-->

akta pendidikan 5

BAHAGIAN V

PENILAIAN DAN PEPERIKSAAN

60. Penilaian murid.

(1) Menteri boleh menetapkan cara murid di sekolah rendah dan sekolah menengah hendaklah dinilai dan taraf yang perlu dicapai oleh murid itu.

(2) Penilaian yang ditetapkan di bawah subseksyen (1) adalah tambahan kepada mana-mana peperiksaan yang ditetapkan.


61. Peperiksaan.

Menteri boleh membuat peraturan-peraturan yang mengadakan peruntukan bagi—

(a) peperiksaan yang hendaklah diadakan bagi maksud Akta ini;
(b) masa dan tempat peperiksaan akan diadakan, dan kelayakan serta syarat-syarat untuk mengambil peperiksaan;
(c) fee yang hendaklah dibayar bagi mengambil peperiksaan;
(d) sukatan pelajaran dan bahasa pengantar bagi peperiksaan;
(e) pengendalian peperiksaan termasuklah penubuhan badan atau lembaga untuk menguruskan dan mengendalikan peperiksaan; dan
(f) kuasa, fungsi dan kewajipan Pengarah Peperiksaan.


62. Larangan tentang pengendalian peperiksaan.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (4), tiada seorang pun atau tiada suatu institusi pendidikan pun boleh mengendalikan, membenarkan atau menyebabkan diadakan atau dikendalikan. atau dengan apa-apa cara terlibat dalam pengadaan atau pengendalian, apa-apa peperiksaan bagi mana-mana murid institusi pendidikan atau bagi mana-¬mana calon persendirian tanpa rnendapatkan kelulusan bertulis Pengarah Peperiksaan terlebih dahulu.
(2) Dalam memberikan kelulusan di bawah subseksyen (1), Pengarah Peperiksaan boleh mengenakan apa-apa sekatan, terma dan syarat yang difikirkannya patut.

(3) Sebutan dalam seksyen ini mengenai pengadaan atau pengendalian peperiksaan hendaklah disifatkan termasuk perbuatan—
(a) mempelawa calon untuk mengambil peperiksaan;
(b) memungut atau menerima apa-apa fee atau bayaran atau apa-apa derma atau hadiah berkenaan dengan sesuatu peperiksaan;
(c) menyediakan apa-apa sukatan pelajaran, kursus atau skim pengajian berkenaan dengan sesuatu peperiksaan;
(d) memeriksa atau menggred jawapan atau respons kepada soalan atau ujian dalam sesuatu peperiksaan;
(e) mengeluarkan atau menganugerahkan apa-apa diploma atau dokumen lain atau pengiktirafan dalam bentuk lain berkenaan dengan sesuatu peperiksaan,

dan apa-apa perbuatan lain yang berhubungan dengan pengadaan atau pengendalian sesuatu peperiksaan, tidak kira sama ada perbuatan itu dilakukan sebelum atau selepas peperiksaan.


(4) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi—
(a) badan atau lembaga yang ditubuhkan untuk menguruskan dan mengendalikan peperiksaan di bawah perenggan 68(e);
(b) Majlis Peperiksaan Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980; dan
(c) sesuatu institusi pendidikan yang mengendalikan peperiksaan, ujian atau dalam bentuk penilaian lain bagi maksud menilai murid-muridnya sendiri.


(5) Seorang yang melanggar subseksyen (1) atau tidak mematuhi mana-mana sekatan, terma atau syarat yang dikenakan di bawah subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua¬-duanya.


BAHAGIAN VI

PENDIDIKAN TINGGI

63. Menteri bertanggungjawab ke atas pendidikan tinggi.

Menteri boleh mengadakan pendidikan tinggi di institusi pendidikan tinggi mengikut mana-mana undang¬undang bertulis berhubungan dengan pendidikan tinggi dan hendaklah bertanggungjawab tentang arahan am kepada institusi pendidikan tinggi itu.


64. Penubuhan institusi pendidikan tinggi, dsh. dilarang.

Tiada seorang pun boleh—
(a) menubuhkan, membentuk, menggalakkan atau menjalankan apa-apa kegiatan bagi maksud menubuhkan atau membentuk, atau ke arah penubuhan atau pembentukan, suatu institusi pendidikan tinggi;
(b) memungut, memberikan atau menerima apa-apa wang, sumbangan, hadiah atau derma, atau melakukan apa-apa perbuatan atau menjalankan apa-apa kegiatan bagi maksud menubuhkan atau membentuk suatu institusi pendidikan tinggi;
(c) mengendalikan, menguruskan atau menyenggarakan mana-mana kelas bagi pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi melainkan jika kelas itu dikendalikan, diuruskan atau disenggarakan oleh suatu institusi pendidikan tinggi; dan
(d) menubuhkan, mengendalikan, menguruskan atau menyenggarakan institusi pendidikan tinggi dengan menggunakan perkataan “universiti”,
kecuali mengikut mana-mana undang-undang bertulis mengenai pendidikan tinggi.


65. Penalti.

Seseorang yang melanggar seksyen 71 adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.


BAHAGIAN VII

INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA

66. Kecualian berhubungan dengan institusi pendidikan swasta.

(1) Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai melarang penubuhan dan penyenggaraan institusi pendidikan swasta.
(2) Walau apa pun subseksyen (1), tiap-tiap institusi pendidikan swasta hendaklah mematuhi peruntukan Akta ini dan semua peraturan yang dibuat di bawah Akta ini yang terpakai bagi institusi pendidikan itu.
(3) Bahagian ini tidak terpakai bagi institusi pendidikan tinggi swasta.


67. Institusi pendidikan swasta hendaklah mematuhi kehendak Kurikulum Kebangsaan dan menyediakan murid bagi peperiksaan yang ditetapkan.

Institusi pendidikan swasta yang menyediakan pendidikan rendah atau menengah atau kedua-duanya hendaklah mematuhi kehendak Kurikulum Kebangsaan dan hendaklah menyediakan murid bagi peperiksaan yang ditetapkan.

68. Mata pelajaran yang dikehendaki diajarkan di institusi pendidikan swasta yang menyediakan pendidikan lepas menengah.

(1) Menteri boleh menghendaki institusi pendidikan swasta yang menyediakan pendidikan lepas menengah supaya mengajar mata pelajaran yang berikut:
(a) bahasa kebangsaan, jika bahasa pengantarnya ialah suatu bahasa selain daripada bahasa kebangsaan;
(b) pengajian Malaysia;
(c) bahasa Inggeris, jika bahasa pengantarnya ialah suatu bahasa selain daripada bahasa Inggeris;
(d) pengajian yang berhubungan dengan pendidikan Islam bagi murid yang menganut agama Islam; dan
(e) pendidikan moral bagi murid yang tidak menganut agama Islam,

berdasarkan kurikulum yang ditetapkan.

(2) Mata pelajaran yang disebut dalam perenggan (1)(a) hingga (1)(e) hendaklah diajarkan sebagai tambahan kepada apa-apa mata pelajaran atau kursus pengajian lain yang diajarkan di institusi pendidikan swasta itu.

69. Kuasa untuk membuat peraturan bagi mengawasi dan mengawal taraf pendidikan.

Menteri boleh membuat peraturan-peraturan bagi pengawasan, pengawalseliaan atau pengawalan taraf pendidikan di institusi pendidikan swasta.


70. Larangan tentang kursus pengajian dan latihan berkenaan dengan ijazah, dsb. yang diberikan oleh universiti, dsb.

(1) Tiada suatu institusi pendidikan swasta pun boleh mengendalikan apa-apa kursus pengajian atau program latihan secara bersesama, bersekutu, bergabung atau bekerjasama atau selainnya, dengan suatu universiti atau institusi pendidikan tinggi atau institusi atau organisasi pendidikan lain di dalam atau di luar Malaysia, kecuali dengan kelulusan bertulis daripada Menteri.
(2) Menteri tidak boleh memberikan kelulusannya di bawah subseksyen (1) melainkan jika dia berpuas hati bahawa institusi pendidikan swasta itu telah membuat perkiraan yang sesuai dengan universiti atau institusi pendidikan tinggi atau institusi pendidikan atau organisasi pendidikan lain itu tentang kemudahan bagi penyediaan kursus pengajian atau program latihan yang disebut dalam subseksyen itu.
(3) Menteri boleh mengenakan apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut apabila memberikan kelulusan di bawah subseksyen (I).
(4) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) atau tidak mematuhi mana-mana terma atau syarat yang dikenakan oleh Menteri di bawah subseksyen (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


71. Pemakaian peruntukan lain dalam Akta bagi institusi pendidikan swasta.

Bagi mengelakkan keraguan, adalah diisytiharkan bahawa tiada apa-apa jua dalam Bahagian ini boleh menyentuh atau mengurangkan pemakaian peruntukan lain dalam Akta ini bagi institusi pendidikan swasta kecuali setakat yang institusi pendidikan itu telah dengan nyatanya di kecualikan.

0 Response to "akta pendidikan 5"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel