Sabtu, 9 Oktober 2010

pendekatan dalam PSK

bahan kursus

KURSUS ORIENTASI JURULATIH UTAMA
PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN
TAHUN 4 KBSR/ TINGKATAN 1 KBSM
OGOS - SEPTEMBER 2004

PENDEKATAN DALAM PENDIDIKAN SIVIK DAN
KEWARGANEGARAAN KBSR/KBSM

Prof. Madya Dr. Chang Lee Hoon
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
changlh@um.edu.my


1. PENGENALAN

Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik and Kewarganegaraan KBSR/KBSM memberi cabaran dan peluang kepada para pendidik untuk melahirkan warganegara Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab supaya mereka sanggup dan boleh memberi sumbangan yang berkesan dalam pembangunan dan kesejahteraan negara dan global. Selain daripada itu, dalam abad 21 ini, perubahan dan kompleksiti yang sentiasa berlaku di dalam komuniti tempatan, kebangsaan dan global telah menambah cabaran kepada para pendidik untuk mendidik murid menjadi warganegara Malaysia yang berkesan serta menjadikan wawasan negara kita sesuatu realiti.


Sehubungan dengan itu, pendekatan dalam Pendidikan Sivik and Kewarganegaraan (PSK) KBSR/KBSM seharusnya menggalakkan murid menyertai secara aktif dan interaktif dalam proses pembelajaran. Pendekatan penyertaaan murid secara aktif dan interaktif dalam PSK ini akan memberi peluang kepada murid mengalami dan melibatkan diri dalam proses memperolehi pengetahuan, kemahiran serta nilai sivik dan kewarganegaraan. Dalam kata lain, dengan menggunakan pendekatan penyertaan murid secara aktif dan interaktif dalam PSK, guru seharuslah kurang bercakap dan bertanya. Sebaliknya, murid akan diberi peluang untuk bertanya, berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain dalam memberi dan berkongsi pendapat dan idea untuk memahami dan mengkaji peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara Malaysia yang patriotrik dan tanggungjawab.

Berlandaskan kepada kepentingan penglibatan murid dalam proses pembelajaran, maka pendekatan penyertaan murid secara aktif dan interaktif dalam PSK akan melibatkan strategi pengajaran dan pembelajaran seperti yang berikut:
(1) Pembelajaran aktif
(2) Pembelajaran koperatif
(3) Pembelajaran penyelesaiaan masalah
(4) Pembelajaran mesra budaya dan
(5) Pembelajaran berkhidmat

2. PEMBELAJARAN AKTIF

Pembelajaran aktif dalam PSK akan membolehkan murid memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang ahli yang berkesan dalam pelbagai kumpulan sosial (keluarga, sekolah, rakan, komuniti tempatan, agama, negara dan global) sama ada pada masa kini atau masa depan. Ini adalah kerana pembelajaran aktif melibatkan penyertaan murid dalam proses pembelajaran hands on dan minds-on dan bukanlah secara pasif atau flat. Melalui pembelajaran yang bermakna sebegini, murid akan diberi peluang untuk mengembangkan kemahiran dan nilai serta mengaplikasikan pengetahuan sivik dan kewarganegaraan dalam kehidupan hariannya.

Untuk mengaplikasikan pembelajaran aktif dalam PSK, aktiviti pembelajaran yang memfokuskan murid seharusnya mencabar, menarik dan relevan supaya murid dapat mengaplikasikan hasil pembelajaran yang diperolehi daripada sesuatu aktiviti kepada suasana pembelajaran yang lain. Dalam kata lain, melalui aktiviti pembelajaran yang aktif murid dapat mempelajari sesuatu yang bermakna kerana mereka akan diberi peluang untuk mengaitkan pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik dan kewarganegaraan dalam sesuatu aktiviti pembelajaran.

Terdapatnya pelbagai aktiviti pembelajaran aktif yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran PSK. Antaranya ialah:

• Perbincangan atau kerja kumpulan kecil seperti buzzing, sumbang saran, main peranan, simulasi, debat dan forum.
• Aktiviti pembelajaran koperatif berkumpulan seperti berfikir-berpasangan-berkongsi, permainan,main peranan, peer tutoring dan jigsaw.
• Aktiviti pembelajaran siber. Contohnya, seperti mencari maklumat melalui internet, membina laman web atau bertukar pendapat melalui emel dengan murid dari sekolah lain sama ada dalam atau luar negeri.
• Demonstrasi sama ada oleh guru atau murid seperti cara penampilan diri dalam menjaga maruah diri (KBSR Tahun 4) dan cara menolak pelawaan rakan untuk melakukan sesuatu yang negatif (KBSM Tingkatan 1)
• Projek yang dicadangkan oleh murid sendiri seperti mengadakan pertunjukan pakaian tradisional (KBSR Tahun 4) atau pertandingan bercerita “cerita rakyat” Malaysia (KBSM TIngkatan 1)
• Pembelajaran refleksi kendiri seperti menyimpan jurnal dan diari mengenai cita-cita diri (KBSR Tahun 4) atau perasaan mengenai peristiwa yang lalu yang berkaitan dengan hubungan murid dengan rakan atau ahli keluarga yang lain (KBSM Tingkatan 1)


3. PEMBELAJARAN SECARA KOPERATIF

Pembelajaran secara koperatif akan mewujudkan suasana pembelajaran yang saling pengantungan positif di mana murid akan bekerja dan belajar bersama-sama untuk mencapai sesuatu matlamat yang tertentu. Pembelajaran secara koperatif adalah penting dalam PSK kerana melalui proses pembelajaran berkumpulan mereka akan dapat memahami kepentingan saling membantu di tempat kerja atau keluarga untuk mencapai kejayaan kumpulan.
Pembelajaran secara koperatif dalam PSK mempunyai ciri-ciri yang tertentu yang membezakan daripada aktivti pembelajaran tradisional di mana murid berkumpul untuk melakukan sesuatu aktiviti seperti yang digambarkan dalam jadual yang berikut:

Jadual: Perbandingan antara pembelajaran berkumpulan secara koperatif dengan pembelajaran berkumpulan yang tradisional


Pembelajaran Berkumpulan Secara Koperatif
-Saling pengantungan positif
- Akauntabiliti individu
-Kumpulan yang heterogenous
-Bersama-sama memimpin
-Bersama-sama bertanggungjawab
-Penekanan kepada tugas dan proses
-Kemahiran sosial diajar secara langsung
-Guru memerhati dan membimbing
-Kumpulan menilai keberkesanan kendiri


Pembelajaran Berkumpulan Secara Tradisional
-Tidak ada saling pengantungan positif
-Tidak ada akauntabiliti individu
-Kumpulan yang homogenous
-Seorang pemimpin sahaja yang dilantik
-Bertanggungjawab terhadap diri sahaja
-Penekanan kepada tugas
-Kemahiran sosial diajar secara implisit dan kadang kala diketepikan
-Guru tidak mementingkan fungsi kumpulan
-Tidak ada proses berkumpulan

(Sumber: Johnson Johnson & Holubee dalam Gunter, Estes & Schwab, 1999. Instruction. A models approach (3rd ed.). Boston: Allyn and Bacon)

Berlandaskan kepada ciri-ciri pembelajaran berkumpulan secara koperatif, maka boleh dikatakan bahawa matlamat PSK dalam melahirkan warga negara yang bersatu padu dan erat antara anggota masyarakat yang berbilang kaum boleh dicapai melalui pembelajaran koperatif dalam kelas PSK. Contohnya, semasa berinteraski dalam kumpulan yang heterogenous, murid akan lebih peka terhadap perasaaan dan pandangan ahli kumpulan lain dan seterusnya akan mewujudkan persefahaman dan saling hormat antara satu sama lain untuk kebaikan bersama. Segala konflik yang dihadapi oleh kumpulan akan dapat ditangani dengan cara bekerjasama dan bertanggungjawab bersama untuk memastikan bahawa kumpulan berjaya.

Terdapat pelbagai aktiviti pembelajaran koperatif yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran PSK. Diantaranya ialah:
• berfikir-berpasangan-berkongsi seperti kekuatan diri (KBSR Tahun 4) atau cara membantu anggota keluarga di rumah (KBSM Tingkatan 1)
• permainan
• main peranan
• projek
• peer tutoring
• jigsaw dan
• aktiviti pembelajaran siber

4. PEMBELAJARAN PENYELESAIAN MASALAH


Tidak dapat dinafikan bahawa murid akan menjadi pemimpin masa depan dalam merealisisikan wawasan negara kita. Dalam era globalisasi pada abad 21 ini, di mana perubahan dan kompleksiti sentiasa berlaku di dalam komuniti tempatan, kebangsaan dan global, mereka akan menghadapi pelbagai cabaran untuk menyelesaikan masalah, sama peribadi atau sosial. Ini bermaksud bahawa perkembangan kewarganegaraan dan sivik memerlukan murid mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menangani cabaran dan masalah ke arah pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Untuk membimbing murid dalam pembelajaran penyelesaian masalah, maka pentingnya masalah yang akan diselesaikan adalah relevan kepada diri murid sendiri dan persekitarannya. Ini adalah kerana masalah yang akan dikaji dan keputusan yang diambil akan menjadi lebih bermakna dan boleh dipertimbangkan atau diaplikasikan dalam kehidupannya sebagai warga negara Malaysia atau global.

Secara amnya, pembelajaran penyelesaian masalah dalam PSK akan melibatkan murid sendiri mencari jawapan kepada sesuatu soalan mengenai peranan dan tanggungjawab diri dalam perkembangan sivik dan kewarganegaraan melalui proses inkuiri yang berikut:


Jadual: Proses inkuiri dalam pembelajaran penyelesaian masalah

1. Mengenalpasti dan menghuraikan sesuatu masalah
2. Menentukan pelbagai alternatif atau pilihan serta rintangan masalah dari segi fakta, pandangan dan perasaan watak yang terlibat
3. Memilih stategi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah seperti teknik awan, sebab dan akibat, dan konflik resolusi
4. Menguji keputusan tentatif yang dipilih dengan mengumpul dan menilai maklumat yang relevan dengan masalah
5. Membuat keputusan muktamad atau mengubahsuaikan langkah atau strategi yang telah diambil, jika perlu.

Pembelajaran penyelesaian masalah secara aktif dalam PSK akan menjadikan asas kepada murid untuk memahami dan menangani perubahan yang berlaku di dalam kehidupan dan persekitarannya dengan bertanggungjawab dan berkesan sebagai warganegara Malaysia.
Terdapat pelbagai aktiviti pembelajaran penyelesaian masalah yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran PSK. Diantaranya ialah:
• perbincangan berkumpulan
• main peranan
• penyoalan
• debat,
• panel juri
• perundingan roundtable
• peta minda atau penyusunan grafik




5. PEMBELAJARAN MESRA BUDAYA

Adalah sesuatu realiti bahawa masyarakat Malaysia mempunyai kepelbagaian di kalangan anggota masyarakatnya seperti dari segi bahasa, ethnik/kaum, agama/kepercayaan, fizikal, gender, bakat dan kebolehan. Kepelbagaian di kalangan anggota masyarakat inilah yang menjadi kekuatan dan cabaran bagi setiap warga negara Malaysia untuk hidup bersama secara bersatu padu ke arah kesejahteraan keluarga, komuniti dan masyarakat.

Walaupun terdapatnya kepelbagaian dalam masyarakat, setiap warga negara Malaysia mempunyai persamaan yang boleh dianggapkan sebagai identiti warga negara Malaysia. Ini membawa implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran PSK iaitu bagaimana mewujudkan kefahaman dan apresiasi kepelbagiaan budaya di kalangan anggota masyarakat Malaysia dan pada masa yang sama menyumbangkan kepada pengembangan identiti warga negara Malaysia yang unik.

Berlandaskan kepada kepentingan memahami dan mengapresiasi kepelbagaian dalam masyarakat dan mewujudkan identiti warga negara Malaysia yang unik, maka agar pentingnya pembelajaran mesra budaya ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran PSK. Pembelajaran mesra budaya akan memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi dan memahami pandangan dan perasaan murid daripada pelbagai latar belakang dan budaya yang lain. Melalui proses pembelajaran mesra sebegini, murid akan lebih menghormati kepelbagaian budaya dengan mengikiskan segala prasangka dan salah tanggapan terhadap sesuatu budaya anggota atau kumpulan masyarakat yang lain.

Pengalaman pembelajaran budaya mesra akan mengembangkan nilai sivik yang penting dalam memelihara hidup secara harmonis dan aman dalam masyarakat kita dan secara global seperti nilai hormat-menghormati, toleransi, kasih sayang terhadap alam sekitar, kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang serta nilai patriotik. Untuk mengembangkan pembelajaran budaya mesra, seorang guru PSK seharusnya berusaha mewujudkan suasana pembelajaran yang boleh menggalakkan interaksi dan integrasi yang positif di kalangan murid daripada pelbagai latar belakang dan budaya. Pendek kata, usaha untuk mengintegrasikan murid daripada pelbagai latar belakang dan budaya harus diamalkan oleh seorang guru PSK sama di dalam atau luar bilik darjah.

Terdapat pelbagai aktiviti pembelajaran budaya mesra yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran PSK. Diantaranya ialah:

• Projek yang dicadangkan oleh murid sendiri seperti menyedia bahan mengenai “Kenali Malaysia” (Tahun 4 KBSR) atau kempen kesedaran sivik di peringkat sekolah (Tingkatan 1 KBSM)
• Sesi dialog seperti dengan pekerja atau pentadbir sekolah mengenai cara membina sekolah penyayang (Tahun 4 KBSR) atau dengan pihak polis mengenai tingkah laku anti sosial dan agresif dan cara mengatasinya (Tingkatan 1 KBSM)
• Perbincangan
• Menonton filem/video yang berkaitan dengan cara memasak makanan tradisional pelbagai kaum (Tahun 4 KBSR) atau sejarah sekolah (Tingkatan 1 KBSM)
• Drama
• Lawatan

6. PEMBELAJARAN BERKHIDMAT

Pendekatan penyertaan murid secara aktif dan interaktif dalam PSK melibatkan pembelajaran berkhidmat atau perkhidmatan komuniti di luar bilik darjah. Melalui penyertaan secara aktif dalam sesuatu projek komuniti, murid dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam menyelesaikan masalah sosial yang benar-benar berlaku di sekolah, komuniti, negara dan global.

Melalui pembelajaran berkhidmat ini, murid akan mengambil tanggungjawab dan kepemimpinan dalam melakukan sesuatu perkhidmatan sivik kepada masyarakat. Mereka juga akan mengembangkan amalan nilai-nilai sivik serta kemahiran sosial dan kewarganegaraan dalam memberi sumbangan kepada masyarakat. Pendek kata, melalui pembelajaran berkhidmat, murid akan mempelajari secara aktif and interaktif bagaimana menjadi seorang warganegara yang bertanggungjawab dan berkesan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Namun begitu, pembelajaran berkhidmat memerlukan sokongan dan penglibatan ibu bapa serta komuniti tempatan. Oleh sedemikian, maka guru PSK atau pihak sekolah perlu mewujudkan sesuatu partnership atau kolaborasi dengan agensi-agensi komuniti tempatan supaya memudahkan murid berhubungi dengan mereka mengenai perkhidmatan komuniti,

Terdapat pelbagai aktiviti pembelajaran berkhidmat yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran PSK yang boleh dikategorikan seperti berikut:
• berkhidmat secara langsung kepada sesiapa yang memerlukannya seperti membantu pekerja sekolah membersihkan taman sekolah (Tahun 4 KBSR) atau menghiburkan penghuni di rumah orang tua (Tingkatan 1 KBSM
• berkhidmat secara tidak langsung kepada sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan seperti mengutip derma bagi mangsa bencana alam dan kemudian menyerahkannya kepada akhbar tempatan yang menguruskan kutipan tersebut (Tahun 4 KBSR dan Tingkatan 1 KBSM)

• tindakan advocacy atau affirmative dengan mengemukakan cadangan atau kempen mengenai sesuatu masalah sosial kepada pihak-pihak tertentu seperti menulis cadangan kepada pihak sekolah bagaimana membina sekolah penyayang (Tahun 4 KBSR) atau menulis surat kepada pengurusan pusat membeli-belah tempatan supaya menyediakan kemudahan awam yang sesuai untuk golongan kurang bernasib baik (Tingkatan 1 KBSM)



7. KESIMPULAN
Pendekatan dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan KBSR/KBSM melibatkan penyertaan murid secara aktif dan interaktif dalam proses mempelajari bagaimana menjadi seorang warga negara yang bertanggungjawab dan berkesan. Melalui penyertaan yang aktif dan interaktif dalam pembelajaran ini, murid akan memahami dan mengaitkan pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik dan kewarganegaraan dalam kehidupan mereka dan seterusnya menjadikan wawasan negara sesuatu realiti.

Rujukan
Alred, G., Byram, M. & Fleming, M. (eds.) (2002). Intercultural experience and education.Clevedon: Multilingual Matters Ltd.
Arther, J. Davidson, J. & Stow, W. (2000). Social literacy, citizenship education and the national curriculum. London: Routledge Falmer.
Arthur, J. & Wright, D. (2001). Teaching citizenship in the secondary school. London: David Fulton Publishers.
Glasgow, N.A. (1997). New curriculum for new times. A guide to student-centred, problem-based learning. Thousand Oaks, California: Corwin Press, Inc.
Jacobs, G.M., Gan S.K. & Ball, J. (1998). Pembelajaran kerjasama. Buku sumber untuk pendidikan perguruan (edisi keempat Bahasa Melayu). UPM Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Kellough, R. D. (2000). A resource guide for teaching: K-12 (3rd ed.) Upper Saddle River, New Jersey: Merrill
Laughlin, M. A. & Hartoonian, H.M. (1995). Challenges of social studies instruction in middle and high schools. Fort Worth: Harcourt Bruce College Publishers
Swiniarski, L.A., Breitborde, M. & Murphy, J. (1999). Educating the global village including the young child in the world. Upper Saddle River, New Jersey: Merrill
Orlich, D.C., Harder, R.J., Callahan, R.C. & Gibson, H.W. (2001). Teaching strategies. A guide to better instruction (6th ed.). Boston: Houghton Mifflin Co.


PENDEKATAN DALAM PENDIDIKAN SIVIK DAN
KEWARGANEGARAAN KBSR/KBSM


PERBINCANGAN KUMPULAN
Berdasarkan kepada satu tajuk dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4 KBSR atau Tingkatan 1 KBSM, dalam kumpulan bincangkan bagaimana melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berikut:

(1) Pembelajaran aktif
(2) Pembelajaran koperatif
(3) Pembelajaran penyelesaiaan masalah
(4) Pembelajaran mesra budaya dan
(5) Pembelajaran berkhidmat

3 ulasan: