Khamis, 8 April 2010

PENINGKATAN DISIPLIN

PENINGKATAN DISIPLIN MELALUI KAUNSELING
Oleh Kaunselor SMK DHHY

1.0 PENGENALAN

Sejarah perkhidmatan kaunseling di Malaysia telah bermula sejak awal tahun
60-an lagi di mana aspek perkhidmatan lebih tertumpu dalam bidang bimbingan vokasional dan pendidikan.Perkhidmatan kaunseling terus berkembang apabila Malaysia mengalami masalah sosial yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah pada awal
70-an.Dalam 80-an pula maktab perguruan mula menawarkan kursus Bimbingan Dan Kaunseling.Institusi pengajian tinggi tempatan seterusnya mula menawarkan program –
program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Bimbingan Dan Kaunseling.Perkembangan ini menunjukkan bahawa perkhidmatan kaunseling di Malaysia telah mula diterima oleh rakyat Malaysia.

Dengan peningkatan gejala sosial yang dialami oleh masyarakat di negara ini,
perkhidmatan kaunseling telah mula dirasai sebagai salah satu pendekatan yang mampu menangani masalah tersebut.Kaunseling di sekolah pula terus berkembang dengan adanya penempatan kaunselor di setiap sekolah menengah di seluruh negara dengan nisbah 1 : 500 iaitu sekiranya sekolah menengah itu mempunyai 1600 orang pelajar maka akan ditempatkan 3 orang kaunselor di sekolah tersebut.Perkembangan perkhidmatan kaunseling di sekolah seterusnya cuba diperluaskan ke sekolah-sekolah rendah di mana perlantikan dan latihan kaunselor telah mula dilaksanakan.Pemimpin-pemimpin pendidikan telah mula memberi ruang dan laluan kepada perkhidmatan kaunseling sebagai salah satu keperluan dalam arena pendidikan kini.Perlantikan guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa merupakan satu pengiktirafan terhadap keperluan kaunseling di sekolah.

2.0 MASALAH –MASALAH DISIPLIN DI SEKOLAH MENENGAH

Sejak kebelakangan ini,gejala salahlaku pelajar sering terpapar di dada –dada akhbar seperti ponteng sekolah ,kes pergaduhan,disko rimba, vandalisme peras ugut,kes merokok dan penyalahgunaan dadah,membuli hinggakan membunuh.Masalah ini tidak boleh dipandang sepi lagi.Pelbagai masyarakat termasuklah guru,ibubapa dan pihak berkuasa seharusnya berganding bahu dalam usaha membenteras gejala ini.

3.0 FAKTOR WUJUDNYA MASALAH TERKINI

3.1 Faktor Kemodenan
Perkembangan sains dan teknologi telah mencipta pelbagai alat canggih untuk memudahkan pengurusan hidup masyarakat.Komputer,telefon bimbit dan sebagainya merupakan kemudahan namun banyak yang menyalahgunakan kemudahan ini.Contohnya jaringan internet untuk mecari maklumat namun digunakan untuk mendapat gambar lucah.




3.2 Faktor Didikan Agama
Ada pendapat kukuh yang menyatakan sekiranya masyarakat bertindak kembali ke jalan agama , masalah ini tidak akan wujud.Hampir semua masyarakat Malaysia mempunyai agama dan tidak ada satu pun agama yang mengajar penganutnya membuat kemungkaran.Apabila agama sudah diletakkan di tepi ,
maka segala perbuatan akan berlandaskan keseronokan dan hilang pertimbangan.Antara masalah terkini yang wujud ekoran hilang pegangan agama adalah seperti penderaan ,sumbang mahram ,budaya seronok semata dan sebagainya.

3.3 Kewujudan Ruang Dan Peluang
Adanya ruang untuk pengedar dadah menjual dadah kepada penagih dadah mewujudkan masalah penyalahgunaan dadah.Begitu juga pengedar video cakera padat lucah yang dijual berleluasa.Ruang yang ada membolehkan bahan pembawa masalah ini mudah didapati di pasaran.

3.4 Kurangnya Kasih Sayang Dan Perhatian Dari Ibubapa
Kebanyakan ibubapa sibuk bekerja untuk menyara hidup keluarga dan mereka telah mengabaikan tugas mereka untuk mendidik anak mereka.Ada sebahagian ibubapa kurang memberi kasih sayang dan perhatian terhadap pelakuan anak-anak mereka terutama di luar rumah atau di sekolah.

3.5 Pengaruh Kawan Dan Faktor Persekitaran
Pengajaran dan pembelajaran yang pincang dan suasana persekitaran merupakan salah satu penyebab utama kepada masalah kemerosotan disiplin pelajar.Pelajar berkenaan lebih terarah kepada penglibatan dalam aktiviti kurang sihat seperti melepak ,merokok ,peras ugut dan lain-lain.

4.0 LANGKAH MENGATASI MASALAH DISIPLIN DI SEKOLAH
Pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin sering menjadi kecaman guru dan rakan-rakan.Ada yang mengelar mereka ini nakal , jahat dan sebagainya.
Seringkali juga pelajar yang dikaitkan dengan masalah ini adalah pelajar yang
lemah dalam akademik.Apabila sesorang pelajar melakukan kesalahan , dia akan
dikenakan tindakan disiplin seperti mendapat surat amaran pertama ,kedua dan
ketiga sekiranya berulang kesalahan lagi ,dirotan ,dihukum ,digantung persekolahan
ataupun dibuang sekolah.Sebelum sesuatu tindakan disiplin dikenakan kepada
seseorang pelajar dia akan diberi sesi kaunseling dahulu oleh guru bimbingan dan kaunseling .

5.0 PENINGKATAN DISIPLIN MELALUI KAUNSELING
Guru Bimbingan dan Kaunseling akan menolong pihak sekolah menangani
masalah disiplin yang dihadapi oleh pelajar dengan berbagai-bagai cara.Cara-cara
tersebut adalah seperti menjalankan sesi kaunseling individu , sesi kaunseling
kelompok , bimbingan , konfren ibubapa , lawatan ke rumah , program ,kursus ,
seminar , bengkel , perkhemahan ,lawatan ,pameran ,kajian kes ,soal-selidik dan sebagainya.


5.1 Kaunseling Individu Dan Kaunseling Kelompok

Kaunseling adalah proses pertolongan yang profesional yang bertujuan
membantu individu memahami dirinya dan alam sekelilingnya.Guru Bimbingan
Dan Kaunseling akan menjalankan satu sesi kaunseling dalam masa 45 minit.Proses
kaunseling akan bermula apabila ada persetujuan antara dua individu (klien dan
kaunselor ) untuk melibatkan diri mereka di dalam menguruskan sesuatu persoalan atau masalah. Kaunseling Individu ialah pertemuan seorang guru bimbingan dan
kaunseling dengan seorang klien. Langkah-langkah dalam proses kaunseling ialah
menyediakan prasesi , membina hubungan (melayan ,mendengar dan memahami) ,
meneroka dan menganalisis masalah , mengenalpasti punca masalah ,mengambil
tindakan , menamatkan sesi .

Kaunseling Kelompok ialah proses perhubugan antara kaunselor dengan
beberapa orang (7-12 orang)peserta.Ia boleh dianggap sebagai satu proses
penyesuaian diri yang rutin atau satu kumpulan yang menyediakan pengalaman
perkembangan diri ahli.Fokus Kaunseling Kelompok ialah menolong peserta menghadapi masalah penyesuaian dan perkembangan diri sehari-hari.Pada individu yang sedang mengalami masalah yang serius ,Kaunseling Kelompok boleh menjadi satu proses penggerak untuk memperbaiki kelakuan.Sumbangan kumpulan adalah lebih berkesan daripada sumbangan seorang kaunselor dalam Kaunseling Individu.

Bimbingan Kelompok memusatkan perhatian kepada pemberian dan
pengumpulan maklumat untuk kumpulan yang besar dari semasa.Contoh :memberi penerangan tentang jenis-jenis pekerjaan ,memanggil penceramah membincangkan tentang tajuk-tajuk tertentu atau memberi bimbingan bagaimana menghadapi peperiksaan.

5.2 Konfren Ibubapa Atau Lawatan ke Rumah
Guru Bimbingan dan Kaunseling akan berjumpa ibubapa atau penjaga pelajar yang melakukan salahlaku untuk konfren ibubapa.Di samping itu juga dia akan membuat lawatan ke rumah pelajar sekiranya rasa perlu di mana guru akan berjumpa dengan ibubapa pelajar untuk mengetahui atau memberitahu salahlaku pelajar tersebut.

5.3 Program / Ceramah / / Lawatan / Pameran / Seminar / Bengkel / Kempen
Unit Bimbingan dan Kaunseling akan menjalankan program berdasarkan kepada keperluan sekolah dan sasaran pelajar dan mengikut keadaan semasa atau mengikut arahan Pejabat Pelajaran Daerah Kluang , Jabatan Pelajaran Negeri Johor atau Kementerian Pelajaran.Antara program yang selalu dijalankan untuk peningkatan disiplin pelajar ialah seperti Program Motivasi yang diadakan untuk meningkatkan motivasi pelajar terhadap kepentingan pendidikan dan pembentukan disiplin pelajar.

Di SMK Dato Haji HassanYunos,Rengam Program Kerohanian dijalankan pada waktu pertama setiap Hari Jumaat untuk pelajar Cina dan India manakala pelajar Islam ada program pembudayaan Al-Quran.Guru akan menerapkan nilai-nilai murni atau meningkatkan kesedaran pelajar dari segi tanggungjawab mereka terhadap Tuhan , ibubapa , sekolah ,masyarakat , diri mereka sendiri.

Aktiviti kemahiran belajar ,pengurusan masa ,pengurusan diri diberikan melalui bimbingan dalam kelompok,ceramah ,seminar supaya dapat meningkatkan prestasi akademik pelajar.Mengikut kajian kebanyakan pelajar yang mempunyai masalah disiplin adalah mereka yang lemah dalam akademik dan tidak berminat untuk belajar.Dengan adanya Program Kecemerlangan Akademik ,Program Kecemerlangan Peperiksaan ,
Program Sehari Bersama Kaunselor diharap dapat membantu pelajar mencapai prestasi akademik yang memuaskan dan mendapat kejayaan dalam peperiksaan.

Unit Bimbingan Dan Kaunseling juga akan mengadakan lawatan seperti lawatan ke Penjara Simpang Rengam atau Pusat Serenti untuk sasaran pelajar yang berisiko tinggi.
Apabila pelajar yang berisiko tinggi ini melihat dengan mata sendiri hukuman atau seksaan yang dikenakan kepada pesalah atau penagih dadah maka mereka akan mendapat pengajaran supaya tidak melakukan salahlaku.

Ceramah Gejala Sosial oleh pihak polis atau penjara serta pameran turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan masalah disiplin pelajar.Melalui ceramah ,tayangan video atau pameran pelajar mendapat input yang berkaitan salahlaku dan hukuman yang dikenakan kepada mereka.

Kempen Anti Dadah ,Rokok Dan Aids diadakan setiap tahun di peringkat sekolah untuk mempertingkatkan pengetahuan pelajar-pelajar mengenai kesan buruk dadah ,
rokok dan AIDS pada diri sendiri ,keluarga ,masyarakat dan negara.Di samping itu juga menyedarkan para pelajar terhadap kesan buruk tindakan undang-undang dadah terhadap masa depannya.

5.4 Soal Selidik atau Kajian Kes
Guru Bimbingan dan Kaunseling akan menjalankan soal selidik atau kajian kes untuk mengkaji faktor yang menyebabkan sesuatu masalah berlaku dan seterusnya mencari jalan untuk mengatasi atau mengurangkan masalah disiplin pelajar.


5.5 Kem Jati Diri / Kursus Kepimpinan
Kursus Kepimpinan Pengawas diadakan untuk melatih pengawas agar menjadi seorang pengawas yang lebih berwibawa dan menanamkan sikap lebih bertanggungjawab
terhadap amanah yang diberikan.Kem Jati Diri diadakan untuk pelajar yang berisiko tinggi dan diharap peserta berubah sikap dan mendapat input yang berfaedah daripada aktiviti kem tersebut.



6.0 PENUTUP
Keberkesanan dan kelicinan perkhidmatan kaunseling di sekolah banyak bergantung kepada polisi serta sikap organisasi terhadap perkhidmatan ini.Pandangan terhadap kepentingan perkhidmatan kaunseling sangat bergantung kepada kepimpinan organisasi.Seorang pengetua atau pentadbir sekolah yang melihat perkhidmatan kaunseling dengan penuh positif akan membolehkan perkhidmatan kaunseling dilaksanakan dengan jayanya.Namun ,sekiranya pengetua atau pentadbir mempunyai pandangan dan pengetahuan yang cetek lagi negatif berhubung dengan perkhidmatan kaunseling di sekolah ,ini akan mendatangkan masalah kepada kaunselor dalam melaksanakannya.
Dalam usaha peningkatan disiplin pelajar tidak hanya terletak di atas bahu guru disiplin tetapi pihak pentadbir , guru bimbingan dan kaunseling,guru lain , ibubapa , pihak berkuasa ,masyarakat turut memainkan peranan yang penting.Guru Bimbingan Dan kaunseling harus menolong dalam membenteras atau menurunkan seminima mungkin masalah pelajar hari ini.Lengkapkan ilmu pengetahuan yang menjadi benteng kukuh memastikan profesion guru bimbingan dan kaunseling adalah satu perkhidmatan yang sangat berkesan jika dibandingkan dengan hukuman dan kekerasan.Semoga segala usaha murni peningkatan disiplin melalui kaunseling akan membuahkan hasil .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan