri dan
Kesedaran Sosial Berama Muslim Aid Asia, Yayasan Muslimin, RMC, Perimbu.
Bersama komuniti setempat, penulis telah mengaktifkan PIBG dan Jawatankuasa
Permuafakatan Sekolah dengan melibatkan semua pihak dan agensi setempat
untuk membantu sekolah. Melalui program “Jom Konvoi Ke Masjid”, anjuran BADAR
sekolah, kita telah bekerjasama dengan jawatankuasa masjid untuk memberi
peluang pelajar sekolah ini menguruskan program di masjid termasuklah menyusun
sejadah, azan, mengimamkan solat, mengetuai bacaan yasin, solat hajat dan
mengemas masjid setelah selesai. Walaupun ada keraguan di kalangan guru pada
awalnya kerana khuatir pelajar akan menimbulkan masalah terutama pada malam
hari, penulis telah menyakinkan bahawa kita harus memberi peluang dan
kepercayaan kepada pelajar dan membantu usaha murni mereka di samping berdoa
semoga Allah memberi hidayah kepada mereka untuk berubah. Untuk mengubah
masyarakat, kita haruslah mengubah anak didik kita yang akan menjadi agen
perubahan di dalam masyarakat apabila mereka berada di dalam masyarakat nanti.
Akhirnya, pihak guru dan ibu bapa menyokong pandangan penulis.
Kesan perlaksanaan program ini telah mendapat sokoongan masyarakat dan
mereka memuji usaha sekolah kerana telah berjaya membentuk senario baru di
felda ini yang terkenal dengan kegiatan merempit. Akhlak pelajar juga telah
terbentuk dan mereka mampu mengimarahkan surau pada setiap masa.

4.0 RUMUSAN

Kecemerlangan di dalam setiap aspek yang dibincangkan di atas walaupun
nampak terpisah, hakikatnya adalah ia saling berkaitan. Kejayaan sesaorang
pengetua untuk menjadikan sekolahnya sebagai sekolah cemerlang, bergantung
kepada kejayaannya melaksanakan semua peranan tersebut dengan cemerlang.
Oleh itu, berdasarkan prinsip sekolah cemerlang, kejayaan di dalam menghasilkan
pelajar yang cemerlang di dalam akademiknya juga tidak dapat diterima , jika pelajar
yang terhasil itu tidak sempurna akhlak dan keimanannya, tidak mampu menjadi
modal insan sempurna untuk kecemerlangan negara seperti mana hasrat
kementerian melalui falsafah pendidikan yang menyatakan pendidikan di Malaysia
bertujuan melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelektual (JERI). Semua ini menuntut peranan pengetua sebagai pemimpin untuk
mengembleng seluruh tenaga dengan sokongan semua pihak untuk mencapai
hasrat di atas. Jika gagal, maka seluruh sekolah akan gagal, masyarakat dan negara
akan kecewa dan hasrat Wawasan 2020 akan gagal.

5.0 PENUTUP

Akhirnya, segala hasrat negara untuk menjadi Negara maju tidak akan
tercapai jika para pengetua yang diberikan tanggungjawab untuk merealisasikan
hasrat Negara gagal untuk melaksanakannya. Pengetua adalah nakhoda yang
memandu bahtera ke destinasi yang dituju. Gagal nakhoda sudah pasti kapal tidak
akan sampai ke destinasi dicita, malah lebih parah jika silap perhitungan akan karam
di lautan dengan segala muatan dan penumpangnya. Kecemerlangan pengetua
sebagai pemimpin amat dituntut agar boleh menjadi suri teladan sepertimana hadis
Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud; “Siapa yang memberi contoh teladan, maka dia
akan mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga
ke hari kiamat.

Penulis : 611111-04-5221

RUJUKAN
Artikel
Shahil@Charii Bin Hj. Marzuki, Pembentukan Kerangka Teori Sekolah
Cemerlang,Universiti Malaya
Prof. Madya Dr. Azizi Hj. Yahaya,Hj. Mohammad Anuar Abd Rahman, Mohammad
Yusope Hassan, Gaya Pemudah Cara Di Sekolah: Sejauhmanakah Pengetuapengetua
Mengamalkannya, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi
Malaysia.
Buku
Hussein Mahmood (1997) “ Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah’ Dewan Bahasa
Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
‘Standard Kompentasi Kepengetuaan Sekolah Malaysia’ (2006) Institut Aminuddin
Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia
Edmonds, R.R. (1997). Search for effective schools: The identification and analysis
of city schools that are instructionally effective for poor children. Boston, MA:
Harvard University Press
Edmonds, R. (1979a). Effective schools for the urban poor. Educational Leadership,
37(1), 15-27
Kertas Seminar
Mortimore, P. (1995). Key characteristics of effective schools. Institut Aminuddin
Baki, Genting Highlands.
20

Tiada ulasan:

Catat Ulasan