-->

esei : memperkasa guru 2

Memperkasa Guru Sebenar Guru
Dalam
Membangun Diri Menunaikan Amanah
Guru Mengajar Murid Belajar

Pendahuluan

"Profesionalisme" (bagi Eric Hoyle,1980) adalah sikap dan tindakan yang menyentuh
aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat
kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
Semuanya adalah hal-hal yang selalu dihubungkaitkan dengan perjuangan kesatuan
sekerja.

"Profesionaliti" pula ialah sikap dan tingkah-laku yang ditunjukkan oleh seseorang
terhadap "profesionnya" serta taraf pengetahuan dan ketrampilan dalam bidang
pekerjaan itu.


Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya
dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan
mempunyai "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu melihat perguruan
dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaaan" tetapi sebagai satu "profesion"
(Omar Hashim,1993).

Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid:

1. punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
3. kenal, hormati dan percayai murid-murid
4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
6. menggalakkan murid-muird bertanyakan soalan mengenai pelajaran
7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

Terhadap Mengajar:

1. melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
2. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
3. adil dalam menilai dan menggred
4. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
5. bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
6. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
7. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
8. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
9. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
10. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

Terhadap Disiplin:

1. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
2. seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
3. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
4. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
5. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
6. bina dan mengekalkan perhubungan profesional
7. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas

Secara Peribadinya:

1. tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi
2. berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.


Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"

Apa yang "unggul" itu?
Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek i) Diri Peribadi 2) Organisasi 3) Iklim dan
Budaya Kerja.
1. Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi); suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.
2. Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-massing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.
3. Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.

Tetapi "realitinya" bagaimana?

1. Aspek peribadi: bersikap yang tidak sesuai dan tidak cerminkan seorang (atau guru-
guru) yang sejati dengan tingkah-laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri dan
organisasi; datang lewat, lambat masuk kelas mengajar, atau kalau masuk tidak
mengajar, atau masuk sekejap kemudian tinggalkan murid buat kerja sendiri, suka
buang masa (berborak dan bersembang semasa bertugas), buat sibuk pada masa dia
tidak sibuk; semuanya ini jadi amalan dan tak rasa malu apatah lagi rasa berdosa.
Pengetahuan dan kemahiran yang tidak berkembang; walau dah lama menjadi guru
tetapi kerja masih comot, kabur, salah sana salah sini, tak faham format dan
kandungan, sangat lewat siapkan laporan data dan maklumat (termasuk analisis dan
diagnosis) dan masih tak pandai buat minit mesyuarat atau belum faham-faham bezakan
antara laporan dan minit; dokumen murid sering tidak kemaskini; buku-buku latihan
murid sangat lama tidak diperiksa; dan paling buruk sikap bodoh sombong, besar diri
dan sangka diri paling betul hingga kerja wajib sebagai seorang guru ditinggalkan dan
melebihkan kerja-kerja lain yang bukan wajib (direct selling dan seumpamanya);
bagaimana kita hendak jadi Guru Sebenar Guru?


2. Aspek Organisasi pula kenyataannya datangnya daripada sikap dan perlakuan para
ahlinya; sering wujud senario nafsu-nafsi (tidak landaskan prinsip dan peraturan)
akhirnya terbentuk organisasi yang kalut, caca-marba, ikut suka; hingga berlarutan
bertahun-tahun maka wujudlah beberapa status organisasi seperti: i) Organisasi
Bermasalah, ii) Organisasi Terbiar, iii) Organisasi Berpenyakit, iv) Organisasi
Bebas-Cukai dan v) Organisasi Mentaliti "Mengajar sebagai Kerja Bodoh."

3. Aspek Iklim dan Budaya Kerja: Relitinya iklim yang gambarkan "budaya organisasi" yang
sentiasa di bawah standard dan jangkaan semua pelanggan dalaman dan luaran atau
tidak memenuhi aspirasi masyarakat dan negara. Maka terdengarlah segala macam
rungutan, komen dan kritikan daripada rakyat jelata di desa sampailah kepada Perdana
Menteri yang memerintah negara; antarnya seperti "Kita tidak serius sebagai Guru Besar...";
"..sekolah kebangsaan tidak menarik dan kurang berdisiplin.'; "3M tidak berkesan di sekolah
kebangsaan berbanding SJK Cina."; "Sebanyak 1,919 buah sekolah dikenalpasti sebagai sekolah
prestasi rendah (SPR) kerana pencapaian bawah 30% kelulusan UPSR (1999)"; " Pelajar-
pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi...."; adalah fakta
dan faktor yang mesti kita terima dan akui bagi membanteras dan memperbaikinya
melalui ruang yang luas di mana kita bebas membuat pilihan...yakni pilihan perjuangan
menghapuskan kealpaan, kelederan, kelewatan, ketidakakuran, kelemahan dan
kehinaan akibat dari kebejatan profesioanlisme.

Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan

Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan
apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita
berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan
mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu
kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah
saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang
lain.

Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka
kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita
dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas
segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan
seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri.

Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba,
fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-
baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan
mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita. Pendeknya inilah yang
dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti
melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga
menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah
menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu

Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih;
buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita
sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri
profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang
profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita
menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa
dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.


Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"

Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar"
dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi
kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah
membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita
sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.

Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi
guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang
membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan
bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya
ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat
mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar
jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah
menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa
muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat
menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping
berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

Guru Sebenar Guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi
seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada
menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara'
atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri
'orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan
dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa
bertangguh.

Penutup

Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada
mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu
tadbir, pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai
'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita
dakwa bahawa kita tidak tahu mengenainya.

Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit
pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan
masa sebaik mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat
memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak
Kementerian Pendidikan jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu
dan layu?"ٱ



Rujukan

Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


William E. Schneider, Ph.D., (1998). Why Good Managements Ideas Fail
- Understanding Your Corporate Culture. Paradigm Shift International USA.


___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

0 Response to "esei : memperkasa guru 2"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel