-->

NOTA CIKGU HAMZAH 4

BUDAYA MEDIOCRITY PENGHALANG
KECEMERLANGAN ORGANISASI


1. Mengajak orang melakukan perkara yang baik adalah agak sukar walaupun perkara
yang baik itu sangat ‘simple’ sifatnya apatah lagi bagi melakukan perkara-perkara
yang dianggap berat.

2. Kebiasaan yang kita lakukan selama ini tidak semestinya benar dan betul dari segi
ikhtisas, tatatertib dan perhubungan pengurusan. Oleh itu memang sukar dan sakit
untuk melakukan perubahan yang diperlukan bagi merobah keadaan yang tidak
menggalakkan ini.

3. Budaya ‘mediocrity’ selama ini berlaku dalam kebanyakan organisasi - iaitu sikap ber-
pada dan berpuas hati dengan keadaan yang ada merupakan penghalang kepada segala
bentuk kecemerlangan apatah lagi dalam hubungan usaha negara khasnya
Kementerian Pendidikan merealisasikan ‘ Pendidikan Bertaraf Dunia’.

4. Ciri-ciri budaya mediocrity ini antaranya:

* buat sesuatu asal ada sahaja.
* sering sesuatu dianggap mudah, malah lebih buruk lagi sikap mempermudah-
mudahkan.
* lambat dalam bertindak; mematuhi ‘deadline’ tidak jadi budaya kerja.
* ‘malu’ buat kerja yang terbaik, terkemas dan teratur tetapi tidak ‘malu’ buat
yang sebaliknya.
* wujudnya pemikiran ‘lepas tangan’

5. Bagi mengatasi kelemahan serta mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran
yang baik maka beberapa langkah telah diambil bagi membetulkan ‘fokus
profesionalisme’ seperti:

* penekanan kepada kurikulum dan pembelajaran
* pencerapan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah
* semakan pemeriksaan buku latihan murid-murid oleh GB dan GPK-GPK
* mesyuarat guru setiap bulan dan perjumpaan khas yang kerap diadakan
* perhimpunan lima minit setiap hari
* disiplin guru dari segi kehadiran dan penyempurnaan tugas.

6. Oleh itu semua orang sewajarnya boleh memahami dan seterusnya menghayati
bahawa pengurusan “core business” kita di sekolah hari ini perlukan setiap dari kita
lebih komitmen serta bertindak pantas setiap detik dan waktu.

7. Sempena tahun baru ini marilah kita menghapuskan segala pemikiran singkat dan
sempit dan unsur-unsur budaya mediocrity yang wujud sebelum ini. Perbaikilah sikap,
cara berfikir dan bertindak sama ada secara individu, kelompok, kumpulan atau
organisasi.

8. Peringatan daripada Imam Al-Khalil bin Ahmad amat berguna kita jadikan renungan:

“ Terdapat empat jenis manusia. Ada manusia yang mengetahui dan
tahu mereka mengetahui. Tanyalah (belajar) pada mereka. Ada
manusia yang mengetahui dan tidak tahu bahawa mereka mengetahui.
Mereka ini pelupa. Ingatkan mereka! Ada manusia yang tidak menge-
tahui dan tahu bahawa mereka tidak mengetahui. Mereka perlukan
petunjuk. Ajarilah mereka. Dan ada manusia yang tidak mengetahui
dan tidak tahu pula bahawa mereka tidak mengetahui. Mereka jahil.
Hindarilah mereka!”


- (Keagungan Ilmu: Franz Rosenthal, m.s. 288)



KEMAJUAN PENCAPAIAN DAN BUDAYA SEKOLAH

1. Usaha mewujudkan satu budaya sekolah yang lebih positif adalah diperlukan bagi
pembangunan kemajuan sesebuah sekolah atau pembangunan organisasi bukanlah
dicapai dengan tumpuan kepada kemudahan fizikal sahaja tetapi tidak menjamin
pencapaian produktiviti yang tinggi.

2. Kajian yang dibuat menunjukkan bahawa kemajuan dan produktiviti dicapai kerana
tumpuan kepada budaya sekolah yang antaranya merangkumi:

i) interaksi pelajar dan guru
ii) sikap dan kepercayaan (yang jadi amalan)
iii) tradisi yang diamalkan
iv) proses pengajaran di bilik darjah

3. Dalam semua nota khas saya telah menyampaikan “message” ini sama ada secara
tersurat atau tersirat. Tajuk dan tema yang disentuh sebelum ini semuanya menjurus ke
arah pembentukan budaya kerja, budaya belajar dan budaya sekolah yang
dimaksudkan itu.

4. Secara jujur kita harus menyoal diri sendiri sejauh manakah kita telah memahami dan
seterusnya menghayatinya?

5. Penilaian tidak bergantung kepada persepsi semata-mata tetapi bergantung kepada
prinsip, objektif, dan bukti-bukti nyata yang berlaku. Sebagai contoh kita masih:
i) sukar mematuhi garispanduan yang paling asas
ii) tidak ada “seriousness” dalam aspek-aspek yang sangat memerlukannya
iii) ada unsur megah kalau kita orang yang paling lewat siapkan sesuatu tugas dan
seumpamanya
iv) berfikiran bahawa kita tidak perlu tunjukkan ‘penglibatan’ atau ‘terlibat’ dalam
aktiviti organisasi (yang kita sendiri adalah ahlinya).

6. Dr. Hussein Mahmood (1993) menyebut:

“ Sebenarnya, budaya sekolah bukanlah dicorakkan oleh budaya pelajar yang
berlainan latar belakang dan kebolehan. Sebenarnya budaya sekolah wujud
daripada sistem sekolah melalui amalan pengurusan, pengajaran dan interaksi
antara satu sama lain. Jika kita mahu menghalusi budaya sekolah ini, kita boleh
melihat beberapa sistem yang lain, seperti sistem komunikasi pengetua dengan
guru, sistem pepriksaan dan penilaian, sistem kawalan dan keselamatan, sistem
penggunaan kemudahan sekolah, sistem pengaliran pelajar dan pelbagai lagi.
Sistem-sistem ini sebagai komponen budaya sekolah sewajarnya dikaji dan
diperbaiki sekiranya pihak sekolah ingin mencapai kemajuan.”

7. Yang demikian kita sewajarnya dapat berperanan dan menyumbang secara penuh kese-
daran dan iltizam supaya kemajuan pencapaian merupakan ‘milik bersama’ dan yang
lebih penting daripada itu supaya tidak ada seorang pun yang akan ‘ketinggalan bas’!



MENCEGAH BERLAKUNYA KESILAPAN LEBIH BAIK
DARIPADA MEMBETULKANNYA


1. Paradigma bermaksud dan boleh diertikan sebagai suatu model,teori,persepsi, tanggap-
an atau’frame of reference’. Dalam pengertian yang umum paradigma adalah cara kita
‘melihat’ dunia - bukan dari segi deria penglihatan visual tetapi dari segi menerima,
memahami dan mentafsir.

2 Dalam mengejar kecemerlangan terutama kecemerlangan akademik salah satu aspek
penting yang tidak boleh dipandang remeh ialah ‘KUALITI’ yang amat berkait rapat
dengan paradigma kita menampilkan tahap kecekapan dan keberkesanan dalam setiap
aspek tugas dan kerja kita.

3. Kualiti mesti menjadi agenda utama dan teras budaya kerja kita sehari-hari terutama
bidang tugas yang amat biasa kita lakukan seperti:

i) kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran
ii) kualiti dalam pemeriksaan hasil kerja murid
iii) kualiti dalam menggubal soalan ujian dan penilaian
iv) kualiti dalam pengurusan masa (time management) dan pengurusan diri
v) kualiti dalam hasil kerja diri sendiri.

4. Kesilapan atau kesalahan sebenarnya boleh dielakkan jika kita mengamalkan sikap
“Prevention is better than cure” yakni satu sifat dalaman diri yang tidak membenarkan
terjadinya ‘kesilapan’ dan berusaha sungguh-sungguh bagi mempastikannya tidak ber-
laku.

5. Kesilapan atau kesalahan terjadi kerana wujudnya dua faktor iaitu :
i. kurangnya pengetahuan
ii. kurangnya perhatian.

6. Philip Crosby dalam Quality Without Tears menyatakan;

“ Lack of attention must be corrected by the person himself, through
an acute reappraisal of his or her moral values. Lack of attention
is an attitude problem. The person who commits himself or herself
to watch each detail and carefully avoid error takes the giant step
toward setting a goal of Zero Defects in all things.”

7. Oleh itu kita haruslah berusaha supaya aspek pencegahan berlakunya kesilapan dan
kesalahan diberi keutamaan. Ciri beri perhatian serius boleh kita jadikan tabiat diri
yang positif jika diiringi dengan ‘will power’ yang kuat yang akhirnya menjadi amalan
seperti kata perumpamaan Melayu, “ Alah bisa tegal biasa.”




PEMUPUKAN NILAI POSITIF PERLUKAN
KESUNGGUHAN DAN KETEGASAN


1. Peranan yang dimainkan oleh guru-guru bagi mendukung sistem pendidikan KBSR
dan KBSM amat penting dalam memberi penekanan dan pemupukan nilai-nilai positif
yang seimbang melalui perkembangan jasmani, mental, rohani, moral, afektif, emosi,
estetika dan sosial.

2. Sistem pendidikan negara yang berasaskan perspektif bersepadu merangkumi perkem-
bangan domain kognitif, psikomotor dan afektif seseorang murid mestilah diberi
galakan secara menyeluruh.

3. Untuk itu kita perlu menyedari bahawa di samping tugas pengajaran dan pembelajaran
yang utama, guru-guru tidak boleh lari dari tugas-tugas dan tanggungjawab penyisipan,
penerapan dan pemupukan nilai-nilai positif seperti kebenaran, keadilan, kesetiaan,
kerajinan, kebersihan, bekerjasama dan lain-lain lagi dalam semua program dan
aktiviti di peringkat bilik darjah atau sekolah.

4. Adalah tidak wajar sama sekali jika kita sendiri tidak dapat memahami dan seterusnya
mengongsi visi yang sama dalam objektif mencapai kecemerlangan dan ketrampilan
apabila kita bersikap dan bertindak:

i) Tidak serius malah tunjukkan sifat main-main.
ii) Tidak menjunjung prinsip keadilan dan kebenaran dalam proses melakukan
penilaian sesuatu perkara.
iii) Tunjukkan unsur mempersendakan objektif aktiviti atau program yang diatur
(kriteria penting dianggap remeh).
iv) Gagal mengajar nilai-nilai murni kerana diri kita dipengaruhi oleh nilai negatif
yang tidak wajar diamalkan.
v) Menjadi duri dalam daging kepada organisasi.

5. Sebagai anggota organisasi yang mempunyai matlamat tertentu terutamanya mewujud-
kan suasana yang kondusif bagi pembentukan budaya sekolah dan budaya kerja yang
mapan kita mestilah sama-sama boleh mempengaruhi rakan sejawat kita ke arah yang
lebih positif dan produktif dan mestilah dapat dibuktikan secara jelas dan nyata.

6. Mempunyai pemikiran yang tepat haruslah dijadikan prinsip bekerja kita supaya kita
tidak tergolong ke dalam kelompok pemikiran “bebalisme” seperti disenaraikan oleh
Syed Husein al- Attas dalam Intellectuals In Developing Societies (1977):
i. Tidak mampu mengenali masalah.
ii. Jika diberitahu, dia tidak berupaya menyelesaikannya.
iii. Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, malah tidak memiliki
kemahiran belajar.
iv. Tidak mengaku kebebalannya.
v. Tidak boleh menghubung-kaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu
dan dengan faktor lain.
vi. Hanya memberikan tindakbalas kepada suasana sementara.
vii. Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab-
akibat.
viii. Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentang asas
pemikirannya.
ix. Tidak berfikir dengan mendalam.
x. Tidak konsisten.
xi. Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah.
xii. Tidak berupaya berbicara dengan abstraksi yang tinggi tanpa menentang
hakikat.

0 Response to "NOTA CIKGU HAMZAH 4"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel