-->

akta pendidikan 9

BAHAGIAN XIII

KESALAHAN DAN PENALTI

132. Kesalahan dan penalti berhubungan dengan pendaftaran institusi pendidikan.

(1) Seseorang yang, sebagai pengerusi lembaga pengelola atau pengelola atau mana-mana orang lain yang bertanggungjawab ke atas pengurusan sesuatu institusi pendidikan, membuat pernyataan yang palsu atau mengelirukan dalam mempromosi institusi pendidikan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

(2) Seseorang yang -
(a) apabila membuat permohonan di bawah Akta ini bagi pendaftaran sesuatu institusi pendidikan, atau bagi pendaftaran sebagai pengelola atau pekerja, atau selainnya bagi maksud mendorong Ketua Pendaftar untuk menjalankan atau tidak menjalankan kuasanya di bawah Akta ini, membuat apa-apa pernyataan yang dia tahu adalah palsu atau yang dia tidak percaya adalah benar atau dengan sengaja mendiamkan apa-apa fakta material, atau memberikan apa-apa maklumat yang mengelirukan;
(b) menghalang atau menggendalakan Ketua Pendaftar, pegawai awam atau pegawai polis dalam menjalankan kuasa yang diberikan kepada pegawai itu di bawah seksyen 100, 101 atau 102;
(c) enggan mengemukakan apa-apa buku, dokumen atau barang, atau enggan memberikan maklumat dengan melanggar subseksyen 100(2) atau memberikan apa-apa maklumat yang dia tahu adalah palsu atau yang dia tidak percaya adalah benar;
(d) sebagai pengerusi lembaga pengelola sesuatu institusi pendidikan melanggar subseksyen 94(1);
(e) sebagai pengelola atau orang yang bertanggungjawab ke atas pengurusan sesuatu institusi pendidikan menyebabkan atau membenarkan mana-mana orang bertindak sebagai pengelola atau orang yang ber-anggungjawab ke atas pengurusan, atau sebagai pekerja institusi pendidikan itu tanpa didaftarkan di bawah Akta ini;
(f) bertindak sebagai pengelola atau pekerja di institusi pendidikan yang tidak didaftarkan di ; bawah Akta ini; atau
(g) sbagai pengerusi lembaga pengelola atau pengelola atau orang yang bertanggungjawab ke atas pengurusan sesuatu institusi pendidikan telah tidak menghalang institusi pendidikan itu daripada digunakan bagi apa-apa kegiatan atau maksud yang menyalahi undang-undang, atau bagi apa-apa kegiatan atau maksud suatu organisasi, pertubuhan atau kumpulan orang yang lain yang menyalahi undang-undang,
adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(3) Seseorang yang -
(a) sebagai pengerusi lembagf penge-lola atau sebagai orang yang bertanggung-jawab ke atas penguru-san sesuatu institusi pendidikan tidak menyebabkan salinan pera-kuan pendaftaran institusi pendidikan itu dipamerkan mengikut subseksyen 82(2);
(b) tidak menyerahkan balik kepada Ketua Pendaftar mana-mana perakuan pendaftaran atau suratcara pengelo-laan di bawah subseksyen 87(5) atau 97(1);
(c) sebagai pengerusi Iembaga pengelola sesuatu institusi pendidikan melanggar subseksyen 94(1); atau
(d) sebagai tuan punya atau penghuni mana-mana premis dan mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa premis itu atau sebahagian daripadanya digunakan sebagai institusi pendidikan yang dikehendaki didaftarkan di bawah Akta ini tetapi tidak didaftarkan sedemikian, telah tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menghalang penggunaan sedemikian,
adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.



133. Kesalahan dan penalti berhubungan dengan pendaftaran guru.

(1) Seseorang yang, semasa membuat permohonan untuk didaftarkan sebagai guru atau selainnya bagi maksud mendorong Ketua Pendaftar menjalankan atau tidak menjalankan kuasanya di bawah Akta ini, membuat apa-apa pernyataan yang dia ketahui adalah palsu atau yang dia tidak percaya adalah benar atau dengan sengaja mendiamkan apa-apa fakta yang material atau memberikan apa-apa maklumat yang mengelirukan adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

(2) Seseorang yang –

(a) bertindak sebagai guru di sesuatu institusi pendidikan dengan melanggar subseksyen 103(1);
(b) menyebabkan, membenarkan atau mengambil kerja seseorang untuk bertindak sebagai guru dengan melanggar subseksyen 103(1);
(c) bertindak sebagai guru di suatu institusi pendidikan yang tak berdaftar;
(d) sebagai guru berdaftar mengajar di suatu institusi pendidikan dengan melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah subseksyen 109(2) atau sebagai pemegang permit mengajar yang dikeluarkan di bawah seksyen 114, mengajar di suatu institusi pendidikan dengan melanggar mana-mana syarat yang dikenakan oleh permit itu;
(e) menyebabkan, membenarkan atau mengambil kerja seseorang guru berdaftar untuk mengajar di suatu institusi pendidikan dengan melanggar mana-mana syarat yang berhubungan dengan guru itu yang dikenakan di bawah seksyen 109 atau menyebabkan, membenarkan atau mengambil kerja pemegang permit mengajar yang dikeluarkan di bawah seksyen 114 untuk mengajar selain daripada mengikut syarat yang dikenakan oleh permit itu;
(f) tidak menyerahkan balik perakuan, dokumen atau permit mengikut seksyen 115; atau
(g) sebagai guru berdaftar tidak membuat laporan kepada Ketua Pendaftar mengikut seksyen 116,

boleh, apabila disabitkan atas suatu kesalahan di bawah perenggan (b) atau (e), didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan boleh, apabila disabitkan atas suatu kesalahan di bawah perenggan (a), (c), (d), (f) atau (g), didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.

134. Kesalahan dan penalti berhubungan dengan Nazir.

Seseorang yang-
(a) menghalang atau menggendalakan Ketua Nazir atau Nazir Sekolah dalam menjalankan mana-mana kuasa yang diberikan kepadanya oleh seksyen 121;
(b) enggan mengemukakan mana-mana jadual waktu, sukatan pelajaran, rekod, buku, bahan, dokumen atau barang, atau enggan memberikan maklumat, dengan melanggar subperenggan 121(b)(ii); atau
(c) memberikan apa-apa maklumat yang palsu dalam apa-apa perkara yang material atau yang dia tahu adalah palsu atau yang dia tidak percayai adalah benar,
(d) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

135. Penalti am

(1) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah Akta ini yang baginya tiada penalti diperuntukkan dengan nyata boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(2) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini boleh, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda harian yang tidak melebihi lima ratus ringgit sebagai tambahan kepada apa-apa penalti lain yang boleh dikenakan kepadanya di bawah Akta ini berkenaan dengan kesalahan itu, bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.

136. Kuasa untuk menyiasat.

(1) Ketua Pendaftar atau seorang pegawai awam yang diberikuasa bagi maksud itu secara bertulis oleh Ketua Pendaftar atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor hendaklah mempunyai kuasa untuk menyiasat pelakuan suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini.

(2) Ketua Pendaftar atau seorang pegawai awam yang diberikuasa bagi maksud itu secara bertulis oleh Ketua Pendaftar atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor boleh, berhubungan dengan apa-apa penyiasatan berkenaan dengan suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, menjalankan kuasa khas berhubungan dengan penyiasatan polis kecuali bahawa kuasa menangkap tanpa waran yang diberikan oleh Kanun Prosedur Jenayah dalam mana-mana kesalahan boleh tangkap tidak boleh dijalankan oleh Ketua Pendaftar atau pegawai awam yang diberikuasa oleh Ketua Pendaftar bagi maksud itu secara bertulis.


137. Kuasa untuk masuk tanpa waran.
Tanpa menjejaskan seksyen 136, jika Ketua Peridaftar atau seorang pegawai awam yang diberikuasa oleh Ketua Pengarah bagi maksud itu secara bertulis oleh Ketua Pendaftar atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor mempunyai alasan yang munasabah bagi mempercayai bahawa tujuan apa-apa penggeledahan yang hendak dilakukan di mana-mana premis bagi maksud Akta ini mungkin terkecewa oleh sebab apa-apa kelengahan dalam mendapatkan waran geledah di bawah Kanun Prosedur Jenayah, dia boleh, tanpa waran, memasuki mana-mana premis itu bagi maksud sedemikian dengan menggunakan hanya apa-apa kekerasan yang perlu sahaja supaya dia dapat masuk.

138. Memulakan dan menjalankan pendakwaan.

Ketua Pendaftar atau seorang pegawai awam yang diberikuasa oleh Ketua Pendaftar bagi maksud itu secara bertulis atau seorang pegawai polis, yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor boleh, dengan kebenaran bertulis Pendakwa Raya, memulakan dan menjalankan pendakwaan berkenaan dengan suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini.

139. Kuasa untuk mengkompaun kesalahan.

(1) Ketua Pendaftar boleh, dalam sesuatu hal apabila difikirkannya layak dan patut untuk berbuat sedemikian, dan dengan kebenaran bertulis Pendakwa Raya, mengkompaun apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang yang boleh dihukum di bawah Akta ini, kecuali suatu kesalahan di bawah seksyen 72 dan subseksyen 132(1), atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini dengan membuat suatu tawaran bertulis kepada orang itu untuk mengkompaun kesalahan itu dengan membayar kepada Ketua Pendaftar dalam masa yang ditentukan dalam tawaran itu, apa-apa jumlah wang sebagaimana yang ditentukan, yang tidak boleh melebihi lima puluh peratus daripada amaun denda maksimum yang boleh dikenakan kepada orang itu sekiranya dia disabitkan atas kesalahan itu.

(2) Suatu tawaran di bawah subseksyen (1) boleh dibuat pada bila-bila masa selepas kesalahan itu dilakukan, tetapi sebelum apa-apa pendakwaan baginya dimulakan, dan, jika amaun yang ditentukan dalam tawaran itu tidak dibayar dalam masa yang ditentukan dalam tawaran itu, atau dalam apa-apa tempoh lanjutan yang dibenarkan oleh Ketua Pendaftar, maka pendakwaan bagi kesalahan itu boleh dimulakan pada bila-bila masa selepas itu terhadap orang yang kepadanya tawaran itu telah dibuat.

(3) Jika suatu kesalahan telah dikompaun di bawah subseksyen (1) maka -

(a) tiada pendakwaan boleh dibuat selepas itu berkenaan dengan kesalahan itu terhadap orang yang kepadanya tawaran untuk meng-kompaun itu telah dibuat; dan
(b) Apa-apa barang, benda atau artikel lain yang disita berkaitan dengan kesalahan itu hendaklah dilepaskan dengan serta-merta.

(4) Apa-apa wang yang dibayar kepada Ketua Pendaftar menurut subseksyen (1) hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.



BAHAGIAN XV
PELBAGAI

140. Pegawai disifatkan sebagai pengkhidmat awam.

Tiap-tiap orang yang dilantik, atau yang secara sah menjalankan kuasa seseorang yang dilantik, di bawah Bahagian II, hendaklah disifatkan sebagai seorang pengkhidmat awam bagi maksud Kanun Keseksaan.

141. Kehendak tentang premis.

(1) Pengelola atau orang yang bertanggungjawab ke atas pengurusan sesuatu institusi pendidikan hendaklah memastikan bahawa premis institusi pendidikan itu mematuhi apa-apa piawaian yang ditetapkan bagi institusi pendidikan yang sama perihalnya dengan institusi pendidikan itu.

(2) Jika Menteri berpuas hati, berkenaan dengan sesuatu institusi pendidikan, bahawa setelah mengambil kira keadaan tapak atau mana-mana bangunan yang sedia ada di situ atau hal keadaan tertentu yang lain yang menyentuh premis itu tidaklah munasabah dalam hal yang sedemikian untuk menghendaki pematuhan piawaian yang ditetapkan yang disebut dalam subseksyen (1) mana-mana ' aspek tertentu, dia boleh mengarahkan supaya premis itu disifatkan sebagai mematuhi piawaian yang ditetapkan jika sebagai ganti pematuhan kepada piawaian yang ditetapkan itu premis itu mematuhi apa-apa kehendak lain yang ditentukan dalam arahan itu.


142. Pendaftaran murid di institusi pendidikan kerajaan atau bantuan kerajaan.

Kecuali dengan kebenaran Pendaftar, seseorang murid yang berdaftar sebagai murid di suatu institusi pendidikan kerajaan atau bantuan kerajaan tidak boleh, semasa masih berdaftar sedemikian, mendaftar di manamana institusi pendidikan sedemikian yang lain.


143. Kuasa untuk mengecualikan institusi pendidikan.

Menteri boleh, jika difikirkannya wajar dan demi kepentingan sesuatu institusi pendidikan atau demi kepentingan murid atau awam, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan institusi pendidikan atau mana-mana golongan atau golongan-golongan institusi pendidikan daripada semua atau mana-mana peruntukan Akta ini kecuali peruntukan tentang pendaftaran, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau mengkensel atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu.


144. Jawatankuasa Khas.

Walau apa pun apa-apa peruntukan lain dalam Akta ini, Menteri boleh membentuk suatu jawatankuasa khas yang terdiri daripada orang yang dilantik oleh Menteri berkenaan dengan –

(a) Mana-mana institusi pendidikan atau golongan institusi pendidikan tertentu; atau
(b) apa-apa perkara atau projek pendidikan,
bagi maksud menasihatinya dalam perkara yang berhubungan dengan institusi pendidikan, golongan institusi pendidikan atau perkara atau projek pendidikan itu dan dia boleh menurut budi bicaranya memberikan jawatankuasa sedemikian segala atau mana-mana kuasa yang diberikan kepada suatu Jawatankuasa Siasatan oleh seksyen 127.


145. Penyampaian notis, dsb.

(1) Mana-mana notis, perintah atau komunikasi, yang dikehendaki oleh, atau boleh dihantar atau disampaikan kepada –

(a) pengerusi lembaga pengelola, pengelola atau orang lain yang bertanggungjawab ke atas pengurusan, atau pekerja, sesuatu institusi pendidikan yang didaftarkan di bawah Akta ini, bolehlah disampaikan melalui surat yang dialamatkan kepada pengerusi, pengelola, orang atau pekerja itu di alamat berdaftar institusi pendidikan itu atau boleh disampaikan dengan melekatkan notis, perintah atau komunikasi itu di suatu bahagian yang ketara di premis institusi pendidikan itu yang difikirkan sesuai oleh Ketua Pendaftar;
(b) seseorang yang memohon supaya sesuatu institusi pendidikan didaftarkan atau supaya didaftarkan sebagai guru, pengelola atau pekerja, bolehlah disampaikan melalui surat yang dialamatkan kepada orang itu di alamat yang dinyatakan dalam borang permohonannya;
(c) seseorang guru berdaftar, bolehlah disampaikan melalui surat yang dialamatkan ke institusi pendidikan atau alamat terakhir yang dilaporkan kepada Ketua Pendaftar di bawah seksyen 116;
(d) pemegang permit mengajar yang dikeluarkan di bawah seksyen 114, bolehlah disampaikan melalui surat yang dialamatkan ke institusi, pendidikan yang berkenaan dengannya permit itu dikeluarkan; dan
(e) mana-mana orang selain daripada orang yang dinyatakan dalam perenggan (a) hingga (d), bolehlah disampaikan melalui surat yang dialamatkan kepada orang itu di tempat tinggalnya yang terakhir yang diketahui.

Walau apa pun perenggan (1)(a), jika pengerusi lembaga pengelola sesuatu institusi pendidikan belum dilantik, maka notis, perintah atau komunikasi yang hendak disampaikan kepada pengerusi itu bolehlah dialamatkan atau disampaikan kepada orang yang, pada pendapat Ketua Pendaftar, bertanggungjawab ke atas institusi pendidikan itu.

BAB XVI
PERALIHAN DAN PEMANSUHAN

146. Pertukaran nama institusi pendidikan tertentu
Pada tarikh yang ditetapkan semua nama institusi pendidikan yang, sebaik sahaja sebelum tarikh itu ialah
(a) sekolah rendah kebangsaan hendaklah dikenali sebagai sekolah kebangsaan; dan
(b) sekolah rendah jenis kebangsaan hendaklah dikenali sebagai sekolah jenis kebangsaan.

147. Sekolah menengah vokasional hendaklah menjadi sebahagian daripada sekolah menengah kebangsaan sehingga dimansuhkan.

Sekolah menengah vokasional yang ditubuhkan sebelum tarikh yang ditetapkan hendaklah terus menjadi sebahagian daripada sekolah menengah kebangsaan di bawah perenggan 30 (1)(b) sehingga sekolah sedemikian dimansuhkan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.

148. Bantuan kepada institusi pendidikan yang sedia ada.

Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, Menteri hendaklah terus membantu semua institusi pendidikan yang menerima sumbangan bantuan atau bantuan kewangan lain yang serupa daripada Kerajaan atau daripada wang awam pada hari sebaik sahaja sebelum tarikh yang ditetapkan.

149. Kecualian berkenaan dengan sumbangan untuk pengajaran agama.

Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan, Kerajaan Persekutuan boleh terus membuat bayaran berkenaan dengan kos yang disebut dalam seksyen 37 Akta Pelajaran 1961 berhubungan dengan ajaran agama yang diberikan di bawah seksyen 36 Akta itu seolaholah seksyen-seksyen itu tidak dimansuhkan oleh Akta ini.
150. Kecualian berkenaan dengan institusi pendidikan terkecuali tertentu, dsb.

Sehingga apa-apa tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta –

(a) semua institusi pendidikan yang terkecuali daripada peruntukan Akta Pelajaran 1961 melalui seksyen 127 Akta itu hendaklah terkecuali daripada peruntukan yang bersamaan dalam Akta ini; dan
(b) seseorang guru yang terkecuali daripada peruntukan Bahagian VI Akta Pelajaran 1961 melalui seksyen 128 Akta itu hendaklah terkecuali daripada peruntukan Bahagian IX Akta ini.

151. Kecualian berkenaan dengan institusi pendidikan, pengelola, pengurus atau pekerja berdaftar.

Mana-mana institusi pendidikan, pengelola, pengurus atau pekerja yang berdaftar atau disifatkan berdaftar di bawah peruntukan Akta Pelajaran 1961 hendaklah, pada tarikh yang ditetapkan, disifatkan berdaftar di bawah Akta ini dan -
(a) tertakluk kepada perenggan (b), peruntukan Akta ini hendaklah terpakai bagi institusi pendidikan, pengelola, pengurus atau pekerja itu seolah-olah institusi pendidikan, pengelola, pengurus atau pekerja itu telah berdaftar di bawah Akta ini; dan
(b) syarat-syarat yang dikenakan kepada institusi pendidikan, pengelola, pengurus atau pekerja itu sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini hendaklah terus berkuatkuasa seolah-olah syarat-syarat itu telah dikenakan di bawah Akta ini.

152. Penggulungan Lembaga Pusat.

(1) Menteri boleh, pada tarikh yang ditentukan olehnya, melalui notis yang disiarkan dalam Warta, memerintahkan penggulungan Lembaga Pusat yang ditubuhkan di bawah seksyen 92 Akta Pelajaran 1961.
(2) Dengan penggulungannya -
(a) anggota-anggotanya, termasuk Pengerusi Lembaga, hendaklah terhenti memegang jawatan;
(b) Lembaga hendaklah terhenti menjadi majikan kepada guru-guru di institusi pendidikan;
(c) apa-apa kepentingan mengenai mana-mana harta alih atau tak alih dan apa-apa hak dan liabiliti yang sebelum ini terletakhak pada atau mungkin dipunyai oleh Lembaga sebaik sahaja sebelum tarikh penggulungan Lembaga hendaklah turun kepada Kerajaan; dan
(d) Menteri boleh memberikan apa-apa arahan yang difikirkannya patut berkenaan dengan mana-mana kakitangan atau pekerja Lembaga.


153. Penyenggaraan kumpulan wang caruman.

(1) Mana-mana kumpulan wang caruman (termasuk Kumpulan Wang Simpanan Guru) yang ditubuhkan di bawah Akta Pelajaran 1961 atau mana -mana peraturan yang dibuat di bawah Akta itu hendaklah terus disenggarakan dan diuruskan mengikut mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan kumpulan wang itu sehinggalah Yang di-Pertuan Agong membuat perintah bagi penggulungannya atau selainnya.

(2) Perintah penggulungan di bawah seksyen ini hendaklah dibuat hanya atas nasihat Menteri Kewangan.

(3) Menteri boleh melalui peraturan-peraturan meminda mana-mana kaedah atau peraturan berhubungan dengan kumpulan wang itu yang dibuat sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mengadakan pentadbiran yang lebih baik bagi kumpulan wang itu atau untuk menghapuskan apa-apa kesulitan berhubungan dengan kumpulan wang itu.

154. Sebutan mengenai pengelola atau lembaga pengelola hendaklah termasuk pengurus dan lembaga pengurus.

Sebutan dalam Akta ini mengenai seseorang pengelola hendaklah termasuk sebutan mengenai pengurus yang didaftarkan di bawah Akta Pelajaran 1961 dan sebutan mengenai lembaga pengelola hendaklah termasuk sebutan mengenai lembaga pengurus di bawah Akta itu.

155. Pemansuhan.

(1) Akta Pelajaran 1961, Akta Pelajaran (Pindaan) 1963, Perintah Akta Pelajaran (Perluasan ke Sarawak) 1975 dan Perintah Akta Pelajaran (Perluasan ke Sabah) 1976 adalah dimansuhkan.

(2) Semua perlantikan, peraturan, kaedah, undang-undang kecil, pengecualian, arahan dan perintah yang dibuat, semua daftar yang disimpan dan semua perakuan atau sijil yang diberikan atau mempunyai kuatkuasa di bawah undang-undang atau perintah yang dimansuhkan oleh seksyen ini dan yang berkuatkuasa atau mempunyai kuatkuasa pada tarikh Akta ini mula berkuatkuasa, hendaklah (tanpa menjejaskan kuasa Menteri untuk meminda peraturan, kaedah dan undang-undang kecil sedemikian, melalui mana-mana peraturan atau meminda, membatalkan atau menarik balik pengecualian, arahan, perakuan atau sijil itu melalui perintah atau arahan yang dibuat di bawah peruntukan yang berkenaan dalam Akta ini dan tertakluk kepada apa-apa ubahsuaian yang perlu untuk menjadikan peraturan, kaedah, undang-undang kecil, pengecualian, arahan, atau perintah itu selaras dengan Akta ini) terus berkuatkuasa dan mempunyai kuatkuasa seolah-olah ia telah dibuat, disimpan, atau diberikan di bawah Akta ini, sehingga diperuntukkan selainnya di bawah Akta ini.

156. Kuasa Menteri Kewangan.

Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh dianggap menyentuh penjalanan oleh Menteri Kewangan kuasa yang diberikan kepadanya oleh seksyen 6 Akta Prosedur Kewangan 1957 berkenaan dengan pengurusan Kumpulan Wang Disatukan dan berkenaan dengan pengawasan, pengawalan dan arahan tentang perkara yang berhubungan dengan hal-ehwal kewangan Malaysia.


JADUAL
[Subseksyen 18(2)]

MATA PELAJARAN TERAS DALAM KURIKULUM KEBANGSAAN

1. Mata pelajaran teras dalam Kurikulum Kebangsaan,
Mata pelajaran teras dalam Kurikulum Kebangsaan hendaklah menjadi asas utama pendidikan murid di semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

2. Mata pelajaran teras pada peringkat rendah.
Mata pelajaran teras pada peringkat sekolah rendah ialah
(a) Bahasa Kebangsaan;
(b) Bahasa Inggeris;
(c) Bahasa Cina, bagi murid di sekolah jenis kebangsaan (Cina);
(d) Bahasa Tamil, bagi murid di sekolah jenis kebangsaan (Tamil);
(e) Matematik;
(f) Sains;
(g) Kajian Tempatan;
(h) Pendidikan Islam, bagi murid yang menganut agama Islam; dan
(i) Pendidikan Moral, bagi murid yang tidak menganut agama Islam.

3. Mata pelajaran teras pada peringkat menengah.
Mata pelajaran teras pada peringkat sekolah menengah ialah
(a) Bahasa Kebangsaan;
(b) Bahasa Inggeris;
(c) Matematik;
(d) Sains;
(e) Sejarah;
(f) Pendidikan Islam, bagi murid yang menganut agama Islam; dan
(g) Pendidikan Moral, bagi murid yang tidak menganut agama Islam.

0 Response to "akta pendidikan 9"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel