-->

NOTA CIKGU HAMZAH 15

ANTARA FAHAM DENGAN TIDAK FAHAM DIJELMAKAN DI DALAM PELBAGAI DIMENSI MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU


1.Sikap, pemikiran dan tingkahlaku yang menjadi indikator penting di dalam mana-
mana organisasi, kelompok sosial, masyarakat dan negara dapat menggambarkan tahap
disiplin dan pencapaian di dalam pelbagai aspek dan dimensi.

2.Selaku warga organisasi, setiap kita sepatutnya sudah faham dengan cabaran, harapan
dan halangan yang mesti diatasi bagi menentukan bukan sahaja diri peribadi malah
organisasi yang kita dukungi berjaya mencapai matlamat dan objektif.

3. Dari itu, aspek memenuhi jangkaan perlukan tahap kefahaman dan persefahaman
yang tinggi dan meluas di dalam semua aras dan ruang lingkup pelaksanaan tugas
yang menjadi amanah dan tanggungjawab kita.

4. Namun demikian, sedarkah kita bahawa dalam situasi yang sepatutnya kita dapat
menunjukkan kefahaman ini, kadang-kadang kita gagal membuktikannya; dan dalam
masa yang sama kita tidak dapat menerima teguran sewajarnya.

5. Patutkah sikap dan keadaan sedemikian menyelubungi minda dan gaya kerja kita
sehingga kita tidak lagi dapat membezakan antara objektif dan sentimen seperti:

i) Kita dakwa faham tetapi buat seperti tak faham.
ii) Kita dakwa kita betul tetapi kita buat cara yang tidak betul.
iii) Kita tak buat yang disuruh tetapi kita buat yang tidak disuruh.
iv) Kita tak suka ditegur tetapi apa yang dibuat minta ditegur.
v) Kita mencari alasan tetapi tidak akui kelemahan.

6. Saya suka tegaskan lagi bahawa selagi kita tidak mahu memahami ‘duduk perkara’
selagi itulah kita tidak mungkin bersatu hati dalam misi dan visi kita selaku golongan
pendidik yang profesioanl, malah jauh panggang dari api daripada mencapai
martabat guru sebenar guru.

7. Sudah agak banyak gagasan, konsep dan pendekatan yang Guru Besar kemuka dan
uar-uarkan, namun apakah benar-benar kita faham?

8. Seorang guru yang perkasa, bukan kuat dan gagah dari segi fizikalnya tetapi kuat dan
gagah dari segi semangat berkhidmat dan berkorban, menjunjung kebenaran, tidak
lekas putus asa dan kecewa, sedia menerima tugas dan tanggungjawab, sentiasa ingin
belajar dan memperbaiki kesilapan; dan paling utama dan penting SABAR di dalam
semua hal dan keadaan.

9. Imam Ghazali membahagikan sabar itu kepada lapan jenis iaitu:

i) ‘Iffah : Sabar menahan nafsu perut dan sex,
ii) Dhabtun Nafs : Sabar menahan keserakahan menjadi kaya.
iii) Syaja’ah : Sabar untuk menang ( di dalam peperangan).
iv) Hilm : Sabar menahan amarah dan kesal.
v) Si’atus Sadar : Sabar menahan penghinaan dan kecaman.
vi) Kitwanus Sir : Sabar menyimpan rahsia.
vii) Zuhud : Sabar meninggikan kehidupan.
viii) Qina’ah : Sabar menerima nasib seperti yang ada.

10.Sayugia diingat kejayaan apa pun jua dalam kehidupan dan kerjaya adalah terletak
kepada ‘sikap’ seperti ungkapan Zig Ziglar:

“ It is not your aptitude, but your attitude that determines your latitude in life.”


ANASIR BEJAT DAN JAHAT JANGAN DIBIAR
MENGHALANG USAHA MENGANGKAT DARJAT DAN MARTABAT


1. Mengangkat ‘martabat’ dalam pengertian yang umum ialah meningkatkan ‘darjat’,
kedudukan, imej dan personaliti, status berbanding apa-apa jua ukuran yang diguna
pakai sebelumnya.

2. Dari segi pengertian khusus berhubung profesion dan ketrampilan individu di dalam
berorganisasi dan berkerjaya mengangkat martabat dapat diertikan sebagai
mengangkat kefahaman ilmu pengetahuan, menambah celik-akal terhadap apa jua
fenomena alam dan manusia yang berlaku di sekeliling kita, dapat memetik buah
hikmah dan kebijaksanaan daripada peristiwa sebab-akibat, serta dapat pula
mengekalkan hal dan ehwal diri sentiasa berada di tahap yang tinggi dan terpuji.

3. Dalam konteks usaha mengangkat ‘martabat sekolah’ kita umpamanya, adakah kita
benar-benar mengetahui dan sedar bahawa niat murni tersebut tidak mungkin berhasil
tanpa kesungguhan membanteras unsur-unsur buruk selama ini serta memperbaiki
kesilapan dan berusaha menerapkan amalan-amalan baru yang lebih positif dan
menggalakkan.

4. Alhamdulilah, seperti yang kita sedia maklum, kita sedikit sebanyak telah pun
berjaya menukar imej dan rupa sekolah kita, sekaligus berjaya mengangkat martabat
sekolah ke tempat atau tahap yang lebih baik.

5. Antara buktinya dapat disebut adalah:

vi) Peningkatan kelulusan UPSR selam empat tahun berturut-turut.
vii) Menjadi calon dalam kategori sekolah rendah Pertandingan 3K Tahun 2001.
viii) Menjadi calon kelompok Pertandingan Kantin Berbintang peringkat Daerah Maran bagi Tahun 2001.
iv)* Wakil daerah Maran kategori sekolah rendah Pertandingan Landskap 2001.

6. Pencapaian UPSR tahun lalu (2000) telah meletakkan sekolah kita salah sebuah
sekolah sepuluh terbaik mempunyai potensi baik ini (kecuali pencapaian bilangan 5A)
seperti berikut:

B.Melayu (Kefahaman) - Kedudukan dalam daerah 11/46 (98.4%)
B.Melayu (Penulisan) - Kedudukan dalam daerah 6/46 (95.1%)
Bahasa Inggeris - Kedudukan dalam daerah 11/46 (67.2%)
Matematik - Kedudukan dalam daerah 16/46 (87.1%)
Sains - Kedudukan dalam daerah 7/46 (96.7%)



7. Sayangnya kegagalan menghasilkan 5A menyebabkan kedudukan sekolah kita jatuh ke
tempat 39/46 !. Inilah perkaranya yang perlu kita kaji, kupas, atasi dan usaha
bersungguh-sungguh agar tahun ini, khasnya kelemahan ini dapat kita atasi dan
sekaligus mengangkat martabat sekolah sewajarnya.

8. Betapa penting dan perlunya setiap warga organisasi bersatu hati, melangkah
sederap, bergandingan bahu membulatkan tekad serta memfokus tepat ke sasaran
yang telah kita rencanakan supaya anasir-anasir jahat dan bejat tidak berputik dan
berkembang sehingga merosakkan segala-galanya.

9. Antara anasir-anasir bejat lagi jahat yang perlu dihapuskan adalah:

i) Bersikap sengaja ‘menyakitkan hati’...rakan dan Ketua Jabatan.
ii) Menabur fitnah dan cerita-cerita yang diputar belit.
iii) Berperangai macam budak-budak walau konon sudah pernah belajar di
menara gading.
iv) Tidak ada perasaaan malu barang sedikit apabila hati perut dan
tingkahlaku diketahui orang.
ix) Tidak dapat menerima teguran secara profesional malah melenting seperti
orang hilang akal.

10.Tidak syak lagi bahawa setiap dari kita sewajarnya dapat membuktikan niat di hati,
antara apa yang difikir dengan apa yang ditutur dan dikerjakan menentukan
kejujuran, keikhlasan dan kesetiaan kita terhadap tugas murni mendidik insan bukan
sekadar dengan lisan tetapi dengan contoh dan teladan serta membina benteng diri
daripada pengaruh dan terpengaruh oleh anasir-anasir bejat dan jahat yang akan
menghalang kita ‘mengangkat martabat’ profesion keguruan, tanggungjawab
bersama – dari dunia sampai ke akhirat!





FOKUS YANG JELAS DAN TEPAT PRASYARAT
KEPADA KEMAJUAN DAN PENINGKATAN


1. Prestasi sekolah terutamanya pencapaian akademik serta kemajuan yang menyeluruh
dari aspek pengurusan kurikulum, hal ehwal murid, perkhidmatan dan perjawatan, pe
-ngurusan prasarana dan sebagainya amat bergantung kepada kemampuan menyelia,
mengesan, dan memantau, menganalisis dan sintisis hinggalah menegur dan menga-
mbil tindakan tegas dan berkesan disamping menajamkan fokus.

2. Bukan sedikit antara kita yang lari daripada ‘fokus’ sebenar dalam pelaksanaan
P&P; daripada kabur fokus, lemah fokus, tersasar fokus, tak ada fokus, sampailah
kepada ‘tak tahu fokus’!

3. Oleh itu salah satu tugas, tanggungjawab Guru Besar adalah ‘membetulkan fokus’
ini apabila gejala-gejala tidak profesional mulai wujud dan berkembang.

4. Dari pengalaman (saya) menangani pengurusan sekolah yang ‘rendah prestasi’ ini,
saya amat yakin faktor ‘fokus’ inilah yang menjadi sebab mengapa wujudnya senario
yang sangat tidak positif dalam menjadikan sekolah sebagai sebuah ‘learning
organization’.

5. Antara sikap dan perlakuan yang digolongkan sebagai buruk dan tidak menyumbang
kepada peningkatan dan kemajuan adalah:

i) terdapatnya guru-guru yang tidak mengakui kelemahan diri, tak boleh terima
teguran dan ulasan.... “periksa buku tidak penting...yang penting hasil.”
ii) terdapatnya guru jenis yang ‘kusut’ (rupa diri dan kerja); berminat kepada hal-
hal di luar bidang kerja, berada di kantin sampai berjam-jam dan dua tiga kali
pada suatu hari!
iii) terdapatnya guru-guru yang kelihatan mengajar dengan ABM belum tentu kel-
as (pengajarannya) berkesan kerana ‘asasnya’ tidak betul atau tidak dibetulkan.
Malah terdapat juga guru yang duduk di meja dan biarkan murid-murid
buat kerja bertulis tanpa bimbingan.
iv) terdapatnya guru (misalnya ketua Panitia Bahasa Inggeris) tiada daya usaha dan
sangat lembab...banyak tumpukan kepada kerja-kerja“Kedai Buku”.
v) terdapatnya guru-guru yang tidak teliti buat kerja, tidak ambil berat dan bersi-
kap ‘asal buat sahaja...’ satu kenyataannya bahawa ‘tidak semestinya guru
lama tip-top kerjanya dan tidak bermakna guru-guru baru tidak boleh buat
kerja!’
vi) terdapatnya guru-guru yang ‘ikut-ikutan’; batalkan aktiviti kokurikulum sesuka
hati dengan alasan tidak buat kerana masa peperiksaan dan sekolah lain juga
tidak buat! Satu contoh budaya sekolah yang tidak menekankan kecemerlangan
dalam semua aktiviti.

vii) wujudnya sikap lepas tangan di pihak ‘pengurusan’ iaitu tidak ada semakan
daripada pihak lebih atas apatah lagi membetulkannya...serah bulat-bulat ke-
pada guru-guru di bawah.
viii) sikap tidak ambil berat oleh pengurusan tertinggi untuk selesaikan sesuatu
perkara...inilah buktinya ‘banyak orang hanya bergaya tetapi tidak ada daya’.


6. Contoh-contoh di atas wujud sekian lama kerana pihak yang sepatutnya membimbing
dan memandu telah tidak memperjelaskan konsep dan tidak membetulkan fokus
dengan tepat, cepat, dan berkesan.

7. Secara mudah DIRFT (Do It Right First Time) dapat membantu kita membina ketram-
pilan kerja yang berkualiti di samping mengelakkan kita daripada tidak menepati
standard atau melakukan kesalahan yang sebenarnya dapat dicegah atau dielak terlbih
dahulu.




KAITAN CARA BERFIKIR DENGAN CARA BEKERJA
DALAM ORGANISASI


1. Secara ringkasnya, ‘budaya’ sesebuah organisasi ialah “cara kita melakukan
sesuatu kerja bagi mencapai tujuan dan objektif” (Schnieder, 1994,1997).

2. Ertinya ada dua aspek utama yang mencirikan budaya organisasi itu mencapai tahap
tertentu sama ada tahap mediocre, berkualiti tinggi atau sangat lemah, iaitu pertama
cara bekerja dan keduanya mencapai tujuan atau objektif.

3. Aspek cara pula dicirikan dengan beberapa keadaan yang timbul daripada ‘cara be-
kerja’ yang diamalkan atau yang jadi amalan sesebuah organisasi.

4. Ini dapat dimisalkan seperti:
i) Tiada sistem; ikut suka dan ikut sedap sahaja.
ii) Tidaka seragam; sama ada segi format, perincian, susunan atau aliran kerja.
iii) Tiada komitmen; rasa tidak terlibat, fikir bukan kerja kita dan berat nak beri
kerjasama.
iv) Tiada kesedaran; belum sedar-sedar bahawa setiap orang menyumbang kepa-
da status terkini, masih anggap tiada kaitan diri dengan organisasi.

5. Itulah sebabnya mengapa unsur-unsur ‘sistematik’ dan ‘cara kerja’ yang berdisiplin
amat penting bagi mencapai keberkesanan dan kualiti tujuan dan objektif.

6. Dengan itu apabila tujuan atau objektif telah tercapai maka ciri-ciri positif, berkualiti,
cemerlang dan istimewa dapat dijelmakan menerusi:
i) Bersistematik; tersusun, teratur, tertib bukan caca-marba.
ii) Seragam; selaras, serupa, jelas dalam tindakan dan pendekatan.
iii) Berkualiti; memuaskan hati pelanggan, ada unsur inovatif dan kreatif.
iv) Berkesan; dihayati oleh semua warga organisaasi, perubahan sikap dan tingkah
laku yang lebih positif dan berkekalan.
v) Imej dan watak; apa yang dikenali orang (cantik, kemas, berdisiplin dan seba-
gainya).

7. Dalam hubungan tugas seharian perkara ini boleh kita lihat dan rasai sendiri terutama-
nya apakah tidak ada faedahnya apabila cara bekerja kita memberi pulangan yang
memuaskan bukan sahaja diri sendiri bahkan dapat dikongsi bersama oleh rakan-rakan
yang lain di dalam organisasi.

8. Semuanya ini perlukan kita memiliki asas pemikiran yang tepat dan betul, kerana
menurut kajian Research Institute of America menyatakan bahawa, “Ineffective
thinking is at the root of 94% of what goes wrong in the workplace”.

9. Kajian oleh Rhodes (1997) mendapati ada tiga cara berfikir yang asas iaitu:

i) Judging: digunakan menghakimi apa yang “betul”.
ii) Describing: digunakan menjelaskan apa yang “benar”.
iii) Creating: digunakan menjana yang “baru”.

10.Hanya dengan menggunakan ketiga-tiga asas ini barulah kita dapat menilai dan
menimbang mana yang benar, mana yang salah; mana yang benar kita melakukan
kesilapan dan mana pula yang benar kita tidak melakukan kesilapan, di samping
dapat memperincikan sebab-musababnya dengan rasional lagi berobjektif.

11.Setelah tahu mana yang ‘betul’, mana yang ‘benar’ baharulah kita dapat menjana
sesuatu yang “baharu” yang sudah pasti akan memberi kesan positif dan bermakna
kepada diri dan organisasi.

0 Response to "NOTA CIKGU HAMZAH 15"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel