Isnin, 12 April 2010

akta pendidikan 7

BAHAGIAN IX
PENDAFTARAN GURU

Bab 1 Pendaftaran Guru

103. Larangan mengajar.

(1) Tertakluk kepada su6seksyen (2), tiada seorang pun boleh mengajar di sesuatu institusi pendidikan melainkan jika dia didaftarkan sebagai guru di bawah Akta ini.
(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai –
(a) bagi seseorang yang menjadi anggota Perkhidmatan Pendidikan yang mengajar di institusi pendidikan kerajaan atau bantuan kerajaan;
(b) bagi seseorang yang kepadanya suatu permit untuk mengajar telah dikeluarkan di bawah seksyen 114; dan
(c) bagi seseorang murid di sesuatu institusi pendidikan bagi latihan guru yang ditubuhkan oleh dan di bawah kawalan langsung Menteri.

104. Daftar guru.
Ketua Pendaftar hendaklah menyimpan dan menyenggarakan atau menyebabkan supaya disimpan dan disenggarakan dalam bentuk yang ditetapkan suatu daftar guru yang di dalamnya hendaklah dicatatkan apa-apa butir yang ditetapkan.

105. Permohonan untuk didaftarkan sebagai guru

Permohonan untuk didaftarkan sebagai guru hendaklah dibuat kepada Ketua Pendaftar dalam borang dan mengikut cara yang ditetapkan.


106. Kuasa Ketua Pendaftar untuk enggan mendaftarkan seseorang sebagai guru.

Ketua Pendaftar boleh enggan mendaftarkan seseorang sebagai guru di bawah Akta ini jika dia berpuas hati bahawa orang itu -

(a) berumur kurang daripada lapan belas tahun;
(b) tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar atau mempunyai kelayakan yang pada pendapat Ketua Pendaftar tidak mencukupi bagi maksud itu;
(c) telah membuat pernyataan yang palsu atau mengelirukan atau yang orang itu tahu adalah palsu atau mengelirukan dalam, atau berkaitan dengan permohonannya supaya didaftarkan atau telah dengan sengaja mendiamkan apa-apa fakta yang material bagi permohonan itu;
(d) menanggung suatu kecacatan jasmani atau mental atau penyakit, yang pada pendapat Ketua Pendaftar, menjadikan orang itu tidak sesuai menjadi guru;
(e) telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama tempoh yang tidak kurang daripada satu tahun atau denda yang tidak kurang daripada dua ribu ringgit; atau
(f) bukanlah seorang yang layak dan sesuai didaftarkan sebagai guru.

107. Notis tentang keengganan untuk mendaftarkan seseorang sebagai guru.

Apabila Ketua Pendaftar enggan mendaftarkan seseorang di bawah seksyen 106 dia hendaklah, melalui notis bertulis, memberitahu orang itu tentang keengganannya dengan menyatakan alasan bagi keengganan itu.



108. Rayuan terhadap keengganan untuk mendaftarkan seseorang sebagai guru.
Seseorang yang terkilan dengan keengganan Ketua Pendaftar untuk mendaftarkannya sebagai guru boleh, dalam masa dua puluh satu hari dari tarikh notis disampaikan kepadanya mengikut seksyen 107, merayu kepada Menteri.

109. Pendaftaran guru

(1) Tertakluk kepada seksyen 106 dan 108, Ketua Pendaftar hendaklah, apabila permohonan untuk didaftarkan di bawah Bab ini dibuat dengan sewajarnya dan selepas membuat apa-apa siasatan yang difikirkannya perlu, dan apabila fee yang ditetapkan dibayar, mendaftarkan pemohon itu dan mengeluarkan perakuan pendaftaran sebagai guru kepadanya mengikut cara yang ditetapkan.

(2) Ketua Pendaftar boleh mengenakan apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut apabila mendaftarkan seseorang pemohon di bawah subseksyen (1) dan dia boleh pada bila-bila masa membatalkan, mengubah atau menambah terma dan syarat itu.

110. Pembatalan pendaftaran selepas diberikan notis.

(1) Jika Ketua Pendaftar berpuas hati –

(a) bahawa adalah suaimanfaat untuk berbuat sedemikian atas mana-mana alasan yang disebut dalam perenggan 106(c) hingga (e);
(b) bahawa seseorang guru berdaftar telah melakukan pelanggaran atau telah tidak mematuhi manamana syarat yang dikenakan di bawah subseksyen 109(2);
(c) bahawa pendaftaran seseorang guru telah diperolehi disebabkan oleh kesilapan atau apaapa pernyataan yang palsu atau mengelirukan berkaitan dengan suatu permohonan untuk didaftarkan; atau
(d) bahawa ada alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa pengekalan pendaftaran orang itu sebagai guru akan memudaratkan kepentingan institusi pendidikan itu atau murid, dia boleh menyampaikan kepada guru itu notis tentang niat untuk membatalkan pendaftaran guru itu.
(2) Seseorang guru yang kepadanya telah disampaikan suatu notis menurut subseksyen (1) boleh, dalam masa dua puluh satu hari dari tarikh notis itu disampaikan kepadanya, merayu kepada Menteri.

(3) Jika tiada rayuan dibuat dalam tempoh yang ditentukan dalam subseksyen (2) atau jika rayuan telah dibuat tetapi ditolak, Ketua Pendaftar hendaklah dengan segera membatalkan pendaftaran itu dan menyampaikan suatu notis kepada guru itu yang memberitahunya bahawa pendaftarannya telah dibatalkan.

(4) Tiada pembatalan pendaftaran boleh dibuat di bawah seksyen ini berasaskan mana-mana alasan yang disebut dalam perenggan 106(d) dan (e) disebabkan apaapa fakta atau hat yang berlaku sebelum tarikh pendaftaran seseorang guru dan yang telah diberitahu kepada Ketua Pendaftar sebelum tarikh itu.


111. Rayuan.

(1) Jika atas suatu rayuan yang dibuat di bawah Bab ini Menteri memerintahkan supaya seseorang guru didaftarkan, atau hendaklah kekal didaftarkan, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan, maka Ketua Pendaftar hendaklah mengenakan syarat-syarat itu.
(2) Syarat-syarat yang dikenakan di bawah subseksyen (1) hendaklah disifatkan sebagai syarat-syarat yang dikenakan di bawah subseksyen 109(2).

112. Pengeluaran daripada daftar
Jika pendaftaran seseorang guru telah dibatalkan di bawah seksyen 110 dan notis telah disampaikan di bawah subseksyen 110(3), Ketua Pendaftar hendaklah dengan segera mengeluarkan guru itu daripada daftar, dan guru itu hendaklah, dalam masa dua puluh satu hari dari tarikh notis itu disampaikan kepadanya, menyerahkan balik perakuan pendaftarannya kepada Ketua Pendaftar.

113. Peruntukan peralihan tentang pendaftaran guru.

Seseorang yang pada tarikh yang ditetapkan adalah berdaftar atau disifatkan berdaftar sebagai guru di bawah Akta Pelajaran 1961 hendaklah disifatkan telah didaftarkan sedemikian di bawah Akta ini dan hendaklah tertakluk kepada Akta ini.


Bab 2 - Permit Mengajar

114. Pengeluaran permit mengajar.

(1) Ketua Pendaftar boleh mengeluarkan suatu permit mengajar kepada orang yang berikut, yang bukan merupakan guru berdaftar:
(a) seseorang guru pelatih, selain daripada mereka yang dinyatakan dalam perenggan 103(2)(c), yang sedang menjalani latihan menjadi guru mengikut mana-mana skim yang diluluskan oleh Menteri;
(b) seseorang yang telah memohon untuk didaftarkan sebagai guru dan permohonan-nya belum diputuskan lagi; atau
(c) seseorang yang diperlukan untuk bertindak sebagai guru untuk sementara.

(2) Permit mengajar hendaklah dalam borang dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditetapkan.

(3) Ketua Pendaftar boleh, pada bila-bila masa dan menurut budi bicaranya, membatalkan suatu permit mengajar dengan memberikan notis bertulis kepada pemegang permit itu.


Bab 3 - Pelbagai

115. Penyerahan balik perakuan pendaftaran sebagai guru
Perakuan pendaftaran sebagai guru yang dikeluarkan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undangundang bertulis terdahulu yang berhubungan dengan pendaftaran guru atau apa-apa dokumen yang menjadi keterangan mengenai pendaftaran atau pengecualian daripada pendaftaran guru atau bahawa seorang guru itu disifatkan sebagai didaftarkan di bawah undang-undang itu, atau suatu permit mengajar yang dikeluarkan di bawah seksyen 114 hendaklah -
(a) apabila perakuan, dokumen atau permit itu dibatalkan;
(b) apabila orang yang kepadanya perakuan, dokumen atau permit itu dikeluarkan berhenti mengajar di sesuatu institusi pendidikan di Malaysia selama suatu tempoh berterusan yang melebihi dua tahun, atau apabila orang itu meninggal dunia;
(c) apabila diminta secara bertulis oleh Ketua Pendaftar bagi tujuan penggubahan, pemindaan, pengendorsan atau penggantian; atau
(d) dalam hal suatu permit, apabila tempoh kesahannya tamat,
diserahkan balik kepada Ketua Pendaftar dalam masa dua puluh satu hari oleh orang yang kepadanya perakuan, dokumen atau permit itu dikeluarkan atau mana-mana orang yang ada dalam milikannya perakuan, dokumen atau permit itu.

116. Kewajipan guru untuk memberitahu tentang pertukaran institusi pendidikan.

Tiap-tiap guru berdaftar hendaklah dalam tempoh empat belas hari dari tarikh dia mula atau berhenti mengajar di sesuatu institusi pendidikan melaporkan secara bertulis kepada Ketua Pendaftar nama institusi pendidikan tempat dia mengajar atau berhenti mengajar dan tarikh dia mula mengajar atau berhenti mengajar di institusi pendidikan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan