Rabu, 7 April 2010

isu pendidikan daripada perspektif sosiologi

TAJUK : MENGANALIS ISU PENDIDIKAN BERDASARKAN TEORI SOSIOLOGI
1.0 Sinopsis Isu

Kebelakangan ini negara kita dikejutkan dengan kejadian rogol yang membabitkan remaja lelaki. Dalam satu kes kejadian rogol dan pembunuhan, seorang remaja iaitu Nurul Hanis Kamil yang berumur 16 tahun, berasal dari Melaka ditemui tertiarap dalam kawasan semak berhampiran rumahnya dipercayai dilakukan oleh remaja lelaki yang berusia 17 tahun. Dua hari kemudiannya, mayat bogel Siti Nadirah Budah yang berusia lima tahun ditemui tertanam dalam paya di Sandakan, Sabah. Suspek yang terlibat juga berusia 17 tahun.
Walau bagaimana pun, mereka bukanlah yang paling muda memandangkan pada bulan Oktober tahun 2000, seorang budak lelaki yang berusia 12 tahun di dakwa di mahkamah kerana merogol dan membunuh Nor Shuhada Burak yang baru berusia enam tahun. Apakah yang mendorong golongan muda ini melakukan jenayah seperti ini? Nampaknya, remaja masa kini semakin ganas serta berani melakukan pelbagai perbuatan yang bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-undang negara.
Masalah salah laku remaja semakin meruncing apabila peranan masyarakat yang suatu ketika dahulu cukup kuat pengaruhnya, kini terpinggir dan terhakis terus peranan sebagai sebahagian daripada ejen pembentukan masyarakat bermoral. Mereka tidak lagi berani untuk menegur dan menasihati golongan remaja dan pelajar sekolah bermasalah kerana bimbangkan kesan negatif yang mungkin menimpa diri mereka.


1.1 Pengenalan
Sebagai satu lanjutan kepada proses sosialisasi, sistem pendidikan mempunyai tugas menyediakan generasi muda kepada alam dewasa dan menyalurkan kebudayaan. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara. Salah satu unsur yang penting adalah nilai yang berkaitan dengan keperluan dan perkembangan diri individu yang bertujuan untuk meninggikan lagi kemampuan atau kebolehan individu supaya berfungsi sebagai anggota masyarakat. Ia harus dapat membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial dan fizikal ciptaan Yang Maha Berkuasa ini. Dengan alasan inilah, pendidikan berperanan penting dalam perkembangan setiap individu. Namun, visi dan cita-cita yang luhur ini tidak akan tercapai seandainya masalah jenayah di kalangan juvana (pelajar) tidak dapat dibendung. Sesuatu perlu dilakukan segera untuk menangani masalah jenayah ini bagi membentuk sahsiah pelajar ini supaya menjadi insan yang bermoral tinggi.


1.2 Analisis Isu berdasarkan perspektif Teori Struktural-Fungsional
Teori ini mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan-kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Masyarakat selalu dianggap seperti tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian-bahagian dengan fungsi-fungsi yang tersendiri. Teori fungsionalisme memberi huraian mengenai organisasi sosial dan menerangkan bagaimana sesuatu organisasi dikekalkan. Masyarakat telah diibaratkan sama seperti organisma yang mempunyai bahagian-bahagian dan setiap bahagian masyarakat dikenali sebagai struktur. Seterusnya kajian dilakukan untuk melihat bagaimana struktur masyarakat berfungsi.
Menurut teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan kelancaran perjalanan atau keharmonian masyarakat. Brinkerhoff dan White (1989 : 9) telah merumuskan tiga andaian utama ahli-ahli fungsionalisme iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan. Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian atau struktur-struktur dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses adaptasi struktur sosial kepada pembaruan.
Maka, tidak dapat dinafikan lagi bahawa ibu bapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan media massa saling berperanan dalam mengatasi masalah jenayah yang wujud di kalangan remaja.


1.2.1 Analisis Isu : Faktor-faktor yang mempengaruhi berlakunya jenayah di kalangan remaja.
(i) Institusi Keluarga
Seorang ahli antropologi, George Peter Murdock menakrifkan bahawa keluarga adalah satu kelompok sosial yang tinggal di bawah satu bumbung, mempunyai kerjasama dalam kegiatan ekonomi dan menambah zuriat (Goode, hal. 326). Faktor kepincangan keluarga dan taraf sosio-ekonomi sesebuah keluarga akan mencorak kehidupan seorang kanak-kanak. Kegagalan ibu bapa sendiri untuk membetulkan kepincangan anak-anak mereka akan menyebabkan anak-anak ini tidak lagi menghormati mereka.
James Becker mengatakan ketidak seimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna. Ini akan menjejaskan ketahanan diri pelajar.
Maka jelaslah bahawa Institusi keluarga memainkan peranan yang penting sebagai pembentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa haruslah membimbing, memahami dan menyelami kehendak jiwa remaja serta berfikiran terbuka. Ini akan mendorong kepada kewujudan suasana harmonis.


(ii) Pihak Sekolah
Sekolah merupakan sebuah komuniti yang menjadi sebahagian daripada masyarakat yang lebih luas. Sebagai sebuah institusi sosial, sekolah mempunyai ciri-ciri tersendiri yang sesuai dengan ciri-ciri organisasi moden seperti yang dinyatakan oleh Weber.
Sebagai organisasi formal sekolah mempunyai struktur kepimpinannya sendiri. Pengetua / Guru Besar bertanggungjawab memimpin guru-guru, kakitangan am dan para pelajar. Guru-guru juga berperanan sebagai pemimpin dalam konteks masing-masing. Peringkat paling asas ialah kepimpinan guru dalam bilik darjah. Selain itu guru juga berperanan sebagai pemimpin aktiviti-aktiviti akademik serta kokurikulum seperti persatuan, sukan, kelab dan sebagainya.
Tidak dapat dinafikan bahawa peranan guru semakin hari semakin mencabar. Kini, guru tersepit dalam menghadapi kerenah pelajar bermasalah yang datang daripada pelbagai latar belakang dan corak pendidikan ibu bapa.
Sering kedengaran rintihan ibu bapa yang tidak boleh lagi membentuk dan mendidik anak-anak mereka, lalu merayu dan meminta guru untuk membetulkannya. Pelajar inilah yang sukar untuk ditangani kerana mereka juga turut tidak menghiraukan nasihat dan teguran guru.
Dalam pada itu, kes-kes guru diserang oleh ibu bapa atau ahli keluarga pelajar sudah cukup mengajar guru untuk tidak bertindak menyelesaikan kes pelajar bermasalah. Namun kemuliaan jiwa guru jelas terbayang apabila mereka tetap meneruskan usaha melalui pelbagai cara dan pendekatan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mereka untuk membentuk sahsiah pelajar supaya menjadi insan yang bermoral tinggi walaupun menyedari kesan negatif yang mungkin menimpa diri.

(iii) Media Massa / Internet
Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan remaja mudah terdedah kepada banyak maklumat termasuk bahan yang tidak sesuai yang boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa panduan daripada golongan dewasa.
Golongan pelajar lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat yang banyak memaparkan adegan ganas menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang mereka tonton dari video cakera padat dan sesetengah program televisyen.
Selain daripada video cakera padat, bahan-bahan pornografi juga mudah didapati melalui internet yang sukar dibuat tapisan oleh pihak yang berwajib. Oleh itu, ibu bapa seharusnya membimbing dan memberi tunjuk ajar supaya remaja ini mendapat panduan yang betul.


(iv) Rakan Sebaya
Dalam kawasan sekolah, murid-murid juga dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Sebagaimana yang telah dibuktikan oleh kajian, pengaruh rakan sebaya merupakan sumber yang paling kuat dalam mengubah nilai dan sikap seseorang apabila pengaruh keluarga berkurangan pada peringkat lewat kanak-kanak.
Kanak-kanak atau remaja yang berasal dari keluarga yang bermasalah mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan tersendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Mereka akan membuat sesuatu yang di luar jangkaan untuk menarik perhatian orang lain.
Kemunculan golongan rendah moral dan tidak bertanggungjawab yang menaja budaya hedonisme di kalangan remaja seperti Kumpulan Black Metal dan Trash Metal sudah cukup memberi cabaran serta saingan kepada usaha dan tugas guru untuk membimbing dan mendidik remaja sekolah ke arah pengalaman budaya sihat.
Akhir kata, pengaruh rakan sebaya akan mencorak sikap dan nilai tingkah laku pelajar terutamanya pelajar yang berasal daripada keluarga yang bermasalah dan keciciran dalam pelajaran.



1.3 Menganalisis Isu Berdasarkan Tiga Konsep Sosiologi
1.3.1 Definisi Modenisasi
Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai kesan daripada bermulanya perindustrian. Modenisasi boleh juga diterima sebagai keadaan di mana masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang dikatakan baru. Gaya hidup tradisi telah berubah sebagai gaya hidup moden.

1.3.2 Modenisasi
Salah satu alasan utama yang menjurus kepada masalah jenayah di kalangan remaja adalah disebabkan oleh proses modenisasi. Dalam dunia yang serba moden ini, masyarakat yang inginkan kemewahan menjadi semakin individualistik dan materialistik.
Masyarakat moden tidak lagi menerima suratan takdir. Mereka mempercayai bahawa usaha mereka boleh membawa kebaikan. Jika dibanding dengan masyarakat tradisional, masyarakat industri moden mempunyai cita-cita tinggi. Mereka mahukan prestij, gaji tinggi dan barang-barang materialistik.
Masyarakat moden tidak lagi menganggap saudara-mara mereka, jiran atau orang sekampung sebagai kelompok rujukan. Mereka mempunyai hubungan yang luas – diluar batasan sosial dan fizikal. Terdapat beberapa adat resam tradisional yang sudah tidak diamalkan lagi dalam masyarakat moden. Masyarakat moden lebih senang menerima pembaharuan dan memandang kepada masa depan.
Keadaan ini telah menyebabkan remaja kini terbiar dan tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa yang sibuk dengan kerja masing-masing. Dengan ini, remaja akan membantah dengan cara tersendiri untuk mendapatkan perhatian. Ini akan menjadi satu penggalak kepada masalah jenayah.

1.3.3 Kelas Sosial
Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak stabil dengan kerosakan akhlak di kalangan anak-anak muda. Pelajar-pelajar yang datang dari keluarga bermasalah dengan taraf sosio ekonomi yang rendah adalah antara faktor utama pelajar terjebak dalam kancah masalah disiplin atau lebih teruk lagi iaitu jenayah.
Di rumah, kekeluargaan dan penerimaan (acceptance) tidak wujud bagi sebilangan pelajar. Selain itu, bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah, semakin meningkat menyebabkan pelajar berasa terbiar dan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Dapatan yang dinyatakan ini bertepatan dengan hujah-hujah dan dapatan kajian Athur & Ericson (1992); Kosterman (1996) ; yang jelas menunjukkan faktor keluarga merupakan alasan utama menyebabkan masalah disiplin. Keadaan ini akan menjadi semakin teruk jika masalah ini tidak ditangani.

1.3.4 Budaya Sekolah
Budaya sekolah merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat. Sekolah itu sendiri lahir daripada keperluan masyarakat. Pendidikan nilai amat diutamakan. Seorang murid warganegara Malaysia adalah dikehendaki menerapkan nilai-nilai material dan bukan material ala Malaysia. Sekiranya beliau mengengkari nialai-nilai berkenaan, maka berlakulah penyelewengan budaya.
Sekarang kurikulum pendidikan Malaysia mengutamakan penerapan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran yang tentunya bertujuan membina budaya masyarakat. Walau bagaimana pun, terdapat juga amalan-amalan budaya yang berbeza di kalangan kumpulan-kumpulan di sekolah yang biasanya berlaku secara tidak formal. Ini disebut subbudaya.
Subbudaya yang biasa menonjol merupakan penyelewengan-penyelewengan kumpulan yang terkeluar daripada budaya komuniti sekolah dan masyarakat. Kumpulan-kumpulan ini mungkin tidak melihat sekolah sebagai sesuatu yang penting ataupun mereka bosan bersekolah. Antara contoh-contoh subbudaya di kalangan kumpulan-kumpulan murid adalah seperti subbudaya ponteng, subbudaya lepak, subbudaya botak dan subbudaya black metal.
Kelahiran subbudaya ada kaitan dengan faktor hubungan murid dengan rakan-rakan dan komuniti di luar sekolah seperti kehidupan kampung atau rumah pangsa. Masalah-masalah ini perlu ditangani sebelum remaja-remaja ini melakukan sesuatu yang tidak diingini iaitu jenayah.


1.4 Cadangan dan Kesimpulan
Sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam persekitaran. Terdapat banyak faktor yang perlu ditimbang sebelum kita boleh menuding jari siapa penyumbang utama isu ini.
Bak kata pepatah “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”. Maka, adalah wajar bagi masyarakat dan pihak berkuasa untuk mencari punca bagi masalah jenayah ini.
Sebagai penjaga kepada anak-anak, ibu bapa perlu lebih peka dan sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anaknya. Masyarakat pula patut mengambil langkah untuk mengubah budaya yang menganggap seks sebagai suatu topik larangan. Ibu bapa patut bersikap terbuka dan membincangkan isu ini dengan anak-anak mereka. Mata pelajaran seks juga perlu dimasukkan dalam sistem pendidikan kita dan guru perlu diajar bagaimana untuk mengajar tajuk ini daripada membiarkan mereka mengajar tanpa latihan sebenar.
Akhir sekali, marilah kita dengan penuh sedar dan keinsafan bergabung fikiran, tenaga, kepakaran dan pengalaman, bertindak mencari jalan penyelesaian walaupun usaha yang dilaksanakan nanti belum pasti dapat menghapuskan permasalahan ini tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk membendung daripada terus merebak memusnahkan anak bangsa, rakyat dan negara yang tercinta.


Rujukan

Amir Hassan, 2001. (Penteorian Sosiologi dan Pendidikan), Tanjong Malim :
Quantum Books.

Inkeles, Alex, 1982. (Apa Itu Sosiologi ?), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur.

Noran Fauziah Yaakub, 1987. (Pengantar Sosiologi), Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd. Petaling Jaya.

Sharifah Alwiah Alsagoff, 1985. (Sosiologi Pendidikan), Kuala Lumpur :
Heinemann.

Ting Chew Peh, 1979. (Konsep Asas Sosiologi), Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan