-->

rukun negara

RUKUNEGARA

Pengenalan


Perpaduan merupakan matlamat penting bagi semua negara. Tanpa perpaduan pentadbiran dan pembangunan sesebuah negara tidak akan berjalan licin, mudah terdedah kepada berbagai-bagai ancaman dari dalam dan luar negara. Pencerobohan dari luar atau rusuhan-rusuhan dalam negara sendiri menjadi sukar untuk ditangani jika tidak wujud perpaduan dalam negara berkenaan.


Sebagai sebuah negara berbilang kaum/etnik, Malaysia sering terdedah kepada ancaman perbalahan kaum/etnik. Jika perpaduan yang kukuh di kalangan penduduk berbilang kaum/etnik di negara ini tidak dipupuk, ia mungkin akan mencetuskan semula rusuhan kaum/etnik seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969. Masyarakat Malaysia yang bersatu padu adalah perlu sekiranya negara ini ingin terus membangun dan rakyatnya hidup dalam aman, damai dan makmur.


Perpaduan akan wujud apabila anggota masyarakat dapat disatupadukan menerusi perkongsian identiti dan nilai serta perasaan kebangsaan. Rukunegara merupakan satu ideologi negara tercipta ekoran daripada berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ideologi ini digubal semasa negara berada di bawah pimpinan MAGERAN dan badan yang bertanggungjawab atas penggubalannya adalah Majlis Perundingan Negara (MPN). Kata sepakat untuk mencipta satu ideologi negara ini dicetuskan semasa mesyuarat pertama MPN pada 27 Januari 1970.


Rukunegara adalah hasil penyatuan pemikiran ahli-ahli cerdik pandai dan pemimpin-pemimpin negara yang ingin melihat rakyat negara ini peka kepada keperluan bagi mewujudkan negara bangsa yang bukan sahaja mempunyai identiti sendiri tetapi juga pegangan yang sama. Rukunegara adalah satu ideologi kebangsaan, satu susunan prinsip-prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara seperti keagamaan, kebudayaan, ekonomi, politik dan perundangan.







Objektif


Rukunegara bercita-cita melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif serta bersatu padu dan bersikap terbuka terhadap pelbagai cara hidup rakyat pelbagai keturunan, Cita-cita ini dipercayai akan tercapai apabila kelima-lima objektif Rukunegara diamalkan. Objektif-objektif ini adalah :

1. Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat
2. Memelihara cara hidup demokratik
3. Mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama
4. Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak
5. Membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden



Prinsip-prinsip Rukunegara


5 prinsip Rukunegara adalah seperti berikut :

1. Kepercayaan kepada Tuhan

Agama adalah ciri penting dalam kehidupan manusia kerana ketiadaan agama oleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Sememangnya kaum-kaum di Malaysia menganuti pelbagai agama seperti Islam, Buddhisme, Taoisme, Konfusianisme, Hinduisme, Kristian dan lain-lain. Pegangan terhadap sesuatu agama sebegini penting kerana tanpa pegangan agama, seseorang nudah terdorong untuk melakukan kejahatan.

Pegangan agama juga dapat memandu tindakan seseorang untuk berbuat baik dan menghindari kejahatan dan mengenali dosa dan pahala. Di Malaysia kini, di dalam Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi namun di dalam perlembagaan juga menetapkan agama-agama lain bebas diamalkan oleh rakyat bukan Islam. Fenomena ini membolehkan setiap individu itu berpegang kepada kepercayaan yang diyakininya dan patuh kepada ajaran agama tersebut.





2. Kesetiaan kepada Raja dan negara

Malaysia mengamalkan pemerintahan bercorak Raja Berlembagaan. Justeru itu negara ini mempunyai ketua negara iaitu Yang Dipertuan Agong dan ketua negeri iaitu Raja atau Yang Dipertua Negeri masing-masing. Prinsip ini menekankan kesetiaan rakyat kepada ketua negara dan negeri masing-masing.

Di samping itu, prinsip ini juga bertujuan melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban untuk negara demi keamanan dan kemajuan. Pegangan yang teguh kepada prinsip ini dipercayai dapat melahirkan rakyat yang :
1. Menghormati harta awam
2. Menghormati simbol-simbol kedaulatan negara
3. Mematuhi undang-undang
4. Produktif
5. Berusaha meningkatkan nama baik negara melalui aktiviti-aktiviti sosial, ekonomi dan politik yang diceburinya
6. Sanggup menyumbang masa dan tenaganya untuk pembangunan masyarakat dan negara
7. Setia, sanggup dan berani mempertahankan negara dari sebarang ancaman oleh kuasa luar
8. Bersifat altruistik

Selain itu, prinsip ini juga mengutamakan kebaikan masyarakat dan negara tanpa perasaan prejudis dan perkauman

3. Keluhuran Perlembagaan

Negara kita mempunyai perlembagaan dan perlembagaan ini adalah undang-undang yang tertinggi di dalam negara. Prinsip ini menekankan supaya rakyat dapat menerima, mematuhi dan mempertahankan kemuliaan Perlembagaan Negara. Ini kerana perlembagaanlah yang berfungsi memberi perlindungan dan hak kepada setiap anggota masyarakat. Aspek-aspek utama dalam negara perlu dipatuhi sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia adalah :
1. Konsep Raja Berperlembagaan
2. Kedudukan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam pembangunan sosioekonomi terjamin
3. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping perkembangan bahasa-bahasa lain tidak dihalang
4. Agama Islam sebagai agama rasmi di samping kebebasan beragama diamalkan
5. Hak asasi rakyat terjamin
6. Hak kerakyatan dan sistem pemerintahan

4. Kedaulatan Undang-undang

Undang-undang di dalam negara penting bagi mempastikan setiap individu di dalam negara itu terjamin kebebasan asasi mereka. Selain itu, setiap rakyat adalah sama tarafnya dari segi undang-undang dan tertakluk ke atasnya. Undang-undang di dalam negara adalah berasaskan beberapa sumber dan jenis. Oleh iti, undang-undang tersebut perlu dipatuhi untuk mempastikan kedaulatannya sentiasa terpelihara. Jika kedaulatan undang-undang dipertahankan, masyarakat dapat terus membangun dan anggotanya dapat hidup dalam aman dan harmoni.

5. Kesopanan dan Kesusilaan

Sebagaimana yang dinyatakan di dalam prinsip, ia adalah untuk mempastikan rakyat sentiasa bersopan santun dan penuh tatasusila. Prinsip ini juga menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Kesopanan dan kesusilaan ini juga berkaitan dengan tutur kata seseorang dan prinsip ini dapat menjamin hubungan sesama kaum terus kekal. Hubungan baik ini juga boleh terjamin sekiranya rakyat sentiasa berakhlak mulia, menghormat orang lain, mengelakkan diri daripada menyentuh hal-hal yang sensitif dan perkara-perkara yang telah dipersetujui majoriti.


Pembentukan masyarakat berbilang kaum yang harmoni dapat dilahirkan sekiranya setiap individu dalam masyarakat boleh berpegang teguh kepada prinsip kelima ini.

1 Response to "rukun negara"

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel