Rabu, 20 Januari 2010

peraturan pendidikan penerimaan masuk murid

PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN
(PENERIMAAN MASUK MURID KE SEKOLAH,
PENYIMPANAN DAFTAR DAN SYARAT BAGI
PENGEKALAN MURID BELAJAR DI SEKOLAH)
1998*

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 130 Akta Pen¬didikan 1996, Menteri membuat peraturan-peraturan yang berikut:

1. Nama dan mula berkuat kuasa.
Peraturan-peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan Pendidikan Penerimaan Masuk Murid Ke Sekolah, Penyimpanan Daftar dan Syarat Bagi Pengekalan Murid Belajar Di Sekolah) 1998 dan hendaklah mula berkuat kuasa pada 23 Julai 1998.

2. Pemakaian
Peraturan-Peraturan ini hendaklah terpakai bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

3. Tafsiran.
Dalam Peraturan-Peraturan ini “guru besar” atau “pengetua” ertinya pegawai dalam Perkhidmatan Pendidikan yang dilantik oleh Ketua Pengarah untuk mengurus sekolah.

4. Penerimaan masuk murid warganegara ke sekolah.
(1) Guru Besar atau pengetua hendaklah menerima masuk murid yang adalah warganegara ke sekolah untuk menerima pendidikan.

(2) Ibu bapa hendaklah mengemukakan yang berikut semasa pendaftaran penerimaan masuk murid ke sekolah:
(a) surat beranak asal murid bagi penerimaan masuk ke sekolah rendah;
(b) kad pengenalan asal murid bagi penerimaan masuk ke sekolah menengah; atau
(c) surat beranak asal murid bagi penerimaan masuk ke sekolah menengah, jika murid itu belum memiliki kad pengenalan.

5. Penerimaan masuk murid bukan warganegara ke sekolah.
(1) Kategori murid yang berikut yang bukan warganegara boleh diterima masuk ke sekolah:
(a) anak kakitangan kedutaan asing;
(b) anak yang ibu bapanya adalah juga bukan warganegara, yang bekerja dalam perkhidmatan atau agensi kerajaan, badan berkanun atau mana-mana tempat lain dengan permit kerja yang sah; atau
(c) anak yang ibu bapanya adalah pemastautin tetap Malaysia.

(2) Murid yang disebut dalam subperaturan (1) sebelum diterima masuk ke sekolah hendaklah—
(a) memiliki pas pelajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen;
(b) membayar fi yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan; dan
(c) mengemukakan borang sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual Pertama.

6. Daftar penerimaan masuk murid.
(1) Guru Besar atau pengetua hendaklah menyimpan atau menyebabkan supaya disimpan suatu daftar penerimaan masuk murid yang kemaskini yang mengandungi butir-butir sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua berkenaan dengan semua murid di sekolah.

(2) Walau apa pun subperaturan (1), guru besar atau pengetua hendaklah membatalkan dan daftar nama murid yang telah bertukar atau berhenti sekolah pada sesuatu hujung bulan yang berkenaan.

7. Pertukaran sekolah.
(1) Guru besar atau pengetua boleh mendaftarkan murid yang adalah warganegara yang permohonannya untuk bertukar sekolah telah diluluskan oleh Pengarah Pendidikan Negeri dalam borang sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga.

(2) Jika murid yang bukan warganegara berhasrat untuk bertukar sekolah, dia hendaklah membuat suatu permohonan baru bagi kemasukan ke sekolah yang dia pohon itu.

(3) Permohonan di bawah subperaturan (2)itu hendaklah dibuat dalam borang sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual Pertama dengan syarat-¬syarat yang berikut:

(a) pemohon telah menjelaskan fi kepada Kerajaan Malaysia;
(b) pas pelajar baru telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen; dan
(c) ada kekosongan tempat di sekolah baru yang dia pohon.

(4) Guru besar atau pengetua hendaklah menempatkan seseorang murid yang telah diluluskan pertukaran sekolahnya ke dalam kelas mengikut umur murid itu.


8. Kesalahan dan Penalti.
Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan dalam Peraturan ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan