Sabtu, 15 Mei 2010

soalan esei ptk

Pendidikan di Malaysia bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Pendidikan sebagai alat perpaduan kaum jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan merupakan cabaran paling utama dalam usaha negara mencapai matlamat Wawasan 2020.

Bagaimanakah anda sebagai seorang pendidik mentafsir hasrat tersebut dalam mewujudkan perpaduan antara kaum dan memperkasakan sekolah.

Pengenalan

Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi ”Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan”

Semenjak sebelum merdeka, Pendidikan telah dijadikan wahana untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum sebagaimana jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan menjadi cabaran negara dalam usaha untuk mencapai matlamat Wawasan 2020. Manakala hasrat penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) telah diilhamkan oleh para pemimpin negara sebagai wahana untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. SK diharap dapat dijadikan tempat untuk generasi muda hidup bermasyarakat, saling bekerjasama antara satu sama lain serta melahirkan rakyat yang setia dan menyumbang kepada kesejahteraan Negara.
SK merujuk kepada sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah harian yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah-sekolah ini ditubuhkan sebagai sekolah aliran perdana bagi memupuk perpaduan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi supaya SK menjadi sekolah pilihan utama masyarakat. Sehingga kini, masih terdapat SK yang mempunyai prasarana kurang memuaskan, terutama di kawasan pedalaman. Selain itu, terdapat anggapan masyarakat bahawa pencapaian akademik di SK adalah lebih rendah berbanding sekolah rendah aliran Cina. Masyarakat bukan Bumiputera mempunyai tanggapan bahawa SK juga terlalu bercirikan Islam manakala masyarakat Islam pula menyatakan sebaliknya.

Adalah menjadi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia melalui setiap pendidiknya untuk mewujudkan perpaduan antara kaum dan memperkasakan sekolah dengan :

CIRI-CIRI SEKOLAH PERKASA

 INFRASTRUKTUR LENGKAP DAN BERKUALITI
 PEMIMPIN DAN GURU CEKAP, TERLATIH DAN BERKUALITI
 IKLIM DAN BUDAYA SEKOLAH SIHAT
 SEMUA PELAJAR MENGUASAI 3M
 PENAWARAN DAN PELAKSANAAN KURIKULUM BERASASKAN PELANGGAN
 PENAWARAN DAN PELAKSANAAN KOKURIKULUM YANG BERKESAN
 MENAWARKAN BAHASA CINA DAN BAHASA TAMIL
 PENCAPAIAN AKADEMIK CEMERLANG
 PENCAPAIAN SAHSIAH PELAJAR CEMERLANG
 SISTEM SOKONGAN YANG KUAT DAN MENCUKUPI
 BERASPIRASI NASIONAL


Definisi

Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan Negara. Di samping itu juga, definisi perpaduan menurut Kamus Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd mentakrifkan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan 1994, pendidikan bermaksud sesuatu proses belajar dan juga mengajar. Manakala maksud bagi perkataan memperkasakan adalah memantapkan atau mengukuhkan sesuatu.

Wawasan 2020

Wawasan 2020 merupakan satu wawasan yang amat mencabar bagi rakyat Malaysia, khasnya golongan pelajar. Wawasan 2020 ini dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 hb Februari 1991 (Mok Soon Sang, m/s 105). Wawasan 2020 meletakkan matlamat menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara benar-benar maju, mampu berdikari, progresif dan makmur. Objektif ini hanya dicapai jika rakyat Malaysia dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan atau rintangan yang dianggap sebagai cabaran.

Peranan pendidikan dalam proses pembinaan bangsa Malaysia perlu diasaskan kepada Wawasan 2020, iaitu satu gagasan pembinaan masa depan masyarakat Malaysia yang bertunjangkan kepada Sembilan Cabaran utama.

SEMBILAN CABARAN WAWASAN 2020
 Pembentukan Masyarakat yang Bersatu padu
 Pembentukan Masyarakat yang Bebas, Merdeka dan Cemerlang
 Pembentukan Masyarakat Demokratik yang Matang
 Pembinaan Masyarakat yang Berakhlak Mulia dan Utuh.
 Pembentukan Masyarakat yang Toleran
 Pembangunan Masyarakat Saintifik dan Maju
 Pembinaan Masyarakat Penyayang
 Pembentukan Masyarakat Keadilan Ekonomi-Sosial
 Pembentukan Masyarakat Daya Saing dan Makmur


Imbasan Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 - Zaman Pengukuhan
 Pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan
 Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama
 Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia
 Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua

Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 - Zaman Kemaskini
 Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
 Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur
disiplin yang diingini
 Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
 Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
 Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
 Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran
keseluruhan

Ciri-ciri Laporan Kabinet 1979
 Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
 Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin.
 Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
 Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
 Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
 Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran


Rang Undang Undang Pendidikan 1995
 Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara
 Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5-7 tahun
 Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem Pendidikan kebangsaan
 Pendidikan teknik & politeknik dipertingkatkan
 Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta


Bagaimana Penyata Razak Dapat Mewujudkan Penyatuan Kaum

Penyata Razak 1956 boleh dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan menyatakan:
“Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”
(Penyata Razak, perenggan 12, 1956)
.Sistem persekolahan yang berbeza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti bangsa. Atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada. Akta Pelajaran 1961 telah dirangka berasaskan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang menekankan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan. Walaupun hasrat dan tujuan Akta Pendidikan 1961 ini untuk menyatukan kaum yang ada di Malaysia ini, tetapi secara praktikalnya, sukar untuk mencapai matlamat itu memandangkan pola tempat tinggal yang berlainan. Misalnya orang Melayu tinggal di kampung-kampung dan pinggir pantai, kaum Cina tinggal di kawasan perlombongan dan kaum India di kawasan ladang-ladang getah. Dengan ini tentulah amat sukar untuk menyatukan mereka.

Selepas dari Laporan Rahman Talib 1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang sebelumnya berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.

Bagaimana Dasar dan Rangka Kerja Dapat Mewujudkan Perpaduan dan Pembangunan Negara.
Dasar Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa:

”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”

Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.
Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia.eg menanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang sewajarnya.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)

Perdana Menteri Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Pada 16 Januari 2007 PIPP ini bertujuan melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah dan mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan menggariskan enam teras strategik bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, produktif dan kreatif ke arah membentuk Misi Nasional menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

TERAS STRATEGIK PIPP
 Membina Negara Bangsa
 Membangunkan Modal Insan
 Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
 Merapatkan Jurang Pendidikan
 Memartabatkan Profesion Keguruan
 Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan

Membina Negara Bangsa

Teras pertama iaitu Membina Negara Bangsa menjadi fokus utama bagi tujuan perpaduan kaum dan merealisasikan Malaysia ke arah negara maju menjelang tahun 2020. KPM berhasrat pembinaan Negara Bangsa melalui pendidikan akan membangunkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa. Hasrat membina Negara Bangsa ini akan dicapai dengan memperkasakan Bahasa Melayu, meningkatkan disiplin pelajar, menggiatkan Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) serta menggiatkan aktiviti kokurikulum dan sukan bagi membina jati diri serta menerapkan budi bahasa dan adab di kalangan pelajar.

Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

Teras Ketiga iaitu Memperkasakan Sekolah Kebangsaan (rendah dan menengah) supaya sekolah-sekolah tersebut menjadi sekolah pilihan utama masyarakat. Sehubungan itu, sekolah kebangsaan akan dilengkapkan kemudahan asas pendidikan yang mencukupi dan berkualiti, bekalan elektrik dan air bersih serta kemudahan ICT. Sekolah juga akan dibekalkan guru terlatih yang mencukupi mengikut opsyen serta bilangan staf sokongan mengikut keperluan.

Misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ialah membangun sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia di samping memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara. Matlamat KPM ialah

• Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatupadu.
• Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
• Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.
• Memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia
Hasrat murni kerajaan itu dapat dicapai sepenuhnya melalui:

Penubuhan Sekolah Wawasan

Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Di bawah konsep ini, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan bahasa pengantar dan pentadbiran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan, dewan dan kantin. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung (link-way). Perlaksanaan sekolah wawasan akan mewujudkan persekitaran yang memberi peluang yang lebih luas kepada murid daripada pelbagai kaum untuk bergaul dan berinteraksi secara langsung dalam pelbagai aktiviti


Tujuan dan matlamat Sekolah Wawasan

 Untuk mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang
 Untuk memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran
 Untuk melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu
 Untuk menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah
 Untuk menjayakan dan merealisasikan Wawasan

Pada masa ini terdapat 5 buah Kompleks Sekolah Wawasan yang telah beroperasi dengan jayanya iaitu :
• Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak
• Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah
• Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang
• Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor
• Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak

RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN, (RMK9) 2006-2010

Rancangan Malaysia Kesembilan, adalah rancangan lima tahun pertama daripada tiga rancangan lima tahun yang akan memacu Misi Nasional (2006-2010) ke arah mencapai Wawasan 2020. Rancangan ini merupakan kesinambungan perancangan Kerajaan membentuk sebuah negara yang maju ekonominya; seimbang pembangunan sosialnya; memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Sesungguhnya, bagi melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan, kita perlu melipatgandakan usaha menggarap kejayaan lebih unggul demi Membina Tamadun dan Menjulang Martabat Negara.

Dalam usaha untuk meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti sistem pendidikan, sepanjang tempoh RMK9 empat agenda utama yang perlu diberi tumpuan oleh semua pihak ialah pertama, memperkasakan Sekolah Kebangsaan; agar ia menjadi pilihan rakyat. Kedua, membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia; agar generasi yang dilahirkan nanti mampu bersaing dalam persaingan sengit era globalisasi. Ketiga, merapatkan jurang pendidikan, yang merangkumi jurang di antara bandar dengan luar bandar, jurang di antara yang miskin dengan yang kaya; agar tidak ada sebarang golongan yang tercicir dari arus pembangunan negara. Keempat, mempertabatkan profesion keguruan.

Selain daripada empat agenda utama tersebut kita perlu sentiasa ingat bahawa tidak sampai empat belas tahun lagi kita akan melangkah ke tahun 2020. Hasrat kita adalah untuk menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri. Malaysia ketika itu harus menjadi sebuah negara yang bersatu dengan masyarakat Bangsa Malaysia.

Isu dan Cabaran Perpaduan Kaum

Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan sukan masih tidak menyeluruh. Hanya 80 peratus pelajar di sekolah menengah dan sekolah rendah yang menyertai aktiviti ini. Bagi menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum, ianya telah dijadikan syarat kemasukan ke IPTA mulai tahun 2006. Cabaran KPM adalah untuk memantapkan program kokurikulum dan sukan supaya menarik penyertaan pelajar serta memperluas pilihan aktiviti kokurikulum dan sukan pada semua peringkat pendidikan.
Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majmuk telah mewujudkan masalah polarisasi kaum terutamanya dalam kalangan pelajar. Keteguhan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan rakyatnya. Pemisahan kaum antara pelajar-pelajar, boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan. Para pelajar tentu sukar bekerjasama untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mereka seolah-olah mengutamakan bangsa masing-masing sahaja. Hal ini akan menimbulkan pula prasangka dan salah faham yang pasti merenggangkan hubungan pelajar. Antara faktor yang menimbulkan situasi tersebut ialah perbezaan kebudayaan dan corak hidup disamping mengamalkan dan menganuti kepercayaan yang berbeza dan bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan.
Sesungguhnya, gejala ini perlu dihapuskan demi perpaduan dan masa hadapan negara.


Para pelajar perlu digalakkan untuk berinteraksi dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa. Benih-benih perpaduan perlu disemai di dalam jiwa pelajar-pelajar semasa berada dibangku sekolah. Sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk, perpaduan rakyat sangat penting. Para pelajar perlu berinteraksi ketika berada di sekolah untuk mengukuhkan perpaduan. Oleh yang demikian, tembok yang memisahkan pelajar-pelajar dapat dirobohkan. Menyedari hakikat ini, langkah-langkah yang berkesan perlu diketengahkan bagi memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan pelajar yang berbilang bangsa dan dalam pada masa yang sama untuk memperkasakan sekolah.


Strategi Pelaksanaan Bagi Mewujudkan Perpaduan Kaum dan Memperkasakan Sekolah
Pelbagai program sebagai strategi pelaksanaan yang boleh dijalankan di
peringkat sekolah bagi mewujudkan perpaduan kaum dan seterusnya memperkasakan sekolah.

Penubuhan Kelab Rukun Negara di sekolah

Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah-sekolah maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan pelajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

Nyanyian Lagu Negaraku dan lagu Negeri -
Amalan ini dilaksanakan pada setiap perhimpunan resmi sekolah. Semua warga sekolah bingkas bangun dengan sendirinya apabila dimaklumkan oleh pengacara majlis dan menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan penuh semangat. Amalan ini dapat membina perasaan setia, cinta dan bangga kepada negara dan raja yang menjadi lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

Sekolah Penyayang –

Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Sekolahku Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan bersama ibubapa pelajar melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Program ini dapat mewujudkan golongan pelajar yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibubapa para pelajar.

Pemuafakatan Sekolah dan Masyarakat –

Sekolah juga mewujudkan program pemuwafakatan dengan masyarakat setempat melalui program-program ilmiah seperti ceramah agama, solat hajat, sambutan Maulidur Rasul, Ma’al Hijrah, gotong royong membersih tanah perkuburan dan sebagainya. Sekolah juga memberi kerjasama kepada penduduk dan masyarakat setempat apabila mereka memohon kerjasama dari pihak sekolah untuk menggunakan kemudahan padang dan dewan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti, majlis-majlis dan permainan tertentu.

Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) -

Biasanya sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu, antaranya berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan di mana pelajar-pelajar dari sekolah ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolah–sekolah lain yang, mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah dan kelompok dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga sekolah dalam program ini adalah sangat baik. Ia membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan mesra seterusnya menyumbang kepada perpaduan.

Penyertaan Dalam Kokurikulum –

Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam persatuan, permainan dan pakaian seragam. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan, persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tertentu semasa mengikuti program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan secara demokrasi dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih dari pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi secara sihat serta mematuhi peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil dari penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan adalah sangat memuaskan terutama dalam usaha untuk membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat yang berdisiplin, berharmoni dan bersatu padu.

Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan –

Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena
memperingati hari ulangtahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatupadu dan kestabilan negara.

Lawatan Sambil Belajar –

Sekolah menggalakan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara, Rumah-rumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan kanak-kanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa Lawatan Sambil Belajar tersebut seperti perbincangan, gotong royong, persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan dari program Lawatan Sambil Belajar ini sangat bermakna dan memberi kesedaran kepada pelajar peri pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum dan keturunan.

Pengurusan Disiplin Secara Kolektif, Telus dan Adil –
Jawatankuasa Disiplin dan Lembaga Disiplin sekolah diwujudkan. Pelajar didedahkan berkenaan pengurusan disiplin dan peraturan sekolah dan asrama sejak hari pendaftaran atau hari pertama persekolahan bermula. Peraturan sekolah dimaklumkan kepada semua pelajar dan dipamerkan di setiap lokasi penting seperti bilik darjah, papan-papan kenyataan sekolah dan asrama. Pelajar selalu diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan mengikut pekeliling yang dibenarkan. Pelajar diberi peringatan, amaran dan nasihat supaya berkelakuan baik sepanjang persekolahan. Setiap kes kesalahan diambil perhatian dan segala tindakan adalah mengikut prosedur yang dibenarkan. Tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas pelajar yang bermasalah mestilah adil, menggunakan budi bicara yang sepatutnya dan bertujuan untuk mendidik serta mengambil kira situasi dan masa depan pelajar terbabit. Keadaan ini menjadikan suasana sekolah berada dalam keadaan tenteram dan harmoni sesuai sebagai tempat mulia untuk mereka menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan seterusnya menjadi pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pelajar menikmati suasana kondusif di sekolah dan di asrama di mana budaya ”Sekolahku Syurgaku” dapat diwujudkan. Mereka dapat merasakan kepentingan undang-undang, peraturan, etika, tata susila dan perlembagaan di sesebuah institusi dan masyarakat serta menyedari tanggungjawab semua pihak agar sentiasa menghormati dan mematuhinya.

Hari Keluarga dan Sukaneka –

Program yang melibatkan seluruh warga pendidik, kakitangan dan beberapa orang pelajar boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga sekolah.

Acara kebudayaan dan kesenian-

Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan tradisi, dikir barat, nasyid, marhaban, berzanji dan lain-lain lagi yang disertai oleh pelajar, kakitangan dan guru sekolah. Selain dapat berhibur,semua yang terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan. Penyertaan dari pelbagai kaum harus digalakkan.

Perkhemahan Bina Insan –
Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai.

Majlis Sambutan Hari Raya dan Tahun Baru Cina -
Setiap kali menjelang hari perayaan, sekolah mengatur program yang melibatkan seluruh warga sekolah. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperolehi dari pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam dunia sekolah yang kecil.

Sistem Rumah –
Pelajar sekolah dari daerah yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak ditempatkan dalam satu rumah supaya mereka dapat berinteraksi dan berkongsi hidup dalam kehidupan sebagai pelajar sekolah berasrama penuh. Setiap rumah dibimbing dan dipantau oleh para warden dan guru-guru dari pelbagai kaum. Perlaksanaan sistem ini berjaya mewujudkan suasana kediaman yang aman dan sihat yang memberi semangat kepada pelajar mengikuti proses persekolahan mereka dalam situasi yang terbaik dan kondusif. Hasilnya kehidupan yang harmoni dan berdisiplin dalam kalangan ahli rumah sebagai sebuah komuniti sekolah yang mempunyai semangat bersatu padu.

Aktiviti Riadah di luar sekolah –
Sekolah menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Majlis Daerah, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Kesihatan dan sebagainya. Antara aktiviti yang disertai pelajar ialah senamrobik, mencari harta karun, Perarakan Sambutan Maulidur Rasul dan Ma’al Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Pelajar dapat berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat menghormati sesama masyarakat.

Tabung kebajikan –
Sekolah mengadakan tabung kebajikan guru, kakitangan dan juga pelajar. Selain dari kutipan yuran, derma kilat, sumbangan juga diperolehi dari pihak luar seperti PIBG, Alumni, Institusi Kewangan, Pusat Zakat, Yayasan-yayasan Negeri, Koperasi, para dermawan dan orang perseorangan. Sumbangan ini diagihkan kepada pelajar yang terdiri dari keluarga yang kurang berada untuk membayar yuran sekolah, peperiksaan, wang saku, perubatan, zakat, pakaian, melanjutkan pelajaran, kematian atau kemalangan dan sebagainya. Amalan sebegini dapat menyemai perasaan simpati, kasih mengasihi, mengukuhkan ikatan muhibbah dan perpaduan seperti yang dihasrat dan dicita-citakan dalam Wawasan 2020.

Kesimpulan

Hasrat, perancangan dan strategi reformasi pendidikan yang terjelma melalui Penyata Razak 1956 dulu telah menampakkan kejayaan. Walaupun tidak sepenuhnya. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bahasa dan kaum, adalah amat wajar bahasa Melayu telah dipilih untuk menjadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara.
Kesan dari tinggalan penjajahan British dahulu amat payah untuk kita selesaikan, kerana masyarakat Tanah Melayu pada waktu itu dibentuk dengan sengaja oleh British untuk kepentingan politik mereka. Dasar pecah dan perintah yang dijalankan itu, menyebabkan pemimpin-pemimpin negara sampai sekarang terpaksa memikirkan jalan tebaik untuk mencapai perpaduan.
Dalam suasana masyarakat majmuk yang mempunyai "ethno-centristic" yang masyarakatnya mempunyai pelbagai agama, budaya dan fahaman "Cultural pluralism" tentunya perkara yang berkaitan dengan perpaduan nasional perlu diambil perhatian dari semasa ke semasa. Untuk mewujudkan proses pemasyarakatan ini, Pendidikan adalah merupakan satu kaedah terpenting.
Menyedari betapa pentingnya tujuan untuk memastikan sistem pendidikan negara menjadi wadah berkesan ke arah memenuhi aspirasi negara, selaras dengan usaha untuk melahirkan generasi yang bersatu padu, dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat, membina kemajuan dan kesejahteraan diri serta menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran Negara, semua pendidik harus meletakkan kepentingan nasional dan negara pada kedudukan paling utama daripada kepentingan masing-masing. Hal ini dapat dilakukan dengan memberikan sokongan dan dorongan kepada usaha-usaha murni dan program-program yang sistematik. Kesemua ini adalah bertujuan memupuk dan mengukuhkan hubungan antara kaum yang terdapat di Malaysia tanpa melupakan matlamat dan aspirasi negara dalam menuju Wawasan 2020 iaitu menjadi negara maju mengikut acuan sendiri.
Di pihak anak didik selaku pelajar hari ini, yang bakal mengganti pemimpin dan pembina negara pada masa akan datang, biarpun berasal dari wilayah yang berlainan, menjadi ahli dalam komuniti sebuah sekolah yang terdiri dari para guru dan kakitangan sokongan yang berbilang kaum sepatutnya menjadikan alam persekolahan dan mungkin kehidupan di asrama medan terbaik untuk melatih komuniti kecil masyarakat Malaysia peri pentingnya perpaduan ke arah pencapaian akademik, kokurikulum dan pembinaan sahsiah yang cemerlang dan seterusnya memperkasakan sekolah.





SENARAI RUJUKAN
1. Kamus Bahasa Melayu, Fajar Bakti, 1994
2. Mok Soon Sang (2007), Kursus Penilaian Tahap Kecekapan (P.T.K), Multimedia-Es Resources Sdn. Bhd.
3. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006), Edisi Pelancaran PIPP, Kementerian Pelajaran Malaysia.
4. Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan. Kementerian Pelajaran Malaysia.
5. Malaysia Kita (2007), Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am, Petaling Jaya: International Law Book Services.
6. Ismail Daud, Bernama, 05 Jun 2005
7. http://apps2.emoe.gov.my
8. http://bumiwaqafan.blogspot.com/2007/05/kerja-kursus-ptk.html/
9. http://www.pmo.gov.my
10. http://yik.itgo.com/text/Akta
11. unitar, SistemPendidikanKebangsaan.pdf

1 ulasan:

  1. Sangat sesuai dijadikan sebagai panduan tugasan esei saya.

    BalasPadam