-->

isu dan persoalan sekolah berkesan

ISU DAN PERSOALAN: Konsep “Tanpa Cacat” atau “Sekolah Berkesan”


Konsep “Tanpa Cacat” atau “Sekolah Berkesan” telah diperkenalkan suatu ketika dahulu dan dalam masa yang sama kita digemparkan dengan pelbagai masalah salah laku sekolah. Di sekolah-sekolah dewasa ini terdapat ramai pelajar yang berasa tidak seronok. Fenomena ini dizahirkan melalui mesej tingkah laku seperti masalah ponteng sekolah ( Mohd Tajuddin, 1995; Thi Lip Sam, 1994; Azizah Lebai Nordin, 1997), tingkah laku lepak (Iran Herman, 1995), berlumba motorsikal, kes-kes jenayah, melawan guru dan pelbagai salah laku kecil yang lain (Mohammad Hj.Ikhsan, 1994) dan penglibatan dalam kumpulan samseng dan gengsterisme di sekolah (Berita Harian,31 Mac 2000). Masalah kemerosotan akademik terutama subjek B.Inggeris,sains dan matematik kebanyakkan sekolah masih lagi belum mencapai tahap yang tinggi. Keadaan ini juga berpunca daripada keadaan sekolah yang tidak berkesan. 1. Adakah sekolah kita berkesan?
Secara realitinya, konsep Sekolah Berkesan merupakan satu konsep yang terlalu ideal. Walaubagaimanapun, konsep sekolah ini boleh tercapai jika semua indikator dapat bergabung bersama untuk menjayakannya. Tambahan pula, isu menentukan ukuran keberkesanan sesebuah sekolah amat sukar. Jika dilihat masa kini, tidak banyak sekolah yang mampu melaksanakan konsep sekolah berkesan yang sebenar. Jika ada pun, kemungkinan sekolah tersebut berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Namun dari segi
keberkesanan mendidik dari akhlak dan moral yang baik amat sukar dijalankan. Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan pihak sekolah amat mementingkan kecemerlangan akademik semata-mata.

2. Adakah sekolah masa kini hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata?

Sistem pendidikan yang berorentasikan peperiksaan merupakan faktor utama yang menyebabkan sekolah terpaksa memberi tumpuan yang lebih ke arah menghasilkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan. Oleh itu keberkesanan sekolah untuk mendidik pelajar supaya mempunyai nilai-nilai murni amat sukar diserapkan. Keadaan ini jelas pada masa sekarang, keruntuhan akhlak di kalangan pelajar semakin menjadi-jadi. Justeru, untuk melaksanakan konsep sekolah berkesan, pihak sekolah harus mengimbangkan pendidikan untuk peperiksaan dengan pendidikan moral yang baik. Di samping itu gabungan tenaga yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan konsep sekolah berkesan antara pihak pentadbir dengan para guru dan masyarakat sekeliling amat penting.
3. Bagaimanakah kesediaan para pentadbir sekolah dan guru untuk melaksanakan Sekolah Berkesan?

Dalam melaksanakan sekolah berkesan, pengetua atau guru besar memainkan peranan amat penting. Tanpa pengetua berkesan, sudah pasti sekolah tidak berkesan. Tidak ramai pengetua yang mampu untuk melaksanakan konsep sekolah ini kecuali pengetua yang mempunyai azam yang kuat untuk mencapai sekolah berkesan. Kebanyakan pengetua masih mengamalkan sistem birokasi yang ketat dalam menjalankan tugas di sekolah. Keadaan ini akan mengongkong guru-guru dalam melaksanakan kreatif dan inovasi mereka dalam pengajaran.Guru-guru yang berkesan adalah guru yang berjaya dalam pengajaran dan pembelajarannya dengan mengaptasikan penggunaan alat-alat bantuan pengajaran yang canggih dan moden. Di samping mengamalkan pelbagai bentuk pengajaran. Adakah keadaan ini berlaku di sekolah?

4.Sejauhmanakah PIBG mampu membantu pihak sekolah mencapai konsep Sekolah Berkesan?

PIBG juga memainkan peranan penting dalam menjayakan konsep sekolah berkesan. Sokongan yang padu akan membantu pihak sekolah dalam menjayakan rancangan yang telah dirancangkan. Bagi sekolah yang cemerlang, hubungan dengan PIBG dan pihak luar amat erat. Ibu bapa harus mengambil tahu tentang program-program yang dijalankan di sekolah. Ini akan memudahkan para ibu bapa memantau proses pengajaran dan pembelajaran anak-anak mereka di rumah. Tetapi masakini, kebanyakan ibu bapa tidak begitu rapat dengan pihak sekolah. Mereka cuma datang ke sekolah untuk mengambil rekod peperiksaan sahaja. Jarang mereka datang ke sekolah untuk membincangkan soal pendidikan anak mereka.
KESIMPULAN Melihat kepada konsep-konsep, ciri-ciri sekolah, faktor-faktor keberkesanan Sekolah Berkesan, dapatlah kita simpulkan untuk ke arah merealisasikan konsep sekolah, pihak sekolah harus jelas mengenai falsafah mengenai sekolah berkesan. Juga pihak tuan pengetua harus mengetahui dari segi perancangan strategik yang perlu diambil. Kejayaan sekolah berkesan bermula dari bilik darjah yang diurus dengan berkesan oleh guru-guru berkesan dengan menggunakan alatan bantuan mengajar yang berkesan dan mencukupi dan hubungan pelajar dan guru yang cukup mantap. Jadi dapatlah kita ringkaskan, kejayaan sekolah berkesan berdasarkan model di bawah ini:
SEKOLAH BERKESAN
a. Kepimpinan Pengetua/Guru Besar Berkesan
b. Guru-Guru Berkesan
c. Hubungan luar dan masyarakat
d. Kurikulum Yang Relevan
e. Sistem Penilaian & Peperiksaan Berkesan

RUJUKAN
1. Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, 1993. `Wawasan Pendidikan Agenda Pengisian’
2. Chan Yuen Fook (Pensyarah Institut Aminuddin Baki), 1999. `Pengurusan Strategik Ke Arah Sekolah Berkesan.’
3. Yaakob Bin Ederis,Pengetua SMKB.Taman Dato’ Harun: “Sekolah Berkesan Teras Kejayaan Wawasan Pendidikan”.
4.Sharifah Alwiah Alsagoff, 2000: Keberkesanan Sekolah:Satu Sosiologi.
Perspektif
5. Kertas Kerja Seminar Sekolah Efektif, 14-16 Nov 1996 di Institut Aminuddin Baki: Mewujudkan dan Mengekalkan Keberkesanan Institusi Pendidikan.
6. Seminar Kepengetuaan 1/2000 : Kepimpinan Untuk Sekolah Yang Sihat Dan Selamat.

0 Response to "isu dan persoalan sekolah berkesan"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel