Jumaat, 23 April 2010

contoh kes

KAJIAN KES


Puan Rohana memasuki kelasnya 5 Cemerlang di awal waktu. Setelah mengambil kedatangan beliau menerima kutipan yuran SUWA dan SPM daripada pelajar. Wang itu dimasukkan ke dalam satu sampul surat bersama wangnya sendiri dan disimpan di dalam beg tangan.. Tiba-tiba datang pembantu pejabat En. Zubai membawa pesanan mengenai satu panggilan kecemasan. Puan Rohana panik dan terus bergegas ke pejabat untuk menjawab panggilan talipon tersebut tanpa membawa beg tangannya yang masih terbuka. Rupa-rupanya panggilan tersebut hanyalah datang dari jurujual kereta yang ingin segera menghantar kereta baru Puan Rohana ke sekolah pada jam 8.30 pagi kerana beliau akan terus ke Singapura selama dua minggu kerana urusan syarikat. Puan Rohana berasa lega kerana apa yang terbayang di kepalanya hanyalah sesuatu peristiwa buruk.
Setelah kembali ke kelas, Puan Rohana memulakan proses P & P sehingga tamat dan terus beredar ke bilik guru. Alangkah terperanjatnya Puan Rohana apabila mendapati sampul surat wang kutipan yuran sudah tiada. Dengan rasa terkejut bercampur geram Puan Rohana terus berjumpa dengan Encik Rosli iaitu salah seorang guru disiplin sekolah. Apabila ditanya mengenai kutipan wang, Puan Rohana segera mengira dan mendapati jumlahnya ialah sebanyak RM 500.00 tetapi tidak pasti jumlah ke semua wang di dalam sampul surat tersebut. Setelah bercakap beberapa minit dengan Puan Rohana, Encik Rosli terus ke kelas 5 Cemerlang. Encik Rosli memberi isyarat tangan kepada Cik Aswana guru yang baru ditempatkan di sekolah itu. Cik Aswana mengangguk, walaupun di hatinya agak keberatan kerana sedang bersemangat menjalankan P & P Bahasa Inggeris. Encik Rosli terus menempik, “Semua pelajar bangun !” dan terus memereksa poket, beg dan meja semua pelajar lelaki tetapi masih belum terjumpa dengan sampul surat tersebut. Dengan nada suara yang masih tinggi, Encik Rosli bercakap beberapa ketika kepada semua pelajar sebelum beredar daripada kelas tersebut.
Pada waktu rehat, Encik Rosli bergegas ke tandas pelajar lelaki dan apabila beliau masuk ke dalamnya beliau terlihat 3 orang pelajar 5 Cemerlang iaitu Hasan, Harun dan Hashim sedang berbual dan mendapati Hasan sedang memegang sampul surat warna hijau sama seperti yang diceritakan oleh Puan Rohana. Encik Rosli mengambil sampul surat tersebut dan memasukkan ke dalam poketnya dan terus membawa Hasan ke bilik guru disiplin. Setelah berada selama 10 minit di bilik tersebut, Hasan masih tidak mahu mengaku yang beliau mengambil sampul surat warna hijau tersebut dari beg Puan Rohana walaupun Encik Rosli mengingatkan dahulu semasa di tingkatan 2 Wira, Hasan pernah mencuri pen Paker Aliana, rakan sekelasnya. Hasan juga selalu didenda oleh Encik Rosli, guru Sejarah kerana sering tidak menyiapkan kerja rumah semasa di tingkatan 2 Wira. En. Rosli mendesak Hasan di mana diletakkan baki wang kerana wang yang tinggal hanyalah RM 200.00.
Hasan kemudiannya dibawa berjumpa dengan Encik Augustine iaitu PK HEM dan beliau masih terus berdegil untuk mengaku kesalahan tersebut. Apa yang diberitahu oleh Hasan kepada PK HEM ialah, Harun yang sebenarnya mengajak beliau dan Hashim ke tandas kerana kata Harun, opahnya yang datang dari Pulau Pinang ada memberinya wang sebanyak RM 200.00. Harun ingin mengajak Hasan dan Hashim menemaninya membeli kasut bola yang berjenama. Oleh kerana Hasan tidak percaya, lantas Harun mengunjukkan sampul surat tersebut dan pada masa itulah Encik Rosli muncul.
Encik Rosli kerap mencelah semasa soal jawab antara Hasan dan PK HEM dan beliau cuba menyakinkan PK HEM bahawa Hasan cuba mereka-reka cerita, lagi pula sebelum ini Hasan pernah melakukan kesalahan mencuri. Harun dan Hashim dipanggil ke pejabat PK HEM. Harun tidak mengaku mengambil sampul surat tersebut tetapi sebaliknya menuduh Hasan yang mengajaknya ke tandas untuk menunjukkan sesuatu, dan kata-kata Harun itu disokong oleh Hashim. Berlaku tuduh menuduh di antara Hasan di satu pihak dan Harun bersama Hashim di pihak yang satu lagi. PK HEM kemudian mengarahkan ketiga-tiga pelajar tersebut pulang ke kelas. Setelah berbincang dengan Encik Rosli, akhirnya mereka bersetuju dan bersependapat Hasanlah yang mengambil sampul surat berisi wang dari beg tangan Puan Rohana. PK HEM mengarahkan Encik Rosli menghubungi ibu bapa Hasan tetapi tiada siapa di rumah.
Cerita mengenai Hasan mengambil wang Puan Rohana tersebar luas di sekolah apabila guru bertugas pada minggu kejadian Encik Roslan menyentuh dengan panjang lebar mengenai kejadian pelajar mengambil wang dari beg tangan guru semasa perhimpunan mingguan, sehinggakan adik perempuan Hasan iaitu Hasnah yang berada di tingkatan 1 Mawar menjadi rungsing dan tertekan apabila diejek-ejek oleh rakan sekelas kerana abangnya seorang pencuri. Peristiwa yang berlaku ini tidak diceritakan oleh Hasan dan Hasnah kepada kedua-dua ibubapa mereka iatu Husain dan Halijah kerana kedua-dua ibu bapa mereka selalu sampai ke rumah lewat petang dan di dalam kepenatan balik dari bekerja di kilang memecah batu kuari. Sebagai buruh kasar di kilang tersebut mereka bekerja lebih masa untuk mendapat lebih pendapatan untuk menyara kakak Hasan yang berada di IPTA, Hasan, Hasnah dan dua orang lagi anak mereka yang belum bersekolah tetapi ditumpangkan di rumah ibu Halijah yang terletaknya kira-kira 20 km dari rumah mereka.
Seminggu selepas peristiwa tersebut, Puan Zaleha jiran sebelah rumah Puan Halijah datang bertandang dan dalam perbualan mereka timbul cerita mengenai Hasan yang dituduh mengambil wang guru kelasnya. Mengikut kata Puan Zaleha, anaknya Zubir ada bercerita mengenai kejadian tersebut kepadanya semalam. Pada malam tersebut keadaan di rumah Encik Husain menjadi kelam kabut apabila Hasan masih tidak mahu mengaku bertanggungjawab di atas kejadian kecurian tersebut dan Encik Husain yang mudah panas baran itu membelasah anaknya sepuas hati. Pada keesokan harinya
Encik Husain dan Puan Halijah datang berjumpa dengan Pengetua sekolah tersebut. Pengetua menjadi terkejut kerana beliau tidak tahu apa-apa kerana baru dua hari mula bekerja selepas pulang dari menunaikan Fardhu Haji. Encik Augustine dan Encik Rosli dipanggil oleh Pengetua untuk menerangkan mengenai kes tersebut di hadapan kedua-dua ibu bapa Hasan. Selepas itu Hasan pula dipanggil dan beliau hanya menggelengkan kepalanya, tidak menjawab kerana takutkan bapanya dan menggelengkan kepala sebagai tanda mempertahankan pendirian tidak mengaku salah. Encik Husain menjadi berang, lalu melepaskan satu penampar yang kuat ke pipi Hasan yang mengakibatkan Hasan jatuh terduduk. Pengetua segera mententeramkan keadaan dengan memanggil Encik Augustine membawa Hasan keluar.
Lebih kurang jam 1 tengahari, Encik Husain dan Puan Halijah datang semula ke sekolah berjumpa dengan Pengetua membawa wang RM 500.00 dan memohon supaya kedua-dua anaknya dipindahkan ke sekolah yang berhampiran dengan rumah nenek mereka dengan alasan pembelajaran Hasan mungkin akan terganggu dan Hasnah pula sudah seminggu tidak mahu ke sekolah dan ditumpangkan di rumah jiran kerana malu untuk datang ke sekolah. Setelah memohon maaf kepada pihak sekolah di atas perbuatan anaknya, kedua-dua mereka bangun untuk keluar tetapi sempat ditanya oleh Pengetua dari mana diperolehi wang yang sebanyak itu. Encik Husain terdiam tetapi Puan Halijah menjawab sambil berlinang air matanya, “Pergi dengan bapaknya tadi gadaikan rantai pusaka saya”. Pada keesokan hari Pengetua memanggil mesyuarat khas lembaga disiplin sekolah mengenai kes Hasan dan keputusan diambil untuk mengantungkan persekolahannya selama 2 minggu berkuatkuasa mulai hari ini. Sebulan berlalu, kes Hasan sudah tidak lagi disebut-sebut, malah Hasan dan Hasnah sudah belajar di sekolah baru.
Pada suatu hari Puan Roslinda yang sedang memandu kereta ternampak Harun dan Aliana yang baru keluar dari siber café dalam keadaan berpegangan tangan. Walau pun tidak mengajar kelas mereka, Puan Roslinda cukup kenal dengan kebanyakan pelajar tingkatan 5 kerana beliau ialah guru biasiswa. Tiba-tiba Puan Roslinda teringat kembali kes Harun dan beliau juga teringat dalam minggu kejadian itu Aliana ada datang berjumpanya untuk mengambil buku biasiswa dengan alasan untuk menyimpan wang. Setelah disemak memang betul Aliana ada menyimpan wang sebanyak RM 300.00 beberapa hari selepas peristiwa kehilangan wang Puan Rohana.
Sekarang baru terlintas di fikiran Puan Roslinda, ini adalah sesuatu yang ganjil. Biasanya pelajar memohon buku biasiswa untuk mengeluarkan wang. Di bilik guru, Puan Roslinda berbincang dengan Puan Rohana mengenai hubungan Harun dan Aliana dan kaitan di antara wang yang dimiliki Aliana dan wang yang Encik Rosli dapati dari Hasan, Harun dan Hashim. Puan Roslinda mencadangkan supaya maklumat ini disampaikan sahaja terus kepada Tuan Haji Marzuki dan jangan diheboh-hebohkan dulu. Setelah berfikir sejenak Tuan Haji Marzuki memanggil kaunselor iaitu Encik Johan dan setelah berbincang panjang lebar dan memberi beberapa pandangan dan panduan, Tuan Haji Marzuki mengarahkan Encik Johan menyiasat semula kes ini secara halus dan jangan terburu-buru.
Hasil siasatan yang rapi dan terancang dengan menggunakan segala pendekatan strategik dan humanistik, akhirnya terbongkarlah kisah sebenar iaitu yang mengambil sampul surat dari beg Puan Rohana ialah Aliana dan semasa Encik Rosli membuat pemereksaan, sampul surat itu diletakkan dicelah baju dalamnya. Semasa waktu rehat, Aliana bergegas ke tandas mengeluarkan wang sebanyak RM 400.00 dari sampul surat itu sementara baki wang bersama sampul surat itu diserahkan kepada Harun iaitu teman lelakinya secara tergesa-gesa. Di bilik Pengetua, Tuan Haji Marzuki termenung panjang teringatkan Hasan yang jatuh terduduk di hadapannya . .


SOALAN UNTUK PERBINCANGAN:

1. SENARAIKAN SEBANYAK MUNGKIN TINDAKAN YANG TIDAK
BETUL PENTADBIRAN SEKOLAH DALAM MENANGANI KES INI.
2. SENARAIKAN SEBANYAK MUNGKIN TINDAKAN YANG TIDAK
BETUL GURU-GURU DALAM MENANGANI KES INI.

3. CUBA KAITKAN TINDAKAN YANG TIDAK BETUL OLEH
PENTADBIRAN SEKOLAH DAN GURU-GURU DENGAN PRINSIP-
PRINSIP YANG BETUL DALAM MENGENAKAN TINDAKAN
DISIPLIN DAN HUKUMAN.
4. BINCANGKAN KEPENTINGAN “THE DUTY OF CARE” DALAM
KONTEKS SEKOLAH.Bibliografi


rujukan
1. Abdul Rahim Abdul Majid (1995) Pendidikan di Perak; Proses, Keberkesanan dan Impak. Malaysia.
2. Abdul Shukor Abdullah (1998) Pengetua Berkesan Sekolah Berkesan, Cabaran
Pembangunan Sistem Pendidikan Negara. Kertas Kerja Seminar
Kecemerlangan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan Pada 16 Jun 1998.
3. Blumbert, A. and Greenfield, W. (1986) The effective Principals; Perspective
On School Leadership. Boston: Allyn and Bacon.
4. Burns (1978). Leadership. New York: Harper and Row.
5. Duke, L.A (1990) Matter of Time and Vision. Principals, March.
6. Hichman, C.R, and Silva M.A. (1984) Creating Excellence: Managing Corperate Culture, Strategy and Change in the New Age. Mac Millan Pub. Co. New York.
7. Hollander, E.P (1978) Leadership Dynamics: A Practical Guide to Effective
Relationship. The free press.
8. Hussein Mahmood (1993). Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur.

9. Lunenburg, F.C. and Ornstein A.C. (1991) Educational Administration: Concept and Practice. Wadsworth Pub. Co.
10. Malaysia (1991). Rancangan Malaysia Ke 6: 1991 – 1995. Kuala Lumpur. Government Printer.

11. Ministry of Education (1994). Educational Statistics 1994. Kuala Lumpur: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan.

12. Manasse (1986). Vision and Leadership: Paying Attention to Intention. Paebody Journal of Education.
13. Mingguan Malaysia. Ahad 27 Mac 2005.
14. New Straits Times. Wednesday, March 1, 2000. Musa: Better ratio in ten years.
15. Pekeliling Ikhtisas Bil 3/1987. Penyediaan Pengajaran dan Pembelajaran di Dalam Kelas Oleh Pengetua dan Guru Besar.
16. Rutherford, W. (1988). School Principals As Effective Leaders. Phi Delta Kappan.
17. Ramaiah, Al. (1992). Kepimpinan Pendidikan: Cabaran Masa Kini. Kuala Lumpur.
18. Sergiovanni, T.J (1987). The Principalship A Reflektive Practice Perspective.
Boston: Allyn and Bacon
19. Ubben C.G. and Hughes L., W (1994) The Principal: Creative Leadership for Effective School. Second Edition. Boston: Allyn and Bacon.
20. Utusan Malaysia 4 April 2005
21. Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (1991). Pentadbiran Pendidikan. Kuala
Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan