-->

GAYA KEPIMPINAN PENGETUA

TAJUK :Bincangkankan Gaya Kepimpinan Pengetua .

1.0 Definisi

Dalam kajian dan penulisan tentang sekolah efektif tidak terdapat satu jenis gaya kepimpinan yang dikatakan lebih baik daripada yang lain . Walaubagaimanapun , begitu banyak saranan telah dibuat tentang kepimpinan cara demokrasi , yang dikatakan lebih berkesan daripada kepemimpinan secara ‘laissez-faire’ , atau kepemimpinan secara autokratik . Kajian juga menunjukkan bahawa gaya kepimpinan yang bercorak kepada gaya orientasi tugasan ( task-oriented ) dan orientasi manusia ( person-oriented ) daripada bercorakkan kepimpinan ‘ laissez – faire atau autokratik . Ini bererti bahawa kedua-dua gaya kepimpinan , iaitu gaya orientasi tugasan dan orientasi manusia perlu digunakan mengikut keperluan keadaan .

2.0 Konsep Kepimpinan

Pengetua sentiasa disifatkan sebagai pemimpin sekolah kerana kedudukan dan jawatannya yang berwibawa . Kepimpinanan adalah satu konsep yang sukar dan kompleks .
Dalam pada itu , terdapat berbagai – bagai jenis pemimpin seperti pemimpin politik , pemimpin organisasi , pemimpin pelajar dan lain – lain lagi . Dalam konteks ini , pemimpin boleh dilihat sebagai seseorang yang diiktirafkan oleh satu atau lebih daripada satu orang , bahawa pemimpin mempunyai pengaruh , berwibawa , dan mempunyai kuasa sama ada jangka pendek atau jangka panjang dalam situasi yang tertentu . Dengan ini , maka adalah jelas bahawa pemimpin ditentukan oleh peranan dan bukannya oleh kedudukan . Seseorang yang dilantik sebagai pengetua , dijangka akan memainkan peranan “ pemimpin “ , iaitu , sebagai pemimpin pendidikan .

3.0 Gaya Kepimpinan

Gaya kepimpinan seseorang pengetua akan mempengaruhi pembelajaran dan pengajaran di sekolah : Terdapat tiga gaya kepimpinan utama yang dipraktikkan oleh pemimpin iaitu gaya kepimpinan Demokratik , gaya kepimpinan Autokratik , dan gaya kepimpinan Laissez-faire .
Di bawah ini , dibincangkan tentang gaya kepimpinan demokratik oleh seorang pengetua dalam mewujudkan kecermelangan pencapaian akedemik dan sahsiah di kalangan pelajar serta menanam semangat profesionalisme yang tinggi terhadap guru-guru dan kakitangan..
Kajian tentang perubahan atau kemajuan organisasi mengatakan bahawa sesuatu inovasi memerlukan keadaan yang dapat menggerakkannya , supaya ia dapat dilaksanakan . Salah satu penggerak adalah dengan adanya cara kepimpinan demokrasi .
Mengikut gaya kepimpinan seperti ini , mereka yang akan terlibat dalam perlaksanaan perubahan atau mereka yang mendapat kesan daripada perubahan itu , diberi peluang untuk berbincang dan membuat keputusan . Misalnya , dalam perlaksanaan kurikulum baru di sekolah , pihak yang terlibat dengan perubahan itu ialah guru , dan pihak yamg mendapat kesan daripada perubahan itu ialah pelajar . Mengikut cara kepimpinan demokrasi , kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar juga terlibat dalam perancangan , dan membuat keputusan tentang perlaksanaan kurikulum itu . Cara ini boleh menimbulkan semangat kesanggupan untuk bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu program . Cara demikian dikatakan dapat memberi kepuasan kepada mereka . Hord (1986) telah mengatakan bahawa sebarang perubahan dan inovasi yang hendak dilaksanakan , perlulah dilakukan dengan cara yang bijaksana , beserta dengan usahasama antara pemimpin dengan rakan sejawatannya atau stafnya . Oleh yang demikian , kepimpinan merupakan tingkahlaku pemimpin bagi mencari jalan untuk melaksanakan sesuatu program atau tugasan , yang bertujuan untuk mencapai matlamat organisasi itu . Walau bagaimanapun kepimpinan pengetua yang berkesan bukanlah bererti kepimpinan yang berjaya mendorong stafnya membuat perubahan semata-mata , tetapi juga merupakan kepimpinan yang berjaya dalam menyelesaikan masalah secara bersama-sama .


Apa yang jelas , pengetua sebagai pemimpin di sekolah haruslah melakonkan peranannya dengan cara yang berkesan bagi membawa perubahan dan kemajuan dari segi amalan dan budaya yang terdapat di sekolahnya . Dengan ini sesiapa yang menjadi pemimpin perlu berkerjasama dengan orang lain dan bekerja melalui mereka iaitu guru , pelajar , dan staf sekolah . Dengan cara demikian , inovasi dapat dilaksanakan , idea-idea baru dapat dikemukakan oleh pemimpin , matlamat sekolah dan matlamat pengajaran serta peranan masing-masing dapat ditetapkan , keberkesanan pelaksanaan inovasi dapat dinilai dan pelbagai lagi . Pengetua sebagai pemimpin sekolah hendaklah menjadi teladan dengan bekerjasama dengan rakan sejawatan atau dengan staf .
Boleh dikatakan bahawa gaya kepimpinan demokratik amat berkesan di samping bergantung kepada kawalan dan pengaruh yang diberikan kepada seseorang pemimpin oleh sesuatu situasi . Gaya kepimpinan paling efektif akan berubah ikut situasi , ini bermakna tiada satu gaya kepimpinan yang paling efektif . Dalam situasi mana seorang pemimpin mempunyai kawalan dan pengaruh yang tinggi terhadap pemimpin berkenaan sesuatu tugas . Gaya kepimpinan ini amat disukai oleh para guru dan staf lain kerana ia lebih banyak berbincang atau membuat keputusan bersama-sama . Dengan ini akan menimbulkan suasana kondusif menyebabkan guru-guru dapat menumpukan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan tenang dan gembira serta semangat yang jitu demi memartabatkan lagi profesion perguruan . Guru juga berasa bebas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas kerana gaya pengajaran tidak perlu terikat dengan sukatan mata pelajaran sepenuhnya tetapi mengikut tahap atau kemampuan murid serta `mood`pembelajaran pada sesuatu masa . Sesi perbincangan juga dapat memberi kesempatan kepada guru-guru untuk mereka memberi idea-idea kepada pentadbir demi untuk memajukan lagi pendidikan di sesebuah sekolah . Perbincangan sebegini sebenarnya boleh mencetuskan lagi idea-idea yang difikirkan masing-masing serta membuat teguran yang positif tanpa merasa takut atau rendah diri terhadap rakan setugas yang lain dan pengetua sendiri . Keberkesanan sekolah lazimnya diukur dan dinilai dari segi kejayaan atau pencapaian sekolah dalam peperiksaan di samping mewujudkan rasa kepuasan bekerja dalam sesebuah sekolah itu . Di dalam organisasi sekolah , keberkesanannya adalah tanggungjawab pengetua sekolah itu sendiri . Dia bertanggung jawab terhadap prestasi dirinya sendiri dan juga guru , pelajar serta staf-staf yang lain di sekolahnya . Tidak akan wujud prestasi , tanpa kepemimpinan yang berkesan , yang perlu dikuasai melalui proses pembelajaran . Dengan ini dapat dibuat kesimpulan bahawa apa yang membezakan keberkesanan sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain adalah kepimpinan pengetuanya .


Sekiranya kecemerlangan sekolah hendak dicapai , seseorang pengetua itu mestilah memainkan peranan pemimpin yang berketerampilan seperti menjadi pemimpin yang teknikal yang seharusnya memainkan peranan sebagai jurutera pengurusan . Kepimpinan seumpama ini ditumpukan kepada teknik pengurusan yang cekap dan mahir dalam memanipulasi strategi dan keadaan demi untuk menjamin keberkesanan yang maksimum . Kemahiran ini termasuklah aspek perancangan , pengelolaan , penjadualan , dan penyelarasan . Pengetua juga sebagai pemimpin manusia . Dalam hal ini pengetua memainkan peranan sebagai jurutera manusia . Maksudnya pengetua sewajarnya mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia , dan perhubungan individu serta mampu menggerakkan atau memotivasikan stafnya . Ini adalah langkah untuk melibatkan staf dalam membuat keputusan bersama . Seterusnya pengetua juga mestilah memainkan peranan sebagai penghulu yang memberi isyarat tentang nilai dan kepentingan atau tujuan sesuatu yang hendak dicapai melalui perbincangan . Ini termasuklah aktiviti seperti melawat kebilik darjah dan di kawasan sekolah , mengetuai upacara rasmi di sekolah . Di samping itu pengetua yang memainkan peranan ini juga mempunyai wawasan sebagai satu unsur kepimpinannya . Kepimpinan seperti ini meletakkan pengetua sebagai tumpuan perhatian bagi semua guru dan pelajar .


Pengetua juga diibaratkan sebagai pemimpin budaya , dalam hal ini , pengetua memainkan peranan sebagai “high priest” . Kepimpinan budaya ini sangat penting bagi mencapai kecermelangan sekolah . Pengetua yang menjalankan peranan ini dapat dilihat menerusi usaha-usahanya mencari , mentafsir dan memperkukuhkan nilai , kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadikan sekolah itu sebagai sebuah sekolah yang unik . Peranan ini termasuklah mengadakan aktiviti sosialisasi guru dan pelajar dengan budaya sekolah . Ini termasuklah mengadakan upacara memberi hadiah atau penghargaan kepada sesuatu kejayaan yang dicapai . Kepimpinan seperti ini sering memperlihatkan usaha bagi mengekalkan imej dan prestij sekolah . Di samping itu , peranan ini juga melibatkan usaha untuk menarik perhatian setiap orang guru dan pelajar di sekolah dan juga orang lain terhadap pencapaian matlamat sekolah dan perhubungan yang mesra .



Dalam gaya kepimpinan demokratik , pengetua juga menggunakan ciri-ciri humaniratin atau “modestly effective” . Fokus utama pengetua bercirikan demikain adalah iklim sekolah atau perhubungan antara perorangan . Apabila membuat keputusan , pengetua ini mengamalkan penglibatan bersama , yang bertujuan untuk menglibatkan dan mendorong staf dalam membuat keputusan bersama . Oleh yang demikian staf akan merasa dihargai . Pengetua seperti ini menunjukkan tingkahlaku yang proaktif dalam membuat keputusan yang melibatkan aspek iklim .


Jika sesuatu keputusan yang akan diambil , pengetua terlebih dahulu akan berbincang dengan stafnya serta keputusan yang akan dibuat adalah berasaskan maklumat dan kajian penyelidikan dan hasil analisis maklumat ini menjadi sumber untuk membuat keputusan . Dari segi matlamat pula , pengetua memilih pelbagai sumber dan meletakkan pengharapan yang tinggi kepada para pelajarnya . Matlamat jangka pendek digubal dan digunakan sebagai landasan interaksi dengan staf , agar haluan yang hendak ditujui dapat dipersetujui bersama .Pengetua juga menggunakan pelbagai strategi bagi memajukan pelajaran dengan mengambil kira kesemua faktor yang mempengaruhi pengalaman pelajar di sekolah dan di bilik darjah . Kriteria pemilihan strategi itu bergantung pula pada matlamat faktor , konteks , dan masalah yang ditanggapkan . Walau bagaimanapun , pengetua yang bertindak sebagai penyelesai masalah ini banyak menggunakan strategi faktor khusus untuk mencapai matlamatnya . Dia juga mempunyai pemahaman yang jelas tentang faktor tersebut dan pemahaman ini berasaskan penyelidikan dan pertimbangan professional . Dengan gaya kepimpinan ini pengetua dapat menyebarkan dengan jelas matlamat mereka kepada komuniti sekolah dengan menggunakan strategi yang berkesan , seperti membina dan mengekalkan perhubungan dan kemahiran staf , mengadakan kemudahan komunikasi dalam sekolah dan antara sekolah serta dengan komuniti .



Sebagai pentadbir sekolah , kepimpinan demokratik dapat memastikan sekolah itu berjalan dengan lancar , demi untuk memastikan suasana pembelajaran yang kondusif untuk pelajar . Pengetua seperti ini menumpukan perhatian , misalnya kepada penyediaan senarai tugas stafnya , peraturan dan disiplin pelajar , pesanan alat pembelajaran dan di samping memastikan suasana sekolah kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Dengan mengekalkan suasana yang kondusif ini semua perancangan dapat berjalan dengan lancar dengan mendapat kerjasama semua pihak bagi melicinkan lagi pentadbiran serta perjalanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah . Semua yang terlibat juga dapat menyumbangkan idea – idea yang dapat membantu dengan rasa gembira serta berpuas hati apabila segala idea yang disumbangkan dibincang bersama demi untuk kemajuan pendididikan di sekolah . Dengan perbincangan seperti ini maka idea-idea yang paling baik pasti digunakan dan dijalankan bagi kepentingan sokolah dan pelajar-pelajar .

4.0 Kesimpulan

Daripada faktor-faktor yang telah dijelaskan maka boleh dikatakan bahawa gaya kepimpinan demokratik adalah satu gaya kepimpinan yang terbaik di antara gaya-gaya kepimpinan yang lain seperti autokratik dan laissez-faire . Ini adalah kerana gaya kepimpinan demokratik adalah berpusatkan kerjasama serta pemilihan yang lebih adil seperti mengadakan perbincangan dengan guru-guru , membuat keputusan bersama , meminta pandangan atau nasihat daripada guru-guru lain dan staf sokongan malah pelajar sendiri sebelum membuat sesuatu keputusan atau tindakan berbanding dengan gaya kepimpinan autokratik yang lebih mementingkan idea dan keputusan sendiri serta suka menonjolkan diri dan mengarah guru atau staf sokongan sama ada dalam hal menjalankan tugas atau dari segi tingkah laku . Begitu juga jika dibandingkan dengan gaya kepimpinan laisez-faire yang lebih fasif dan tidak menggunakan kuasa dan tidak berusaha untuk kebaikan atau kemajuan sekolah

1 Response to "GAYA KEPIMPINAN PENGETUA"

  1. selamat hari guru....
    semoga berbahagia selalu....
    jasamu tetap ku kenang....
    akanku guna segala ilmu yang telah cikgu curahkan sebaik mungkin....

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel