-->

contoh penulisan kertas cadangan

KERTAS CADANGAN: PENGURUSAN KURIKULUM
PROGRAM PEMULIHAN

1.0 Rasional

Berdasarkan analisa keputusan peperiksaan PMR tahun 2005 yang agak baik, maka pihak sekolah telah terdorong untuk meningkatkan lagi pencapaian itu untuk merealisasikan visinya menjedi sekolah cemerlang di Daerah Jempol menjelang tahun 2007. Sehubungan itu, satu analisa kekuatan dan kelemahan (KLAP) telah dijalankan keatas prestasi pelajar tingakatan satu dan dua dan didapati masih terdapat pelajar-pelajar yang sangat lemah menulis, membaca dan mengira (3M). Kelemahan menguasai kemahiran 3M ini dijangka akan menyukarkan sekolah untuk meningkatkan prestasinya jika langkah-langkah pemulihan tidak diambil segera.

Selain daripada keperluan untuk meningkatkan prestasi kurikulum sekolah, kelas pemulihan ini juga boleh menjadi landasan terbaik untuk meningkatkan motivasi pelajar. Akibat kegagalan menguasai kemahiran asas ini, maka motivasi pelajar berkenaan berada dalam keadaan yang sangat rendah untuk berada di dalam kelas sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.

Hasil temubual yang dilakukan ke atas pelajar-pelajar berkenaan, mereka menyatakan bahawa mereka sentiasa berada dalam keadaan tertekan kerana bimbang gagal menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru yang mengajar. Mereka juga berasa bimbang jika gagal memberikan jawapan yang betul apabila dikehendaki oleh guru. Perasaan rendah diri juga begitu menyelubungi pelajar berkenaan kerana mereka sentiasa berasa lemah berbanding rakan-rakan mereka yang lain yang mampu menguasai kemahiran membaca.

Untuk mengatasi kerunsingan akibat tekanan-tekanan ini, akhirnya mereka memilih untuk ponteng kelas atau ponteng sekolah di samping menimbulkan masalah-masalah lain ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Antara masalah-masalah yang sering dilakukan ketika proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti membuat bising, menganggu rakan lain, lewat atau tidak menyiapkan tugasan, mengantuk, tidak memberikan tumpuan ketika guru mengajar dan tidak membawa buku latihan ke sekolah.
Sehubungan itu, pihak sekolah telah bersetuju untuk mengatasi masalah keciciran ini dengan mengadakan program pemulihan. Konsep program ini adalah melatih semula pelajar berkenaan dengan kemahiran asas menulis dan membaca. Bahan-bahan yang akan digunakan adalah bahan-bahan yang menarik minat dan sesuai dengan tahap pencapaian pelajar berkenaan.

2.0 Matlamat

Meningkatkan pencapaian akademik pelajar tingkatan satu dan dua yang lemah menguasai kemahiran menulis dan membaca.

3.0 Objektif

Di akhir program adalah diharap peserta yang terpilih akan dapat:

3.1.1 Menguasai kemahiran membaca
3.1.2 Menguasai kemahiran menulis
3.1.3 Meningkatkan pencapaian markah ujian bulanan
3.1.4 Meningkatkan motivasi untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh
3.1.5 Mengurangkan masalah ponteng kelas dan ponteng sekolah akibat tekanan belajar daripada guru dan rakan-rakan


4.0 Butir-Butir Program

4.1.1 Nama Program : Kelas pemulihan
4.1.2 Kandungan aktiviti :

 Mengadakan mesyuarat dengan AJK kurikulum
 Mengenalpasti kelompok sasaran melalui guru yang mengajar
 Membuat ujian dianostik
 Memberikan ujian standard awal (TOV)
 Motivasi diri
 Melaksanakan kelas pemulihan
 Penilaian pencapaian
 Penamatan

4.1.3 Kaedah pelaksanaan : Bimbingan dalam
kelas
4.1.4 Jangkamasa dilaksanakan : Dua waktu pengajaran
seminggu selama dua bulan
4.1.5 Kelompok sasaran : Kelas terpilih
tingkatan satu dan dua
4.1.6 Tarikh pelaksanaan : Bulan Mac hingga
April 2006

5.0 Konsep Pelaksanaan

Setelah pelajar-pelajar yang terlibat dikenalpasti, mereka akan dikumpulkan di satu bilik khas dan akan dilatih menguasai kemahiran membaca selama dua jam seminggu dengan menggunakan buku terbitan khas Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di samping bahan-bahan lain yang sesuai dengan minat dan keperluan pelajar. Di samping menggunakan modul buku KPM ini, pelajar juga akan diberikan latihan dan bahan tambahan sebagai pengukuhan. Latihan ini akan dilaksanakan oleh guru-guru yang mengajar matapelajaran Bahasa Melayu. Selepas tempoh dua bulan berakhir, pelajar ini akan diuji tahap penguasaannya sebelum program ini ditamatkan.

6.0 Kewangan

6.1.1 Sumber : Panitia Bahasa Melayu
6.1.2 Perbelanjaan:
a) Buku Modul Kelas Pemulihan KPM RM300.00
b) Alatulis RM200.00
c) Runcit RM 50.00
________________________________________
JUMLAH RM550.00

7.0 Strategi Pelaksanaan / Carta Gantt

( Buat lampiran )

Di sediakan oleh,

………………………………….
( EN. RAZALI BIN MD. TAIB )
Setiausaha Kursus Kepimpinan Pelajar
SMK batu Kikir (Model Khas) Tahun 2006 /
Peserta NPQH Kohort 9 Tahun 2005


Disahkan oleh,


……………………………………

LAMPIRAN 1 – aktiviti ( ikut minggu )

1. Ujian dianostik dan ujian standard awal (TOV) kepada pelajar tingkatan satu yang terpilih
2. Aktiviti kelas pemulihan dilaksanakan dilaksanakan
3. Ujian pencapaian kepada peserta ( penilaian program )
4. Penyerahan semula peserta kepada guru kelas / penamatan

0 Response to "contoh penulisan kertas cadangan"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel