-->

ETIKET 5

ASPEK-ASPEK PENGURUSAN PELBAGAI MAJLIS RASMI ATAU FORMAL


JAWATANKUASA

Dalam perlaksanaan sesuatu majlis, jawatankuasa adalah penting. Jawatankuasa yang dimaksudkan di sini bukanlah jawatankuasa yang ditubuhkan khas untuk sesuatu majlis atau jawatankuasa yang ditubuhkan secara 'adhoc', tetapi satu jawatankuasa tetap yang mempunyai ahli yang terhad bilangannya dan mempunyai tugas dan tanggungjawab yang ditetapkan.

Di peringkat persekutuan, semua majlis rasmi kerajaan dikelolakan oleh sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Majlis Rasmi atau 'Official Functions' Committee '. Di peringkat agensi maka adalah perlu mempunyai satu jawatankuasa majlis rasmi yang tetap yang akan merancang dan melaksanakan semua majlis rasmi bagi agensi berkenaan. Bilangan ahlinya terhad, jika boleh tidak melebihi dari tujuh orang, dan terdiri daripada pegawai di agensi yang berkenaan sahaja.

TEMPAT MAJLIS

Penentuan tempat majlis adalah perlu dibuat awal kerana tempat majlis ada kaitannya dengan bilangan tetamu dan anggaran perbelanjaan. Perkara-perkara penting yang mesti diambilkira adalah seperti berikut:

i). Diketahui umum dan mudah dituju

ii). Mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi

iii). Mempunyai ruang legar yang luas

iv). Mempunyai kemudahan asas yang mencukupi

v). Sesuai dengan jenis majlis yang hendak diadakan

Ada majlis yang diadakan di dalam dewan dan ada majlis yang diadakan di luar dewan yang lebih terbuka. Penggunaan protokol adalah tertakluk kepada jenis majlis dan juga tempat majlis itu diadakan. Biasanya majlis yang diadakan di tempat yang terbuka dan juga di tempat ibadat penggunaan protokol adalah terhad dan adakalanya terpaksa diubahsuai.


PENYEDIAAN SENARAI JEMPUTAN

Bagi setiap majlis. hendaklah disediakan dalam 5 bentuk iaitu:

i) Ringkasan Senarai
Ia merupakan senarai kategori dan bilangan tetamu. Tujuannya adalah supaya dapat diketahui kategori tetamu, bilangannya, kombinasi dan peringkat tetamu.

ii) Senarai Nama

Senarai Nama adalah senarai yang akan menyenaraikan nama-nama tetamu mengikut kategori. Jika dalam kategori menteri ada senarai 4 orang menteri maka nama 4 orang menteri yang akan dijemput hendaklah ditulis. Senarai nama ini bukanlah setakat nama sahaja tetapi hendaklah mengandungi butir lain yang lengkap seperti:

• Nama penuh dengan gelaran dan Darjah Kebesaran yang disandang (jika ada)
• Nama isteri (jika diketahui)
• Jawatan atau pangkat
• Alamat Pejabat (lengkap dengan poskod)
• Nombor Telefon Pejabat
• Alamat Rumah (lengkap dengan poskod)
• Nombor Telefon Rumah
• Nama Setiausaha Sulit dan Nombor Telefon (jika ada)

iii) Senarai Mengikut Keutamaan
Senarai tetamu dari senarai kedua tadi disusun mengikut susunan keutamaan. Senarai ini hendaklah mengikut panduan dan Susunan Keutamaan Persekutuan atau negeri, atau agensi mana yang berkenaan. Dalam menyediakan senarai ini tidak perlu ditulis secara terperinci dan memadai namanya sahaja serta ringkasan jawatan.

iv) Senarai Jawapan Kehadiran

Senarai ini adalah sama dengan senarai ketiga tetapi ditambah dengan dua ruangan di sebelah kanan untuk ditandakan hadir dan tidak hadir. Ruang ini hendaklah serta-merta ditandakan, sebaik sahaja menerima jawapan hadir atau tidak hadir.

v) Senarai Hadir
Senarai yang terakhir dan mengandungi senarai tetamu yang menjawab hadir sahaja. Senarai ini adalah diambil dari senarai keempat dengan mengeluarkan nama- nama tetamu yang telah menjawab tidak hadir. Nombor kerusi tetamu biasanya tercatit dalam senarai ini dan . Penyambut tetamu perlu ada senarai ini.


ATURCARA MAJLIS

Aturcara majlis ialah urutan cara dalam sesuatu majlis dari mula hingga akhir. Majlis rasmi kerajaan yang diadakan pada sebelah malam hendaklah dimulakan selepas 8.00 malam dan ditamatkan selewat-lewatnya jam 11.30 malam. Majlis yang diadakan pada sebelah siang jika hari Jumaat hendaklah ditamatkan sebelum 12.15 tengahari dan jika dimulakan pada sebelah petang hendaklah tidak lebih awal daripada 2.45 petang.

Cara membuat aturcara majlis ialah dengan menyenaraikan dahulu acaranya mengjkut urutannya. Lepas itu letakkan masa akhirnya dan kemudian dari waktu akhir rnembawa ke waktu permulaan. Sebelum itu hendaklah ditentukan jangka masa bagi setiap acara.


PENULISAN DAN PENGEDARAN KAD JEMPUT AN

Kad Jemputan hendaklah mengandungi butir-butir berikut:

1. Nama majlis
2. Penganjur atau yang menjemput
3. Logo agensi
4. Tempat majlis
5. Ruang nama jemputan
6. Tarikh majlis diadakan
7. Masa majlis bermula dan masa majlis berakhir
8. Masa ketibaan tetamu
9. Panduan pakaian
10. Nama dan nombor telefon rujukan
11. Aturcara majlis (mengikut keperluan) dan plan tempat majlis (mengikut keperluan)
12. Kad jawapan (mengikut keperluan)
13. Plan Lokasi (mengikut keperluan)

Nama tetamu di kad jemputan hendaklah ditulis dengan tangan manakala sampulnya ditaip dan diedarkan 4 minggu sebelum majlis diadakan dan tarikh jawapan diterima ialah seminggu sebelum majlis diadakan. Jika masa lewat iaitu kurang dari dua minggu kad-kad jemputan hendaklah dihantar dengan tangan.

0 Response to "ETIKET 5"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel